Showing posts with label fesyen wanita. Show all posts
Showing posts with label fesyen wanita. Show all posts

Friday, April 11, 2014

Jangan Hina Isteri Saya – Fizo Omar

Selepas satu rampasan yang dilakukan oleh Fareeda baru-baru ini, jenama tudung ini semakin hangat diperkatakan. Ada yang bersetuju dan tak kurang ramai yang membantah tindakan tersebut sehingga mencetuskan kontroversi. Bagi Abang Nara ia satu langkah yang harus dilakukan kerana hakcipta Fareeda telah dilanggar oleh pihak lain. Peliknya, isteri Fizo Omar, Mawar turut sama terkena tempias kritikan dan cemuhan daripada mereka yang tidak bersetuju dengan rampasan tersebut.
fizo omar dan isteri
Antara komen-komen yang diterima oleh Fizo di akaun sosialnya ialah “Mawar tidak menutup aurat sepenuhnya“, “Fizo tanggung dosa bini” dan macam-macam lagi. Tampil membela isterinya, Fizo berkata kepada Mstar Online:-
Aurat itu subjektif, selagi dia menutup kepala, tidak berpakaian seksi dan menjolok mata ia sudah cukup baik bagi saya, dalam Islam sebenar tangan pun tidak boleh terdedah. Isteri saya menjual tudung… bukan menjual skirt pendek, kenapa perlu hina dia sampai begitu sedangkan kerana perniagaan tudungnya itu, ramai wanita yang sudah berhijrah untuk bertudung.
fareeda fizo omar
Betul juga kata Fizo Omar itu mengenai ramai wanita yang sudah bertudung kerana Fareeda. Abang Nara tengok tudung Fareeda ini sudah menjadi satu fenomena di kalangan wanita Malaysia. Semua orang berebut-rebut nak membelinya. Fizo juga turut melahirkan rasa kekecewaan dengan komen-komen yang diterima di akaun Instagramya:-
Saya tidak boleh tahan marah bila gambar yang saya muat naik bersama Mawar dikomen dengan pelbagai ayat berunsur negatif. Sehingga ada mengatakan saya menanggung dosa kerana Mawar bertudung begitu, saya tidak faham kenapa ramai yang tidak berpuas hati .
Kalau mereka kata tudung itu terlalu singkat mereka boleh beli jenis yang lain, di Fareeda kita jual pelbagai jenis tudung mengikut saiz yang bersesuaian dengan mereka.Cuma permintaan tinggi terhadap tudung yang dipakai oleh isteri saya, jadi sebab itu ia lebih komersil berbanding tudung-tudung yang labuh
rizo omar
Ini semua adalah asam garam dalam perniagaan. Biasalah cemburu sebegini. Anggaplah ini sebagai satu cabaran. Jangan melatah kuat sangat. Kena bersikap profesional. Abang Nara percaya populariti Fareeda tidak akan tenggelam kerana kontroversi murahan ini. Teruskan perniagaan anda dan semoga mencapai sasaran yang dikehendaki tahun ini.
@beautifulnara.com

Tuesday, January 28, 2014

Amber Chia: Jalan kaki 11 kilometer ke pertunjukan fesyen



DI sebalik rentetan kejayaan peragawati terkenal, Amber Chia, tersimpan episod kesusahan, kedaifan dan kekecewaan yang amat menyentuh hati untuk dikongsi bersama.
Pelajaran setakat tingkatan tiga mengheret ikon berusia 32 tahun itu menjadi dewasa pada zaman remaja.
Setiap hari Amber membantu bapanya menjual ikan di sebuah pasar di Tawau, Sabah. Pada sebelah malam pula, dia menjadi juruwang di pasar raya tempatan.
Membesar sebagai anak ketiga daripada enam adik-beradik, zaman kanak-kanak Amber tidak semewah kini. Dulu, pakaian baharu hanya diperoleh setahun sekali, itupun apabila Tahun Baru Cina menjelang.
“Sebab itu Tahun Baru Cina terlalu istimewa untuk saya dan adik-beradik. Kami tahu, ibu akan membawa kami ke pasar raya untuk membeli baju baharu,” kongsi wanita ini sambil memutar memori termanisnya itu tatkala bergelar kanak-kanak kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ketika kecil juga Amber menanam hasrat untuk bergelar seorang peragawati. Sejak menonton rancangan fesyen di televisyen dan membelek majalah yang menghimpunkan model-model anggun, beliau sudah tahu arah tuju masa depannya.
Berbekalkan cita-cita itu bersama wang tunai RM300, Amber terbang ke Kuala Lumpur pada umur 17 tahun. Tanpa seorang pun kenalan di bandar raya itu, beliau memberanikan diri mencongak tuahnya dalam bidang peragaan.
Teksi
Iklan uji bakat dalam surat khabar menjadi teman akrab wanita ini. Malah, dia tidak ralat menyewa sebuah bilik bersama beberapa orang gadis tidak dikenali di Kuchai Lama dengan kadar sewa RM50 sebulan.
Duit simpanan yang kian surut hampir mencemaskan Amber. Namun, ketabahannya berbayar apabila dia diterima sebuah agensi model bebas.
Pada awalnya, dia diminta untuk membayar yuran bagi mengikuti kursus latihan tetapi memandangkan masalah kewangan yang dihadapi sangat kritikal, Amber dibenarkan untuk membayar kos tersebut menerusi potongan wang daripada setiap pertunjukan fesyen.
AMBER mengembangkan lagi kerjayanya menerusi kerjasama bersama pereka fesyen Melinda Looi dengan mengeluarkan koleksi pakaian di bawah nama MLxAC.


