Monday, November 4, 2013

Tema cinta dalam karya Ruhayah


RUHAYA mengangkat tema cinta keluarga dalam kebanyakan hasil karyanya.



KECINTAAN Ruhayah Mahmod kepada dunia penulisan kreatif hadir agak lewat iaitu pada usia 45 tahun. Lebih popular dengan nama Puteri Andalas, wanita yang kini berusia 65 tahun itu acap kali dalam penulisannya mengangkat tema cinta dalam keluarga.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berasa sedikit kesal kerana terlambat menceburkan diri dalam arena penulisan disebabkan kekangan masa.
Kata Ruhayah, pasti banyak naskhah yang mampu dihasilkan jika beliau menulis sejak muda.
Biar pun lewat memulakan langkah dalam dunia penulisan, Puteri Andalas sebenarnya sudah dua dekad mengabdikan diri dalam dunia penulisan kreatif. Bahkan, beliau memiliki kelompok peminat setia yang tersendiri.
Nama samaran
“Pada awal pembabitan dalam penulisan, saya kerap menggunakan nama samaran dengan menghantar surat berbentuk kritikan kepada akhbar tempatan. Nama tersebut berubah-ubah dari semasa ke semasa.
“Tiba-tiba hati saya tertarik untuk menyertai pertandingan menulis cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Alhamdulillah, saya memenangi pertandingan tersebut pada tahun 1999 dan 2001,” katanya yang mengakui terhutang budi dengan Kumpulan Utusan.
Karya beliau yang memenangi anugerah tersebut bertajuk Calon Menantu Mak Engku dan Mimpi Anak Pendatang telah dimuatkan dalam antologi Cinta Sekerdip Embun dan Cempiang Jalanan.
Antara buah tangannya yang terbaharu ialah cerpen yang berjudul Mawar Tiga Warna yang dibukukan dalam novel Antalogi Romantika. Novel tersebut turut memuatkan kompilasi cerpen daripada empat novelis terkenal lain iaitu Iris Ixora, Eka Fahara, Damya Hanna dan Nurassyi Rashid.
Mawar Tiga Warna mengisahkan tentang liku-liku hidup wanita bernama Wani yang pernah gagal dalam percintaan.
Kegagalan itu membuatkan dirinya takut untuk bercinta lagi setelah kejujuran yang diberikan kepada bekas kekasih tidak mendapat balasan yang setimpal. Kesetiaan Wani dikhianati.
“Fobia terhadap cinta membuatkan Wani hilang kepercayaan terhadap cinta lelaki.
“Sekeras manapun Wani menolak cinta, akhirnya takdir menemukan dia dengan majikan baharunya, Shah yang sudah pun berkeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Klang, Selangor baru-baru ini.
Kisah cinta itu digarap dengan menyelitkan beberapa insiden ‘kebetulan’ antara Wani dan Shah sehingga membuatkan wanita tersebut jatuh hati dengan personaliti majikannya yang begitu mengambil berat.
Simbolik Mawar Tiga Warna mewakili watak tiga lelaki dan tiga wanita yang melatari cerpen sepanjang 105 muka surat itu. Tiga lelaki itu ialah bekas tunang kedua Wani iaitu Rafiq, bapa Wani dan Shah manakala tiga wanita dalam cerpen itu ialah Wani, ibunya, dan ibu teman baiknya, Syirin yang pernah melalui pengalaman dimadukan suami.
Kisah sedih yang dilalui ibu Syirin membuatkan Wani berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk membina kebahagiaan atas kesedihan wanita lain.
Cerpen tersebut dibiarkan tergantung seperti beberapa naskah Puteri Andalas yang lain. Beliau mahu menguji dan memberi peluang kepada pembaca membuat kesimpulan mereka sendiri mengikut gerak hati masing-masing.
Pembaca boleh mendapatkan cerpen berkenaan dan empat cerpen menarik lain dalam novel Antalogi Romantika di kedai-kedai buku di seluruh negara pada harga RM26.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1104&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2jfrB6SDW
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...