Showing posts with label teater. Show all posts
Showing posts with label teater. Show all posts

Tuesday, January 28, 2014

Isteri Restu Awie & Erra Fazira ‘Bercinta Semula’









Penyanyi & pelakon, Awie lega apabila mendapat persetujuan daripada isterinya, Rozana Misbun, untuk ‘bercinta semula’ dengan Erra Fazira.
Namun hubungan tersebut hanyalah sekadar mengamit semula nostalgia filem yang fenomena sekitar tahun 90-an iaitu Sembilu dan Sembilu 2 yang akan dipertontonkan dalam satu pementasan teater muzikal bertajuk Konsert Teaterikal ‘Suara Kita’. Pementasan konsert berkenaan merupakan cetusan idea daripada Awie sendiri.
“Sebelum memulakan langkah, orang pertama saya jumpa ialah isteri saya, Rozana. Saya beritahu dia tentang idea projek ni. Saya tahu yang saya haru jaga perasaan dia malah perasaan ramai orang”
“Mula-mula tu dia terperanjat juga lah. Tapi saya berterima kasih kepada dia kerana memberi saya lampu hijau. Katanya demi kerja dan karya, kenapa tidak. Lagipun dia adalah peminat Erra dan Ziana,” kata Awie ketika di sidang media pengumuman konsert berkenaan, bertempat di Istana Budaya, semalam.
Tambah vokalis kumpulan Wings ini lagi, selepas ‘mendapat restu’ daripada isterinya, beliau yang kebetulan berjumpa dengan Ziana Zain sewaktu di sebuah acara, terus menyuarakan hasratnya kepada teman seangkatannya itu. Kelegaan kali kedua dirasai apabila penyanyi bersuara lantang itu menyambut baik idea projek tersebut.
“Kemudian saya jumpa Ziana masa kami kebetulan buat show di sebuah acara. Saya beritahu dia tentang idea konsert ni dan dia terus setuju. Tapi dia bertanya kepada saya bagaimana pula dengan Erra. Ketika tu saya belum lagi berjumpa dengan Erra”
#01 Isteri Restu Awie & Erra Fazira ‘Bercinta Semula’ - ROTIKAYA
“Sewaktu program saya, ‘Tunggu Sekejap’ pihak TV3 buat kejutan pada saya dengan mengundag Erra jadi tetamu program tu. Sewaktu itu saya suarakan hasrat saya. Tergagap-gagap jugalah saya nak akap dengan Erra. Tak sangka dia juga menyambut baik projek ni”, jelasnya sambil diperhatikan oleh Erra dan Ziana yang turut hadir pada sidang media berkenaan”
Bertempat di Panggung Sari Istana Budaya, pementasan selama 7 hari berturut-turut ini berkonsepkan gabungan lakonan dan nyanyian dalam mengimbau episod kegemilangan filem-filem Melayu pecah panggung yang pernah menggegarkan industri filem Malaysia dua dekad lalu iaitu ‘Sembilu’, ‘Sembilu 2′, ‘Tragedi Oktober’, ‘Maria Mariana 2′ dan ‘Merah’.
Pementasan selama 2 jam 30 minit ini akan memanifestasikan semula sorotan babak-babak dari deretan filem tersebut sebagai teras dan latar penceritaan.
Dalam pada itu, Awie juga menyatakan dia tidak mempunyai masalah untuk melakonkan semula babak-babak romantis sepertimana lakonanya dengan Erra di dalam filem Sembilu. Bahkan beliau bersedia menerima apa saja kritikan.
“Lakonan hanyalah lakonan dan kami profesional. Mungkin lakonan kami akan jadi lebih daripada yang pernah kami lakonkan sewaktu dalam filem dulu. Dan saya sedia menerima apa saja kritikan baik atau buruk”
“Konsert ni ada dua segmen. Pertama, kami bertiga akan mendedangkan lagu-lagu hit daripada album kami. Segmen kedua adalah teater muzikal. Kita ambil momen dan beberapa babak masterpiece dalam lima filem yang disebutkan dan kita pertontonkan semula pada peminat”, jelasnya sekaligus memberitahu simbolik judul ‘Suara Kita’ itu bermaksud suara mereka bertiga yang optimis untuk mengembalikan semula nostalgia para penonton”
Menelan kos sebanyak RM1.4 juta, Konsert Teaterikal ‘Suara Kita’ diterbitkan oleh Awie Entertainment Sdn Bhd. Konsert ini juga mendapat sentuhan Eirma Fatima sebagai Pengarah Bersama, penerbit acara berkaliber Azmi Zainal Abidin sebagai Pengarah Produksi dan komposer hebat Edrie Hashim sebagai pengarah muzik.
Tambah menarik, konsert yang bakal berlangsung pada 3 hingga 9 Mac 2014 ini menerapkan tema elegan pada setiap inci persembahan, rekabentuk set di pentas dan paparan visual di skrin.
Untuk memeriahkan lagi suasana dan menghargai peminat Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, para penonton yang membeli tiket berharga RM399 dan RM499 layak untuk mendapat jemputan khas majlis jamuan dan ramah mesra bersama 3 dia tersebut pada hari terakhir pementasan, 9 Januari 2014, jam 9 malam. Maklumat lanjut mengenai tiket-tiket, boleh layari www.ticket2u.biz.
@rotikaya.com