Fasa awal memang menguji kesabaran Amber. Dia perlu belajar berjalan dengan kasut tinggi yang sebelum itu langsung tidak pernah membaluti kakinya. Malah sepatah perkataan bahasa Inggeris pun tidak diketahui wanita tersebut, sekali gus menyulitkan komunikasi.
Enggan patah semangat, Amber berjanji kepada diri sendiri untuk meningkatkan prestasi agar tapak yang dibina akan terus utuh.
“Pernah sekali, saya menaiki teksi untuk menjayakan satu pertunjukan fesyen. Bila saya tengok meter tambang mencecah RM2.30, saya minta pemandu teksi itu berhenti kerana banyak itu sahaja wang yang saya ada.
“Saya meminta arah ke lokasi pertunjukan daripada pemandu tersebut dan berjalan kaki kira-kira 11 kilometer. Saya tiba di tempat pertunjukan dua jam awal dan terpaksa menumpang orang selepas kerja selesai,” imbas ibu kepada seorang anak lelaki itu.
Apa sahaja kepayahan hidup yang tidak pernah dilalui Amber pada permulaan kerjayanya? Setiap keperitan termasuk berlapar seharian juga direntasi tanpa rungutan. Bak katanya, ketika muda, semua cabaran dapat diatasi kerana semangat mengatasi segala-galanya.
Selepas setahun mencuba nasib sebagai model peragaan, Amber disunting sebuah agensi model ternama tanah air, Andrewsmodels.
Dua tahun berpayung di bawah agensi tersebut, kerjaya Amber mula berkembang apabila khidmatnya ditagih hampir setiap pertunjukan fesyen.
Wajah Amber memenuhi majoriti majalah fesyen. Meskipun tempoh dua tahun pertama kerjayanya tidak direstui penuh ibu bapanya, namun kesungguhan dan keikhlasan membantu keluarga keluar daripada takuk kemiskinan membenarkan dia meneruskan cita-citanya.
Kerja keras Amber dalam tempoh melebihi satu dekad juga melayakkannya digelar supermodel negara. Sampai satu tahap, orang mula muak atau mengelaskan beliau sebagai wajah terlebih promosi dalam industri fesyen tanah air.
Tenang dengan kenyataan tersebut, Amber menyifatkan bahawa dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Dia sedar, tidak semua komen yang diterima adalah positif tetapi setiap kritikan diterima untuk memperbaiki diri.
RAMBUT pendek menjadi imej baharu Amber selepas 25 tahun selesa berambut panjang.


“Kalau saya tak promosikan diri, tidak mungkin orang kenal Amber Chia hari ini. Komen negatif orang ramai terutama di laman sosial memang kadang-kadang buat kita geram tetapi saya tidak ambil serius,” bersahaja Amber meluncur kata.
Potong rambut
Transformasi Amber tidak hanya terlihat pada peningkatan kariernya. Malah baru-baru ini, model terkemuka itu mengambil langkah berani memotong pendek rambutnya yang telah disimpan selama 25 tahun.
Dedah Amber, kali terakhir dia berambut pendek adalah ketika berumur lima tahun dan selepas itu dia selesa berambut panjang.
Katanya: “Paling pendek pun saya potong setakat paras bahu.”
Keputusan Amber itu dibuat selepas dipelawa jenama penjagaan rambut antarabangsa, Vidal Sassoon (VS) bagi menjayakan kempen #GetSassooned.
Menerusi gerakan tersebut, rambut Amber diberi gaya potongan five point yang moden.
Bagi Amber, memotong rambut pendek adalah suatu ketakutan kepadanya. Dia bimbang gaya tersebut tidak bersesuaian dengan bentuk wajah, tambahan pula rambutnya jenis leper.
“Dulu kena sikat, ikat dan gunakan banyak produk rambut seperti gel dan penyembur. Paling kurang pun ambil masa satu jam setengah untuk siapkan solekan dan dandanan rambut.
“Bila berambut pendek, ia banyak menjimatkan masa solekan dan mendandan rambut. Kini saya hanya memerlukan 45 minit. Saya juga tampak lebih muda, segar dan bergaya. Siapa tahu, mungkin saya tidak akan menyimpan rambut panjang lagi,” berderai tawa Amber menyerlahkan keramahan bersahaja dalam dirinya.
Keluarga
Sementara itu, menyentuh rutin perayaan Tahun Baru Cina, Amber memberitahu, dia akan pulang ke rumah keluarga suami, Adrian Wong pada hari pertama sambutan seperti yang telah ditetapkan dalam tradisi kaum Cina.
Hanya pada hari ketiga, dia sekeluarga akan pulang ke Tawau untuk makan malam beramai-ramai. Detik itu sahaja Amber dapat berkumpul bersama semua adik-beradik dan anak-anak buahnya tanpa ada seorang pun tercicir.
AMBER akan pulang ke Sabah pada hari ketiga Tahun Baru Cina untuk berkumpul bersama-sama ahli keluarganya.


Tambahnya, setiap kali perayaan, dia akan berdoa agar keluarganya diberikan kesihatan. Kesenangan lain baginya akan datang kemudian.
Meskipun sibuk mengurus kerjaya, Amber sentiasa memastikan akan pulang ke kampung halaman sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun.
Bagaimanapun, ibu bapanya juga kerap turun ke Kuala Lumpur untuk melawatnya sekeluarga.
“Bapa saya masih bekerja walaupun perniagaan menjual ikan telah diambil alih abang saya,” kongsi Amber.
Mendambakan seorang anak perempuan, ibu kepada Ashton Wong, 3, itu menikmati setiap momen bergelar ibu.
Setiap apa yang dimiliki kini dihargai penuh syukur. Tiada sasaran tinggi untuk dicapai, sebaliknya mahu meneruskan langkah di atas pentas peragaan selagi terdaya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm#ixzz2rhcxF3uK 
Hakcipta terpelihara 


cari baju muslimmah di melaka..? klik..!

