Showing posts with label edisi wanita. Show all posts
Showing posts with label edisi wanita. Show all posts

Tuesday, March 29, 2016

Gadis 15 Tahun 'Terlalu Cantik Untuk Dilihat' Jadi Kegilaan



SEORANG gadis berusia 15 tahun menjadi kegilaan netizen di China selepas dia menjalani pembedahan kosmetik untuk mengubah seluruh wajahnya.
Gadis tersebut yang berasal dari wilayah Henan, dikategorikan sebagai 'terlampau cantik untuk dilihat' oleh pemilik media sosial yang menyimpan gambarnya.
Lebih mengejutkan apabila gadis yang bernama Lee Hee Danae mempunyai pengikut seramai 400,000 di akaun Weibo (laman sosial terkenal China) malah turut memberitahu tarikh hari lahirnya iaitu pada Mei 1999.
Menurut satu agensi berita tempatan China, Shangaiist, gadis bawah umur tersebut mendapat lebih 24,000 'likes' di dalam satu portal internet China, Tencent.
Tambah akhbar itu lagi, gadis tersebut bertindak melakukan pembedahan kosmetik untuk memenangi semula hati bekas kekasihnya, lapor laman web China, Cbg.cn.
Bagaimanapun, ada pihak yang berpendapat bahawa gambar tersebut adalah penipuan semata-mata atau disunting secara digital.
Dalam pada itu, pembedahan plastik seperti pembedahan kelopak mata dah Rhinoplasty (pembedahan hidung) semakin popular di kalangan penduduk China.
Malah, ramai wanita yang menjalani pembedahan garisan-V untuk memberi garisan yang cantik pada rahang sehingga menjadi bentuk 'love' (hati).
Pembedahan paling popular yang diminati wanita China adalah melebarkan mata dan mengecilkan muka dengan dagu yang lebih runcing.
@mstar.com.my

Wednesday, January 29, 2014

Rahsia kecantikan Maya Karin

  • Maya KarinMaya Karin
 1 / 1 
Siapa tidak kenal dengan wanita berdarah kacukan Melayu-Jerman, Maya Karin.

Dilahirkan pada 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Jerman, aktres jelita ini bukan sahaja berbakat besar dalam bidang lakonan, bahkan pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke ini boleh menyanyi dan mengacara.

Tidak hanya berbekalkan bakat semata-mata, Maya juga adalah antara selebriti wanita yang memiliki rupa paras cantik.

Malah dalam usia 34 tahun, Maya masih langsing dan mempunyai kulit  mulus persis seperti gadis di awal usia 20-an.

Justeru, tidak hairanlah Maya menjadi buruan banyak syarikat yang menginginkannya sebagai duta produk lantaran kecantikan aslinya itu.

Zass akhirnya berjaya mencungkil rahsia penjagaan kulit dan tubuh yang diamalkan Maya.


Sebagai selebriti yang menjadi idola peminat, apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?

MAYA : Sihat bagi saya bila kita amal pemakanan sihat dan selalu bersenam. Kesihatan juga bukan dari luaran,malah dalaman itu amat penting. Oleh itu, apabila badan kita sihat dari dalaman, secara tidak langsung ia kelihatan pada tubuh dan muka. Wajah kita akan nampak berseri-seri dan cantik.

Tapi jika dalaman kita tidak sihat atau kurang sihat, ia akan nampak pada wajah kita. Contoh macam kita demam, kita nampak lesu sahaja. Kesihatan dalaman juga termasuk keceriaan dan kegembiraan yang kita lalui.


Dalam usia 34 tahun, anda masih kelihatan cantik, apa rahsianya?

MAYA : Saya akui amat menjaga kulit terutama muka dan kelangsingan badan. Untuk muka, saya sentiasa amalkan pakai pelembap, selepas mencuci muka dan sebelum tidur.


Rata-rata selebriti tidak kira tua atau muda kini gemar memilih suntikan bagi kecantikan kulit, adakah anda juga mengamalkan atau pernah terfikir untuk mengambil suntikan?

MAYA : Tentu sekali tidak. Walaupun doktor sendiri beri cadangan kata suntikan vitamin C bagus untuk kulit, saya tidak percaya. Jadi amat penting untuk kita bersyukur dengan apa yang kita ada.


Bagaimana pula dengan pengambilan suplemen untuk kulit?

MAYA : Juga tidak. Saya tidak ambil suplemen mahupun ubat untuk kulit atau langsing. Tapi saya gemar minum air buah dikisar sendiri, tanpa gula. Hanya itu saya amalkan.


Sekiranya tidak terlibat dengan sebarang majlis rasmi, adakah anda gemar bersolek apabila keluar rumah?

MAYA :Tidak. Jika tidak terlibat majlis melibatkan ramai orang atau media, saya tidak akan bersolek sebab kerja saya memerlukan saya untuk bersolek. Jadi bila ada peluang, saya suka muka dibiarkan asli sahaja.


Macam mana pula dengan penjagaan tubuh?

MAYA : Saya selalu bersenam dan banyak minum air suam, makan banyak sayur terutamanya ulam-ulaman.


Boleh kongsikan rutin pemakanan anda?

MAYA : Saya makan seperti biasa, tetapi ada hadnya. Jangan sesekali makan berlebihan dan saya juga tidak bersetuju dengan pemakanan tiga kali sehari (dengan menu sihat). Malah jika kita berpuasa pun, kita boleh makan kurang dari tiga kali sehari dan badan kita masih sihat. Sebab itu pentingnya minum banyak air suam kerana ia membantu badan kita merasa segar dan kenyang.


Selain menjaga pemakanan dan kulit, adakah anda gemar memanjakan diri di spa, salun dan sebagainya?

MAYA : Tentu sekali, tetapi tidaklah kerap. Macam saya sebulan sekali saya akan mengunjungi salun, atau spa. Paling penting saya akan berurut sebulan sekali kerana bila badan kita penat bekerja, kita perlu memanjakan diri kita sekali sekala.


Macam anda katakan tadi, jika kita gembira dan tidak tertekan ia secara tidak langsung akan dapat dilihat pada wajah. Sebagai selebriti terkenal, bagaimana cara anda menangani tekanan?
MAYA : Saya suka bersendirian dan mendengar muzik. Tetapi tidaklah menari. Hanya dengar muzik (ketawa).







