Showing posts with label daily motivation. Show all posts
Showing posts with label daily motivation. Show all posts

Saturday, November 26, 2011

Zakaria, Hazran selesa bekerja sendiri


PENGALAMAN dan kemahiran menjadi asas prinsip Zakaria menjalani kehidupan.


BUKAN sahaja Muhammad Zakaria Md. Nor, 25, tidak memiliki segulung ijazah, bahkan dia juga tidak mempunyai sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tahap pendidikan lelaki bertubuh kurus dan sawo matang itu terhenti setakat di tingkatan dua.


Biarpun dibedil kata-kata yang kurang enak gara-gara tidak mempunyai kelulusan akademik seperti orang lain, Zakaria hanya memekakkan telinga. Dia mengajar dirinya supaya kebal pada kata-kata yang boleh menjatuhkan semangatnya dalam mengejar impian hidup.
Percaya dengan kata hati dan ketentuan Allah, anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu nekad ke Kuala Lumpur pada usia 14 tahun untuk mencari pekerjaan. Takdir menemukan dirinya dengan seorang sahabat yang membawanya bekerja di sebuah kilang motosikal berkuasa tinggi BMW.
Dalam usia yang masih mentah, anak kelapan daripada sembilan beradik itu mengerah kudrat remajanya mempelajari selok-belok tugas sebagai mekanik kenderaan mewah itu.
"Tiga tahun saya bekerja di kilang tersebut dan banyak input saya dapat sepanjang tempoh itu. Berbekalkan kemahiran yang ada, saya kemudiannya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal berkuasa tinggi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
"Di bengkel itu, saya mengasah kemahiran mekanikal ke atas motosikal berkuasa tinggi buatan Jepun pula. Saya juga belajar sendiri cara mereka menguruskan perniagaan tersebut," singkap Zakaria.
Setelah hampir tujuh tahun menabur bakti di bengkel tersebut, Zakaria nekad melepaskan jawatannya hanya kerana dia gagal menyiapkan sebuah motosikal seorang pelanggan.
"Waktu itu majikan saya bertugas di luar kawasan, tetapi barangan dan peralatan untuk motosikal yang perlu diperbaiki itu tidak ada, jadi saya perlu tunggu dia pulang ke Kuala Lumpur.


ARAN telah memiliki konsultan sendiri dan pada masa yang sama menyambung pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana.



"Namun, apa yang mengejutkan, saya pula yang dimarahi dan diherdik seperti orang baru kerja. Selama ini saya tahan dan telan sahaja segala pahit maung bekerja dengan orang semata-mata semangat untuk belajar.
"Bagaimanapun, kejadian itu membuatkan saya sedar dan saya mengambil keputusan berhenti kerja," cerita Zakaria yang mendedahkan gajinya sebagai mekanik untuk tiga tahun pertama hanya RM600.
Jual kereta
Namun, Zakaria tidak menafikan tindakannya itu sedikit sebanyak membelenggu dirinya, kerana dia tidak tahu apa perlu dilakukan. Apatah lagi untuk bekerja di pejabat sudah tentu mustahil dengan kelulusannya yang tidak seberapa.
Ketika teraba-raba mencari arah tujuan, dia terlihat sebuah lot kedai untuk disewa di Bandar Tasik Selatan, Cheras, Kuala Lumpur. Tanpa berfikir panjang, Zakaria menghubungi pemilik premis tersebut untuk menyatakan hasratnya membuka bengkel motosikal berkuasa tinggi di situ.
Begitupun, memulakan bisnes tidak semudah yang disangka. Menyingkap detik awal merealisasikan hasratnya itu, Zakaria terpaksa menjual kereta, perabot dan segala barangan yang boleh menjadi modal buat perniagaan sulungnya itu.
"Telefon bimbit pun saya jual bagi menampung pembelian mesin untuk bengkel dan untuk berurusan dengan pelanggan. Untuk tujuan perhubungan, saya terpaksa menggunakan telefon awam.
Biar apapun yang terjadi, ternyata tekad Zakaria sudah bulat untuk mengusahakan sendiri sebuah bengkel motosikal berkuasa tinggi. Nama Aboy Motorshop akhirnya dipilih menjadi pengenalan kepada perniagaannya itu.
"Sebelum dapat merasai kesenangan atas kejayaan pada hari ini, banyak yang telah ditempuh. Saya pernah berlapar sepanjang hari dan mengalas perut dengan sebungkus roti yang saya simpan sampai waktu malam," imbas Zakaria.
Berkat pengalaman
Meskipun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang perniagaan, Zakaria tetap mahu membuktikan bahawa pengalaman dan kemahiran mampu memacu seseorang itu berjaya dalam bidang yang diminati.
Kini, setelah hampir setahun Aboy Motorshop dibuka, perkembangan positif dapat dilihat berdasarkan jumlah pelanggan yang kian meningkat dan kepuasan mereka terhadap servis yang ditawarkan Zakaria.
Para pelanggan Zakaria juga bukan calang-calang orang. Ramai pelanggannya terdiri daripada orang kenamaan dari serata negeri dan majoritinya merupakan pelanggan tetap.
Memilih prinsip meredah cabaran tanpa terlalu banyak berfikir, Zakaria kini mempunyai dua pekerja tetap dan dua lagi pekerja separuh masa yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.