Tuesday, October 1, 2013

Edisi Wanita: Jamsbell pertaruh fesyen high street




KAKAK sulung berusia 21 tahun bernama Sharifah Farah Liyana Syed Kamil, sementara dua adik kembarnya, Sharifah Sarah Amirah Syed Kamil dan Syed Harith Aiman Syed Kamil masing-masing berusia 20 tahun. Ketiga-tiganya masih muda, penuh tenaga namun serius membina profesion secara berdikari.
Paduan tiga beradik yang membentuk jenama Jamsbell barangkali melahirkan pandangan sinis orang ramai, merendahkan kemampuan anak-anak muda yang cuba mendirikan empayar fesyen ketika negara dihujani kewujudan pelbagai jenis butik dalam talian.
Jamsbell memerlukan pengenalan, ruang dan sokongan remaja tempatan untuk berdiri teguh. Percayalah, secara tuntas, usaha jenama itu tidak hanya berkisar kepada keuntungan jualan, namun mengimbangi faktor pendidikan penggayaan yang amat diperlukan kelompok audiens mereka.
Sharifah Farah Liyana, Sharifah Sarah Amirah dan Syed Harith Aiman mahu mempromosikan gaya high street di Malaysia dengan menjadikan Jamsbell sebagai medium pengaruh yang efektif. Benar, high street bukan gaya baharu di negara ini tetapi pengetahuan terhadap adaptasi pakaian berkonsep sebegitu masih belum difahami sepenuhnya orang kita.
“Jika kita bandingkan Malaysia dengan negara Asia lain, kita agak ketinggalan dari segi perkembangan trend, termasuklah fesyen high street,” Sharifah Farah Liyana memulakan bicara ketika trio bersaudara itu ditemui.
Elemen mewah
Fesyen high street merujuk kepada gaya yang ditawarkan jenama-jenama pakaian arus perdana. Ia boleh dikelaskan sebagai gaya yang menggabungkan elemen fesyen mewah (high fashion) dan fesyen jalanan (street fashion).
“Tujuan Jamsbell adalah mendidik orang ramai menjadikan fesyen high street sebagai gaya harian untuk ke tempat kerja, kelas atau bersantai. Kami banyak mendapat inspirasi daripada perkembangan trend di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Kolaborasi Jamsbell dan Bits of Random berjaya membentuk panduan gaya yang menakjubkan.


“Di luar negara, fesyen high street bukan lagi gaya untuk acara tertentu malah sudah diterima sebagai penampilan biasa. Orang kita kena mengubah mentaliti terhadap fesyen yang selalunya dikaitkan dengan majlis glamor dan formal ini. Ia sebenarnya sudah diterima masyarakat sebagai gaya harian,” tambah gadis yang juga memiliki ijazah Diploma Lanjutan Fesyen dan Pemasaran dari Raffles College of Higher Education (Raffles), Kuala Lumpur.
Dilancarkan pada awal bulan Januari lalu, item-item dalam katalog Jamsbell memang mudah menangkap perhatian. Jumpsuit dengan cetakan unik bersama jalinan rona kontra menghidupkan tata gaya high street secara bersahaja. Tambahkan aksesori seperti kalung dengan perincian besar dan anda sedia untuk mencuri tumpuan umum.
Mahu gaya sedikit nakal dan seksi, sesekali anda patut mencuba seleksi playsuit Jamsbell. Persalinan yang mencantumkan baju dan seluar pendek itu sesuai untuk gadis yang sedang meniti alam remaja dan sukakan gaya ringkas, pantas tetapi berani.
“Agak mengejutkan kerana kebanyakan item yang kami tidak jangka akan mendapat sambutan sering habis dijual. Jumpsuit contohnya, jarang kita melihat wanita di sini menggayakannya tetapi ia menjadi antara pakaian kami yang paling laris.
“Seluar pendek dengan perincian besi juga sering menjadi permintaan ramai. Di bawah koleksi seluar pendek, kami sediakan variasi item dengan potongan menarik seperti blaze peplum, layered spring, midnight quilted dan blooming.
“Mereka yang gemarkan dres boleh memilih sama ada mahukan block maxi klasik, denim skater atau retro crush. Apa jua pilihan anda, ia tidak akan lari daripada konsep gaya high street yang kami terapkan dalam Jamsbell,” saran Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu kemasukan stok baharu jenama itu adalah pada setiap minggu.
Semangat Asia
Tidak lengkap gaya high street jika tanpa menggayakan seluar panjang barok bercetak yang tinggi sentimen seninya. Tonjolkan semangat Asia anda menerusi seluar harem bermotifkan batik atau cipta penampilan matang bersama seluar jenis palazo dengan kombinasi motif tradisional.
“Kami banyak menggunakan material sifon untuk baju. Selain itu ada juga item yang dihasilkan dengan fabrik poliester campuran dan kapas,” tambah Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu Jamsbell juga kini berkolaborasi bersama label aksesori baharu, Bits of Random.
Selain berfungsi sebagai butik dalam talian, Jamsbell juga menyediakan khidmat nasihat tentang suai padan dan cara-cara membentuk gaya high fashion menerusi item-item yang ditawarkan.

KOLEKSI baharu Jamsbell dikemaskini setiap minggu bagi memberikan pilihan terkini kepada pengikut mereka.


