Friday, August 31, 2012

Kemerdekaan negara utuh atas teras muafakat

Najib


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemerdekaan yang dicapai negara sejak 55 tahun lalu akan terus utuh atas teras permuafakatan dan kerjasama daripada semua pihak.
Perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional.
Najib berkata, selama 55 tahun negara telah berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk dalam kalangan warganegara sendiri.
Katanya, malah terbukti bahawa ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik adalah meleset sama sekali.
"Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam," kata Perdana Menteri dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-55 yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.
Menurut Najib, daripada sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik yang dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Kedua (GTP 2) bakal melonjakkan kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi dan akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas, sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat.
Bagaimanapun, katanya, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan itu akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.
"Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya," katanya.
Perdana Menteri berkata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik dan untuk itu di bawah Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi) tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.
Najib berkata, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
"Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai," kata Najib.
Perdana Menteri berkata, Malaysia telah berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. - Bernama
@kosmo.com.my

Orang utan melecur terbakar



ORANG utan jantan ini cedera selepas terjatuh ke atas tanah yang mempunyai unggun api.


PONTIANAK - Beberapa penduduk kampung yang cuba mengusir seekor orang utan keluar daripada sebatang pohon rambutan telah membakar haiwan tersebut secara tidak sengaja.
Menurut akhbar MailOnline kelmarin, orang utan jantan itu bersarang di atas pokok berkenaan setelah habitat asal haiwan berkenaan diganggu oleh manusia.
Insiden itu berlaku di kampung Lower Wajok, Kalimantan Barat.
Bimbang rambutan mereka akan habis dimakan, beberapa penduduk kampung cuba mengusir orang utan itu dengan membuat unggun api di pangkal pokok tersebut.
Api itu dipadamkan kemudian tetapi orang utan berkenaan jatuh ke tanah dan cedera.
"Selama 60 tahun saya tinggal di kampung ini, ini kali pertama peristiwa seperti ini berlaku," kata seorang penduduk kampung berusia 60 tahun, Ali Zakaria.
Mengulas kejadian pada Ahad lalu, Ketua Pusat Sumber Konservasi Alam Semulajadi (BKSDAS) di Kalimantan Barat, Niken wuri Handayani berkata, beberapa petugas agensinya dipanggil untuk merawat tetamu tidak diundang itu.
"Orang utan ini diberikan rawatan dan akan sembuh beberapa hari lagi sebelum dibebaskan semula ke rimba," kata Niken.
"Orang utan bukan spesies haiwan peliharaan," tambahnya
Menurut pegawai berkenaan, penduduk kampung telah dididik untuk tidak mencederakan orang utan dan menghubungi mereka jika haiwan itu menceroboh kampung.
Ujarnya, BKSDAS bertanggungjawab memantau sekitar 4,500 hingga 5,000 ekor orang utan yang hidup di Kalimantan Barat. - Agensi

Osama sudah mati apabila bilik tidurnya diserbu



RUMAH yang menjadi tempat persembunyian Osama di bandar Abbottabad, Pakistan.