Profil

Nama Penuh: Maya Karin Roelcke
Panggilan: Maya Karin
Tarikh Lahir : 29 Oktober 1979
Umur: 34 tahun
Tempat Lahir : Bayreuth, Bavaria, Jerman
Profesion : Pelakon, penyanyi, model, pengacara
Filem: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau Cukur, Taming Sari, Cun!.
Album: Erti Cinta, Bukan Qalamaya
Program TV: Wavelength, Ratu Sehari Astro, Beauty Secrets From The East, Channel [V] dan Nona
Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular 2001 (ABP2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia-Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi & Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular ABP2005; Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21

@sinarharian.com.my

Tuesday, January 28, 2014

Amber Chia: Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen



DI sebalik rentetan kejayaan peragawati terkenal, Amber Chia, tersimpan episod kesusahan, kedaifan dan kekecewaan yang amat menyentuh hati untuk dikongsi bersama.
Pelajaran setakat tingkatan tiga mengheret ikon berusia 32 tahun itu menjadi dewasa pada zaman remaja.
Setiap hari Amber membantu bapanya menjual ikan di sebuah pasar di Tawau, Sabah. Pada sebelah malam pula, dia menjadi juruwang di pasar raya tempatan.
Membesar sebagai anak ketiga daripada enam adik-beradik, zaman kanak-kanak Amber tidak semewah kini. Dulu, pakaian baharu hanya diperoleh setahun sekali, itupun apabila Tahun Baru Cina menjelang.
“Sebab itu Tahun Baru Cina terlalu istimewa untuk saya dan adik-beradik. Kami tahu, ibu akan membawa kami ke pasar raya untuk membeli baju baharu,” kongsi wanita ini sambil memutar memori termanisnya itu tatkala bergelar kanak-kanak kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika kecil juga Amber menanam hasrat untuk bergelar seorang peragawati. Sejak menonton rancangan fesyen di televisyen dan membelek majalah yang menghimpunkan model-model anggun, beliau sudah tahu arah tuju masa depannya.
Berbekalkan cita-cita itu bersama wang tunai RM300, Amber terbang ke Kuala Lumpur pada umur 17 tahun. Tanpa seorang pun kenalan di bandar raya itu, beliau memberanikan diri mencongak tuahnya dalam bidang peragaan.
Teksi
Iklan uji bakat dalam surat khabar menjadi teman akrab wanita ini. Malah, dia tidak ralat menyewa sebuah bilik bersama beberapa orang gadis tidak dikenali di Kuchai Lama dengan kadar sewa RM50 sebulan.
Duit simpanan yang kian surut hampir mencemaskan Amber. Namun, ketabahannya berbayar apabila dia diterima sebuah agensi model bebas.
Pada awalnya, dia diminta untuk membayar yuran bagi mengikuti kursus latihan tetapi memandangkan masalah kewangan yang dihadapi sangat kritikal, Amber dibenarkan untuk membayar kos tersebut menerusi potongan wang daripada setiap pertunjukan fesyen.
AMBER mengembangkan lagi kerjayanya menerusi kerjasama bersama pereka fesyen Melinda Looi dengan mengeluarkan koleksi pakaian di bawah nama MLxAC.


Fasa awal memang menguji kesabaran Amber. Dia perlu belajar berjalan dengan kasut tinggi yang sebelum itu langsung tidak pernah membaluti kakinya. Malah sepatah perkataan bahasa Inggeris pun tidak diketahui wanita tersebut, sekali gus menyulitkan komunikasi.
Enggan patah semangat, Amber berjanji kepada diri sendiri untuk meningkatkan prestasi agar tapak yang dibina akan terus utuh.
“Pernah sekali, saya menaiki teksi untuk menjayakan satu pertunjukan fesyen. Bila saya tengok meter tambang mencecah RM2.30, saya minta pemandu teksi itu berhenti kerana banyak itu sahaja wang yang saya ada.
“Saya meminta arah ke lokasi pertunjukan daripada pemandu tersebut dan berjalan kaki kira-kira 11 kilometer. Saya tiba di tempat pertunjukan dua jam awal dan terpaksa menumpang orang selepas kerja selesai,” imbas ibu kepada seorang anak lelaki itu.
Apa sahaja kepayahan hidup yang tidak pernah dilalui Amber pada permulaan kerjayanya? Setiap keperitan termasuk berlapar seharian juga direntasi tanpa rungutan. Bak katanya, ketika muda, semua cabaran dapat diatasi kerana semangat mengatasi segala-galanya.
Selepas setahun mencuba nasib sebagai model peragaan, Amber disunting sebuah agensi model ternama tanah air, Andrewsmodels.
Dua tahun berpayung di bawah agensi tersebut, kerjaya Amber mula berkembang apabila khidmatnya ditagih hampir setiap pertunjukan fesyen.
Wajah Amber memenuhi majoriti majalah fesyen. Meskipun tempoh dua tahun pertama kerjayanya tidak direstui penuh ibu bapanya, namun kesungguhan dan keikhlasan membantu keluarga keluar daripada takuk kemiskinan membenarkan dia meneruskan cita-citanya.
Kerja keras Amber dalam tempoh melebihi satu dekad juga melayakkannya digelar supermodel negara. Sampai satu tahap, orang mula muak atau mengelaskan beliau sebagai wajah terlebih promosi dalam industri fesyen tanah air.
Tenang dengan kenyataan tersebut, Amber menyifatkan bahawa dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Dia sedar, tidak semua komen yang diterima adalah positif tetapi setiap kritikan diterima untuk memperbaiki diri.
RAMBUT pendek menjadi imej baharu Amber selepas 25 tahun selesa berambut panjang.


