Sunday, November 17, 2013

Zul Ariffin mudah terkejut

ZUL ARIFFIN semakin serius membina nama namun dalam masa terdekat dia juga serius mahu melamar kekasihnya, Gayatri Su-Lin Pillai.


KONTROVERSI pernah memamah nama Zul Ariffin. Ketika itu, dia baru sahaja hendak bertatih mengenal mukadimah jurnal seninya. Selepas empat tahun, hari ini lelaki bersosok tegap dari Taiping, Perak itu semakin dikenali atas kredibiliti kerja dan bukannya kisah peribadi.
Sesuatu yang menarik, kisah cintanya bersama Gayatri Su-Lin Pillai, seorang penerbit sebuah produksi besar tempatan itu seakan-akan tidak perlu disentuh lagi. Semua tahu, cukup setakat itu keseriusan perhubungan mereka. Soal perancangan atau kisah sehari-harian, rasanya tidak perlu soal hati dan perasaan dijaja sepanjang masa sementelah Zul sendiri mempunyai produk besar untuk dikongsikan.
Tiba pada hari dan waktu yang dijanjikan, pelakon yang bakal muncul menerusi sebuah lagi filem baharu berjudul Penanggal itu hadir sendirian ke sesi fotografi yang telah ditetapkan.
Wajahnya kemerah-merahan dan sambil menghela nafas panjang, dia masuk sambil mengheret bagasi besar. Zul sebenarnya baru tiba dari Jakarta, Indonesia atas urusan penggambaran telemovie di sana.
"Turun dari kapal terbang tadi, saya tahu saya kena bergegas. Nasib baik pakaian yang untuk fotografi ini sudah disiapkan," katanya yang secara tidak langsung memperlihatkan komitmen padu kepada jadual karier.
Biarpun namanya belum beraja sebagai aktor pujaan ramai, namun graf karier Zul yang bermula dari lokasi drama kepolisan terbitan Skop Production itu semakin menjalar. Di layar kaca, sudah berpuluh naskhah termasuk telemovie dan drama bersiri telah dilakonkannya.
"Walaupun nama saya tidak popular tetapi selagi saya ada kerja dan ada produk untuk ditonton, itu tandanya saya masih di atas landasan yang betul. Karier saya sedang bergerak dan saya gembira dengan perjalanan karier yang begini," katanya optimis.
Sambil menghitung usia yang berbaki tiga tahun sebelum bergelar lelaki 30-an, tambah Zul:
"Rasanya saya tidak perlu terburu-buru untuk menjadi terlalu popular atau mencipta banyak pencapaian dalam jangka masa pendek. Saya masih baharu dan jika dipanjang umur, saya mungkin berlakon sehingga 10 atau 15 tahun akan datang atau lebih lama daripada tempoh itu. kalau saya sudah mencapai semuanya sekarang, apa lagi yang harus saya kejar. Biarlah saya kayuh perlahan-lahan," katanya selesa dengan penerimaan industri yang sedang diterima.
Selain banyak drama di kaca televisyen, aktor yang baru-baru ini muncul menerusi drama bersiri Janji Adam itu lega, kerana tahun 2013 banyak memberi variasi demi kelangsungan kariernya.
"Drama itu biasa tapi menariknya juga, tahun ini saya ada dua buah filem berbeza latar masa dan karakter yang boleh dipersembahkan kepada peminat. Saya jadi mat moto besar dalam KL Bikers dan saya jadi lelaki Arab dalam Penanggal," katanya yang masuk ke layar perak buat pertama kali menerusi Evolusi KL Drift 2, tiga tahun lalu.
Takut hantu
Penanggal sebuah filem karya dan arahan Ellie Suriaty Omar yang memulakan penggambaran pada tahun 2011 itu sudah terlalu hampir untuk disaksikan peminat filem.