WASHINGTON - Ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden sudah mati apabila pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy SEAL menyerbu ke dalam bilik tidurnya di sebuah banglo di bandar Abbottabad, Pakistan.
Dakwaan kontroversi itu bercanggah dengan kenyataan rasmi White House tentang kematian Osama.
Pendedahan mengenainya dibuat oleh seorang bekas anggota komando SEAL yang terlibat dalam operasi rahsia membunuh ketua Al-Qaeda itu pada 2 Mei 2011.
Menurut akhbar MailOnline semalam, Osama juga tidak bersenjata apabila dia diserang pasukan elit SEAL.
Kisah misi membunuh ketua pengganas berkenaan didedahkan dalam buku biografi, No Easy Day: The Firsthand Account of the Mission That Killed Osama bin Laden.
Ditulis di bawah nama pena, Mark Owen buku tersebut yang dijadualkan berada dalam pasaran pada 11 September depan akan dijual seminggu lebih awal.
Penulis buku berkenaan merupakan antara enam komando SEAL yang melihat Osama mati pada tahun lalu.
Menurut salinan buku itu yang diperoleh akhbar Huffington Post, misi membunuh Obama jauh bercanggah dengan kenyataan White House.
Dalam bukunya, Owen memberitahu bahawa seorang anggota elit skuad berkenaan terserempak dengan Osama ketika dia cuba melarikan diri ke dalam bilik tidurnya.
Bilik itu terletak di tingkat tiga banglo berkenaan yang dihuni oleh Osama bersama sejumlah anggota keluarganya.
Beberapa anggota SEAL lain kemudian bergegas menaiki tangga untuk mengejar Osama.
"Kami kurang lima langkah untuk sampai ke tingkat atas apabila saya terdengar bunyi tembakan. Ketika itu, saya tidak dapat melihat sama ada tembakan itu mengenai sasaran," kata Owen.
Walaupun media AS melaporkan Osama bersenjata dan cuba melawan ketika dibunuh, askar itu berkata, ketua Al-Qaeda itu sebenarnya sudah tidak bernyawa apabila mereka berada di dalam bilik tidurnya.
Menurut Owen, ketika Obama terbaring, dia dan beberapa komando lain melepaskan beberapa das tembakan lagi ke dada lelaki itu.
Dalam bukunya, Osama dilaporkan memakai baju-T berwarna putih, seluar panjang bersama sehelai tunik.
Semasa mereka merakamkan gambar jenazah Osama, dua pucuk senjata turut di temui di bilik tidur berkenaan tetapi kedua-duanya tidak berpeluru.
"Dia (Osama) langsung tidak melakukan persediaan untuk mempertahankan diri. Lelaki ini langsung tiada niat mahu melawan walaupun selama beberapa dekad dia begitu gah mengarahkan pengikutnya supaya melakukan serangan berani mati," kata Owen.
"Sepanjang saya berkhidmat dalam tentera, kami telah kerap kali menyaksikan penipuan seperti ini," tambahnya.
Mengulas pendedahan memalukan itu, ketua Pusat Operasi Khas AS memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati mendedahkan maklumat sensitif ketenteraan.
Dalam pada itu, sebuah laman web rasmi Al-Qaeda pada Jumaat lalu menyiarkan gambar dan nama komando SEAL yang bertanggungjawab menulis buku tersebut.
Tindakan tersebut dilakukan selepas saluran berita AS, FoxNews.com mendedahkan identiti penulis sebagai Matt Bissonnette.
Anggota komando SEAL itu yang kini berusia 36 tahun bersara selepas operasi membunuh Osama. - Agensi
@kosmo.com.my

Panjat gunung batu untuk gambar perkahwinan

PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat.


CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?
Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.
Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.
Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.
Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.
Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.
Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.
"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.
Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. - Agensi
@kosmo.com.my

Nama kedai cetus kemarahan



RAJESH SHAH menunjukkan kad perniagaannya.


AHMEDABAD, India - Sebuah kedai pakaian lelaki di India diminta menukar namanya selepas nama Hitler yang digunakan membangkitkan kemarahan masyarakat setempat.
Akhbar MailOnline melaporkan pemilik kedai berkenaan, Rajesh Shah mendakwa dia tidak menyedari nama kedainya, Hitler telah mencetuskan kontroversi.
Rajesh berkata, nama tersebut diperoleh daripada gelaran yang diberikan kepada rakan kongsi perniagaan datuknya.
Gedung pakaian itu yang terletak di Ahmedabad, dalam wilayah Gujerat, mencetuskan kemarahan penduduk setempat dan komuniti orang Yahudi di bandar berkenaan.
"Secara jujurnya, apabila saya memohon untuk menggunakan nama Hitler, saya hanya mengetahui bahawa dia seorang lelaki yang tegas," kata Rajesh.
"Cuma baru-baru ini saya tahu cerita tentang Hitler apabila saya melayari internet," tambahnya.
Menurut lelaki itu, dia sanggup menukar nama kedainya yang dibuka sejak dua minggu lalu jika dia dan rakan perniagaannya diberikan sejumlah pampasan ekoran mereka telah kehabisan wang.
Adolf Hitler merupakan diktator Jerman yang banyak melakukan pembunuhan dan jenayah perang semasa Perang Dunia Kedua termasuk dikaitkan dengan penghapusan bangsa Yahudi. - Agensi
@kosmo.com.my

Republikan pilih Romney

AKSI Romney dan isterinya, Ann ketika melambai ke arah penyokong mereka di Tampa, Florida, Amerika Syarikat.