“Kalau saya tak promosikan diri, tidak mungkin orang kenal Amber Chia hari ini. Komen negatif orang ramai terutama di laman sosial memang kadang-kadang buat kita geram tetapi saya tidak ambil serius,” bersahaja Amber meluncur kata.
Potong rambut
Transformasi Amber tidak hanya terlihat pada peningkatan kariernya. Malah baru-baru ini, model terkemuka itu mengambil langkah berani memotong pendek rambutnya yang telah disimpan selama 25 tahun.
Dedah Amber, kali terakhir dia berambut pendek adalah ketika berumur lima tahun dan selepas itu dia selesa berambut panjang.
Katanya: “Paling pendek pun saya potong setakat paras bahu.”
Keputusan Amber itu dibuat selepas dipelawa jenama penjagaan rambut antarabangsa, Vidal Sassoon (VS) bagi menjayakan kempen #GetSassooned.
Menerusi gerakan tersebut, rambut Amber diberi gaya potongan five point yang moden.
Bagi Amber, memotong rambut pendek adalah suatu ketakutan kepadanya. Dia bimbang gaya tersebut tidak bersesuaian dengan bentuk wajah, tambahan pula rambutnya jenis leper.
“Dulu kena sikat, ikat dan gunakan banyak produk rambut seperti gel dan penyembur. Paling kurang pun ambil masa satu jam setengah untuk siapkan solekan dan dandanan rambut.
“Bila berambut pendek, ia banyak menjimatkan masa solekan dan mendandan rambut. Kini saya hanya memerlukan 45 minit. Saya juga tampak lebih muda, segar dan bergaya. Siapa tahu, mungkin saya tidak akan menyimpan rambut panjang lagi,” berderai tawa Amber menyerlahkan keramahan bersahaja dalam dirinya.
Keluarga
Sementara itu, menyentuh rutin perayaan Tahun Baru Cina, Amber memberitahu, dia akan pulang ke rumah keluarga suami, Adrian Wong pada hari pertama sambutan seperti yang telah ditetapkan dalam tradisi kaum Cina.
Hanya pada hari ketiga, dia sekeluarga akan pulang ke Tawau untuk makan malam beramai-ramai. Detik itu sahaja Amber dapat berkumpul bersama semua adik-beradik dan anak-anak buahnya tanpa ada seorang pun tercicir.
AMBER akan pulang ke Sabah pada hari ketiga Tahun Baru Cina untuk berkumpul bersama-sama ahli keluarganya.


Tambahnya, setiap kali perayaan, dia akan berdoa agar keluarganya diberikan kesihatan. Kesenangan lain baginya akan datang kemudian.
Meskipun sibuk mengurus kerjaya, Amber sentiasa memastikan akan pulang ke kampung halaman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun.
Bagaimanapun, ibu bapanya juga kerap turun ke Kuala Lumpur untuk melawatnya sekeluarga.
“Bapa saya masih bekerja walaupun perniagaan menjual ikan telah diambil alih abang saya,” kongsi Amber.
Mendambakan seorang anak perempuan, ibu kepada Ashton Wong, 3, itu menikmati setiap momen bergelar ibu.
Setiap apa yang dimiliki kini dihargai penuh syukur. Tiada sasaran tinggi untuk dicapai, sebaliknya mahu meneruskan langkah di atas pentas peragaan selagi terdaya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm#ixzz2rhcxF3uK 
Hakcipta terpelihara 


cari baju muslimmah di melaka..? klik..!

Friday, January 24, 2014

Ikon wanita Afghanistan



"SAYA sedar bahawa saya akan sentiasa berada dalam bahaya. Tetapi saya sudah bersedia dan mahu meneruskannya. Tuhan bersama saya," tekad Ketua Polis Daerah 1 Kabul, Afghanistan.
Selepas 32 tahun berkhidmat sebagai anggota polis, Kolonel Jamila Bayaz, 50, merupakan wanita pertama yang dilantik mengendalikan sebuah wilayah. Ia dilihat sebagai pelantikan barisan hadapan yang tertinggi bagi seorang wanita Afghanistan. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di bahagian jenayah dan narkotik.
Jika dahulu jubah tradisional dan tudung menjadi pakaian hariannya, kini Jamila membiasakan diri dengan berpakaian seragam yang berseluar berwarna kelabu. Tidak memakai topi polis, kepalanya masih ditutupi sehelai selendang berwarna hitam.
Seiring dengan tanggungjawab yang diberikan, beliau mula mengetuai pasukan di Daerah 1, Kabul yang merupakan salah satu kawasan terpenting di ibu negara Afghanistan itu pada 16 Januari lalu.
Daerah, yang juga sebahagian daripada 10 daerah di Kabul dengan kepadatan penduduk hampir lima juta orang, itu menempatkan beberapa kediaman pemerintah tertinggi, pejabat beberapa kementerian, bank pusat dan pasaran utama emas dan pertukaran mata wang asing negara berkenaan.
Sasaran Taliban
Wanita yang kian menjadi tumpuan orang awam dan media antarabangsa itu berkata, dia tidak gentar melaksanakan tugasnya meskipun menyedari menjadi sasaran utama militan.
"Saya bertugas hampir setiap hari tanpa mengenal erti siang dan malam. Saya bersedia untuk berkhidmat. Pasti ada sebab mengapa Tuhan memberikan saya jawatan ini" jelasnya dalam satu temu bual bersama media baru-baru ini.

KEJAYAAN Jamila sebagai pemimpin dalam institusi yang didominasi oleh lelaki memberi inspirasi kepada golongan wanita Afghan untuk berkhidmat pada negara.


Sejak tujuh bulan lalu, beberapa wanita berkepentingan telah diserang di Afghanistan.
Ia termasuk dua anggota polis wanita di sebelah selatan, seorang penulis dari India yang menetap di timur Afghanistan yang telah dibunuh selepas memoirnya mengenai kehidupan di bawah pemerintahan Taliban pada tahun 1990-an menjadi sebuah filem Bollywood dan seorang senator Afghan yang cedera teruk dalam satu serangan hendap.
Selain berhadapan dengan Taliban, kebanyakan ahli keluarga terdekat terutamanya saudara lelaki, turut menentang pembabitan golongan wanita dalam pentadbiran kerajaan sehingga ada yang menerima ugutan bunuh.
Pada tahun lalu, seorang pegawai kanan polis wanita di wilayah Helmand, Leftenan Islam Bibi, 37, mendedahkan kepada media bahawa dia pernah menjadi sasaran bunuh oleh ahli keluarganya sendiri.
"Adik-beradik saya, bapa, kakak dan abang, semuanya menentang saya. Malah abang saya pernah tiga kali cuba untuk membunuh saya tetapi gagal," ceritanya.
Namun, pada pagi 4 Julai tahun lalu, wanita yang juga menjadi contoh kepada kaum Hawa di wilayah yang konservatif itu telah diserang ketika menunggang motosikal bersama menantu lelakinya di ibu wilayah, Lashkar Gah. Beliau mati akibat kecederaan serius yang dialami di wad kecemasan sebuah hospital.
Peningkatan peranan
Kesemua serangan itu dilancarkan bertujuan meningkatkan ketakutan dalam kalangan wanita Afghanistan yang semakin bebas meneruskan kehidupan seperti mendapat akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan selepas Amerika Syarikat menumbangkan kerajaan Taliban pada tahun 2001.
Bagaimanapun, kematian Islam bukan sahaja menaikkan semangat dalam kalangan wanita di Afghanistan untuk bergelar anggota polis, malahan dia diangkat sebagai ikon.
Khidmat polis wanita ditagih dalam institusi beruniform itu terutamanya yang melibatkan serbuan di premis-premis yang didiami wanita selain bertugas di bahagian siasatan jenayah.

