Saturday, November 2, 2013

Tarikan terbaharu Disneyland Hong Kong


MYSTIC POINT merupakan tarikan terbaharu dan tercanggih di Disneyland Hong Kong.


TARIKAN terbaharu di Taman Tema Disneyland Hong Kong, Mystic Point bermula dengan mengikuti pengembara eksentrik dan pengumpul karya seni, Lord Henry Mystic.
Beliau akan menjemput setiap pengunjung menaiki gerabak yang dijana oleh tenaga elektromagnet untuk melihat muzium peribadinya yang terletak dalam rumah agam gaya Victorian.
Tatkala peneman Lord Henry, seekor monyet bernama Albert memainkan sebuah kotak muzik magis dan habuk muzik di dalamnya keluar bersama nada-nada seram, maka perjalanan penuh misteri para pengunjung pun bermula.
Mystic Point merupakan bahagian terakhir dalam projek pembesaran yang dibuat di Disneyland Hong Kong yang telah dibuka secara rasmi pada 17 Mei lalu.
Ia menawarkan karakter-karakter serba baharu, efek-efek khas dan keanggunan seni bina bangunan tersendiri.
Setiap satu tarikan digabungkan dengan teknologi untuk membawa para pengunjung ke dunia penuh imaginasi.
"Mystic Point menandakan penyelesaian projek pembesaran Disneyland Hong Kong. Tarikan ini merupakan satu-satunya di sini dan tiada di taman-taman tema Disney lain seluruh dunia," kata Presiden dan Pengarah Urusan Asia Walt Disney Parks and Resorts, Bill Ernest dalam satu kenyataan media.
Saiz Disneyland Hong Kong telah diperluas hampir 25 peratus dengan penambahan tarikan Toy Story Land pada tahun 2011, Grizzly Gulch (2012) dan Mystic Point (2013).
Projek pembesaran itu sekali gus telah menambah tarikan yang ada menjadi lebih 100 jenis termasuk kemudahan hiburan dan tempat-tempat pertunjukan.
"Buat pertama kali, para pelawat akan begitu asyik dengan keunikan pengembaraan berbentuk teater yang menggabungkan jalan cerita tradisonal dengan teknologi serta efek khas," ujar Ernest.

GERABAK elektromagnet ini membolehkan pengunjung melihat semua artifak yang dipamerkan.


Gerabak yang dijana oleh elektrik magnet atau dikenali Mystic Magneto-Electric Carriage dalam Mystic Manor merupakan sistem pengangkutan yang paling canggih dalam sejarah Disney.
Mystic Magneto-Electric Carriage merupakan pengangkutan pertama yang tidak mempunyai trek dengan menggunakan aplikasi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) oleh Disney.
Setiap satu gerabak membawa ke posisi yang berbeza pada bila-bila masa sekali gus menawarkan perspektif unik dan pengembaraan mengasyikkan kepada para pengunjung.
Selain sistem pengangkutan yang canggih, muzik latar yang menyeramkan ketika kotak muzik dibuka dan berterusan sepanjang cerita telah direka oleh penerima Anugerah Grammy, Danny Elfman.
Bukan setakat itu, terdapat lebih 7,000 buah artifak berada di taman tema itu manakala di Garden of Wonders, terdapat beberapa arca dan mozek kuno dipaparkan secara ilusi tiga dimensi.
Para pengunjung mesti melihat pada sudut tertentu yang betul bagi memecah misteri yang membelenggu sekali gus menawarkan peluang mengambil foto paling mendebarkan.
Selepas melawat Mystic Manor, para pelawat boleh menjamu selera di Restoran Explorer's Club yang mempunyai pensijilan halal.
Boleh memuatkan 500 tempat duduk, restoran itu mempunyai ruang makan dengan tema berbeza tema yang menggambarkan budaya dan gaya lokasi seperti Mesir, Rusia, Maghribi, India dan China.
Selepas puas mengembara dan menikmati makanan di restoran itu, jangan lupa ke Archive Shop untuk memilih lebih 140 jenis barangan cenderamata sebagai kenang-kenangan di Disneyland Hong Kong.
Sejak pembukaan rasmi Disneyland Hong Kong pada bulan September 2005, ia menerima lebih 38 juta pengunjung dari seluruh dunia.
Taman tema itu mempunyai 5,000 orang pekerja yang bertugas di taman tema dan dua buah hotel yang terdapat di sana.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz2jTUQq6FQ
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...