TAMPA, Florida - Parti Republikan semalam memberikan pencalonan untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat kepada Mitt Romney dengan harapan ahli perniagaan itu mampu mengeluarkan Barack Obama daripada White House.
Empat tahun lalu, Romney tewas kepada pencabarnya, Senator John McCain. Kini, Republikan yakin bahawa Romney yang berfahaman konservatif dan berpengalaman luas dalam dunia perniagaan itu diperlukan oleh rakyat AS yang berada dalam ketidaktentuan ekonomi.
"Sudah tiba masanya untuk kita menghantar pemimpin sebenar ke White House. Mitt Romney akan memberitahu kita kebenaran yang pahit untuk ditelan dan kembali mencipta pekerjaan di Amerika," kata Gabenor New Jersey, Chris Christie dalam ucapan alu-aluannya.
Dengan rasminya pencalonan Romney dan Obama yang bakal dilantik pada konvensyen Parti Demokrat di Charlotte, Carolina Utara, rakyat AS perlu memilih antara dua pemimpin yang memiliki ideologi berbeza.
Romney konservatif terhadap isu-isu sosial seperti perkahwinan sejenis dan pengguguran anak, selain menyokong penurunan cukai serta mahu memansuhkan pindaan berkaitan penjagaan kesihatan yang dilakukan oleh Obama.
Sementara Obama pula lebih liberal dalam isu-isu sosial. Beliau juga mahu menaikkan cukai ke atas golongan kaya AS dan melihat kerajaan sebagai sumber kebaikan.
Kaji selidik menunjukkan pengundi meyakini Romney dalam aspek ekonomi, tetapi memilih Obama sebagai calon yang lebih diminati. - AP

Menghargai pengorbanan anggota tentera



SEJARAH mengenai kisah pengorbanan perajurit mampu memupuk semangat patriotisme. - Gambar hiasan


SECARA jujurnya, berapa ramaikah khususnya generasi muda yang berminat membaca artikel berkaitan dengan kisah dan pengorbanan perajurit dalam usaha menggapai kemerdekaan negara?
Realitinya, terdapat segelintir pihak memandang sambil lewa artikel berkenaan kerana merasakan ia sesuatu yang membosankan dan tiada elemen hiburan.
Biarpun hanya membabitkan komuniti kecil, namun pengorbanan perajurit harus dihayati oleh semua golongan tanpa mengira tua, muda, kanak-kanak.
Kalau diimbas, kemeriahan sambutan kemerdekaan tidak sekadar diisi dengan penceritaan pengorbanan perajurit menerusi medium berita, rencana, malah pemupukan ke arah peningkatan semangat patriotisme ini turut diaplikasikan dalam pelbagai kaedah.
Antaranya, menerusi drama genre sejarah dan dokumentari khusus selain program-program sambutan kemerdekaan yang dianjurkan.
Persoalannya, berapa ramaikah antara kita yang menghargai, menjiwai dan menghayati erti sebenar pengorbanan para perajurit?
Nilai patriotisme dalam kalangan golongan muda sering dipertikaikan. Ada antara mereka yang menganggap hari kemerdekaan tidak lebih daripada sekadar cuti umum.
Apa yang paling mendukacitakan apabila ada segelintir pihak bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan perajurit sebelum ini bahkan memandang mereka sebelah mata.
Bagi mereka, peranan tentera hanya perlu disanjung sebelum era kemerdekaan yakni sebelum tahun 1957. Mereka mengaitkan anggota pertahanan negara itu dengan keadaan darurat yang berlaku pada waktu itu.
Hari ini, pelbagai kaum hidup aman. Namun keamanan dan kesejahteraan ini menjurus kepada satu pemikiran sempit, mempertikaikan kepentingan kewujudan satu pasukan tentera berkaliber.
Semangat patriotisme
Semuanya berlaku kerana mereka mengambil enteng peranan anggota tentera di samping tiada minat untuk mengetahui kisah perajurit dan sejarah negara.

PERISTIWA konfrontasi telah mencetuskan kekacauan dan pertempuran sehingga membabitkan kehilangan banyak nyawa termasuk di kalangan tentera Malaysia. - Gambar hiasan