JAMILA (kiri) membuktikan bahawa golongan wanita juga boleh berjaya seperti lelaki.


Menurut satu laporan oleh agensi bantuan antarabangsa, Oxfam International (Oxfam) pada tahun lalu, usaha kerajaan Afghanistan merekrut golongan wanita menjadi anggota polis merupakan satu kejayaan tipis.
"Pada tahun 2005, pasukan polis kebangsaan telah melantik hanya 180 wanita daripada 53,400 orang anggota. Pada Julai 2013, angka tersebut telah meningkat kepada 1,551 orang daripada 157,000 anggota," katanya.
Tambah Oxfam, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran, merekrut lebih ramai anggota polis wanita boleh memberikan manfaat besar kepada negara itu, khususnya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan yang sering berasa tidakselesa atau takut untuk membuat laporan jenayah kepada pegawai lelaki.
Menceritakan semula saat berada di bawah pemerintahan Taliban dalam tempoh lima tahun sehingga 2001, pergerakan Jamila sangat terhad.
Kebanyakan wanita dinafikan hak untuk meneruskan kehidupan seperti golongan lelaki. Antaranya, golongan wanita tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa ditemani saudara lelaki. Jamila sendiri menghabiskan kebanyakan masa mengendalikan urusan rumah tangga.
Transformasi kehidupan
Kehidupan ibu kepada lima orang anak ini jelas berubah sejak pelantikannya. Sungguhpun mampu memandu, kini beliau mempunyai pasukan pengawal peribadi tersendiri yang membawanya bergerak di sekitar Kabul dan ke pejabat.
Seperti Islam, Jamila juga menyimpan hasrat mahu menjadi inspirasi kepada wanita yang lain untuk meneruskan kerjaya sebagai polis, sekali gus berkhidmat demi negara.
"Apabila saya keluar dari kenderaan, saya memberi arahan dan mendapatkan maklumat terkini berhubung tugasan pegawai terlibat.
"Ketika itu semua mata tertumpu ke arah saya. Ia adalah saat yang sangat mengujakan. Melaksanakan tugas sambil memakai pakaian seragam diharapkan mampu menjadi inspirasi kepada seluruh wanita Afghanistan," tuturnya.

SEJAK kejatuhan Taliban, wanita lebih bebas meneruskan kehidupan termasuk kerjaya sebagai anggota polis.


Katanya lagi, dia bersyukur dengan sokongan padu yang diberikan keluarganya, termasuk dua anak perempuan dan tiga anak lelakinya terhadap jawatan baharu itu.
Anak bongsu Jamila, Tawhid, 12, berasa bangga kerana ibunya bergelar seorang pegawai tertinggi polis.
"Ya, mak saya selalu sibuk sekarang. Saya sentiasa datang ke pejabat melawatnya. Hati saya gembira dia memegang jawatan ini," katanya sambil berlegar di kawasan pejabat Jamila yang dipenuhi jambangan bunga dan kad ucapan tahniah.
Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Kabul, Mohammad Zahir Zahir mengucapkan tahniah di atas kejayaan Jamila.
Dia optimis tindakan yang diambil Kementerian Dalam Negeri itu adalah langkah bijak selain membuktikan wanita mampu melakukan kerja luar selain sebagai suri rumah.
"Kenaikan pangkat ini mengiktiraf golongan wanita selain menjadi bukti mereka mampu melakukan pekerjaan seperti lelaki," katanya.
Manakala jurucakap kementerian, Sediq Sediqi berkata, pelantikan Jamila adalah langkah awal dalam memenuhi kapasiti wanita dalam jawatan kepolisan.
"Mungkin pada masa hadapan kita boleh melihat seorang wanita bergelar Ketua Polis Wilayah," ujarnya dengan penuh semangat.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2rJQa1Sji 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, January 7, 2014

Kosmetik halal Ili Zawani

DI SAMPING produk kecantikan, Ili Zawani bercita-cita memiliki program bual bicara sendiri.


MELIHAT pencapaian wanita yang bergelar ahli perniagaan pada usia 20 tahun, kru Jurnal merasakan yang dia sebenarnya sudah berjaya dalam perniagaan yang diceburi.
Tetapi berbeza pula bagi Ili Zawani Ismail, 27, apabila memberitahu, dia masih jauh daripada mencapai impiannya.
“Secara peribadi, saya masih belum layak untuk mengatakan yang saya sudah berjaya kerana banyak lagi perkara yang belum dicapai mengikut definisi kejayaan dalam kamus saya sendiri.
“Malah, saya juga bercita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri yang berunsurkan inspirasi dan ilmiah bagi melahirkan generasi yang lebih berkualiti, berdaya saing dan bekerja keras.
“Selain itu, saya juga mahu menjadi tokoh korporat wanita berpengaruh yang mampu membantu dan memberi manfaat kepada masyarakat, negara dan agama,” ujarnya.
Tampil ayu dan feminin dalam persalinan jubah berwarna hitam, wanita ini berkata, dia sebenarnya tidaklah terlalu feminin seperti sekarang.
“Jika dahulu, saya bergaya ringkas sahaja dan mengenakan lipstik dan bedak untuk keluar tetapi apabila memasuki bidang kecantikan, saya menjadi lebih feminin dengan menitikberatkan segala aspek kecantikan yang sememangnya sinonim dengan wanita.
“Malah, saya juga mengamalkan petua seperti menggunakan madu sebagai masker dan memperbanyakkan minum air masak bagi menjaga kecantikan,” jelasnya yang mempunyai 21 orang kakitangan.
Ujar Ili Zawani, dia merupakan seorang yang ringkas dan elegan selain agak perahsia.
Malah, dia lebih gemar melancong atau berehat di suatu tempat yang sunyi bagi membolehkan dia melepaskan tekanan akibat kerja.
Bersolat
“Selalunya saya akan berehat di rumah atau mencari lokasi percutian yang tidak serabut untuk menenangkan fikiran.
“Jika stres, saya akan menulis apa yang menyebabkan saya stres di atas sekeping kertas dan kemudian membuangnya. Ini kerana kita perlu menyingkirkan stres tersebut daripada fikiran sebagai salah satu cara melepaskan tekanan selain mengunjungi spa,” katanya yang masih solo.
Mengulas lanjut bidang perniagaan yang diceburi, Ili Zawani memberitahu, kosmetik halal bukanlah sesuatu yang menjadi kepentingan umum pada mulanya.
“Kesedaran umum mengenai kepentingan produk halal semakin meluas, bukan setakat minuman dan makanan, tetapi mereka kini turut mementingkan penggunaan kosmetik yang halal.
“Kosmetik ini diiktiraf sebagai halal kerana kandungan bahan yang digunakan seperti ekstrak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan minyak sayuran adalah yang dibenarkan di dalam Islam malah ia juga dimiliki dan diproses oleh orang Islam sendiri di Turki.
“Selain itu, ia juga memudahkan wanita untuk melakukan solat tanpa was-was sekiranya menggunakan produk ini,” beritahu anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini.