Monday, October 28, 2013

Vanida, Sofea Jane berlakon makyung

VANIDA bakal melakonkan watak Puteri Sulung.


SELEPAS kali pertama dipentaskan sembilan tahun lalu, makyung kini kembali ke Istana Budaya. Sehubungan itu, makyung dijangka mendapat nafas baharu dengan penggunaan teknologi terkini yang ada di Istana Budaya.
Kali pertama dipentaskan dengan judul Raja Tangkai Hati, ketika itu ia dilakonkan oleh Juhara Ayub. Namun, kali ini dengan judulnya, Kesaktian Anak Raja Gondang, cukup menarik sekali apabila ia menampilkan dua nama besar dunia lakonan tanah air iaitu Vanida Imran dan Sofea Jane.
Langkah mempertaruhkan dua pelakon terkenal itu dilihat satu percubaan dalam menarik lebih ramai peminat untuk mencintai warisan budaya Melayu ini terutamanya generasi muda.
Menariknya, Vanida yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang itu menyahut cabaran untuk menggalas watak Puteri Bongsu dalam Kesaktian Anak Raja Gondang.
Bukan mudah untuk seseorang itu menjiwai kesantunan lenggok dialek Kelantan berlatarkan alunan dialog yang begitu puitis. Ia memerlukan satu jiwa yang indah untuk mendalaminya. Itu cabaran yang disahut Vanida dalam meluaskan lagi karier seni budaya warisan Melayu.
Sementara itu, anak kacukan Melayu-Inggeris dan aktres berpengalaman, Sofea Jane turut menguji daya lakonannya dalam teater ini menerusi watak Puteri Sulung.
Penglibatan Sofea Jane menerusi pementasan ini dilihat sebagai satu langkah baik dan merupakan satu kebanggaan terhadap kesenian budaya warisan Melayu.
Mana tidaknya, Sofea yang dilahirkan di London dibesarkan dalam suasana budaya yang berbeza, namun itu tidak menghalang dirinya daripada membabitkan diri dengan teater yang turut memerlukan dirinya berdialog dalam dialek Kelantan.
SOFEA JANE bakal berdialog dalam dialek Kelantan.


Pihak Istana Budaya ternyata ada alasan tersendiri dengan penampilan Vanida dan Sofea Jane menerusi Kesaktian Anak Raja Gondang.
“Kita menggunakan khidmat dua nama besar dalam industri hiburan sebagai langkah untuk menarik minat lebih ramai penonton ke Istana Budaya terutamanya generasi Y.
“Ramai yang menganggap persembahan tradisional sudah ketinggalan zaman.
“Usaha murni pihak Istana Budaya untuk memartabatkan kesenian budaya warisan Melayu ini ke mata dunia jelas kita dapat lihat ia bukan satu kesenian yang ketinggalan zaman tetapi ia merupakan satu identiti warisan Melayu”, ujar Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani pada sidang akhbar di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Batak terbang
Selain Vanida dan Sofea Jane, turut menguatkan daya lakonan teater ini ialah pelawak dan anak kelahiran Kelantan, Sabri Yunus yang memegang watak Peran Muda Negeri 1. Merupakan kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Sabri dianggap sebagai seorang penggiat seni yang begitu optimis untuk memberi nafas dalam menghidupkan lagi teater makyung ini.
Vanida, Sofea Jane dan Sabri bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar tersebut, namun pelakon watak utama teater ini, Rosnan Rahman mempunyai persepsi tersendiri tentang pementasan itu.
Dia memikul tanggungjawab untuk menghidupkan tiga watak iaitu Pak Yong, Batak dan Anak Raja Gondang.
Katanya: “Kalau sebelum ini kita lihat persembahan makyung menggunakan pentas yang statik, kali ini ada kelainan dan berbeza daripada persembahan lepas yang mana watak Raja Gondang dan Batak yang saya mainkan boleh terbang.
“Ini merupakan satu lagi cara untuk menghidupkan jalan cerita. Tetapi kita masih mengekalkan kostum tradisional, muzik iringan dan gerak tari serta jalan cerita makyung.”
Pengarah teater, Fatimah Abdullah ternyata begitu teruja apabila makyung sekali lagi melakar sejarah untuk dipersembahkan di pentas teater.
“Ini antara penglibatan paling besar saya dalam mengarah teater. Kalau sebelum ini, teater kita bawakan makyung dengan unsur-unsur seperti bangsawan dan cerita-cerita masyarakat, namun kali ini kita bawakan satu kelainan,” jelas Fatimah.