ZAKARIA nekad menjual kereta, perabot dan telefon bimbit bagi merealisasikan hasrat membuka bengkel sendiri.



Dibuka setiap hari, bengkel Zakaria yang masih belum menjalani pengubahsuaian sejak dibuka mampu memuatkan 28 buah motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama.
Tubuh konsultan
Jika Zakaria melunaskan tuntutan hijrahnya dengan cara begitu, berbeza pula dengan perjalanan yang ditempuhi seorang lagi lelaki muda yang kini merasakan sebahagian sasaran kehidupannya telah berjaya dicapai.
Pemenang tempat ketiga program Imam Muda musim pertama, Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 27, menyifatkan rancangan itu telah membuka jalan dan ruang yang luas bagi menggapai cita-citanya.
Bermula dengan tawaran selaku hos rancangan Khabar Haji yang bersiaran di Astro Oasis tahun lalu, Hazran atau mesra disapa Aran kini mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat konsultan yang dikongsi bersama dua sahabat baiknya.
Menggunakan nama Aran Management Consultancy (AMC), syarikat yang baru sahaja berusia sembilan bulan itu menyediakan perkhidmatan kaunseling dan motivasi buat pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Berbekalkan secebis pengalaman dan ilmu selama menuntut di Mesir untuk tempoh empat tahun, Aran selesa menyalurkan kemahirannya dengan menjadi pakar motivasi muda sama ada secara berkumpulan ataupun individu.
"Bagi saya menuntut ilmu tidak akan pernah habis dan bagi mereka yang mempunyai ilmu berguna, kongsilah ilmu tersebut dengan orang ramai agar kita sama-sama menerima faedah daripadanya," jelasnya yang kini sedang menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bergelar pelajar sepenuh masa, menguruskan perniagaan dan memenuhi undangan motivasi serentak membuatkan kehidupan Aran sentiasa diisi dengan aktiviti berfaedah dan semuanya dijalankan lelaki itu dengan penuh tanggungjawab.
Berhenti kerja


PELUANG sebagai hos Khabar Haji membolehkan Aran (kiri) menunaikan haji pada usia yang masih muda.



Sebelum memasuki program Imam Muda, Aran baru sahaja memulakan kerjayanya di Bank Islam. Sejurus selesai program tersebut, dia dipanggil kembali berkhidmat tetapi demi mengejar cita-citanya, Aran menolak tawaran tersebut.
"Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan berada pada kedudukan seperti ini sekarang dan jika tidak kerana Imam Muda, saya mungkin masih bekerja di tempat lama.
"Jika saya masih berkhidmat di bank, mungkin kehidupan saya tidak seimbang kerana pergaulan sedikit terbatas. Berbeza dengan apa yang saya alami hari ini kerana saya bebas membuat keputusan dan dalam masa yang sama melakukan apa yang saya cintai," ujar jejaka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.
Berhasrat menubuhkan sebuah pusat tahfiz sebelum menjangkau usia 40 tahun, Aran menyatakan bahawa semakin berjaya seseorang itu semakin banyak cabaran yang perlu didepani terutamanya yang melibatkan hal-hal material.
Mengupas konsep hijrah anak muda, Aran lebih suka pendekatan dakwah terhadap golongan muda dilakukan menerusi laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter kerana ia selari dengan gaya hidup semasa golongan itu.
"Untuk membimbing seseorang itu berhijrah ke arah kebaikan bukan mudah, jadi pendakwah dan ahli agama perlu bijak memilih pendekatan.
"Kita tidak boleh menggunakan cara ekstrem dan menghukum seseorang itu berdasarkan persepsi yang diciptakan oleh kita sendiri.
"Itulah masalahnya apabila terdapat sesetengah golongan cerdik pandai agama bersifat riak dan memilih cara dakwah yang dirasakan berkesan untuk semua orang," jujur pandangan yang dikongsi Aran yang bakal mendirikan rumah tangga Januari depan.

Friday, November 18, 2011

Blog pilihan: Dulu di Internet sekarang di butik



NUR AZLEAN menunjukkan butik yang dibukanya selepas bisnesnya mendapat permintaan tinggi di laman web.