UJAR Ili Zawani, jenama FCC menepati tiga elemen yang dicari wanita iaitu memenuhi keperluan, berkualiti dan harga berpatutan.


Kata wanita yang berasal dari Selangor ini, dia tidak pernah terlintas akan menglibatkan diri di dalam dunia perniagaan memandangkan dia merupakan lulusan perakaunan, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Kolej Universiti Sunway.
“Saya sangat meminati mata pelajaran Matematik dan untuk itu, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya melanjutkan pelajaran untuk bergelar akauntan.
“Tetapi sayang, saya tidak dapat meneruskan cita-cita itu kerana keluarga memerlukan seseorang untuk mengusahakan perniagaan.
“Tanpa latar belakang dalam bidang perniagaan, saya memikul tanggungjawab itu pada usia yang begitu muda,” ujarnya.
Bagi memastikan potensi komestik halal berkembang di Malaysia, Ili Zawani terlebih dulu melakukan kajian pasaran dan ternyata industri kosmetik tetap berkembang tidak kira bagaimana keadaan ekonomi sekali pun.
“Walaupun ekonomi merudum, wanita masih memerlukan barangan kosmetik bagi penjagaan diri sepanjang masa tetapi mereka kini lebih gemar memilih kosmetik yang dijual pada harga berpatutan.
“Untuk itu, saya memperkenalkan kosmetik halal, Farmasi Colour Cosmetics (FCC) dari Istanbul, Turki pada harga yang berpatutan dan alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Produk ini memenuhi tiga elemen yang wanita secara amnya cari dalam sesuatu produk iaitu memenuhi keperluan, berkualiti dan harga yang berpatutan.
“Teksturnya yang ringan pula membolehkan pengguna berasa selesa dan yakin,” jelas pemenang Anugerah Gadis Ikon 2011/2012 ini.
Timba pengalaman
Sebanyak 185 jenis produk FCC boleh didapati di 17 kaunter pasar raya seperti Parkson dan Aeon Big selain di enam cawangan online utama seperti Zalora dan FashionValet.
Menurut Ili Zawani, peluang menyertai Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) membolehkannya menimba pengalaman dan bertukar-tukar idea berkaitan perniagaan selain mewujudkan jaringan antara usahawan wanita.
“Sebagai perancangan, saya berhasrat menjadikan FCC sebagai satu produk halal yang sudah tidak asing lagi di Malaysia dari segi kualiti, harga dan imej.
“Selain itu, saya juga ingin membawa produk ini ke Indonesia, Brunei dan Singapura secara lebih meluas,” jelasnya mengakhiri bicara.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2pi3DWMnm 
Hakcipta terpelihara 


Dapatkan Produk Terlajak Laris D'Herbs Di Annur Rupawan Melaka!

Friday, November 8, 2013

Edisi Wanita: Pil perancang bawa faedah



SEBELUM ini, pelbagai kisah negatif didengari Rohani Ilyas tentang pengambilan pil perancang. Ada yang mengatakan, pil perancang menyebabkan kanser payudara, pertambahan berat badan dan jerawat.
Bagaimanapun, wanita berusia 28 tahun itu bertindak bijak apabila berjumpa dan meminta nasihat daripada doktor sakit puan berhubung perkara tersebut.
Sehingga kini, ibu kepada sepasang anak kembar itu telah menggunakan pil perancang selama setahun tanpa menghadapi risiko kesihatan.
“Selepas mendapat khidmat nasihat daripada doktor dan penjelasan tentang pil perancang oral gabungan (COC), saya memutuskan untuk menggunakannya.
“Doktor memberitahu saya bahawa pil perancang ini tidak mendatangkan kesan negatif,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Rohani mengambil pil perancang bagi merancang kelahiran anak, sekali gus dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada sepasang anak kembarnya.
“Saya mahu mereka membesar dulu selain pandai menguruskan diri sendiri. Pengambilan pil perancang merupakan usaha saya untuk memastikan perkara tersebut dapat dicapai.
“Selain itu, ia dapat menjamin kesejahteraan rumah tangga saya dan anak-anak tidak terabai,” katanya lagi.
Situasi yang dihadapi Rohani dialami kebanyakan wanita di negara ini yang bimbang pengambilan pil COC mendatangkan bahaya kepada kesihatan.
Bagaimanapun, pil perancang telah disahkan tidak memberikan kesan sampingan, sebaliknya ia mengandungi kandungan semula jadi yang mampu memberi kebaikan kepada tubuh manusia.
Menurut Perunding Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. K.K. Iswaran, pil COC telah dihasilkan bersesuaian dengan kitaran hormon tubuh badan manusia.
“Pil ini mengandungi dua hormon wanita sintetik iaitu hormon progestron dan estrogen yang berperanan untuk mencegah kehamilan.