Sejarah dan pengetahuan mengenai kisah pengorbanan perajurit berperanan memupuk semangat patriotisme dan membuka mata berhubung peranan anggota tentera.
Namun peranan tentera hari ini dilihat seperti tiada kepentingan, sekadar beraksi di pembarisan, pameran, ekspo dan pemberian bantuan.
Walhal, keamanan dan keharmonian yang dikecapi hari ini bukan sekadar hasil daripada tonggak kepimpinan negara bahkan pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat tanpa mengira siang atau malam.
Kemerdekaan dan tiada peperangan tidak bererti kita sudah terlepas daripada ancaman musuh. Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Mejar Rosli (B) Mohd. Yazid.
“Kita harus ingat kewujudan tentera ini sebagai benteng daripada ancaman luar. Bukannya apabila mengaitkan tentera, kita mesti berperang. Lagipun, bukan dasar kita untuk menakluk mana-mana negara lain.
“Kalau kita lihat tentera tidak penting, dengan kedudukan Malaysia yang strategik ini ada kemungkinan kita akan dijajah sekali lagi. Kita mesti setanding dengan negara lain dalam aspek pertahanan, demi menjaga keselamatan negara,” katanya.
Biarpun peranan tentera tidak dilihat secara meluas, hakikatnya anggota keselamatan ini sama ada darat, laut mahupun udara, mereka bertanggungjawab menjaga sempadan, melakukan pemantauan dan rondaan bagi mempertahankan negara daripada diceroboh oleh anasir jahat mahupun membanteras penyeludupan senjata, manusia.
Dengan adanya langkah kawalan ini, ia bukan sahaja menjanjikan keamanan dan keharmonian kepada masyarakat sehingga menyebabkan ada antara mereka memandang sebelah mata peranan komuniti pertahanan ini. Namun harus diingat tentera antara faktor penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan tarikan pelabur dari luar.
Namun, disebabkan sebahagian besar generasi kini sudah merasai kenikmatan dunia dan tidak pernah merasai cabaran keperitan sebelum itu, kebanyakannya lupa kepentingan tentera.
Ditambah pula dengan semangat patriotisme yang kurang menebal, tidak berminat membaca dan menonton kisah perajurit terdahulu, menyebabkan peranan tentera hari ini dilihat tidak penting. Senario ini boleh melukakan perasaan dalam kalangan perajurit yang masih hidup dan berjuang demi kemerdekaan negara.
Rosli berkhidmat sebagai Ketua Platun Rejimen Renjer Diraja Tentera Darat Malaysia semasa terlibat dalam operasi menentang komunis pada tahun 1974.
Terlibat dalam operasi penentangan komunis merupakan satu detik yang sukar dilupakan dalam mempertahankan kemerdekaan negara.
Jerangkap samar
Memimpin 35 anggota dalam satu platun, saat paling menyedihkan ialah ketika beliau melihat kesengsaraan rakan angkara jerangkap samar.

SEORANG pekerja bengkel kereta, Saruddin Salleh, 30, bersemangat memasang Jalur Gemilang di halaman rumah sewanya di Kampung Pulau Pisang, Jitra, Kedah. - Gambar hiasan


“Ketika saya menyertai operasi menentang komunis pada tahun 1974, pada masa itu cuaca sangat panas dan perkara paling sukar apabila terkena jerangkap samar, kerana akan ada semangat anggota yang jatuh.
“Ditambah pula, melihat bagaimana kawan-kawan terkena jerangkap samar, ada yang mati, buta dan cacat anggota badan memang sedih. Apabila melihat generasi muda memandang remeh kemerdekaan, saya terasa sangat.
“Rasa diri dan pengorbanan selama ini diperlekehkan,” katanya yang bersara awal pada tahun 1994.
Kekecewaan ini turut dikongsi bersama Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Perhebat, Mejar (B) Rosdin Mohammad.
Pernah berkhidmat menentang komunis pada tahun 1983 sehingga setahun sebelum komunis menyerah diri pada tahun 1989, bagi Rosdin ia merupakan satu pengalaman manis yang dapat meningkatkan lagi semangat patriotismenya.
Ketika berkhidmat sebagai pemerhati tentera di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa Perang Bosnia, kesan peperangan itu menjurus beliau untuk lebih menghargai dan mempertahankan keamanan serta kesejahteraan yang dikecapi.
“Kita perlu menghargai usaha datuk, nenek, moyang mendapatkan kemerdekaan daripada penjajahan. Saya sudah melihat bagaimana derita dan sengsaranya mangsa perang.
“Biarpun kita sudah merdeka, tetapi kedaulatan negara harus dijaga supaya kejadian seperti Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963 tidak akan berulang,” katanya. Bagaimana pula dengan mereka yang sudah meninggal hanya semata-mata untuk menghadiahkan keamanan kepada kita?
Tidak timbulkah perasaan bersalah, kalau tidak pun hargailah peranan tentera kerana tanpa mereka tidak mustahil sejarah hitam seperti Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1963 kembali menyengat. – Bernama
@kosmo.com.my

