Showing posts with label ukiran kayu tradisional. Show all posts
Showing posts with label ukiran kayu tradisional. Show all posts

Wednesday, March 28, 2012

Nilai eksklusif kayu balau dimakan kumbang





BURUK, usang, kelihatan reput dan berlubang-lubang. Itu antara perkataan yang terlintas di fikiran ketika pertama kali melihat struktur binaan pintu gerbang dan beberapa perabot seperti almari, meja solek dan meja kopi di kilang Kayuma Industry di Kampung Peragap, Kerdau, Temerloh, Pahang Darul Makmur baru-baru ini.
Pasti anda juga berkongsi pendapat yang sama tatkala memandang pada perabot yang ciri fizikalnya berlubang-lubang seolah-olah sudah parah dimamah anai-anai.
Dalam hati tertanya-tanya, siapakah sanggup melaburkan wang membeli perabot sedemikian yang pada pandangan mata insan khilaf seni sebagai objek yang tidak bernilai dengan harga jauh lebih tinggi daripada perabot biasa?
Namun, apabila menatap perabot tersebut dengan kemasan terakhir berkali-kali, terbuka hijab pandangan melihat keunikan pesona perabot yang diperbuat daripada kayu balau berlubang.
Seolah-olah mengerti pelbagai persoalan yang bermain di fikiran penulis, 'orang kuat' yang menerajui Kayuma Industry, Mohamad Awik, 44, tampil memberikan penjelasan.
"Perabot dan binaan struktur yang diperbuat daripada kayu balau berlubang ini kelihatan seperti bahan yang tidak berguna, namun bagi mereka yang menghargai seni dan menjadi pengumpul perabot-perabot kayu, ia dianggap antik serta unik.
"Ia seringkali dijadikan bahan koleksi disebabkan rupanya lain daripada yang lain kerana diperbuat daripada kayu balau berlubang," katanya yang memulakan pembuatan perabot balau berlubang sejak dua tahun lalu. Tahun ini Kayuma memberi tumpuan kepada pembikinan pintu gerbang.
Dimakan kumbang ambrosia
Tambahnya, lubang-lubang pada kayu tersebut bukanlah dibuat secara sengaja, tetapi motif-motif itu terjadi kerana ia dimakan oleh koloni kumbang ambrosia yang menjadikan pokok balau sebagai habitatnya.
Kumbang ambrosia merupakan sejenis kumbang perosak kayu dalam famili Platypolidae dan beberapa genus dalam famili Scolitidae dan Lymaxylidae.
Ia memakan isi pokok daripada dalam (empulur) hingga merebak ke seluruh bahagian batang pokok membentuk lubang-lubang yang unik.
Kayu balau dimakan ambrosia semasa keadaan pokoknya masih hidup, namun apabila pokoknya sudah mati tiada serangga pun yang mampu untuk memamahnya kerana sudah terlalu keras.

PERABOT kayu balau berlubang melambangkan kehebatan dan kehalusan kraf tangan Melayu yang boleh dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.


Biasanya ambrosia mula mengorek pokok balau yang berusia 10 hingga 15 tahun, tetapi tidak semua pokok balau dimamahnya.
"Jika anai-anai dikatakan perosak, kumbang ambrosia ini lebih 'gagah' daripada anai-anai. Anai-anai tidak makan pokok balau kerana ia mengandungi tanin iaitu sejenis bahan kimia yang digunakan untuk membunuh anai-anai.
"Kayu seperti ini sangat jarang dijumpai. Ia memerlukan masa 60 hingga 70 tahun barulah menghasilkan lubang-lubang sebegini," ujarnya sambil menunjukkan ribuan lubang pada pintu gerbang laman cenderawasih yang sudah mempunyai pembelinya.
Perabot dan binaan struktur pintu gerbang yang diperbuat daripada kayu balau berlubang itu punya nilai seni yang begitu tinggi.
Ilham yang diterjemahkan Mohamad dilihat berat kepada konsep Melayu lama.
Ternyata cubaannya menghidupkan semula benda yang 'mati' menjadi sesuatu yang bernilai tinggi tidak ubah seperti kata pepatah mengubah arang menjadi intan.
"Kerana keunikannya, ia mendapat permintaan yang tinggi daripada pengumpul-pengumpul perabot kayu.
"Saya menghadapi tekanan berikutan kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Tiada jaminan saya akan mendapat bekalan setiap bulan. Adakalanya perlu menunggusehingga setahun," katanya yang mendapat bekalan dari Negeri Sembilan, Kuantan, Pahang dan Kelantan.
Gred balau berlubang
Istimewanya, setiap binaan struktur mahupun perabot mempunyai nilai eksklusif tersendiri kerana tiada pelanggan yang akan memiliki produk yang sama berikutan perbezaan lubang-lubang semula jadi buatan si tukang ukir ambrosia selama bertahun-tahun.
Sudah menjadi rutin anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor Darul Ehsan itu menjelaskan kekangan bahan mentah kepada para pelanggan yang begitu teruja untuk memiliki perabot balau berlubang.
Kayu-kayu balau berlubang dikumpulkan selama setahun bagi membolehkan Mohamad dan anak-anak buahnya membuat binaan.