MOHAMED JUHARI (dua dari kanan) bersama dua tenaga penting pementasan makyung Kesaktian Anak Raja Gondang, Fatimah dan Rosnan.


Fatimah merupakan tonggak utama dalam melatih Vanida Imran dan Sofea Jane serta pelakon lain teater ini dalam menjiwai tutur dialek daerah dan gerak tari makyung.
Tambahnya, masyarakat harus membuka minda bahawa makyung bukan satu seni yang berunsurkan mistik atau pemujaan.
“Makyung merupakan satu seni drama tarian yang menggabungkan unsur-unsur spiritual yang membangkitkan semangat persembahan, lakonan cerita, muzik vokal dan instrumental,” ujarnya.
Secara ringkasnya, Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan dan penjelajahan Raja Gondang ke negara luar untuk meluaskan lagi pengetahuan serta pengalaman dalam kehidupannya.
Sebelum Raja Gondang memulakan hasratnya itu, dia telah menyuarakan pesanan kepada bondanya, Puteri Gak Petera. Sekiranya pohon selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istananya itu layu pada sebelah kiri ertinya dia berada dalam kesusahan.
Jika pohon itu segar maknanya dia berada dalam kesenangan. Apakah kesudahannya?
Tiket bagi menyaksikan naskhah yang dijadualkan dipentaskan dari 29 November hingga 2 Disember ini dijual pada harga dari RM33 hingga RM253.
Untuk maklumat lanjut tentang teater ini, sila hubungi Istana Budaya, Jalan Tun Razak menerusi talian 03-4026 5555 atau layari laman sesawang www.istanabudaya.gov.my.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz2izTbXZdT
Hakcipta terpelihara 

Saturday, October 26, 2013

Awie gerun dengan teater SuperMokh


BARISAN karyawan teater SuperMokh termasuk Awie (tengah) teruja untuk mementaskan teater tersebut yang dijangka ditayangkan di Istana Budaya pada 6 hingga 18 November ini.


PENYANYI dan pelakon popular Awie mengakui gementar dan masih tidak percaya apabila dia diberi kepercayaan memegang watak bekas pemain bola sepak legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dalam teater SuperMokh.
Menurutnya yang ditemui pada majlis sidang media teater tersebut di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu, dia kini dalam proses menyesuaikan diri dengan bola selepas meninggalkan sukan bola sepak selama 30 tahun.
“Sejujurnya saya sudah lama tidak bermain bola sepak. Dahulu ketika zaman sekolah saya aktif juga bermain bola di padang dan posisi saya selalunya penjaga gol.
“Namun, selepas saya aktif dengan muzik rock dan kekecewaan saya terhadap dunia bola sepak yang waktu itu banyak gejala rasuah, saya terus berhenti mengambil tahu perkembangan bola sepak,” ujarnya yang mengakui sebagai peminat Mokhtar Dahari atau popular dengan gelaran SuperMokh.
Justeru, apabila diminta menjadi Mokthar Dahari di pentas Istana Budaya, Awie, 45, kaget dan sedar banyak persiapan yang harus dilakukan dalam masa yang cukup singkat.
“Pihak produksi meminta saya mengurangkan berat badan terutama di bahagian perut kerana sebagai atlet harus ada tubuh yang sihat.
“Kemudian saya diminta membela misai yang agak tebal untuk menyerupai Mokhtar Dahari. Selain itu, saya dan pelakon yang lain, harus menjalani latihan intensif supaya kami memiliki stamina dan juga biasa dengan pergerakan bola,” katanya yang berjogging sejauh empat kilometer sehari.
Meskipun Awie sudah biasa di pentas teater, namun, kesukaran mendapat bahan rujukan menjadi kekangan utamanya untuk menjiwai watak legenda tersebut.
“Sepanjang bergelar pelakon, saya belum pernah berasa takut seperti ini kerana saya bimbang tidak dapat menyampaikan watak itu dengan baik. Saya sedar harapan yang diberikan penonton agak tinggi.
“Semua orang Malaysia tahu siapa Mokhtar Dahari dan dia masih hidup dalam jiwa rakyat Malaysia terutama peminat bola sepak. Namun, dia telah tiada, jadi agak sukar untuk saya menilai perwatakannya yang sebenar kecuali aksinya di atas padang,” balas Awie.