Satu-satunya pengemudi lelaki dalam Jamsbell, Syed Harith Aiman berpendapat, majoriti blog fesyen dan butik dalam talian di Malaysia tidak memfokuskan kepada pendidikan penggayaan untuk pelanggan-pelanggan mereka.
Ujar Syed Harith Aiman yang juga salah seorang wajah rasmi jenama fesyen The Garment: “Kami banyak melakukan penyelidikan dan mengikuti perkembangan semasa trend-trend di Eropah dan AS.
“Di sana, perubahan trend berlaku dengan pantas dan cepat diterima masyarakat sekeliling. Mungkin medium mempromosikan sesuatu trend itu datangnya daripada pelbagai pihak sekali gus memudahkan ia berkembang dalam tempoh yang singkat.
“Jamsbell mahu mendekati orang di sini dengan formula yang sama, menjadi sebahagian kelompok fesyen yang tidak hanya berdiri atas nama keuntungan tetapi menjadi penggerak kepada transformasi trend di negara ini.”
Idea yang disemaikan Jamsbell melalui paduan item-item pada laman web mereka banyak memberi ilham kepada para pelanggan mereka untuk bergaya.
“Kadang-kadang ada pelanggan yang sanggup membeli satu set persalinan yang kami cipta menerusi suai padan kerana begitu menggemari gaya tersebut,” cerita Sharifah Farah Liyana menutup sesi temu bual.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm#ixzz2gRVb2kbP
Hakcipta terpelihara 


Koleksi Pakaian Muslimah Melaka! Singgah Ke Butik Kami Untuk Trend Terkini!

Busana Azamas Collection



Monday, January 14, 2013

Puncak jenama dua anak seni




TAHUN 2012 sudah seminggu melabuhkan tirainya. Segala cerita suka dan duka tersimpan dalam diari kehidupan yang pasti menjadi pedoman untuk terus melangkah. Lembaran baharu kini menanti untuk diisi dengan pelbagai ceritera.
Perjalanan hidup dua selebriti ini semakin luas apabila saban hari, pesona diri hadir dengan emosi yang terkesan melalui peranan dalam kerjaya seni.
Tanpa perlu disangkal, Elfira Loy dan Nazim Othman merupakan antara nama yang semakin kukuh kedudukannya dalam industri seni hingga diangkat sebagai personaliti unggul masa kini.
Pada bahu kedua-dua mereka juga tergalas tanggungjawab membawa jenama syarikat antarabangsa, sebagai wakil dan jurucakap produk-produk tersebut.
Stailo buat julung-julung kalinya menggabungkan dua personaliti muda tersebut atas kecemerlangan portfolio masing-masing.
Anak gadis kelahiran Kuala Lumpur itu ringkas orangnya. Tidak perlu memakai busana berlebihan dengan rona yang kontra yang menyakitkan mata, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 19, lebih senang tampil dengan gaya yang minimalis namun masih menyerlahkan keanggunan.
“Dalam usia yang masih remaja, saya rasa tidak perlu untuk bergaya secara berlebihan. Cukup sekadar sedap mata memandang dan tidak terlalu terdedah,” ujarnya.
Namun, adalah tidak mungkin bagi Elfira untuk tampil di bawah paras sederhana kala disapa pemuja bakatnya di jalanan.
Katanya: “Memang tidak dinafikan sejak nama mula dikenali, saya amat menjaga penampilan diri. Jika dahulu, boleh saja keluar tanpa sebarang alat solek dengan baju biasa, tetapi kini saya perlu peka.”
Keperluan untuk menjaga imej diri perlu selari dengan kewajipan sebagai seorang jurucakap produk kecantikan antarabangsa, Maybelline.
Aura Elfira menarik perhatian syarikat antarabangsa itu sebagai wajah baharu mereka untuk tempoh setahun sejak Mei 2012 menggantikan pelakon Liyana Jasmay.
“Oleh kerana itu, saya perlu menjaga nama dan peribadi atas dasar tanggungjawab membawa jenama syarikat,” jelasnya.
Tuah kening tebal
Pada awal kemunculannya, ramai kurang senang dengan bentuk semula jadi kening yang dimilikinya. Sedaya-upaya, Elfira enggan mengubah keaslian anugerah Tuhan itu daripada ‘dicantas’ tangan-tangan yang kononnya berpegang kepada kitab aliran fesyen semasa.
“Saya sendiri tidak faham kenapa orang terlalu mengambil berat dengan perkara remeh sebegini. Namun pada saya, ia lebih kepada prinsip yang saya cuba mengekalkannya.
“Tetapi kalau diikutkan, kenapa perlu saya mengikut kata-kata mereka sedangkan memiliki bulu kening tebal sudah menjadi trend terkini dalam fesyen antarabangsa,” ujar pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu.
ELFIRA diangkat menjadi duta Maybelline selama setahun menggantikan Liyana Jasmay.