PENGGUNAAN pil perancang membolehkan wanita merancang jarak kelahiran anak mereka. - Gambar hiasan


“Selain itu, pil COC ini mempunyai faedah kesihatan yang banyak berbanding kesan sampingan yang minimum.
“Pil COC ini dapat membantu meredakan senggugut, mengurangkan gangguan emosi, kanser ovari, endometrium dan merawat masalah jerawat,” katanya pada satu sidang akhbar mengenai pengambilan pil perancang di Hotel Hilton, Petaling Jaya baru-baru ini.
Jelasnya, di negara maju, pil COC digunakan untuk memperbaiki atau mencegah gangguan berkaitan haid seperti kitaran haid tidak menentu, endrometriosis dan sindrom prahaid (PMS).
Dalam pada itu, Ahli Majlis Perancang Keluarga Asia Pasifik, Prof. Dr. Jamiyah Hassan berkata, kajian mengenai pil COC sebagai punca kanser payudara sudah lama diperdebatkan, namun ia tidak mempunyai keputusan yang mantap.
“Isu tentang kesan sampingan pil COC menyebabkan kanser payudara sudah lama dibincangkan oleh pihak-pihak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, tiada keputusan yang mengatakan pil COC menjadi penyebab penyakit ini dan tidak ada pula yang menafikannya,” katanya.
Menurut satu kajian yang jalankan oleh Women's Contraceptive and Reproductive Experience antara 1994 dan 1998, pil COC tidak menyebabkan peningkatan risiko kanser payudara.
Seseorang berisiko mengalami kanser payudara sekiranya dia pembawa genetik BRCA1 dan BRCA2.
“Selain itu, mereka yang mempunyai saudara-mara yang menghidap penyakit kanser ovari juga berisiko tinggi menghidapi kanser payudara,” katanya.

SEMPENA Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.


Jamiyah berkata, individu yang mempunyai masalah tersebut berkemungkinan menjadi penyumbang ralat dalam kajian pengambilan pil COC.
“Ini kerana, katanya, mereka tidak mengetahui genetik yang dibawa atau sejarah penyakit kanser payudara dalam kalangan keluarga masing-masing.
“Seseorang penghidap kanser payudara mungkin memberitahu doktor yang dia mendapat penyakit itu selepas mengambil pil COC tanpa mengetahui ahli keluarga terdekatnya mempunyai sejarah kanser payudara,” jelasnya.
Sempena Hari Kontraseptif Sedunia, anak syarikat Chemo Group yang merupakan bahagian penjagaan kesihatan sepadu, Exeltis Pharma baru-baru ini mengumumkan hasil kajian berkenaan sikap preskripsi pil hormon wanita dalam pasaran.
Keputusan kajian menunjukkan penggunaan pil COC di Malaysia masih lagi rendah iaitu kurang daripada empat peratus dalam kalangan wanita lingkungan umur 15 hingga 49 tahun.
Pakar penjagaan kesihatan mendapati bahawa pil COC drospirenone mewakili standard tertinggi terapi hormon wanita kerana keberkesanannya dan selamat digunakan.
Bagaimanapun, kos pil COC drospirenone dikatakan menjadi faktor utama yang mengehadkan pilihan wanita Malaysia untuk menggunakannnya.
Dalam pada itu, walaupun Malaysia antara negara paling rendah menggunakan pil COC, kajian menunjukkan yang jumlah wanita yang memerlukan rawatan hormon meningkat kepada 12 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.
MENURUT Dr. Jamiyah Hassan, sehingga kini tiada kajian kukuh yang mengatakan pil perancang boleh menyebabkan kanser payudara.


Menurut Pengarah Urusan Farmasi Exeltis Malaysia dan Singapura, Andy Siow, peningkatan tersebut disebabkan oleh kehidupan seks yang aktif dan kesedaran tentang pencegahan kehamilan dalam kalangan wanita Malaysia.
Berdasarkan peningkatan tersebut, seorang daripada tiga wanita diberikan pil COC untuk merawat keadaan kesihatan termasuk pencegahan kehamilan, masalah haid, jerawat dan endometriosis.
Tambahnya, selain menjalankan kajian, sempena Hari Kontraseptif Sedunia, Exeltis Pharma turut memperkenalkan risalah pendidikan kepada pesakit.
“Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang faedah kesihatan tambahan pil COC dan menggalakkan wanita Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan diri mereka.
“Exeltis Pharma sendiri menawarkan tiga pil COC yang mengandungi drospirenone untuk memenuhi keperluan wanita yang berbeza-beza. Pada masa tertentu, kami juga memberikannya pada kos yang berpatutan dan mampu dimiliki.
“Bagaimanapun, golongan wanita disarankan mendapatkan saranan daripada doktor terlebih dulu kerana setiap individu memerlukan jenis pil yang berbeza,” katanya yang memberitahu, risalah tersebut diedarkan di klinik, hospital, farmasi dan institusi pengajian tinggi.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz2k4IcrhMu
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, November 6, 2013

Edisi Wanita: Kelebihan bersalin dalam air





SEKITAR Ogos 2012, Zarith Sofia Raja Zulkifli, 28, telah disahkan mengandung. Sebaik dimaklumkan berita gembira itu, dia dan suaminya, Ben Ibrahim, 35, terus membuat keputusan untuk melahirkan bayi sulung mereka menerusi kaedah bersalin dalam air.
Wanita yang menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran di Universiti Charles Sturt, Sydney, Australia itu mahu berbuat demikian memandangkan salah seorang rakan universitinya pernah menjalani kaedah itu.
"Dia (kawan) mengaku ia lebih tenang dan kurang sakit ketika melahirkan bayi. Jadi, pada masa itu, saya dan suami teruja melihat keberkesanan proses tersebut dan bercadang memilih kaedah itu jika bersalin nanti," jelasnya.
Zarith Sofia memberitahu, mereka telah menyuarakan hasrat itu kepada kedua-dua orang tua mereka.
"Seperti kebanyakan ibu bapa, khususnya apabila mengetahui kaedah kelahiran itu merupakan bukan cara konvensional, mereka tidak bersetuju kerana khuatir akan berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap saya dan cucu mereka.
"Namun demikian, bagi meyakinkan mereka bahawa ia satu kaedah yang selamat, kami telah membawa mereka ke Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) untuk berjumpa dengan doktor yang melakukan kaedah tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Zarith Sofia, kedua-dua keluarga membenarkannya menjalani prosedur tersebut apabila berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan doktor berkenaan.
Kurang tekanan
Ghairah bercerita mengenai pengalaman yang sukar dilupakan itu, katanya, dia sebenarnya dijadualkan bersalin pada 8 April tetapi bayinya lahir pada 21 Mac lalu ekoran air ketuban yang pecah lebih awal.
"Suami membawa saya ke HPKL sekitar pukul 11 malam, namun pada pukul 6 pagi kesakitan makin terasa.
"Sebaik doktor melihat bukaan servik menjadi enam sentimeter (cm), baru saya dimasukkan ke dalam kolam air," jelasnya.