Aprisiasi 55 tahun merdeka



AKTOR yang cukup sinonim dengan watak antagonis, Azhan Abdul Rani atau dikenali dengan Azhan Rani, 36, memberitahu kemerdekaan bererti rakyat Malaysia bebas daripada penjajahan.
Meskipun memasang Jalur Gemilang di kereta dan rumah satu kemestian kepadanya, tetapi tegas anak jati Kuala Kubu Baharu, Selangor itu semangat dalam diri lebih penting berbanding segala sambutan yang bersifat fizikal.
"Mengibarkan Jalur Gemilang satu amalan yang bagus. Ia bermakna kita berbangga dengan negara sendiri, tetapi bagi saya yang paling penting adalah semangat kemerdekaan yang ditanam dalam diri masing-masing.
"Tidak guna buat sambutan besar-besaran tetapi mereka yang datang meraikan hanya untuk lihat bunga api atau melihat persembahan yang disediakan tanpa memahami dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar," katanya yang bercuti raya di rumah keluarga di Kuala Kubu Baharu.
Sambung pelakon drama Geng Surau dan Supermak yang mula berlakon drama pada tahun 2006 itu, dia sendiri pernah menyerap semangat Tunku Abdul Rahman apabila terlibat dalam persembahan sempena kemerdekaan di Stadium Kuala Kubu Baharu pada tahun 1993.
"Waktu itu zaman sekolah menengah dan saya berlakon sebagai pesuruhjaya British yang membawa watikah kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman.
"Saya dan rakan-rakan melakonkan semula adegan seperti mana kemerdekaan yang sebenar pada 31 Ogos 1957. Walaupun hanya berlakon, ketika laungan merdeka bergema dalam satu stadium, timbul perasaan sebak yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
"Suasananya seperti saya betul-betul berada pada waktu merdeka 55 tahun yang lepas. Perasaan itu menyedarkan saya betapa pentingnya kita sebagai rakyat Malaysia menjaga dan memelihara kemerdekaan yang kita miliki hari ini," balasnya yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik-beradik.
DUDUK dari depan: Munif Isa, Azhan Rani dan Nad Zainal mempunyai persepsi sendiri tentang sambutan kemerdekaan negara.


Selain itu, Azhan yang kini sedang hangat dengan drama Mana Hilangnya Juwita? cukup kecewa melihat senario masyarakat Malaysia hari ini yang kurang nilai patriotik. Buktinya dapat dilihat dengan jelas apabila lagu Negaraku berkumandang.
"Tidak kira di mana-mana sahaja, jika lagu Negaraku berkumandang, ramai yang macam malu buka mulut untuk menyanyi lagu kebangsaan kita.
"Kalau ada yang nyanyi, suaranya tidak jelas. Rasanya ramai antara golongan dewasa yang sudah lupa dengan lirik lagu tersebut kerana mereka jarang-jarang menyanyikannya.
"Kalau betul-betul berbangga jadi rakyat Malaysia, jangan malu untuk nyanyi lagu kebangsaan sendiri.
"Senario yang berbeza saya dapat lihat dalam diri rakyat Indonesia yang tinggal di Malaysia. Mereka akan berdiri dan menyanyi dengan penuh bangga walaupun ketika itu mereka berada di kedai mamak," kata Azhan yang sukakan lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Nad Zainal pergi Dataran Merdeka
Farah Nadia Zainal atau Nad Zainal yang kini cukup popular dengan drama Bukan Bidadari pernah menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bersama keluarganya.
Bagaimanapun tradisi itu semakin hilang apabila anak tunggal dalam keluarga itu meningkat dewasa, kesibukan kerja membataskannya untuk meraikannya seperti zaman kanak-kanak.
"Ketika kecil, ibu dan ayah selalu bawa saya ke Dataran Merdeka sebab saya suka sangat tengok perbarisan dan perarakan pada pagi 31 Ogos.
"Mungkin masa kanak-kanak pergi ke Dataran Merdeka saya rasa sungguh meriah dan seronok tanpa memahami pengertian sebenar, bagaimanapun sedikit sebanyak memori itu mampu mengingatkan saya cara sambutan kemerdekaan di Kuala Lumpur," ujar gadis berusia 22 tahun itu.
Jelasnya yang menganggap filem klasik Sarjan Hassan sebagai filem yang mampu membangkitkan perasaan patriotik, sambutan kemerdekaan lebih terasa ketika zaman persekolahannya sahaja.
"Masa sekolah guru-guru sudah membuat rancangan untuk pelajar apabila tibanya bulan kemerdekaan. Namun, bila dewasa, saya semakin sibuk, tiada lagi sambutan yang khusus untuk merdeka," katanya jujur.
Bagaimanapun kata Nad, dia lebih suka menghayati merdeka dengan menonton filem lama dan dokumentari daripada Arkib Negara yang disiarkan di laman perkongsian video, YouTube.
"Teknologi sekarang di hujung jari sahaja, jadi saya lebih suka tengok semula sejarah lama kerana ia secara tidak langsung dapat menyedarkan saya bukan mudah untuk datuk, nenek dan perwira negara mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.
"Selain itu, saya jenis yang suka membaca buku biografi tokoh-tokoh negara kerana saya dapat mengetahui pengalaman mereka untuk membangunkan Malaysia seperti hari ini," ulasnya yang mula dikenali dengan drama Memberku Hawa.
Nad yang beraya di Ampang, Kuala Lumpur berharap pemimpin Malaysia lebih berpendirian dan tidak terpengaruh dengan pihak lain terutamanya negara-negara Barat.
SEMANGAT. Tiga bakat besar industri tanah air ini menyambut ulang tahun ke-55 Malaysia dengan apresiasi bangga dilahirkan sebagai warga tempatan.