Kehadiran Elfira pada sesi fotografi bersama Stailo ditemani bonda tercinta, Filzah Yusoff, yang setia menemani langkahnya. Bukan tidak percaya diri katanya, tapi dia berasa lebih selesa jika dikelilingi ahli keluarga.
“Sebenarnya jika ibu ada di sisi, semua tohmahan dan gosip liar boleh dielakkan. Ini kerana ibu ada bersama saya setiap masa. Timbul gosip, anda boleh tanya terus kepada ibu saya,” tuturnya penuh yakin.
Menariknya, ibu Elfira turut bertanggungjawab menjaga soal pemakaian dan imej yang dibawanya.
Tambah Elfira: “Menjaga hati keluarga lebih penting. Disebabkan itu, saya perlu mendapatkan nasihat ibu terlebih dulu dalam semua perkara, termasuk penampilan.”
Kuasa Nazim
Terpilih sebagai duta jam tangan antarabangsa, Ellesse, pada Disember 2011 telah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni Nazim Othman. Langkah aktor berusia 29 tahun itu kian yakin apabila satu persatu rezeki dikurniakan kepadanya, baik dari segi tawaran lakonan mahupun kejayaan mencuri perhatian dalam lubuk fesyen tempatan.
Wajah Nazim terpampang dalam kebanyakan majalah fesyen, rata-rata menamakannya sebagai salah seorang ikon fesyen 2012 yang perlu diberi perhatian. Kebijaksanaan dan kredibiliti Nazim menjual jenamanya jelas membuahkan hasil sepanjang tahun lalu.
Tuah watak Bazli dalam drama bersiri Dejavu Di Kinabalu diikuti drama Kau Yang Terindah serta teater Tun Doktor Siti Hasmah memberi ruang bagi peminat label Zara dan H&M itu untuk membuktikan kepada khalayak bahawa kehadirannya dalam industri bukan untuk seketika.
“Saya telah berkecimpung dalam industri ini sejak tahun 2008 dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah sekali pun saya berputus asa untuk menjejak puncak kerjaya.
“Penghargaan dan populariti hanyalah bonus dan saya masih mempunyai sasaran peribadi. Setiap tahun saya memiliki perancangan tersendiri bagi meningkatkan kerjaya dan tahun ini saya telah membuat keputusan untuk mengambil kelas seni bela diri,” kongsi Nazim ketika ditemui Stailo pada sesi fotografi bersama Elfira Loy di Istana Budaya baru-baru ini.
Mengangkat T.O.P, ahli band popular Korea, Big Bang dan pengacara tempatan berdarah kacukan Iban dan Inggeris, Henry Golding sebagai rujukan dalam berfesyen, Nazim pada dasarnya gemar berpakaian ringkas dan memenuhi keselesaan diri.
“Setiap kali keluar rumah, saya pasti memakai kasut dan tiada alasan untuk menggantikannya dengan selipar atau sandal. Bagi saya, apa yang penting adalah kelihatan terurus dan bersih secara keseluruhan kerana orang mungkin menilai kita daripada apa yang mereka lihat pada luaran.
“Saya juga tidak mengehadkan diri terhadap sesuatu gaya asalkan ia masih mengekalkan imej yang bertepatan dengan personaliti dan tidak terlalu ‘mencuba’ dalam bereksperimen dengan pakaian,” petah butir kata Nazim yang sangat merendah diri dalam setiap tindak-tanduknya.
Tidak tiru K-Pop
Mengulas kecenderungannya terhadap muzik dan gaya K-Pop, riak wajah Nazim berubah bagaikan tahu dia bakal diaju soalan demikian. Dalam nada positif, Nazim memberitahu, tanggapan orang terhadap minatnya pada elemen Korea telah disalahertikan.
Dia bukan sekadar cuba meniru penampilan lelaki Korea, bahkan turut menyerap semangat dari sudut disiplin, idea segar dan kesungguhan yang ditonjolkan penggiat seni negara tersebut.
“Pakai baju warna terang pun orang cakap kita tiru Korea padahal ia langsung tidak kena-mengena. Lelaki Malaysia sebenarnya beruntung kerana boleh menggayakan pakaian berwarna garang sepanjang tahun memandangkan kita tinggal di negara tanpa empat musim,” ujar Nazim bersahaja.
Bercerita tentang pengalaman sebagai duta Ellesse, Nazim menyifatkan ia sebagai antara pemangkin impak lonjakan yang diterimanya sepanjang tahun 2012. Secara peribadi, Nazim melihat dirinya sebagai calon duta yang kerdil jika dibandingkan dengan orang lain, memandangkan namanya belum cukup kukuh dalam industri seni.
JAM tangan Ellesse memilih Nazim sebagai wajah baharu produk tersebut.


Namun, gabungan kecemerlangannya melontar ekspresi dalam gambar, skil komunikasi yang boleh dibanggakan dan caranya membawa diri menjadi pemutus jenama itu memilih Nazim. Lebih membanggakan, Nazim merupakan duta Ellesse pertama yang dipilih dari luar Hong Kong.
Ellesse membuka dimensi berbeza kepada Nazim, barangkali ia menjadi permulaan kepada penaklukannya sebagai wajah rasmi produk-produk kecantikan atau jenama pakaian popular.
Begitupun, Nazim enggan gelojoh dalam mengejar kelebihan itu semua. Dia perlu selektif dan memastikan jenama yang diwakilinya bertepatan dengan personaliti dirinya. Jika silap pilih, ia boleh menjejaskan kredibiliti dirinya dan jenama itu sendiri.






Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm#ixzz2HsI6J3m5 
Hakcipta terpelihara 

Friday, January 11, 2013

Mahu galakkan anak muda berjubah

YUSLIDAWATY menunjukkan
dua helai jubah daripada koleksinya.



