Wednesday, November 6, 2013

Edisi Wanita: Kelebihan bersalin dalam air





SEKITAR Ogos 2012, Zarith Sofia Raja Zulkifli, 28, telah disahkan mengandung. Sebaik dimaklumkan berita gembira itu, dia dan suaminya, Ben Ibrahim, 35, terus membuat keputusan untuk melahirkan bayi sulung mereka menerusi kaedah bersalin dalam air.
Wanita yang menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran di Universiti Charles Sturt, Sydney, Australia itu mahu berbuat demikian memandangkan salah seorang rakan universitinya pernah menjalani kaedah itu.
"Dia (kawan) mengaku ia lebih tenang dan kurang sakit ketika melahirkan bayi. Jadi, pada masa itu, saya dan suami teruja melihat keberkesanan proses tersebut dan bercadang memilih kaedah itu jika bersalin nanti," jelasnya.
Zarith Sofia memberitahu, mereka telah menyuarakan hasrat itu kepada kedua-dua orang tua mereka.
"Seperti kebanyakan ibu bapa, khususnya apabila mengetahui kaedah kelahiran itu merupakan bukan cara konvensional, mereka tidak bersetuju kerana khuatir akan berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap saya dan cucu mereka.
"Namun demikian, bagi meyakinkan mereka bahawa ia satu kaedah yang selamat, kami telah membawa mereka ke Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL) untuk berjumpa dengan doktor yang melakukan kaedah tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Zarith Sofia, kedua-dua keluarga membenarkannya menjalani prosedur tersebut apabila berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan doktor berkenaan.
Kurang tekanan
Ghairah bercerita mengenai pengalaman yang sukar dilupakan itu, katanya, dia sebenarnya dijadualkan bersalin pada 8 April tetapi bayinya lahir pada 21 Mac lalu ekoran air ketuban yang pecah lebih awal.
"Suami membawa saya ke HPKL sekitar pukul 11 malam, namun pada pukul 6 pagi kesakitan makin terasa.
"Sebaik doktor melihat bukaan servik menjadi enam sentimeter (cm), baru saya dimasukkan ke dalam kolam air," jelasnya.

SEBUAH tab khas dengan air bersuhu 37 darjah Celsius dan katil disediakan dalam bilik bersalin bagi kemudahan wanita yang memutuskan untuk melahirkan anaknya di dalam air.


Berbicara lanjut, anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, dia duduk di dalam tab khas yang mengandungi air suam bersuhu 37 darjah Celcius sehingga pukul 11 pagi sambil mendengar lagu.
"Saya tidak meneran cuma mengambil nafas sedalam-dalamnya kerana tidak mahu berada dalam keadaan tegang.
"Berada di dalam air ternyata lebih tenang dan kesakitan yang dialami juga berkurangan," katanya yang selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.8 kilogram sekitar pukul 11.43 pagi.
Menurutnya, dia dibiarkan berada dalam tab tersebut sambil memeluk bayinya yang bernama Kyla Natasha selama 10 minit sebelum dinaikkan ke atas katil yang bersebelahan tab itu untuk menunggu uri anaknya keluar.
Pengalaman berbeza
Bagi ibu kepada empat orang anak, Ar'nie Rozah Krogh, 45, dia menjalani kaedah kelahiran tersebut untuk anak keempatnya, Ariena Ayla Krogh pada pada 13 Julai tahun lalu.
Dia memilih kaedah itu berikutan mengalami pelbagai komplikasi sejak melahirkan anak pertama.
"Tiga anak saya dilahirkan secara normal namun kelahiran mereka berdepan banyak dugaan. Saya terpaksa menahan kesakitan berjam-jam sehingga terpaksa mengambil suntikan ubat penahan sakit, epidural.
Serik dengan keadaan itu, beliau mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah bersalin dalam air dan mencari maklumat mengenai kaedah itu di internet.
"Saya berjumpa Pakar Obstetrik dan Ginekologi HPKL, Dr. Choong Kuo Hsiang pada minggu ke-32 kehamilan," jelasnya.
Menceritakan semula pengalaman baharu itu, Ar'nie memberitahu, sebelum bersalin dalam air, dia ditahan di wad selama tiga hari kerana bukaan rahimnya masih belum membolehkannya untuk bersalin.
"Ketika itu, doktor menasihatkan supaya saya menjalani proses bersalin seperti biasa, namun saya tidak melihat ia tidak menjadi penghalang untuk meneruskan niat bersalin dalam air," jelasnya.
Menurut wanita ini, doktor telah memasukkan ubat bagi mempercepatkan bukaan servis dan setelah bukaan mencapai tujuh sentimeter, dia diminta masuk ke dalam tab air yang disediakan.
Berkat kecekalan dan kesabaran, sebaik memasuki ke dalam kolam air berkenaan, kesakitan bersalin semakin berkurangan.
Menurut wanita kelahiran Singapura itu, apabila dia melihat sendiri badannya terapung di dalam air, dia berasa selesa.
"Ia seolah-olah seperti ubat penahan sakit semulajadi apatah saya bebas mencari posisi badan mengikut keselesaan.