KAYU balau berlubang juga boleh dijadikan perabot meja solek.


"Kadang-kadang dapat dua batang kayu balau sahaja setelah menunggu lebih setahun. Tidak semua kayu balau yang dibekalkan berkualiti untuk dijadikan perabot kerana kita membeli secara pukal. Dalam 60 tan kayu balau yang dibekalkan, 40 peratus daripadanya gred A, 20 peratus gred B dan 20 peratus gred C, selebihnya tidak boleh guna langsung," ujarnya yang mempunyai 14 hingga 15 orang pekerja tetap.
Walaupun fizikal binaan struktur dan perabot balau berlubang kelihatan seperti kayu buruk, namun ia tidak mereput dan tidak merekah. Jika cara penjagaannya betul, ia mampu bertahan selama 30 hingga 40 tahun.
Binaan struktur dan perabot yang terhasil sangat unik. Tidak hairanlah jika ada yang sanggup melabur untuk memilikinya.
Sebagai contoh harga untuk set meja kopi berharga RM3,000, bingkai cermin RM300, almari kecil RM350, lampu dinding RM250, pintu gerbang RM18,000 dan laman cenderawasih (pintu gerbang dengan laluan masuk yang dilengkapi aksesori lampu) pula mencecah RM56,000.
Lebih memberi tumpuan membuat perabot hiasan lama, Mohamad memberitahu promosi Kayuma Industry lebih kepada mulut ke mulut selain menyertai pameran perabot terutamanya yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.
Pengaruh ayah
Mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Kemahiran dan minat Mohamad dalam bidang perkayuan itu banyak dipengaruhi bapanya iaitu Awik Muri, 65.
Walaupun sudah berusia, Awik selaku penasihat Kayuma Industry sesekali turun padang memantau kerja-kerja yang dilakukan di kilang.
"Dek berkongsi minat yang sama dengan anak, kami bekerjasama dalam perniagaan ini.

SEORANG kakitangan Kayuma membuat potongan kayu balau berlubang.


"Kini, banyak produk dihasilkan daripada kayu berbanding zaman saya dahulu. Orang dulu lebih bertumpu pada pembuatan rumah kampung, tetapi kini pasarannya lebih besar," katanya yang belajar ilmu pertukangan daripada bapanya, Muri Johari ketika usia 15 tahun lagi.
Dalam pada itu, Pengurus Operasi Kayuma Industry, Mohd. Affandi Yaacob, 31, memberitahu, dia sudah empat tahun berkhidmat dengan Mohamad.
Mempunyai kemahiran pertukangan dan ukiran yang dipelajari di Kota Bharu, Kelantan dan Besut, Terengganu, ternyata Mohd. Affandi memahami selok-belok pembuatan sesuatu produk yang dihasilkan daripada khazanah alam itu.
"Tidak dinafikan pembuatan perabot dan binaan struktur ini merupakan satu kerja yang berat dan rumit.
"Lebih-lebih lagi jika membuat perabot dan binaan struktur daripada kayu balau berlubang yang memerlukan kami lebih berhati-hati daripada melakukan sebarang kesilapan," katanya.
Ujar Mohd. Affandi, membina laman cenderawasih contohnya merupakan satu kerja berat yang memerlukan kekuatan tenaga kerja enam orang.
"Selain menghasilkan perabot daripada kayu balau berlubang, kami juga menerima tempahan membuat gazebo, calet, rumah kayu dan mimbar," katanya.