PESONA wanita yang mengenakan persalinan jubah berwarna merah jambu berserta hiasan sulaman menarik dengan hijab coklat keemasan ternyata mencuri perhatian.
Pemilik butik Jumana dan butik maya, JubahOnline.com, itu kelihatan sangat bergaya walaupun hanya mengenakan jubah.
Menyingkap pembabitannya dalam perniagaan busana muslimah, Yuslidawaty Abdul Khalid, 37, memberitahu segalanya bermula apabila dia mengikut suaminya menetap di Kaherah, Mesir selama empat tahun atas urusan kerja.
“Saya gemar membeli-belah dan suka mengenakan jubah. Apabila berada di sana, saya begitu teruja dan rambang mata melihat pilihan jubah dengan pelbagai fabrik dengan warna-warna ceria kerana sebelum ini kita sedia maklum bahawa rona hitam sinonim dengan jubah.
“Gemar dengan reka corak dan warnanya, saya mula berkongsi dengan rakan-rakan melalui internet dan mereka mula membuat pesanan,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.
Ujarnya, ketika menetap di sana, dia dan keluarga akan pulang ke Malaysia setahun sekali membawa bersama beg-beg yang sarat dengan jubah yang dipesan rakan-rakan dan ahli keluarga.
Melihatkan jualan jubah dari Kaherah yang dijualnya laku bak goreng pisang panas, walaupun dijual dalam kalangan keluarga dan sahabat handai, membuatkan Yuslidawaty cuba untuk berjinak-jinak meluaskan pasaran dengan menjualnya secara dalam talian atas saranan rakan-rakan.
Mula menemui pelanggan secara dalam talian pada tahun 2008, Yuslidawaty yang merupakan pengurus bersama Jumana Couture Sdn. Bhd., mengambil risiko membeli stok jubah untuk dihantar ke Malaysia.
YUSLIDAWATY bersama tiga orang anaknya.


“Kos penghantaran dari Malaysia lebih murah berbanding saya terus membuat penghantaran dari Mesir kepada pelanggan. Saya tidak mahu pelanggan terbeban dengan kos.
“Segala stok jubah saya tinggalkan kepada kakak ipar dan saya akan maklumkan pesanan kepadanya dari Kaherah sebelum dia menguruskan penghantaran pos kepada pelanggan,” jelasnya.
Bina keyakinan
Anak kelahiran Alor Setar yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu pulang ke tanah air pada 2009 dan pada ketika itu dirinya langsung tidak berniat untuk membuka premis menjual busana Muslimah.
Namun, bagi membina keyakinan para pelanggan terhadap produknya, Yuslidawaty yang ketika itu menetap di Sungai Petani, Kedah mengambil risiko untuk berbuat demikian.
Yakin dengan produk jualannya yang unik dan lain daripada yang lain, Yuslidawaty membuka premis pertamanya iaitu Jumana by JubahOnline.com pada bulan Disember 2010 di Sungai Petani.
“Penerimaan pelanggan pada ketika itu sangat bagus kerana pada 2010, pemakaian jubah sudah menjadi satu trend.
“Selepas dibuka selama dua minggu di Sungai Petani, saya berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut suami yang bekerja di sana,” katanya yang membuka butik kedua di Kota Damansara, Petaling Jaya selepas lima bulan membuka butik sulungnya.
Keputusan membuka premis di Kuala Lumpur dilakukan memandangkan ramai pelanggannya datang dari Lembah Klang.
Menyifatkan pemilihan lokasi di Kota Damansara sebagai strategik, Yuslidawaty menjual jubah bukan kerana keuntungan semata-mata. Lebih daripada itu, dia mahu menggalakkan para wanita memakai busana tersebut.
Dengan koleksi jubah Jumana, tiada lagi istilah jubah sebagai busana ketinggalan zaman kerana ia menawarkan pelbagai warna dengan potongan dan reka corak yang lebih segar.
Jubah-jubah Jumana dijual dari harga RM99 hingga RM899 sehelai dan ia didatangkan dalam material fabrik 100 peratus kapas, kapas campuran, satin kapas, krep dan sutera satin dengan menawarkan lebih 50 jenis reka corak.
Koleksi kanak-kanak
“Kami letakkan harga yang berpatutan supaya anak-anak muda mampu memiliki jubah jenama Jumana dalam masa yang sama mempromosikan cara yang betul memakai jubah dan tudung mengikut syariat.
“Saiz jubah yang dijual di sini besar sedikit daripada saiz standard Malaysia iaitu bermula daripada saiz S hingga saiz XXXL. Saiz XXXXL juga ada tetapi bilangannya tidak banyak,” ujarnya sambil memberitahu sasaran pasaran dalam kalangan wanita berusia 20 hingga 50 tahun ke atas.
Menurutnya, satu-satu reka corak jubah tidak dijual dengan kuantiti yang banyak. Oleh yang demikian, dia menyarankan para pelangga agar berkunjung ke butiknya dua bulan sekali untuk melihat reka corak yang baharu.
Selain menawarkan jubah untuk wanita, butik Jumana juga menjual jubah kanak-kanak, blaus panjang, pakaian umrah, stokin lengan, tudung dan jubah lelaki selain menyediakan perkhidmatan penyewaan busana pengantin Arab.
Cabaran berniaga
Banyak cabaran yang ditempuh oleh wanita ini lebih-lebih lagi apabila berurus niaga dengan ‘Pak Arab’ yang banyak fiilnya.
Ceritanya, dia pernah bertegang urat dengan pembekal dari tengah hari hingga ke petang gara-gara tidak berpuas hati dengan kualiti barangan.
“Pembekal tersebut memberitahu bahawa dia tidak pernah jumpa orang macam saya yang sanggup memeriksa ratusan helai jubah satu persatu.
“Pengalaman tersebut membuatkan pembekal-pembekal di sana lebih berhati-hati apabila berurusan dengan saya yang cerewet apabila menyentuh bab kualiti,” katanya yang berkunjung ke Mesir dua hingga tiga kali setahun untuk memilih reka corak dan fabrik.
Kejayaannya hari ini hingga tersergamnya dua buah butik, bukanlah usaha sehari dua. Baginya, tanpa sokongan suami dan ibunya, Norhayatte Mustaffa, 59, tidak mungkin ia menjadi realiti.

