Saturday, November 2, 2013

Mercu tanda Seattle

SPACE Needle menjadi destinasi yang wajib dikunjungi sekiranya singgah di Seattle.


NIRVANA, Pearl Jam, Alice In Chains dan Soundgarden merupakan antara barisan kumpulan muzik yang mewarnai industri hiburan di Amerika Syarikat pada era 1980-an hingga 1990-an.
Kumpulan-kumpulan itu menggelarkan genre muzik mereka sebagai Seattle Sound yang mewakili tempat asal mereka. Malah, pada hari ini kebanyakan anak muda di Seattle masih teruja dengan aliran yang dibawakan oleh generasi tersebut.
Selain kehebatan kumpulan muzik di bandar yang terletak di Washington itu, Seattle juga menjadi destinasi tumpuan pelancong di Amerika Syarikat.
Space Needle merupakan antara mercu tanda yang melambangkan bandar itu. Menara pemerhati setinggi 184 meter itu mula menjadi tumpuan pada tahun 1962 sempena Ekspo Abad Ke-21 yang diadakan di sana.
Tema pada tahun itu ialah Abad Ke-21 yang juga mempunyai kaitan dengan rekaan futuristik menara itu. Seorang ahli perniagaan dan pemimpin sivik di Washington D.C., Edward Carlson telah merangka pelan untuk membina sebuah menara seakan-akan belon. Dalam pada itu, seorang arkitek, John Graham telah menambah baik pelan itu dengan mengubah rekaan belon kepada rupa bentuk objek terbang yang tidak dikenali (UFO).
Rekaan asas menara iaitu bahagian tengah dicat dengan warna putih yang melambangkan seperti pakaian angkasawan. Selain itu, bahagian puncak menara pula berwarna emas galaksi dan lingkaran yang menghiasi bahagian atas berwarna merah.
Sejak menara itu dibuka pada 21 April 1962, ia telah menjalani pelbagai pengubahsuaian. Segala pengubahsuaian itu siap sepenuhnya pada tahun 2000 dan menelan belanja AS$21 juta (RM61 juta), satu angka yang bersamaan dengan jumlah kos pembinaan menara itu.
Pengubahsuaian terakhir itu termasuk pembinaan Restoran SkyCity, kedai SpaceBase, Skybeam, dek pemerhati, pencahayaan dan mengecat.

DALAM sehari seramai 20,000 pengunjung melawat menara ini.


Destinasi wajib
Bahagian dek menara itu pada ketinggian 160 meter merupakan kawasan bagi pelancong untuk melihat pemandangan sekitar Seattle. Kedai menjual barangan cenderamata dan restoran berputar SkyCity menjadi destinasi wajib bagi pelancong di bahagian dek menara.
Pengunjung bukan sahaja dapat melihat pemandangan sekitar bandar itu tetapi kawasan-kawasan pergunungan dan teluk juga dapat diperhatikan dari puncak Space Needle. Gunung Olimpik, Cascade, Rainier, Baker dan Teluk Eliot merupakan kawasan terdekat yang dapat diperhatikan dengan jelas.
Lif merupakan satu-satunya cara untuk para pengunjung sampai ke puncak menara itu. Dengan kelajuan 4.5 kilometer sejam (km/j), lif itu membawa pengunjung ke puncak menara dalam masa 41 saat. Namun, dengan jumlah pengunjung sebanyak 20,000 sehari, pelancong perlu beratur selama beberapa jam sebelum berpeluang menaiki lif.
Ketika cuaca berangin, lif terpaksa diperlahankan kepada 2.2 km/j sebagai langkah keselamatan untuk para pengunjung.
Pada 19 April 1999, Lembaga Pemuliharaan Mercu Tanda Seattle menggazetkan menara itu sebagai salah sebuah bangunan bersejarah di bandar berkenaan.
Selain tumpuan pelancong asing yang ingin menikmati panorama bandar itu, Space Needle juga merupakan destinasi pilihan penduduk setempat untuk meraikan sambutan Tahun Baharu.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_04.htm#ixzz2jTUmVKL6
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...