KAKAK sulung berusia 21 tahun bernama Sharifah Farah Liyana Syed Kamil, sementara dua adik kembarnya, Sharifah Sarah Amirah Syed Kamil dan Syed Harith Aiman Syed Kamil masing-masing berusia 20 tahun. Ketiga-tiganya masih muda, penuh tenaga namun serius membina profesion secara berdikari.
Paduan tiga beradik yang membentuk jenama Jamsbell barangkali melahirkan pandangan sinis orang ramai, merendahkan kemampuan anak-anak muda yang cuba mendirikan empayar fesyen ketika negara dihujani kewujudan pelbagai jenis butik dalam talian.
Jamsbell memerlukan pengenalan, ruang dan sokongan remaja tempatan untuk berdiri teguh. Percayalah, secara tuntas, usaha jenama itu tidak hanya berkisar kepada keuntungan jualan, namun mengimbangi faktor pendidikan penggayaan yang amat diperlukan kelompok audiens mereka.
Sharifah Farah Liyana, Sharifah Sarah Amirah dan Syed Harith Aiman mahu mempromosikan gaya high street di Malaysia dengan menjadikan Jamsbell sebagai medium pengaruh yang efektif. Benar, high street bukan gaya baharu di negara ini tetapi pengetahuan terhadap adaptasi pakaian berkonsep sebegitu masih belum difahami sepenuhnya orang kita.
“Jika kita bandingkan Malaysia dengan negara Asia lain, kita agak ketinggalan dari segi perkembangan trend, termasuklah fesyen high street,” Sharifah Farah Liyana memulakan bicara ketika trio bersaudara itu ditemui.
Elemen mewah
Fesyen high street merujuk kepada gaya yang ditawarkan jenama-jenama pakaian arus perdana. Ia boleh dikelaskan sebagai gaya yang menggabungkan elemen fesyen mewah (high fashion) dan fesyen jalanan (street fashion).
“Tujuan Jamsbell adalah mendidik orang ramai menjadikan fesyen high street sebagai gaya harian untuk ke tempat kerja, kelas atau bersantai. Kami banyak mendapat inspirasi daripada perkembangan trend di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
“Di luar negara, fesyen high street bukan lagi gaya untuk acara tertentu malah sudah diterima sebagai penampilan biasa. Orang kita kena mengubah mentaliti terhadap fesyen yang selalunya dikaitkan dengan majlis glamor dan formal ini. Ia sebenarnya sudah diterima masyarakat sebagai gaya harian,” tambah gadis yang juga memiliki ijazah Diploma Lanjutan Fesyen dan Pemasaran dari Raffles College of Higher Education (Raffles), Kuala Lumpur.
Dilancarkan pada awal bulan Januari lalu, item-item dalam katalog Jamsbell memang mudah menangkap perhatian. Jumpsuit dengan cetakan unik bersama jalinan rona kontra menghidupkan tata gaya high street secara bersahaja. Tambahkan aksesori seperti kalung dengan perincian besar dan anda sedia untuk mencuri tumpuan umum.
Mahu gaya sedikit nakal dan seksi, sesekali anda patut mencuba seleksi playsuit Jamsbell. Persalinan yang mencantumkan baju dan seluar pendek itu sesuai untuk gadis yang sedang meniti alam remaja dan sukakan gaya ringkas, pantas tetapi berani.
“Agak mengejutkan kerana kebanyakan item yang kami tidak jangka akan mendapat sambutan sering habis dijual. Jumpsuit contohnya, jarang kita melihat wanita di sini menggayakannya tetapi ia menjadi antara pakaian kami yang paling laris.
“Seluar pendek dengan perincian besi juga sering menjadi permintaan ramai. Di bawah koleksi seluar pendek, kami sediakan variasi item dengan potongan menarik seperti blaze peplum, layered spring, midnight quilted dan blooming.
“Mereka yang gemarkan dres boleh memilih sama ada mahukan block maxi klasik, denim skater atau retro crush. Apa jua pilihan anda, ia tidak akan lari daripada konsep gaya high street yang kami terapkan dalam Jamsbell,” saran Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu kemasukan stok baharu jenama itu adalah pada setiap minggu.
Semangat Asia
Tidak lengkap gaya high street jika tanpa menggayakan seluar panjang barok bercetak yang tinggi sentimen seninya. Tonjolkan semangat Asia anda menerusi seluar harem bermotifkan batik atau cipta penampilan matang bersama seluar jenis palazo dengan kombinasi motif tradisional.
“Kami banyak menggunakan material sifon untuk baju. Selain itu ada juga item yang dihasilkan dengan fabrik poliester campuran dan kapas,” tambah Sharifah Sarah Amirah yang memberitahu Jamsbell juga kini berkolaborasi bersama label aksesori baharu, Bits of Random.
Selain berfungsi sebagai butik dalam talian, Jamsbell juga menyediakan khidmat nasihat tentang suai padan dan cara-cara membentuk gaya high fashion menerusi item-item yang ditawarkan.
Satu-satunya pengemudi lelaki dalam Jamsbell, Syed Harith Aiman berpendapat, majoriti blog fesyen dan butik dalam talian di Malaysia tidak memfokuskan kepada pendidikan penggayaan untuk pelanggan-pelanggan mereka.
Ujar Syed Harith Aiman yang juga salah seorang wajah rasmi jenama fesyen The Garment: “Kami banyak melakukan penyelidikan dan mengikuti perkembangan semasa trend-trend di Eropah dan AS.
“Di sana, perubahan trend berlaku dengan pantas dan cepat diterima masyarakat sekeliling. Mungkin medium mempromosikan sesuatu trend itu datangnya daripada pelbagai pihak sekali gus memudahkan ia berkembang dalam tempoh yang singkat.
“Jamsbell mahu mendekati orang di sini dengan formula yang sama, menjadi sebahagian kelompok fesyen yang tidak hanya berdiri atas nama keuntungan tetapi menjadi penggerak kepada transformasi trend di negara ini.”
Idea yang disemaikan Jamsbell melalui paduan item-item pada laman web mereka banyak memberi ilham kepada para pelanggan mereka untuk bergaya.
“Kadang-kadang ada pelanggan yang sanggup membeli satu set persalinan yang kami cipta menerusi suai padan kerana begitu menggemari gaya tersebut,” cerita Sharifah Farah Liyana menutup sesi temu bual.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm#ixzz2gRVb2kbPHakcipta terpelihara
Koleksi Pakaian Muslimah Melaka! Singgah Ke Butik Kami Untuk Trend Terkini!