"Saya boleh katakan Penanggal sebuah filem seram. Penggambaran filem itu sendiri dilakukan di dalam hutan dan banyak adegan malam. Mujur sepanjang penggambaran, tidak pula saya diganggu dengan adegan yang menaikkan bulu roma. Kalau berlaku pun, mujur ketika itu saya tiada di lokasi. Saya sebenarnya seorang yang penakut," cerita Zul tentang pengalaman berlakon filem hantu di sekitar Sayong dan Kuala Kangsar, Perak itu.
Di sebalik sosok tegap dan penampilan macho yang terpancar di wajahnya, anak jantan yang meminati motosikal kuasa besar itu membuka kelemahan utamanya.
"Saya jenis yang mudah terkejut. Kalau ada babak-babak dalam filem atau drama, bukan cerita hantu pun, saya akan mudah tersentak dan terkejut. Jadi, saya tidak boleh menikmati filem hantu sebagaimana peminat filem hantu. Saya tak suka ditakut-takutkan, penat terkejut dan asyik tutup muka sahaja. Kadang-kadang, saya menyesal dan fikir kenapalah saya boleh terjebak jika pergi menonton filem seram di panggung," katanya yang sering mengelak daripada mendengar rakan-rakan bercerita tentang sebarang kisah seram.
Tambahnya seraya ketawa: "Setakat kena kutuk penakut oleh kawan-kawan, itu memang sudah perkara biasa. Saya tak kisah sebab memang saya penakut."
Takut menonton filem hantu, mudah terkejut oleh aksi di luar jangkaan, namun terlibat dalam filem Penanggal bersama Ellie ternyata sebuah pengalaman cukup berharga buatnya.
"Masa berlakon saya tak perlu nak rasa takut sangat sebab ketika di set ada ramai kru. Boleh dikatakan, pasukan Penanggal juga pasukan terbaik yang diimpikan dalam mana-mana pembikinan filem. Ellie seorang pengarah yang tahu hak dan tuntutan pelakon, dia seorang yang teliti dan cerewet untuk kesempurnaan.
"Sebagai pelakon, saya kena kenal rentak Ellie dan kami ambil masa sebulan untuk sesi bacaan skrip dan bila masuk sahaja ke lokasi, saya sudah tidak perlu membaca atau membawa skrip pun. Itu seronoknya berlakon filem Penanggal walaupun saya ada banyak dialog bahasa Arab. Bercakap dan memahami dialog bahasa Arab itu satu hal, satu hal yang lebih susah sebenarnya bagaimana hendak bercakap bahasa Melayu dalam lenggok orang Arab.
"Saya melakonkan watak Syed Omar anak kedua dalam sebuah keluarga Arab dalam filem itu. Sebagai anak kedua, dia selalu merasakan abangnya, Syed Yusof lakonan Azri Iskandar sering dilebih-lebihkan oleh ibunya. Saya bukan antagonis dalam filem berkenaan tetapi pemuda yang berdepan dilema anak kedua. Itu fahaman awal yang saya kena pegang," lentur Zul yang melakonkan karakter lakonannya yang menyimpan cinta terhadap Sharifah Zaharah lakonan Fasha Sandha.
Bakal menerjah panggung pada 28 November nanti, Penanggal juga meninggalkan impak besar buat Zul.
"Syed Omar cuma berdepan dilema anak kedua. Dia selalu merasakan abangnya lebih diutamakan. Saya bukan antagonis dalam filem berkenaan. Itu fahaman awal yang saya kena pegang.
"Banyak yang saya pelajari daripada Ellie, salah satu daripadanya ialah peringkat-peringkat lontaran emosi. Kalau marah, kami diberi latihan marah tahap pertama sehinggalah marah tahap kesepuluh. Jadi, setiap kali hendak mulakan lakonan, kami akan tanya, ini marah nombor satu atau lapan atau 10. Kadang-kadang jadi bahan ketawa, tapi metod sebegitu sangat berkesan, apabila tahap emosi itu sudah dikunci, kerja di set jadi mudah," katanya yang banyak bermain emosi marah, tidak puas hati dan cinta yang tidak kesampaian dalam filem seram klasik lakonan Ummi Nazeera sebagai hantu penanggal itu.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2kq1AVRWl 
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...