BAKAL membawa watak SuperMokh, Awie menjalani latihan intensif supaya memiliki stamina dan juga biasa dengan pergerakan bola.



Sungguhpun begitu, Awie bernasib baik kerana keluarga Mokhtar Dahari sudi memberikan kerjasama demi kejayaan teater ini.
“Arwah sangat jarang muncul di televisyen untuk temu bual dan sukar untuk saya mencari rujukan tentang caranya bertutur dan lenggok tubuhnya bagi pementasan itu nanti selain aksinya di padang.
“Keluarganya banyak membantu bagi memahami peribadinya dan saya juga sempat menonton filem Mekanik yang pernah dilakonkan dahulu,” ujarnya.
Tambah Awie, pementasan teater SuperMokh tidak hanya berkisar tentang kejayaannya di atas padang tetapi lebih kepada kisah peribadinya yang tidak diketahui peminat.
“Menariknya, teater ini tidak hanya tentang arwah yang hebat di padang tetapi juga siapa Mokhtar Dahari di luar padang.
“Bagaimana sikapnya dengan rakan-rakan dan keluarga serta apa dilema yang dihadapinya. Teater ini sangat bermakna kerana ia umpama biografi siaran langsung khas untuk rakyat Malaysia dan penghargaan kepada keluarganya,” luah Awie.
Hans Isaac selaku penerbit dan pengarah pula memberitahu, teater ini merupakan teater yang menelan kos paling tinggi dalam sejarah kerjayanya selepas Cuci The Musical 1,2 dan 3, Lat Kampung Boys Sebuah Muzikal serta Lawak Ke Der 1 dan 2.
“Saya tidak mahu berkongsi kos sebenar cuma saya boleh beritahu teater ini menelan bajet paling besar dalam sejarah penerbitan teater oleh produksi saya.
“Mujur, teater ini mendapat penajaan daripada banyak syarikat korporat yang sudi membantu. Secara tidak langsung penajaan itu membolehkan kami memberi yang terbaik untuk teater SuperMokh,” kata Hans.
Teater SuperMokh bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 18 November ini.
Selain Awie, teater arahan Hans Isaac dan Harith Iskander itu turut membariskan pelakon Rashidi Ishak, Dina Nazir, Maya Karin, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Tiket untuk menyaksikan teater tersebut sudah mula dijual di www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi 03-4147 8600 atau 019-2111600 untuk pembelian.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2ip6am5Cf
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, January 9, 2013

INFO - ELIZA GANTI TIARA DALAM TEATER RAJA LAWAK

KUALA LUMPUR: Eliza Mustafa, pensyarah Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) diberi kepercayaan untuk membawa watak ‘Juliah’ dalam teater Raja Lawak kali ini, menggantikan pelakon asalnya Datin Seri Tiara Jacquelina. Hal ini disahkan oleh pengarah dan penulis teater tersebut, Zakaria Ariffin, selepas pengumuman pelakon bagi watak tersebut 'disimpan' semasa sidang media pada Disember lalu. 

Eliza Mustafa, anak jati Negeri Sembilan ini bukan 'orang baharu' dalam dunia teater. Penglibatannya telah bermula sejak 1996 dan pernah terlibat sebagai pereka tari teater Gamat selain berlakon dalam teater Bangsawan arahan Rahman B. 

Eliza Mustafa - klik untuk imej besar...
 


“Dalam Raja Lawak, saya memegang watak yang pernah dilakonkan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina. Ini merupakan cabaran besar kepada saya untuk membawa watak mengikut pemahaman dan cara saya sendiri selain cuba menepati kehendak pengarah,” ujar Eliza semasa sesi latihan teater Raja Lawak di ASWARA baru-baru ini. 