SEBUAH tab khas dengan air bersuhu 37 darjah Celsius dan katil disediakan dalam bilik bersalin bagi kemudahan wanita yang memutuskan untuk melahirkan anaknya di dalam air.


Berbicara lanjut, anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, dia duduk di dalam tab khas yang mengandungi air suam bersuhu 37 darjah Celcius sehingga pukul 11 pagi sambil mendengar lagu.
"Saya tidak meneran cuma mengambil nafas sedalam-dalamnya kerana tidak mahu berada dalam keadaan tegang.
"Berada di dalam air ternyata lebih tenang dan kesakitan yang dialami juga berkurangan," katanya yang selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.8 kilogram sekitar pukul 11.43 pagi.
Menurutnya, dia dibiarkan berada dalam tab tersebut sambil memeluk bayinya yang bernama Kyla Natasha selama 10 minit sebelum dinaikkan ke atas katil yang bersebelahan tab itu untuk menunggu uri anaknya keluar.
Pengalaman berbeza
Bagi ibu kepada empat orang anak, Ar'nie Rozah Krogh, 45, dia menjalani kaedah kelahiran tersebut untuk anak keempatnya, Ariena Ayla Krogh pada pada 13 Julai tahun lalu.
Dia memilih kaedah itu berikutan mengalami pelbagai komplikasi sejak melahirkan anak pertama.
"Tiga anak saya dilahirkan secara normal namun kelahiran mereka berdepan banyak dugaan. Saya terpaksa menahan kesakitan berjam-jam sehingga terpaksa mengambil suntikan ubat penahan sakit, epidural.
Serik dengan keadaan itu, beliau mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah bersalin dalam air dan mencari maklumat mengenai kaedah itu di internet.
"Saya berjumpa Pakar Obstetrik dan Ginekologi HPKL, Dr. Choong Kuo Hsiang pada minggu ke-32 kehamilan," jelasnya.
Menceritakan semula pengalaman baharu itu, Ar'nie memberitahu, sebelum bersalin dalam air, dia ditahan di wad selama tiga hari kerana bukaan rahimnya masih belum membolehkannya untuk bersalin.
"Ketika itu, doktor menasihatkan supaya saya menjalani proses bersalin seperti biasa, namun saya tidak melihat ia tidak menjadi penghalang untuk meneruskan niat bersalin dalam air," jelasnya.
Menurut wanita ini, doktor telah memasukkan ubat bagi mempercepatkan bukaan servis dan setelah bukaan mencapai tujuh sentimeter, dia diminta masuk ke dalam tab air yang disediakan.
Berkat kecekalan dan kesabaran, sebaik memasuki ke dalam kolam air berkenaan, kesakitan bersalin semakin berkurangan.
Menurut wanita kelahiran Singapura itu, apabila dia melihat sendiri badannya terapung di dalam air, dia berasa selesa.
"Ia seolah-olah seperti ubat penahan sakit semulajadi apatah saya bebas mencari posisi badan mengikut keselesaan.

HAMPIR 100 orang bayi disambut menggunakan kaedah bersalin dalam air di HPKL sejak tahun 2009. - Gambar hiasan.



"Malah, apabila berlaku kontraksi yang kuat, saya dengan sendirinya menolak bayi keluar. Saya berasa lebih fokus untuk bersalin berbanding berada di atas katil," jelas sambil menegaskan ia merupakan satu pengalaman yang berbeza berbanding kaedah bersalin normal.
Tambah Ar'nie sambil tersenyum, jika dia tahu ada kaedah ini dahulu, kesemua anaknya pasti akan dilahirkan dalam air.
Sementara itu, Kuo Hsiang berkata, hampir 100 orang bayi telah disambut melalui kaedah bersalin dalam air sejak diperkenalkan di HPKL pada 14 Jun 2009.
Menurutnya, idea bersalin dalam air dicetuskan oleh seorang penyelidik dari Rusia, Igor Charkovsky pada tahun 1960-an.
Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sejak tahun 1980 lagi namun, ia kurang meluas di Malaysia.
Sehingga kini, beratus-ratus bayi telah dilahirkan dalam air sejak kaedah berkenaan diperkenalkan di dua buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Island, Pulau Pinang dan HPKL.
Kuo Hsiang mengakui, pada permulaan, pihaknya tidak menerima sambutan yang menggalakkan memandangkan ia dianggap bertentangan dengan adat dan budaya sesetengah kaum di negara ini.
Bagaimanapun, senario itu semakin berubah sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas kelahiran anak sulung Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Sophea Isabella oleh isterinya, Datin Dr. Harlina Mohd. Yunos, pada 21 Julai 2011.
Bergerak bebas
Menyentuh mengenai prosedur itu lebih lanjut, beliau memberitahu, kaedah itu hanya boleh dijalani oleh ibu yang tidak mempunyai masalah kesihatan sepanjang kehamilan.
Ini untuk memastikan keselamatan kedua-dua ibu dan bayi berkenaan.
Menurut beliau, pesakit akan dimasukkan ke dalam kolam yang suhunya pada suhu badan (37 darjah Celcius) apabila bukaan serviks 5 cm.
Dr. Choong menjelaskan, apungan badan ketika berada di dalam air mengurangkan beban berat badan dan membolehkan wanita bergerak bebas dalam tab dan mencari posisi yang selesa.
"Golongan ibu mengandung boleh memilih kedudukan yang sesuai untuk bersalin misalnya mencangkung atau melutut bagi memudahkan bayi keluar," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan proses bersalin dalam air di HPKL baru-baru ini.
Tambah beliau, pihaknya turut membenarkan golongan ibu melakukan aktiviti bagi mengurangkan kesakitan sementara menanti saat kelahiran.

KUO HSIANG (berdiri kanan) memaklumkan apungan badan dalam air membolehkan wanita mencari posisi badan yang selesa untuk bersalin.