Wednesday, November 30, 2011

Pauziah si tukang kayu - Ketuk, cat, gergaji kayu masa pantang




PENULIS dan jurufoto, Azalezah Malek terkesima seketika. Di sebalik hutan belukar di Kampung Baru, Salong, Pekan, Pahang terdapat sebuah rumah papan usang yang dipenuhi kayu-kayan. Di situ, sepasang suami-isteri sedang bertungkus-lumus mengetuk dan menggergaji kayu.
Dari kejauhan, Ahmad Najib Mohd. Don, 60 dan Pauziyah Abdullah, 53, berbual kosong dengan penuh tertib. Kedua-duanya seolah-olah sedang memperkatakan tentang kehadiran kami di 'wilayah' mereka.
"Terima kasih kerana sudi datang ke bengkel kami. Perusahaan perabot dan barang perhiasan daripada kayu pain kami usahakan secara kecil-kecilan saja," kata Pauziyah segera meninggalkan pengetuk dan paku tatkala salam dihulurkan.
Ahmad Najib pula menghentikan mesin yang bunyinya ditelan dek siulan mergastua dan gemersik pepohon di hutan belukar itu.
Lambakan kayu pain boleh dilihat merata-rata. Suasana cukup sunyi sehingga jam yang sedang berdetik jelas pada pendengaran. Tiada radio untuk menemani kerancakan mereka bekerja. Hanya secangkir kopi dan biskut keras di sisi Pauziyah ketika itu.
Kata suami isteri ini, perusahaan membuat perabot menggunakan material kayu pain bermula sejak tahun 1990.
Sejak itu, tanggungjawab, posisi dan karakter Pauziyah mengalami transisi yang sangat drastik. Daripada seorang suri rumah, wanita cekal itu bergelar seorang tukang kayu.
Bagaimanakah pintu hatinya boleh terbuka melakukan tugas seperti buruh kasar? Tidakkah dia malu mengerjakan pekerjaan yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki? Di manakah dia mengumpul segenap tenaga untuk melaksanakan kerja-kerja berat itu?
Mendengarnya, Pauziyah seperti sudah siap siaga dengan jawapan. Dengan peluh merecik di wajah, anak kelahiran Pahang ini berkata: "Sudah menjadi tanggungjawab isteri membantu suami, masa dalam berpantang pun saya masih bekerja, mengetuk, mengecat dan menggergaji."
Frasa yang lahir dari lohong hatinya itu membuatkan penulis dapat merasai keikhlasan dan pengorbanan tulusnya untuk keluarganya.
Pendidikan

GAGAH. Pauziyah menggunakan seluruh kudratnya mengalihkan papan sebelum melakukan kerja-kerja pemotongan kayu.


Garis halus di tapak tangan wanita ini juga sudah tidak kelihatan dan kelembutannya juga sudah hilang. Namun, dia tidak kisah.
Bagi Pauziyah, seberat mana pun kerja yang dilakukan, janji ia membuahkan rezeki yang halal demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Ini rezeki kurniaan Allah yang maha hebat kepada kami. Duit inilah digunakan untuk membesar dan memberi pendidikan yang terbaik kepada empat anak saya," kata Pauziyah yang sarat dengan sifat keibuan.
Beritahu wanita ini, sepanjang 21 tahun mengusahakan produk industri kecil dan sederhana (IKS), dia dan suaminya tidak pernah bercuti. Mereka akan mula bekerja seusai solat Subuh dan akan meninggalkan bengkel sebelum langit bertukar gelap.
Kalau diikutkan hati kata Pauziyah, mereka mahu lanjutkan kerja hingga lewat malam.
"Tapi selepas kami dikejutkan dengan ngauman harimau di sebalik hutan belukar itu beberapa tahun lalu, kami batalkan niat itu," ceritanya.
Sepanjang wawancara berlangsung, mereka menjawab pertanyaan kami tanpa meninggalkan gergaji dan pengetuk di tangan.
Pauziyah mengetuk paku pada sebuah bekas pasu tanpa ragu-ragu. Jari jemarinya yang lincah menukang menampakkan sisi profesionalnya sebagai tukang kayu. Wajahnya yang putih kuning menjadi sedikit merah padam tatkala menahan mata daripada dimasuki habuk.
Dia juga sedikit tidak menghiraukan bahang kepanasan yang membuatkan peluh membasahi seluruh tubuh badannya. Ketika sepasang suami isteri ini memerah kudrat, anak ketiga mereka, Nasyitah, 26, tampil lalu membutirkan kata-kata.
"Parut dan lebam memang dah jadi 'makanan' mak, mak pernah tertusuk kayu sebesar duit 50 sen masa memotong kayu dulu. Paku juga pernah singgah di pahanya, tapi baginya macam tak de apa-apa saja," adu anak gadis muda itu. Pauziyah hanya mengangguk-angguk sambil mengerutkan dahi.

DI RUMAH usang yang ditransisikan menjadi bengkel merupakan lokasi Pauziyah bersama suaminya, Mohd. Najib menghasilkan perabot berasaskan kayu pain.