Melakonkan watak ‘Juliah’ serta digandingkan dengan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Jalil Hamid, Imuda dan Abon merupakan pengalaman dan peluang yang besar kepadanya. Eliza juga berharap semua pihak yang terlibat dalam pementasan ini berpuas hati dengan lakonannya serta dapat memberi persembahan terbaik semasa pementasan dijalankan nanti. 

 

“Berganding dengan pelakon asal teater ini seperti Jalil Hamid dan Imuda pastinya membuat saya lebih teruja dan bersemangat untuk membawa watak tersebut sebaiknya,” tambah Eliza. 

Sementara itu, menurut Zakaria Ariffin pula, Watak ‘Juliah’ diberikan kepada Eliza kerana pengalamannya dalam dunia teater. Dan dia juga yakin dengan kebolehan Eliza untuk membawakan watak tersebut sebaiknya. 

Teater Raja Lawak ini bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 16 hingga 25 Januari ini. Teater ini merupakan produksi terbitan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ASWARA. 

Tiket boleh didapati pada harga RM20, RM30, RM40 dan RM50 menerusi laman sesawang www.ticket2u.biz atau boleh menghubungi talian 03-4147 8600. 

@myartis.com

Tuesday, October 23, 2012

Tiada Tawaran Punca Tony Eusoff Berlakon Teater


Tony Eusoff
PETALING JAYA: Aktor kacak Tony Eusoff berkata pembabitannya dalam pelbagai pementasan teater muzikal sepanjang tahun ini disebabkan tidak menerima tawaran lakonan untuk televisyen (TV) dan filem.
Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, 35, berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam pelbagai teater muzikal di dalam dan luar negara bagi mengisi masa terluang kerana hal tersebut.
Kata Tony, pembabitan dalam teater-teater bebas dan kecil itu dapat mengurangkan kebimbangannya memikirkan nasib kerjaya yang semakin tidak menentu.
"Bukannya saya tidak mahu berlakon TV atau filem tetapi memang tiada tawaran yang datang. Takkan saya hendak tunggu sahaja tawaran tanpa melakukan apa-apa langsung?
"Sebab itu saya cari alternatif kepada teater-teater muzikal bebas dan kecil dalam dan luar negara. Sekurang-kurangnya dapat juga saya melakukan sesuatu," katanya kepada mStar Online.
Tony berkata, ketandusan tawaran lakonan itu mungkin berpunca daripada kesilapannya sendiri yang tidak peka menjaga hubungan dengan penggiat-penggiat industri atau sikap pilih kasih stesen TV.
"Mungkin ketiadaan tawaran lakonan ini berpunca daripada salah saya yang kurang menonjol, tidak menjaga hubungan dengan penggiat-penggiat seni lain atau memang sikap sesetengah stesen TV yang pilih kasih terhadap pelakon-pelakon tanah air.
"Malangnya, saya bukan pelakon kegemaran mereka maka tiadalah tawaran yang datang. Namun, saya tidak berkecil hati dan mahu berfikiran positif dalam hal ini," katanya yang rindu untuk kembali berlakon.
Dia bagaimanapun bertuah kerana mempunyai kebolehan untuk berlakon, menyanyi dan menari yang sekali gus memudahkan laluannya untuk membintangi beberapa teater muzikal pada tahun ini.
"Saya bukan suka-suka buat teater muzikal tetapi itu sahaja peluang kerja dan rezeki yang ada. Memanglah kalau dikira bayarannya kecil berbanding TV dan filem tetapi saya bersyukur kerana ada juga pendapatan.
"Peluang membintangi teater ini pun saya peroleh kerana kebetulan saya boleh berlakon, menyanyi dan menari yang merupakan perkara asas bagi sesebuah muzikal.
"Selain mengukuhkan kemahiran lakonan, pementasan muzikal di luar seperti Singapura dapat meluaskan jenama saya di kalangan peminat di sana," katanya.
Pada Jun hingga Ogos lalu, Tony terlibat dalam pementasan berjudul La Cage Aux Follesyang diinspirasikan daripada filem Hollywood, Bird's Cage di Singapura.
Terbaru, aktor yang berasal dari Sarawak ini bakal membintangi muzikal bahasa Inggeris berjudul Romantic Fools pada 24 Oktober hingga 4 November depan di Black Box, Publika, Solaris Dutamas dekat sini.
Pementasan seterusnya pula di Stage 1, PenangPac, Straits Quay Mall, Pulau Pinang pada 9 hingga 11 November depan.
Tiket-tiket berharga RM58 dan RM68 kini boleh didapati di Ticketpro dengan melayari www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-7880 7999, 017-3305776.
Untuk belian tiket bagi persembahan di Pulau Pinang, layari www.ilassotickets.com.my, www.penangpac.org, atau hubungi 04-8991722, 04-8992722, 017-3305776
@mstar.com.my

Saturday, October 13, 2012

Eja sahut cabaran



EJA kini memikul tanggungjawab untuk membawa watak Tun Dr. Siti Hasmah dalam Teater Tun Dr. Siti Hasmah menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh pelakon Sofia Jane.