"Mereka bebas untuk bergerak di sekitar bilik bersalin malah, golongan suami juga dibenarkan menemani isteri dalam bilik tersebut sehingga tiba waktu untuk bersalin.
"Ruang ini turut dilengkapi dengan alunan muzik dan gambar pemandangan indah bagi mewujudkan suasana tenang dan selesa," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, jika pesakit itu tidak selesa dengan prosedur itu, pihaknya akan membatalkan kaedah tersebut dan bersalin di atas katil yang turut disediakan di bilik berkenaan.
"Namun, setakat ini, semua ibu yang menjalani kaedah itu selamat melahirkan anak dengan sempurna," katanya.
Kuo Hsiang memberitahu kos bersalin menggunakan kaedah tersebut adalah sekitar RM6,000.
Ketika ditanya mengenai tahap kebersihan kolam air itu, beliau berkata, pihaknya menggunakan air steril untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
"Malah, kolam tersebut tidak akan dibanjiri dengan darah kerana darah ibu hanya akan keluar selepas uri dikeluarkan doktor apabila berada di luar tab berkenaan," tuturnya.
Bagi mengulas risiko bayi lemas menggunakan kaedah itu, beliau menjelaskan, peratus kes bayi lemas di negara-negara yang menggunakan kaedah itu seperti AS, Itali, Australia, New Zealand dan UK adalah terlalu kecil iaitu di bawah satu peratus.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2jrCr6kIa
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, November 5, 2013

Edisi Wanita! Kolagen dalam bar coklat


COKLAT dan minuman kolagen CocoBelle sesuai untuk individu berumur 25 tahun ke atas.


TREND pengambilan kolagen sebagai pemulih keanjalan dan keremajaan kulit telah lama mendominasi keinginan kaum Hawa yang dahagakan kejelitaan berpanjangan. Harapan untuk mendapatkan kulit bebas kedutan dipendam tinggi golongan wanita yang memilih kolagen sebagai alternatif prosedur kecantikan.
Daripada suntikan kepada minuman yang diisipadukan bersama kolagen, pasaran terhadap produk sebegini kian rancak, biarpun ramai yang kurang memahami keperluan dan kepentingan kolagen kepada manusia.
Secara saintifik, kolagen merupakan protein dalam badan dan mewakili 25 peratus daripada keseluruhan protein. Peningkatan usia mendorong kepada penurunan kadar kolagen. Proses berterusan itu memberi kesan kepada kadar kedutan kulit.
Kebimbangan wanita melewati fasa wajah berkedut kemudiannya melahirkan pelbagai teknologi kecantikan berasaskan kolagen. Menerusi rangkaian alternatif tersebut, amaun kolagen yang hilang seiring pertambahan umur digantikan dengan kolagen baharu. Ia sekali gus memperlahankan proses penuaan seseorang.
Pengambilan protein
Hari ini, kandungan kolagen dapat diperoleh menerusi satu bar coklat. Pengenalan produk coklat kolagen CocoBelle keluaran Dzar Holdings Sdn. Bhd. itu telah membuka lembaran baharu dalam rawatan kecantikan yang sebelum ini hanya dapat dicapai melalui penggunaan kosmetik atau serbuk minuman.
Menggunakan coklat gelap asli yang berkualiti, kandungan lima gram (g) kolagen dalam coklat kolagen CocoBelle cukup untuk memulakan hari anda dengan penuh bertenaga.
Pengerusi Eksekutif dan pengasas Dzar Holdings, Datuk Zawati Abd. Rahman menjelaskan, penghasilan bar coklat kolagen bertujuan memudahkan pengambilan protein itu dalam kalangan individu yang sibuk bekerja.
“Kalau perlu pergi ke tempat yang jauh contohnya, bar coklat ini sangat praktikal untuk dibawa dan boleh dimakan pada bila-bila masa,” ujar Zawati ketika ditemui pada majlis pelancaran syarikat dan produk-produknya di Bora Ombak, Ampang, Selangor.

SITI NURHALIZA hadir merasmikan majlis pelancaran produk coklat kolagen CocoBelle di Ampang, Selangor baru-baru ini.


Sebagai pelengkap kepada bar coklat tersebut, minuman kolagen berperisa oren CocoBelle turut ditawarkan kepada orang ramai. Penggunaan tiga bahan terbaik termasuk kolagen marin dari Jepun menjadikan dua produk berasaskan kolagen CocoBelle itu lebih berkualiti berbanding produk sedia ada dalam pasaran.
Pensijilan halal yang diperoleh secara sah produk-produk CocoBelle juga menambah keyakinan pelanggan untuk mencuba barangan keluaran Dzar Holdings tersebut.
“Kami mengutamakan kualiti dan kuantiti yang kami tawarkan juga lebih banyak berbanding produk lain. Setiap uncang minuman kolagen CocoBelle ialah seberat 26g yang cukup untuk penyediaan segelas air,” jelas Zawati.
Selain dihasilkan sebagai alternatif kecantikan, coklat dan minuman kolagen CocoBelle untuk individu berumur 25 tahun ke atas itu juga mempunyai faedah kesihatan kepada tubuh.
Menurut Zawati, pengambilan coklat pada waktu pagi dan minuman kolagen CocoBelle menjelang malam dapat membantu menguatkan tulang dan sendi. Katanya: “Saya kurang bersetuju kalau orang cakap kolagen hanya untuk tujuan kecantikan sedangkan ia banyak manfaat kesihatan.
“Siapa yang ingin sakit bila tua, jadi dengan adanya produk sebegini, ia dapat membantu kita melewati proses penuaan dengan lancar.”
Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang hadir merasmikan acara tersebut berpendapat, produk kecantikan berasaskan makanan kesihatan memang memberi kebaikan kepada individu.
Bagaimanapun, ulas Siti, setiap orang perlu memastikan produk yang diambil mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan mengenal pasti isi padu bahan utama yang digunakan.
Katering popular Melaka! Mesti Klik!

"Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenal kemudian bertunang
Di atas pelamin sama bersatu….”
- Deezaa Catering -
















"Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat….”
- Deezaa Catering -

" Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di daun pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu 
Sama cantik sama padan….”
- Deezaa Catering -

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_03.htm#ixzz2jkimIvaR 
Hakcipta terpelihara 


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...