PEMILIHAN fesyen kanak-kanak banyak memainkan peranan penting dalam memastikan si cilik kelihatan lebih comel dan bergaya.
Bahkan, gaya si cilik akan terserlah apabila dipadankan dengan pakaian yang mempunyai rekaan terkini, warna ceria dan corak menepati cita rasa mereka.
Jika mengunjungi laman web www.qalesha.com, ibu bapa pasti akan tertarik dengan variasi pelbagai pakaian kanak-kanak yang ditawarkan laman berkenaan.
Pengendali laman web berkenaan yang juga Pengarah Qalesha Boutique, Nur Azlean Ramlan, 25, berkata, dia membangunkan laman berkenaan pada penghujung tahun 2008 untuk memberi pilihan kepada ibu bapa yang ingin membeli pakaian kanak-kanak.
“Sebelum membangunkan laman web berkenaan, saya juga kerap membeli pakaian anak-anak melalui blog ataupun Internet kerana lebih banyak pilihan pada harga berpatutan. Ia akhirnya memberikan saya idea untuk membuka laman web sendiri.
“Kebanyakan pakaian kanak-kanak yang terdapat dalam laman web saya dibeli dari luar negara seperti Vietnam, China, India dan Bangladesh,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Qalesha Boutique, Bangi, Selangor.
Nur Azlean menambah, dia akan membeli sendiri pakaian kanak-kanak berkenaan di negara tersebut untuk memastikan kualiti dan corak terkini menepati pasaran tempatan.


NUR AZLEAN dan suaminya, Jaiz Anuar Johari akan terbang sendiri ke Vietnam atau India untuk mendapatkan koleksi pakaian baru di butik Qalesha agar sentiasa memenuhi cita rasa ibu bapa.



Katanya, pemilihan corak dan rekaan penting untuk memastikan kelainan pakaian kanak-kanak berbanding yang terdapat di pasaran.
Antara jenama pakaian kanak-kanak yang boleh diperoleh termasuk Baby Gap, Baby Moon, Osh Kosh B’Gosh, Old Navy, Preety Keebo, Polo, Laura Ashley dan banyak lagi.
“Pakaian kanak-kanak yang dijual juga terdiri daripada material seperti kapas, nilon, polister dan spandex untuk memastikan keselesaan si cilik.
“Dalam pada itu, saya juga menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan-pelanggan iaitu semurah RM8 sehingga RM70,” katanya.
Disebabkan terdapat pelanggan yang ingin melihat pakaian terlebih dahulu, Nur Azlean kemudian memberanikan diri membuka sebuah kedai Qalesha Boutique di Seksyen 9, Bangi Selangor pada awal tahun ini.
“Dengan adanya kedai ini, ibu bapa yang menetap sekitar Kajang, Putrajaya dan Bangi berkesempatan untuk melihat terlebih dahulu pakaian sebelum membelinya.
“Bagaimanapun, laman web itu masih beroperasi seperti biasa kerana terdapat langganan sekitar Malaysia,” katanya.
Nur Azlean turut memasang impian untuk mencari kedai yang lebih besar bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
Dia juga berharap dapat menjadikan jenama Qalesha Boutique yang juga bersempena nama anaknya sebagai francais satu hari nanti.

Sunday, November 13, 2011

Piza Pah dapat pujian



SHARIFAH ROFIAH ingin memasarkan Pizza Pah di pasar raya utama di seluruh negara.


WANITA yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan ini cukup berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan. Beg komputer riba yang dibawanya ke mana-mana pasti berisi fail-fail perniagaan di samping diari yang mengandungi jadual aktiviti harian.
Rumahnya pula sekadar menjadi lokasi rehat pada waktu tengah malam dan hujung minggu setelah penat bekerja seharian.
Malah, putaran masa selama 24 jam bagaikan tidak mencukupi bagi Pengarah Urusan Pizza Pah Foods Sdn. Bhd., Sharifah Rofiah Syed Hassan, 45.
Kek
Rofiah ternyata begitu obses dengan perniagaan.
“Sebenarnya, hampir semua ahli keluarga saya hidup dengan berniaga. Bapa saya, contohnya, terlibat dengan perniagaan membekalkan barangan makanan seperti beras dan sayur-sayuran di Kelantan. Kebanyakan stok makanan itu dibawa dari Pattani, Thailand,” katanya.
Sementelah hubungan Rofiah dengan Sungai Golok yang menjadi sempadan pemisah di antara Malaysia dan Thailand memiliki nilai sentimental kepada Rofiah.
Ini kerana sungai itu merupakan tempat beliau membasuh pakaian suatu ketika dahulu. Beliau juga sering menaiki sampan untuk membeli barangan keperluan di pekan Golok.
“Wilayah Pattani pula ibarat rumah kedua keluarga saya. Tetapi nasib baik arwah bapa tidak menjadikan urusan di negara itu sebagai alasan untuk mencari isteri kedua,” katanya dalam nada bergurau.
Bidang perniagaan sudah sebati dalam diri Rofiah sejak berumur lima tahun lagi.
“Saya menjual buah rambutan dan manggis di sekolah pada harga 20 dan 30 sen sebungkus. Saya sendiri yang panjat pokok buah-buahan itu sebelum menjualnya,” ujar Rofiah.
Menurutnya lagi, wang hasil jualan buah-buahan itu di samping jualan keropok menyebabkan beliau tidak berharap pada wang saku pemberian bapanya semata-mata.
Malah wang simpanan hasil jualan itu membolehkan Rofiah menyambung pelajaran di peringkat sijil di sebuah kolej di New Zealand tanpa perlu membuat pinjaman.
Lucunya semasa di sekolah rendah, beg sekolah beliau lebih banyak berisi barang-barang jualan berbanding‘bermewah sedikit’ sudah mencukupi,” katanya.
“Tetapi semua kerja rumah yang diberikan guru saya akan siapkan,” katanya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.