HAMPIR 100 orang bayi disambut menggunakan kaedah bersalin dalam air di HPKL sejak tahun 2009. - Gambar hiasan.



"Malah, apabila berlaku kontraksi yang kuat, saya dengan sendirinya menolak bayi keluar. Saya berasa lebih fokus untuk bersalin berbanding berada di atas katil," jelas sambil menegaskan ia merupakan satu pengalaman yang berbeza berbanding kaedah bersalin normal.
Tambah Ar'nie sambil tersenyum, jika dia tahu ada kaedah ini dahulu, kesemua anaknya pasti akan dilahirkan dalam air.
Sementara itu, Kuo Hsiang berkata, hampir 100 orang bayi telah disambut melalui kaedah bersalin dalam air sejak diperkenalkan di HPKL pada 14 Jun 2009.
Menurutnya, idea bersalin dalam air dicetuskan oleh seorang penyelidik dari Rusia, Igor Charkovsky pada tahun 1960-an.
Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) sejak tahun 1980 lagi namun, ia kurang meluas di Malaysia.
Sehingga kini, beratus-ratus bayi telah dilahirkan dalam air sejak kaedah berkenaan diperkenalkan di dua buah hospital di Malaysia iaitu Hospital Island, Pulau Pinang dan HPKL.
Kuo Hsiang mengakui, pada permulaan, pihaknya tidak menerima sambutan yang menggalakkan memandangkan ia dianggap bertentangan dengan adat dan budaya sesetengah kaum di negara ini.
Bagaimanapun, senario itu semakin berubah sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas kelahiran anak sulung Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Sophea Isabella oleh isterinya, Datin Dr. Harlina Mohd. Yunos, pada 21 Julai 2011.
Bergerak bebas
Menyentuh mengenai prosedur itu lebih lanjut, beliau memberitahu, kaedah itu hanya boleh dijalani oleh ibu yang tidak mempunyai masalah kesihatan sepanjang kehamilan.
Ini untuk memastikan keselamatan kedua-dua ibu dan bayi berkenaan.
Menurut beliau, pesakit akan dimasukkan ke dalam kolam yang suhunya pada suhu badan (37 darjah Celcius) apabila bukaan serviks 5 cm.
Dr. Choong menjelaskan, apungan badan ketika berada di dalam air mengurangkan beban berat badan dan membolehkan wanita bergerak bebas dalam tab dan mencari posisi yang selesa.
"Golongan ibu mengandung boleh memilih kedudukan yang sesuai untuk bersalin misalnya mencangkung atau melutut bagi memudahkan bayi keluar," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan proses bersalin dalam air di HPKL baru-baru ini.
Tambah beliau, pihaknya turut membenarkan golongan ibu melakukan aktiviti bagi mengurangkan kesakitan sementara menanti saat kelahiran.

KUO HSIANG (berdiri kanan) memaklumkan apungan badan dalam air membolehkan wanita mencari posisi badan yang selesa untuk bersalin.


"Mereka bebas untuk bergerak di sekitar bilik bersalin malah, golongan suami juga dibenarkan menemani isteri dalam bilik tersebut sehingga tiba waktu untuk bersalin.
"Ruang ini turut dilengkapi dengan alunan muzik dan gambar pemandangan indah bagi mewujudkan suasana tenang dan selesa," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, jika pesakit itu tidak selesa dengan prosedur itu, pihaknya akan membatalkan kaedah tersebut dan bersalin di atas katil yang turut disediakan di bilik berkenaan.
"Namun, setakat ini, semua ibu yang menjalani kaedah itu selamat melahirkan anak dengan sempurna," katanya.
Kuo Hsiang memberitahu kos bersalin menggunakan kaedah tersebut adalah sekitar RM6,000.
Ketika ditanya mengenai tahap kebersihan kolam air itu, beliau berkata, pihaknya menggunakan air steril untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
"Malah, kolam tersebut tidak akan dibanjiri dengan darah kerana darah ibu hanya akan keluar selepas uri dikeluarkan doktor apabila berada di luar tab berkenaan," tuturnya.
Bagi mengulas risiko bayi lemas menggunakan kaedah itu, beliau menjelaskan, peratus kes bayi lemas di negara-negara yang menggunakan kaedah itu seperti AS, Itali, Australia, New Zealand dan UK adalah terlalu kecil iaitu di bawah satu peratus.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2jrCr6kIa
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...