BUTIK Jumana menawarkan pelbagai jenis jubah pada harga yang berpatutan.


Baginya, seseorang yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan bukan sahaja memerlukan modal yang besar, malah pengetahuan luas juga penting selain mempunyai ketahanan mental dan fizikal.
Bermula dengan modal RM100,000 untuk pembukaan butik, dekorasi hiasan dalaman dan segala urusan perniagaan dilakukannya sendiri dengan dibantu oleh ibu dan suaminya.
Ternyata usahanya berbaloi kerana ada pelanggannya yang sanggup memandu jauh dari Singapura semata-mata untuk mengunjungi butiknya selain mendapat permintaan daripada rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara seperti di United Kingdom, Australia, Jepun dan sebagainya.
“Pelanggan dari Sabah dan Sarawak juga akan ke butik jika ada urusan di Semenanjung.
“Hasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka cawangan butik di beberapa buah negeri memang ada, tetapi saya berhadapan dengan isu kekangan tenaga kerja,” katanya yang mahu membuka butik di Pantai Timur, Selatan tanah air, Sabah dan Sarawak dalam masa setahun dua.
Sungguhpun begitu, sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen jualan amat dialu-alukan, namun mereka yang berminat perlu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm#ixzz2HdeUAMOR 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, November 25, 2012

Paris buka kedai di Mekah



PARIS HILTON

TINDAKAN selebriti Paris Hilton membuka butik mewah di kota paling suci umat Islam mengundang pelbagai rasa tidak senang malah ada yang menganggap ia satu cubaan untuk mengganggu umat Islam beribadat.
Menurut Huffington Post, kedai beg dan aksesori wanita tersebut mula beroperasi baru-baru ini. Rasa tidak senang umat Islam itu berikutan Paris yang sinonim dengan imej liar dan video lucah.
Pembukaan kedai tersebut atas nama Paris Hilton Handbags & Accecories di sebuah pusat beli-belah itu disahkan oleh Paris sendiri menerusi laman sosial Twitter.
"Gembiranya kerana kedai baharu saya yang cantik baru sahaja dibuka di Mecca Mall, Arab Saudi," ujar Paris menerusi akaun Twitter miliknya.
Sejurus beliau membuat pengumuman tersebut, ramai pengikut laman tersebut yang mengecam tindakan tersebut.
@kosmo.com.my

Monday, November 19, 2012

Alyah bakal perkenal fesyen jenama sendiri


Alyah
Alyah
Seakan menjadi trend apabila ramai di kalangan selebriti tempatan mula menceburkan diri dalam pelbagai jenis bidang perniagaan.
Tidak terkecuali, Alyah yang kini bergelar usahawan dan bakal memperkenalkan jenama pakaiannya sendiri, Gaya Alyah.
Memiliki keberanian berfesyen mungkin kelebihan buat Alyah untuk menceburi bidang itu dengan rekaan fesyennya tersendiri.
Istimewanya, Alyah turut turut menghasilkan koleksi fesyen bagi mereka berbadan besar.

Malah, khabarnya Alyah telah pun menyunting adik kepada Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Saerah sebagai model untuk menggayakan fesyen rekaannya.
@sinarharian.com.my

Friday, November 2, 2012

Salikin didik pereka muda




SALIKIN SIDEK. Itu satu nama yang cukup besar dalam industri fesyen tempatan. Berpegang teguh kepada prinsipnya untuk mengekalkan rekaan warisan turun-temurun sejak menceburkan diri dalam bidang fesyen 25 tahun yang lalu, beliau kini boleh berbangga dengan hasil yang diperolehi.
Hasil kerja tangannya disenangi pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan juga selebriti tempatan.
Bagaimanapun, populariti butik yang menggunakan nama Salikin Sidek, 50, tidak mencukupi buatnya. Beliau mahu berkongsi ilmu serta pengalaman yang dimiliki bersama orang ramai dan pereka muda yang mempunyai keinginan untuk belajar membikin pakaian tradisional.
Pada tahun 2010, Salikin muncul dengan buku berjudul, Busana Tradisional. Ia menampilkan pelbagai ilmu jahitan pakaian tradisional Melayu daripada setiap negeri yang berbeza.
"Saya berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah buku kerana waktu itu kurangnya buku rujukan yang mendalam tetapi mudah difahami mengenai ilmu jahitan pakaian tradisional.
"Dalam buku itu, saya menurunkan ilmu daripada melakar pakaian, memotong kain, menjahit dan membuat kemasan. Selain itu, teknik mengukur untuk setiap baju berbeza turut dimuatkan dalam buku ini," ujarnya tentang buku yang berharga RM30 senaskhah itu.
Tambahnya, setiap rekaan pakaian yang ditampilkan dalam buku itu mengikut peredaran semasa namun masih mengekalkan nilai klasiknya.
"Buku saya menjadi rujukan buat pereka muda di sekolah fesyen dan universiti. Saya cukup berpuas hati apabila ilmu yang saya miliki dapat mendidik orang lain terutama generasi muda," ujarnya.
Sambutan menggalakkan yang diterima menyebabkan buku Busana Tradisional itu telah dicetak buat kali kedua pada tahun lalu.
Pada tahun lalu juga, Salikin telah muncul dengan buku keduanya berjudul, Busana Pengantin Melayu Tradisional. Buku yang berharga RM49.90 senaskhah itu menampilkan maklumat tentang busana tradisional daripada setiap negeri di Malaysia.
"Buku kedua saya berkongsi dengan pembaca tentang busana tradisi pengantin setiap negeri bersama aksesori wajib yang perlu ada ketika memakai busana itu.
"Sama seperti buku pertama, dalam buku kedua, saya turut memberitahu secara terperinci cara menjahit pakaian cuma kali ini ditambah dengan sejarah pakaian itu," kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Bukan untuk mengaut keuntungan, luah Salikin, pada masa kini sudah jarang beliau melihat pasangan pengantin memakai pakaian tradisional secara keseluruhan.
Disebabkan itu, beliau ingin mengembalikan kegemilangan fabrik tradisi seperti songket supaya digunakan pada hari bersejarah pasangan pengantin moden hari ini.
"Sekarang ini cukup susah untuk saya melihat pengantin perempuan memakai sanggul lintang kerana mereka lebih suka stail yang moden.
"Jadi, saya tampilkan pakaian tradisional termasuk aksesori sekali supaya dapat membuka mata bakal pengantin.
ILMU pengetahuan. Antara koleksi buku Salikin tentang busana tradisional yang kini berada di pasaran.