"Kita boleh tengok dan ikut kejayaan negara di Barat. Mana yang baik kita ambil, tetapi bukan semua kita boleh ikut. Jika kita bertegas dan teguh pada pendirian, saya yakin negara Malaysia akan lebih dipandang di mata dunia.
"Memang sekarang kita bebas daripada penjajah secara fizikal, tetapi secara mental adakah kita bebas keseluruhannya. terutamanya buat golongan muda. Penjajahan secara tidak sedar ini yang harus kita lihat dengan serius," katanya yang cukup bangga menjadi rakyat Malaysia.
Munif Isa sertai perbarisan
Aktor Munif Isa, 30, yang popular menerusi drama BFF Teman Tapi Mesra mengatakan, rakyat Malaysia hari ini tidak perlu merungut atau menindas sesama sendiri.
Katanya, sebagai anak yang lahir selepas zaman merdeka, mereka harus hargai dan kekalkan keharmonian serta keamanan yang dimiliki.
"Sebelum buka mulut untuk merungut, tanya diri sendiri dahulu apa sumbangan yang telah kita berikan untuk negara. Bukan mempersoalkan apa sumbangan negara yang diberikan kepada kita.
"Jika semua rakyat Malaysia sumbangkan sesuatu untuk meningkatkan prestasi serta kejayaan negara, saya yakin negara kita akan kekal aman seperti hari ini," katanya yang sukakan filem Bukit Kepong.
Pelakon filem patriotik Tanda Putera itu juga mendefinisikan Malaysia tetap negara yang terbaik berbanding dengan negara lain yang pernah dikunjunginya sebelum ini.
"Saya pernah pergi ke China, melihat keadaan rakyatnya di sana membuatkan saya memanjatkan kesyukuran betapa bertuahnya saya menjadi rakyat Malaysia.
"Di China selain banyak undang-undang, kebanyakan mereka juga berjuang untuk meneruskan kehidupan setiap hari. Senario itu sangat menyedarkan saya bahawa Malaysia tetap yang terbaik," katanya yang pulang beraya di Kangar, Perlis.
Bercakap tentang sambutan kemerdekaan, Munif yang telah terlibat dalam filem Nur Kasih The Movie, 29 Februari, Jiwa Taiko, Tanda Putera dan terbaharu Susah Betul berkata, dia pernah menyertai perbarisan kemerdekaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lalu.
"Saya pernah sertai perbarisan pada hari kemerdekaan di bawah persatuan Seniman. Walaupun sambutan kemerdekaan setiap tahun tidak banyak berubah, tetapi apabila saya sendiri yang sertai perbarisan, perasaannya agak berbeza.
"Berjalan sambil disaksikan orang ramai dan memberi tabik hormat kepada pemimpin negara membuatkan saya bangga kerana sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu untuk hari kemerdekaan daripada sekadar menonton televisyen di rumah," katanya yang mula berlakon daripada pentas teater.
@KOSMO.COM.MY