KONTROVERSI Teater Tun Dr. Siti Hasmah bermula apabila Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan dengan Erma Fatima beberapa bulan lalu. Malah, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Tidak hanya membabitkan pengarah dan tundaan tarikh pementasan, beberapa episod pengunduran pelakon utamanya juga terjadi. Entah kenapa pelakon utama yang membawakan peranan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika dewasa sering sahaja bertukar tangan.
Selepas pengunduran Erra Fazira pada penghujung Ogos lalu yang dikhabarkan disebabkan faktor jadual, terkini Datin Sofia Jane pula disahkan mengambil langkah serupa atas alasan yang sama.
Ingin mengetahui cerita di sebalik pengunduran Sofia, Kosmo! cuba menghubungi dan menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya, tetapi malangnya tiada jawapan yang dapat kami terima daripada pelakon filem Perempuan, Isteri dan .....? itu.
Bagaimanapun Kosmo! berjaya menemu bual pengganti Sofia iaitu pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 40. Eja berbicara tentang persiapan dan kesanggupan menjadi Siti Hasmah sebelum teater tersebut dipentaskan sebulan dari sekarang.
Kosmo!: Apa perasaan Eja ketika ditawarkan membintangi peranan utama teater Tun Dr. Siti Hasmah?
EJA: Bohong jika saya tidak berasa gementar. Perasaan saya bercampur baur. Teruja dan dalam masa yang sama gementar. Namun saya akan pastikan perasaan gementar itu bukan menjadi halangan untuk saya melakukan yang terbaik. Sebenarnya perasaan gementar itu bagus untuk menjadikan diri saya lebih bersedia memikul peranan itu nanti.
Apa yang membuatkan anda menerima tawaran ini, sedangkan sudah dua pelakon asal (Erra Fazira dan Sofia Jane) mengundurkan diri?
Saya sahut cabaran Datin Paduka Ummi Aida dan Erma Fatima, malah saya cabar diri untuk terima dan menjayakan peranan ini. Saya tidak mahu ambil tahu kenapa dua pelakon sebelum ini mengundurkan diri.
Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, tiada satu produksi yang sempurna. Tidak kira ia filem, drama mahupun teater, pasti akan berlaku masalah. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk membawakan watak Tun Dr. Siti Hasmah.
Ini merupakan pementasan pertama anda sejak bergelar anak seni. Kenapa baru sekarang terpanggil untuk menyahut cabaran beraksi di atas pentas teater?
Ya, ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di atas pentas teater. Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran untuk berlakon teater kerana faktor masa. Dahulu, sewaktu tidak ada anak, saya terlalu banyak terima tawaran berlakon drama dan filem. Jadi saya tidak mampu untuk buat teater. Kini, sudah ada masa dan ruang yang sesuai, saya terima tawaran berlakon teater.
Berapa lama latihan yang dibuat sebelum pementasan? Adakah sebarang masalah yang timbul?
Saya cuma ada masa sebulan sahaja untuk latihan. Tiap-tiap malam kami akan menjalani latihan. Semuanya berjalan dengan lancar. Saya kena berkorban masa demi anak dan juga pementasan.
Kedengaran sekarang suara anda seperti tidak sihat? Benarkah?
Ya, memang tidak sihat dan tidak cukup tidur, tetapi bila sudah terima sesuatu pekerjaan, saya akan fokus dan lakukan 100 peratus.
Anda sudah bersedia untuk menerima kritikan dengan penampilan sulung di atas pentas teater?
Saya bersedia untuk ditegur dan dikritik, tetapi janganlah menghentam. Kalau mahu tegur, biarlah dengan cara yang berhemah. Saya kena cuba berlakon teater dan tidak perlu takut jika gagal. Apa yang penting, saya kena berusaha beri yang terbaik. Bila kita buat dengan bersungguh-sungguh Allah akan membantu.
Apa harapan anda untuk teater Tun Dr. Siti Hasmah?
Saya mohon pada Allah agar pementasan hari pertama dan seterusnya nanti berjalan dengan lancar.
@kosmo.com.my

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...