"Pakaian tradisional Melayu cukup indah dah tidak ditelan zaman dan semakin cantik apabila ditambah dengan perincian seperti manik dan sulaman," ujarnya.
Selepas muncul dengan dua buah buku, Salikin kini dalam proses mengumpul bahan untuk buku terbaharunya berjudul Busana Kontemporari Seniwati Melayu.
Sejarah Salikin
Bercerita tentang bagaimana beliau terlibat dalam bidang fesyen, kata Salikin, semuanya bermula selepas beliau menamatkan zaman persekolahannya.
Sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengambil kursus jahitan pakaian lelaki selama enam bulan di sebuah pusat belia di Johor Bahru.
"Saya memang minat seni daripada kecil tetapi minat jahitan tercetus selepas tingkatan lima. Waktu itu saya ke sebuah kedai jahitan, saya lihat jari tukang jahitnya cacat tetapi dapat menghasilkan kerja tangan yang berkualiti.
"Dalam hati saya berkata, kalau tangannya cacat boleh menjahit dengan baik, pasti saya yang normal ini boleh lakukan juga," katanya.
Selepas tamat kursus enam bulan, Salikin menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen dan jahitan perindustrian di Institut Kemahiran Mara, Kuala Lumpur selama dua tahun.
"Kehidupan keluarga saya bukan senang, kalau belajar di universiti pasti banyak belanja yang harus dikeluarkan. Justeru, saya memilih menimba ilmu dengan jalan yang menjimatkan," beritahunya.
Kerjayanya bermula pada tahun 1982 di Butik Masaad sebelum berpindah ke Butik Filatoummo, Kuala Lumpur.
Kemudian beliau mendapat tawaran sebagai pereka fesyen di Dewi Sdn. Bhd. sebelum berpindah ke Laila Jaya Studio Brunei pada tahun 1985.
"Waktu itu saya mereka pakaian moden seperti pereka fesyen yang lain. Bekerja di Brunei memberi pengalaman berharga kerana saya dapat membuat baju untuk kerabat diraja Brunei," ujarnya.
Niatnya selepas itu mahu menyambung pelajaran ke London, England bagaimanapun ibunya menghalang menyebabkan Salikin kembali ke Kuala Lumpur bekerja di Okora Sdn. Bhd selama tiga tahun.
Pada tahun 1988 Salikin membuka butik Ateliar Apparell di Subang sebelum membuka butik Sali's Design pada tahun 1991. Ketika itu, Salikin telah mula terlibat mereka pakaian untuk artis tempatan dan membuat kostum untuk filem, teater serta drama tempatan.
"Saya masih membuat pakaian moden untuk artis tetapi selepas menyaksikan model mengayakan pakaian tradisional dalam sebuah pertunjukan fesyen, terdetik di hati saya alangkah bagus jika pakaian tradisional kita mampu pergi ke peringkat antarabangsa.
"Jadi sejak itu, saya mula serius mereka pakaian tradisional sehingga hari ini. Impian saya supaya Malaysia dikenali hanya menerusi pakaian seperti baju kurung. Negara India misalnya dikenali dengan sari manakala China dikenali dengan ceongsam," katanya mengakhiri bicara.
Siti Saleha
SITI SALEHA menggayakan busana koleksi terbaharu rekaan Salikin Sidek. Fabrik songket didatangkan khas dari Terengganu.


Ramai selebriti tempatan yang menggemari pakaian tradisional hasil tangan Salikin Sidek antaranya aktres popular Siti Saleha yang diambil menjadi model mengayakan pakaian Salikin.
Saleha yang mula popular dengan drama Nora Elena (2011) memberitahu, dia merupakan peminat baju kebaya meskipun merupakan anak kacukan Melayu-Inggeris.
"Saya suka baju kebaya pendek kerana sesuai dengan bentuk badan dan ketinggian saya. Apabila saya sarung pakaian tradisional terasa saya menjadi sangat Melayu daripada hari biasa.
"Biasanya saya akan pakai kebaya ketika menghadiri kenduri kahwin, hari raya, majlis berbuka puasa dan majlis rumah terbuka," ujarnya.
Adik kepada Sam Bunkface itu juga menggemari pakaian yang dibuat daripada fabrik songket yang ditambah dengan manik.
"Bagi saya kain songket sangat cantik, klasik dan nampak mewah. Walaupun zaman moden, kain songket masih boleh disesuaikan dalam pelbagai majlis," katanya yang suka memakai kebaya bersama korset.
@komso.com.my

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...