Wanita enggan lepas beg ditetak

ORANG ramai membantu Rohairani yang cedera teruk di tangan kiri akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita ditimpa malang apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak penjenayah ketika dia berusaha menyelamatkan beg tangannya daripada diragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.
Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa Rohairani Abdullah, 36, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di sini baru keluar dari kereta untuk ke kedai tudung.
Ketika ibu kepada dua orang anak itu berjalan ke kedai tudung, beg tangannya tiba-tiba diragut seorang lelaki sebelum penjenayah itu menetak bertubi-tubi tangan mangsa yang enggan melepaskan beg tersebut.
Seorang penjual tudung, Hidayah Daud, 21, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat peragut itu cuba menarik beg tangan mangsa manakala seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal Honda EX5 di tepi jalan kira-kira 20 meter dari tempat wanita itu diragut.
Kejadian tersebut berlaku di tepi kedainya dan tindakan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan mangsa ditarik kira-kira tiga meter dari lokasi mula-mula mangsa diragut.
“Tindakan mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan peragut itu marah lalu menetak tangan mangsa lebih tujuh kali,” kata saksi itu.
Menurut gadis itu, kejadian selama tiga minit itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang tergamam, panik dan hanya mampu menjerit kerana takut melihat tindakan kejam penjenayah itu.
“Peragut yang berputus asa kemudian meninggalkan wanita itu tanpa dapat meragut beg tangan mangsa,” kata Hidayah sambil memberitahu dia juga takut untuk membantu mangsa kerana penjenayah itu bersenjatakan parang.
Ekoran kejadian itu, kawasan tersebut dipenuhi darah yang meleleh daripada tangan mangsa yang cedera.
Katanya, kira-kira 15 minit kemudian ambulans tiba untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini bagi mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu ada antara luka tersebut sedalam 38 sentimeter manakala urat pergelangan tangan kiri mangsa juga putus.
Sehingga malam tadi peragut berhati haiwan itu belum ditangkap manakala kecederaan tangan mangsa belum dapat diketahui statusnya.
@kosmo.com.my

Awie Dihalau Dari Rumah, 3 Bulan Tidak Bayar Sewa


Sewaktu ditemui semasa majlis bual santai bersama Awie anjuran Majlis Belia Wilayah Persekutuan baru baru ini, ada beberapa pengalaman menarik yang dikongsikan sewaktu pembabitan awalnya dalam bidang Nyayian.

Awie
Ujar Awie “Semasa saya mula berhijrah ke arena seni ni memang macam macam dugaan & pengalaman yang berlaku. Diantaranya seawal tahun 1985 saya mula aktif bermain muzik dan disebabkan itu telah dirotan oleh bapa saya kerana bermain muzik dan saya juga pernah dihina disebabkan menyanyi, kerana pada ketika itu kebanyakkan penyanyi ramai yang telah disabitkan dengan dadah. Secara tak langsung saya pun turut terkena tempiasnya.
Itulah diantara secebis bingkisan pengalaman yang dikongsikan Awie kepada anak anak muda wargakota yang turut serta dalam majlis tersebut. Tambahnya juga beliau pernah dihalau dari rumah penginapannya kerana tidak mampu hendak membayar sewa semasa menetap dikampung Baru akibat sudah 3 bulan tidak membayar sewa. Dia juga pernah dibayar hanya RM5 seorang semasa mengadakan persembahan di Shah Alam pada ketika itu.

Awie
“Bayangkanlah betapa susahnya hidup saya pada waktu dulu ditambah pula dengan kes pernah kena tipu, dihina, dicaci dan difitnah hidup saya selama 26 tahun sepanjang bergelar anak seni dan hari ini amat rasa bangga dengan semua pengalaman pahit manis yang diterima dan Allhamdulillah ini semua dibalas dengan anugerah-anugerah yang pernah saya menangi dan ianya juga mampu mematangkan saya dalam bergelar seorang anak seni.
Tegasnya juga ini adalah kerana sejak dari kecil dirinya telah diasuh dengan cara berkesan oleh keluarganya untuk menjadi seorang manusia yang berguna “Bagi saya menempuh pelbagai cabaran untuk membesar itu adalah satu pengalaman yang paling saya tidak boleh lupakan. Jadi kepada remaja pada masa kini janganlah hidup tu terlalu manja dan tidak boleh ditegur langsung. Setiap teguran itu pasti ada kebaikan untuk diri kita.”

Awie
Awie
Awie
@buahmulut.com

Jojo Goh Terpikat Apabila Berlakon Pertama kali Dengan Remy Ishak


Memang agak asing apabila bibir mula menyebut nama Jojo Goh yang berusia 28 ini. Kami sendiri baru pertama kali mengetahui akan kewujudan beliau ke arena lakonan tempatan dan pertemuan pertama kali kami denganya di Majlis Pra Tonton filem 29 februari ini memberi kami sedikit gambaran siapa dia yang sebenar.

