Saturday, November 2, 2013

Tha Heist jual gaya Amerika



IKLIM ekonomi global yang suram pada tahun 2009 menjadi pendorong kepada Scott Colosimo untuk menzahirkan impiannya mencipta motosikal mampu milik untuk semua orang. Colosimo ialah pengasas syarikat Cleveland CycleWerks (CCW).
Semuanya bermula apabila Colosimo hilang pekerjaan sebagai pereka hampagas di sebuah firma alat penjagaan di Amerika Syarikat (AS). Dia kemudiannya berganding bahu bersama dua rakan iaitu Jarrod Streng dan Curtis Ray.
Perjalanan CCW bukannya mudah terutama apabila Colosimo berdepan kesukaran mendapatkan komponen motosikal daripada pengeluar-pengeluar alat ganti dan aftermarket yang berpangkalan di negara Uncle Sam itu.
Pendek kata, rata-rata syarikat di AS enggan menerima tempahan barangan dalam volum kecil, malah ada yang memandang lekeh kesungguhan Colosimo untuk membangunkan CCW.
Akibat hampa dengan respons yang diterima, Colosimo mengambil keputusan untuk mencuba nasib di China. Kali ini, senarionya berbeza. Dia menerima sambutan memberangsangkan untuk memperoleh komponen bagi menjayakan rancangan produksi motosikal.
Tindakan Colosimo itu mengundang kutukan daripada sekelompok pengguna AS yang skeptikal terhadap produk keluaran China. Mereka mempersoal tindakan Colosimo membina motosikal di China tetapi melabelnya sebagai buatan Amerika.
Malah dalam laporan portal Crain's Cleveland Business, Colosimo ada menerima e-mel daripada individu yang berkata: “Saya harap motosikal awak meletup dan menyebabkan awak terbunuh.”
Pun begitu, ada juga pihak yang memberi sokongan moral kepada Colosimo agar dia terus menjayakan impiannya. Dalam tempoh empat tahun sahaja, CCW membuktikan keupayaannya menembusi beberapa pasaran motosikal termasuk di Australia, New Zealand, Kanada, Republik Czech, Finland, Jerman, Itali, Mexico, Slovakia, Afrika Selatan, Switzerland, Rusia, Jepun dan terbaharu, Malaysia.
Tahun lalu, CCW berjaya menjual sebanyak 9,000 unit motosikal dan pencapaian itu hampir dua kali ganda berbanding 2010 (5,000 unit). Bagi tahun 2013, unjuran jualan Colosimo ialah 12,000 buah motosikal.

ENJIN yang digunakan adalah jenis Honda CG yang diimport dari China.


Apa yang menarik mengenai produk CCW ialah jenis motosikal yang dihasilkan. Motosikal jenis Chopper dan Bobber yang dicipta boleh dihasilkan mengikut selera para pelanggan. CCW turut menawarkan komponen motosikal dan aksesori pelbagai rupa dan warna.
Untuk pasaran Malaysia, motosikal CCW diedarkan oleh Soul Machines Sdn. Bhd. (Soul Machines). Syarikat itu juga dilantik sebagai pengedar tunggal bagi Brunei. Produk CCW pertama menemui pelanggan tempatan adalah model Tha Heist.
Pasang di Sarawak
Pengarah Urusan dan Pengasas Soul Machines, Joseph Tu ketika ditemui memberitahu CCW Tha Heist dihasilkan menerusi fasiliti pengeluaran di Sarawak.
Lebih tepat lagi, fasiliti dimaksudkan itu kilang sama yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran motosikal jenama Daiichi. Apa yang menarik perhatian penulis ialah keupayaan motosikal sebegini meraih perhatian para pembeli di negara ini.
Ini bukan trend lazim dalam pasaran domestik ketika ini. Rata-rata pengeluar lebih cenderung ke arah pengenalan jentera berteknologi tinggi dan baharu, bukannya satu produk kejuruteraan semula.
Persoalan itu disambut baik oleh Pengerusi Eksekutif Bike Empire Sdn. Bhd. (Bike Empire ), Datuk SM Zulkifli SM Amin. Katanya, Tha Heist mengisi vakum berbeza daripada produk easy rider dan bobber premium sedia ada di negara ini.
Pendek kata, Tha Heist menawarkan model asas pada harga mampu milik, senang diselenggara, kos penjagaan rendah dan boleh dinaik taraf dengan mudah.
Tha Heist memperoleh kuasa daripada enjin empat lejang silinder tunggal sejukan udara berkapasiti 225cc. Transmisi yang diberikan sebagai padanan adalah lima kelajuan. Kadar kelajuan maksimum adalah sekitar 113 kilometer sejam.

JOSEPH (tengah) bersama SM Zulkifli (kiri) dan Mohd. Khairul Naem pada majlis pelancaran CCW Tha Heist di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Sebenarnya enjin yang digunakan pada model itu merupakan enjin Honda CG yang diimport dari syarikat Lifan Industry (Group) Co. Ltd. di China.
Selayang pandang, motosikal itu kelihatan amat ringkas tetapi tetap menarik dengan lampu hadapan dan meter laju bulat serta tempat duduk tunggal yang amat nipis.
Tindakan menyerlahkan lagi sifat bobber disempurnakan menerusi pemasangan madgad klasik dan rim jejari berukuran 21 inci di hadapan serta 18 inci di belakang.
Buat masa ini, Soul Machines mempunyai empat pengedar eksklusif di Sarawak (CycleNation dan RigidWerx Inc.), Selangor (Bike Empire) dan Pahang (Titanium Biker).
Ketua Pegawai Operasi Bike Empire, Mohd. Khairul Naem Mokhtar berkata, Tha Heist disasarkan kepada peminat easy rider dan bobber serta mereka yang mahu kelainan pada motosikal sedia ada.
Malah sebagai strategi promosi dan pengembangan perniagaan produk CCW, Mohd. Khairul Naem bakal menyediakan khidmat penyewaan motosikal kepada orang ramai.
Rancangan itu bakal dilaksanakan sekitar bulan Februari tahun hadapan sekali gus menyemarakkan industri pelancongan bermotosikal di Malaysia.
Bike Empire berhasrat menjual antara 250 hingga 500 unit motosikal baharu itu pada tahun ini. Untuk tahun 2014, unjuran jualan adalah sekurang-kurangnya 80 buah setiap bulan.
Rancangan tahun hadapan pula bakal menyaksikan tambahan produk dalam portfolio CCW menerusi ketibaan model cafe racer dan bobber berkapasiti tinggi. Sama-sama kita nantikan kemunculannya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm#ixzz2jTVZMzIY
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...