![]() |
DILENGKAPI persalinan songket dan tanjak di kepala bak pahlawan Melayu zaman silam, Amir Rizwan Roslan, 27, tangkas menuang adunan apam balik di atas 40 acuan tembaga di depannya.
Selepas meratakan adunan tersebut dalam acuan masing-masing, tanpa berlengah dia terus memasukkan isi berupa kacang tanah yang telah dikisar, serbuk nestum dan sedikit madu.
Kemudian, apam balik yang telah masak dilipat dan disusun rapi oleh adiknya, Noorkhairulnisyam, 26, di atas bekas khas untuk dinikmati oleh tetamu pada program Aura Sukses Wanita yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aroma harum apam balik itu mampu menggamit selera sesiapa sahaja yang menghidunya. Apatah lagi jika sudah merasai keenakannya, ada yang sanggup beratur untuk mengambil apam balik buat kali kedua.
Itulah penangan Apam Balik Seri Menanti yang semakin popular dalam kalangan penggemarnya. Menurut Amir Rizwan, saban minggu pihaknya sentiasa menerima tawaran untuk menjalankan katering apam balik sama ada untuk majlis perkahwinan, keraian mahupun majlis rasmi jabatan-jabatan kerajaan.
Jujur berniaga
“Alhamdulillah, rezeki kami tidak pernah putus. Malah, maklum balas yang diterima daripada pelanggan juga sentiasa positif. Mungkin inilah keberkatan yang diperoleh apabila kita menjalankan perniagaan dengan jujur dan ikhlas,” ujar bapa kepada dua cahaya mata itu.

ORANG ramai berpeluang makan sambil beramal dengan membeli Apam Balik Seri Menanti.
Menceritakan lebih lanjut, Amir Rizwan berkata, perniagaan apam balik itu sebenarnya diwarisi daripada bapanya, Roslan Zainuddin.
“Ayah mula berniaga apam balik rangup ini pada tahun 1997 di pasar malam sekitar Seremban. Kemudian, setiap bulan puasa, kami dapat kontrak meniaga bufet Ramadan di Hotel Royale Bintang Seremban selama lapan tahun.
“Dahulu, kami menggelarkan ia sebagai Apam Balik Royale Bintang sempena mengambil nama tempat tersebut. Tetapi, pada tahun 2008, kami mula dipanggil masuk ke Istana Seri Menanti untuk menyajikan apam balik kepada tetamu diraja sewaktu pemasyhuran Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.
“Sejak itu, Tuanku bertitah agar menukar namanya kepada Apam Balik Seri Menanti dan ia kekal hingga kini,” jelas Amir Rizwan kepada Kosmo!.
Walaupun permintaan terhadap apam balik ini sangat tinggi, namun Amir Rizwan mengakui tidak ada perancangan untuk memfrancaiskan perniagaan tersebut. Ia bertujuan untuk mengekalkan identiti Apam Balik Seri Menanti dan kualiti makanan yang ditawarkan.
Mengimbau kesukaran yang dihadapi masa lalu, anak muda kelahiran Jempol, Negeri Sembilan ini mengakui pernah digelar sebagai orang Minang (Indonesia) kerana menjual apam balik.
“Malah, kami juga pernah dihalau ketika berniaga di pasar malam Ampangan, Seremban gara-gara disangka peniaga Indonesia. Selepas menunjukkan kad pengenalan diri, barulah mereka mempercayai bahawa kami orang tempatan,” ujar Amir Rizwan sambil tersenyum.
Untuk tempahan katering, bayaran dikenakan RM1 bagi setiap jumlah tetamu yang hadir, namun menariknya mereka boleh makan apam balik tanpa sebarang had selagi ia masih ada.
![]()
SALAH seorang kakitangan tangkas menuang adunan apam balik di atas 40 acuan tembaga.
|
Makan sambil beramal
Selain katering, Amir Rizwan turut berniaga apam balik di Uptown Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur setiap malam. Lima keping apam balik dijual pada harga RM2. Terbaharu, anak muda ini tampil dengan satu inisiatif murni dalam usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.
Melalui program Apam Balik Percuma, Makan Sambil Beramal yang diadakan sejak April lalu, ternyata ia semakin mendapat perhatian masyarakat.
Konsepnya adalah pada setiap hari Jumaat malam Sabtu, pihaknya akan memberikan apam balik secara percuma kepada para pengunjung yang datang. Kemudian, jika mahu mereka boleh menghulurkan sedikit sumbangan ke dalam tabung yang disediakan.
Ujar Amir Rizwan, pada mulanya, ia dibuat untuk membantu bayaran perubatan seorang pesakit buah pinggang yang dikenali. Pada masa yang sama membuat kutipan derma untuk sebuah pusat tahfiz.
“Kami sama sekali tidak memaksa pelanggan untuk memberi sumbangan. Ia terpulang kepada keikhlasan masing-masing. Jika mahu beri seringgit pun kami terima. Jika mahu makan percuma pun dipersilakan.
“Wang yang dikumpul pada malam tersebut, semuanya akan diserahkan untuk dana pembangunan Sekolah Tahfiz Srii Ulum yang beroperasi di Rasah, Seremban,” terangnya.
Separuh bayaran bagi perkhidmatan katering yang diperoleh juga akan disumbangkan kepada tahfiz tersebut.
“Ini adalah cara saya untuk mengumpul saham akhirat. Saya percaya setiap rezeki yang dikurniakan, ada hak untuk hamba Allah yang lain. Mungkin ada yang mengatakan, di mana keuntungan yang saya dapat jika asyik menyumbang kepada badan tertentu.
“Bagi saya, rezeki yang dikongsi akan lebih terasa keberkatannya. Kita harus meyakini bahawa Allah mengurniakan nikmat rezeki dalam pelbagai cara.
“Ketenangan jiwa yang dimiliki itulah nikmat terbesar yang perlu disyukuri,” ungkap Amir Rizwan yang membawa makna begitu mendalam jika diselami dengan hati yang tulus.
![]()
AROMA apam balik rangup ini sesuai dihidangkan pada majlis-majlis perkahwinan dan keraian.
|
Sementara itu, Noorkhairulnisyam berkata, meskipun mempunyai pekerjaan tetap sebagai penari kebudayaan di Menara Kuala Lumpur, dia tetap akan meluangkan masa untuk membantu abangnya.
“Ini merupakan perniagaan keluarga dan saya sebagai adik bertanggungjawab untuk menolong abang menguruskan perniagaan ini.
“Kadang-kadang, kami turut menawarkan perkhidmatan persembahan kebudayaan seperti tarian jika pelanggan inginkannya,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
Setakat ini, mereka mempunyai enam pekerja. Biasanya, setiap pekerja boleh menyiapkan 40 keping apam balik dalam tempoh seminit.
Menurut Noorkhairulnisyam, cabaran dalam berniaga memang banyak tetapi jangan jadikan ia sebagai penghalang untuk kita terus berjaya.
“Kepada remaja atau golongan belia di luar sana, jangan takut untuk menceburi dunia perniagaan sama ada menjual makanan atau barangan. Yakinlah bahawa 9/10 rezeki datangnya daripada perniagaan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah,” tuturnya mengakhiri bicara.
@kosmo.com.my