Si suami yang berkulit sawo matang dan berjambang putih pula lantas menyambung dengan nada seloroh : "Isteri saya adalah geng tukang saya, kalau dia cabut, habislah saya, susah mahu cari pekerja, gaji boleh bagi tapi ramai yang tak mahu."
Menyentuh soal pekerja, Ahmad Najib memberitahu, dia tidak mempunyai pekerja selain isteri dan dua anaknya, Nasyitah, 26 dan Fadzillah, 28.
Persekitaran yang berdebu memungkinkan jangkitan penyakit. Namun akui Pauziyah mahupun Ahmad Najib, mereka jarang jatuh sakit.
Penulis dan jurufoto mencuri sedikit masa terluang untuk menggali tentang perusahaan kayu pain yang diusahakan oleh Ahmad Najib dan Pauziyah ini.
Revolusi kayu pain
Ahmad Najib yang sebelum ini menjalankan bisnes rotan berkata, semua itu berlaku sejurus selepas cukai untuk rotan naik mendadak.
Justeru, dia dan isterinya terfikir mengapa tidak merevolusikan kayu pain menjadi barangan yang berguna seperti perabot dan barangan perhiasan.
"Biasanya kayu pain orang anggap tak berguna dan akan buang begitu saja. Namun, kami melihat potensi kayu ini dan ramai tak tahu bahawa ia bagus.
"Kayu ini sebenarnya berkualiti berbanding dengan kayu lain, urat kayunya juga lebih menarik," katanya yang mendapat bekalan dari sebuah syarikat di Peramu, Pekan dan mempunyai pengalaman menukang selama 35 tahun.
Syarikat mereka yang diberi nama Perniagaan Kayu Muhibbah akan memesan kayu pain yang sudah siap dipotong dua minggu atau tiga bulan sekali.
Meskipun tidak berpelajaran tinggi, kreativiti dua insan ini begitu terserlah. Mereka berdua bertanggungjawab mereka pelbagai kelengkapan seperti rehal, pasu, peti, almari, penyidai baju, penyangkut kunci, meja dan banyak lagi.

PAUZIYAH berharap bisnesnya mampu membuka mata banyak pihak tentang keistimewaan kayu pain dalam penghasilan perabot yang berkualiti.


"Alhamdulillah, idea untuk menghasilkan barangan baharu sentiasa ada tapi seperti yang awak lihat, kita kekurangan peralatan yang canggih dan tenaga kerja," katanya.
Pendapatan mereka bergantung kepada permintaan pelanggan. Namun, ada ketikanya jika produk dibawa ke pameran-pameran tertentu, mereka boleh memperoleh sekitar RM4,000.
Kedua-dua mereka punya harapan besar untuk menakluk pasaran terutamanya di Lembah Klang jika ruang yang sepatutnya diberikan.
Sambil matanya singgah pada satu objek, Pauziyah berkata: "Kami bersedia untuk berkongsi kemahiran kepada mereka yang berminat dan selagi Allah mengurniakan kekuatan, saya akan meneruskan kerja sebagai tukang kayu walau ia nampak ganjil pada mata masyarakat."

Monday, August 15, 2011

Abang Zul Tukang Kayu!











Zul sekarang tinggal di Pulai Melaka mengusahakan kerja2 tukang/ ukiran di rumah beliau sahaja. Bengkel kerja beliau hanya di sebelah rumah beliau sahaja. Sebahagian hasil2 kerja2 beliau boleh dlihat dibawah. Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan beliau, boleh hubungi Zul ya. Info di sini!

Tuesday, April 26, 2011

Two Men Enterprise (Ukiran Kayu Tradisonal)





Wafak Nibong ini masih dalam proses pembinaan. Akan dikemaskinikan dari masa ke semasa!

Pengenalan

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Sejarah Ukiran Kayu Melayu Tradisional

Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Teknik dan Gaya

Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Dua teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran Melayu ialah 1) tebuk terus 2) tebuk timbul.

Tebuk Tembus


Tebuk Timbul

Susunan atau pola ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu 1) pola bujang 2)pola lengkap 3) pola pemidang.

* Pola Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan, bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.

* Pola Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.

Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.

* Pola Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.

Alat dan Motif

Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;

  • Motif flora, sulur dan daun, tampuk manggis, bunga teratai, daun keladi dan bunga sukun.
  • Motif fauna, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang)
  • Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau
  • Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.
  • Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan seperti rehal.
Penggunaan

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.



Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan boleh hubungi kami seperti di bawah:-


Syarikat : Two Men Enterprise (MA 0087335M)
Alamat : 6343, Jalan Pulai Indah 2, Taman Pulai Indah, 77300, Merlimau, Melaka.
No Tel: 06-261 6098 (pejabat)
Mobile Phone : 013- 630 1457/ 017- 605 0003 (Zul)
Person In-Charge: En Tumin @ Amin Bin Amat


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...