Jojo Goh 29 Februari
Untuk makluman Jojo Goh juga merupakan seorang Miss Astro Chinese International 2006 2nd Runner Up .Menerusi temubual kami bersama anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini memaklumkan Watak Lily yang dibawa olehnya merupakan filem lakonan yang pertama bagi filem Melayu.
Ujarnya lagi “Memang ada banyak cabaran apabila pertama kali terlibat dengan filem 29 Februari. apatahlagi ini merupakan filem melayu pertama saya. Hampir 80% pengunaan bahasa dalam filem ini Bahasa Melayu. Bukan saya tidak boleh berbahasa Melayu tapi bahasa kedua saya ini agak mencabar juga apabila perlu diterjemahkan didalam filem seperti ini.”

Jojo Goh 29 Februari
Apabila ditanya pula berkenaan pasangan cintanya iaitu Remy Ishak didalam filem ini. Jojo akui pertama kali bergandingan didalam filem ini membuatkanya rasa terpikat dengan Remy Ishak. Katanya juga “Ya saya akui jugalah ada rasa terpikat dengan Remy Ishak ni apabila pertama kali dapat bergandingan bersamanya. Saya kenal siapa Remy Ishak ni pun melalui iklan Dashing. Disitu saya mula mengenali dia dan apabila dapat tahu dia merupakan hero filem ini maka saya ada membuat sedikit research berkenaan Remy Ishak. Dan dari maklumat yang saya dapat, wow!! dia merupakan jejaka idaman gadis gadis diluar sana. Dan itu menambah lagi cabaran buat saya dan perasaan gementar tu memang tidak dapat dinafikan”
Mengakhiri perbualan ini Jojo Goh sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak Kru Studios kerana memberi peluang buatnya teribat sama didalam filem 29 Februari dan berharap menonton dapat menyaksikanya dipawagam kerana genre yang dipaparkan melalui filem ini adalah amat berlainan dengan filem filem yang sudah sedia ada.

Jojo Goh 29 Februari
Jojo Goh 29 Februari
Jojo Goh 29 Februari
Jojo Goh 29 Februari
Jojo Goh 29 Februari
@buahmulut.com

Klik Foto Camca Emas Katering Melaka!

Remy Ishak spt ‘Dihantar kpd Saya’, Edry – 29 Februari


“Filem 29 Februari ini dibuat dalam format 3D supaya filem seperti ini berada ditahap yang kompetitif untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Diperingkat antarabangsa unsur 3D sudah menjadi seperti satu standart yang mesti ada dalam menghasilkan filem” – Edry Abdul Halim

#29 Februari
Ujarnya sewaktu sidang media 29 Februari menjelaskan filem-filem akan datang terbitan Kru Studios juga akan diberikan nafas dalam format 3D.
“Pembikinan dalam format 3D untuk 29 Februari ini adalah langkah pertama kami untuk eksperimen menghasilkan filem dalam format seperti ini dan juga menjadi pembelajaran yang berguna untuk penambahbaikkan filem berformat 3D yang bakal dihasilkan bagi filem filem akan datang.”

29 Februari
Ujar Edry lagi idea tercetusnya filem yang bergenre fantasy biography ini adalah dari seorang rakanya yang lahir pada 29 Februari. Apabila ditanya tentang sasaran kutipan untuk filem ini pula, Norman memaklumkan berdasarkan dari respon yang diterima menerusi trailer yang ditayangkan dan pembikinan dalam bentuk 3D bagi filem Melayu pertama, sasaran kutipan adalah didalam lingkungan RM5-7 juta berkemungkinan boleh dicapai.
Berkenaan pemilihan Remy Ishak sebagai pelakon utama pula Edry menjelaskan bahawa Remy Ishak seperi ‘dihantar kepada dia’. “Sewaktu saya sedang menulis skrip filem ini entah macam mana dia muncul menegur saya seolah-olah seperti dia dihantar kepada saya. Dari situlah saya tanya dia kalau boleh menyanyi juga. Sebab untuk filem kali ini sudah saya tetapkan polisi untuk mengambil seorang pelakon yang boleh bernyanyi. bertentangan dengan filem magika dimana penyanyi diambil untuk berlakon. Untuk skrip budi lakonan Remy ni pula memang saya buat berdasarkan karakter dia”
Filem yang akan ditayangkan pada hari ini diharap boleh diterima orang ramai dan trio 3 beradik ini iaitu Norman, Edry & Yusry juga berharap penonton dapat membuka sedikit pemikiran dengan boleh menerima suatu genre yang baru seperti 29 februari selepas banyak dihidangkan dengan genre yang sama seperti komedi, seram & romantik.
@buahmulut.com

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...