PIZZA PAH pada mulanya hanya dijual secara kecil-kecilan dari rumah.



Perniagaan Pizza Pah bermula secara kecil-kecilan di rumah sewa beliau sebelum ini di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
“Sebelum berniaga piza, saya menjual produk makanan sejuk beku seperti karipap dan popia selain membuat kek.
“Perniagaan kek tersebut mendapat sambutan yang baik tetapi anak-anak saya gemar makan kek itu setiap hari,” katanya.
Ujarnya lagi, kerana risau ahli keluarganya mendapat penyakit kencing manis memandangkan kek mempunyai kandungan gula yang tinggi, Rofiah beralih menjual piza pula pada tahun 2000.
Sedap
“Saya menghasilkan Pizza Pah bermodalkan wang permulaan sebanyak RM100,” kata Rofiah yang tertarik dengan sebuah iklan piza di televisyen semasa berusia 18 tahun.
Ditanya mengapa beliau memilih jenama Pizza Pah, Rofiah berkata Pah merupakan singkatan daripada namanya iaitu Sharifah selain rakan-rakan sering memanggilnya Pah atau Kak Pah.
“Tentu anda fikir nama Pizza Pah seperti bersifat kekampungan tetapi tahun lepas terdapat sebuah syarikat di China yang ingin menggunakan nama ini untuk produk piza syarikat mereka tetapi gagal kerana nama Pizza Pah telah saya daftarkan lebih awal,” cerita beliau.
Kini Rofiah memiliki sebuah kilang memproses piza di Kajang, Selangor selain dua buah kafe yang terletak di Pusat Hentian Kajang dan Kompleks PKNS, Bangi.
Malah, cogan kata ‘piza panas rangup sejuk lembut’ pada setiap produk piza keluaran syarikatnya membuatkan produk itu semakin dikenali.
Inisiatif Rofiah yang mempromosikan produknya di setiap ekspo makanan dan pasar malam selain melantik stokis jualan di beberapa negeri telah mempopularkan lagi jenama Pizza Pah.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji kelazatan pizanya pada satu ekspo makanan halal di Pahang baru-baru ini.
“Saya bangga kerana orang nombor satu negara memuji produk piza saya. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berjaya,” katanya.
Hasrat Rofiah pada masa akan datang ialah beliau ingin memasarkan produk pizanya di pasar raya utama di seluruh negara.
“Cukuplah jika perkara itu berjaya direalisasikan. Saya tidak ingin terlalu tamak.
“Ada rezeki milik kita dan juga milik orang lain. Asalkan ada pendapatan lebih bagi ‘bermewah sedikit’ sudah mencukupi,” katanya.

Thursday, October 27, 2011

21 tip ringkas usahawan


1. Perlu jelas matlamat.
2. Ada buat perancangan.
3. Berusaha dengan cekal.
4. Baca buku selalu.
5. Belajar tanpa henti.
6. Bertindak dengan cepat.
7. Tidak mudah mengalah.
8. Berani hadapi risiko.
9. Fokus pada kekuatan.
10. Sayangi diri sendiri.
11. Sentiasa perbaiki diri.
12. Gagal itu lumrah.
13. Utamakan yang utama.
14. Perlu jaga kesihatan.
15. Ambil sarapan pagi.
16. Tidur perlu cukup.
17. Bangun awal pagi.
18. Sentiasa bersangka baik.
19. Elakkan membazir masa.
20. Buat dengan betul.
21. Tunaikan solat fardhu.

@motivasiusahawan.com

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...