Friday, August 31, 2012

Kemerdekaan negara utuh atas teras muafakat

Najib


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemerdekaan yang dicapai negara sejak 55 tahun lalu akan terus utuh atas teras permuafakatan dan kerjasama daripada semua pihak.
Perpaduan nasional yang bertunjangkan kepelbagaian akan kekal menjadi tiang seri kekuatan nasional.
Najib berkata, selama 55 tahun negara telah berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat pelbagai pihak termasuk dalam kalangan warganegara sendiri.
Katanya, malah terbukti bahawa ramalan kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambah baik adalah meleset sama sekali.
"Jelasnya, dari satu titik ke satu titik, kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang dahulunya terjajah dan terancam," kata Perdana Menteri dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-55 yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.
Menurut Najib, daripada sudut kemakmuran nasional pula, ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik yang dijalankan kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa Kedua (GTP 2) bakal melonjakkan kemakmuran negara ke peringkat lebih tinggi dan akan menyaksikan penglibatan masyarakat yang lebih meluas, sekali gus pembabitan yang lebih bermakna daripada pertubuhan bukan kerajaan dan sektor korporat.
Bagaimanapun, katanya, segala usaha dan prakarsa yang dilakukan itu akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh semua segmen masyarakat.
"Justeru, marilah kita menjulang citra Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki demi seluruh warganya," katanya.
Perdana Menteri berkata, kejayaan yang diimpikan Malaysia bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik dan untuk itu di bawah Dasar Transformasi Nasional, prakarsa transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui ETP (Program Transformasi Ekonomi) tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.
Najib berkata, langkah berani pihak kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi di Malaysia sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
"Kita juga telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan dengan bergantung kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai," kata Najib.
Perdana Menteri berkata, Malaysia telah berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi dan berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. - Bernama
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...