Saturday, November 2, 2013

Pengalaman realistik di kubu perang Jerman


RUANGAN khas yang mempamerkan senjata-senjata yang digunakan semasa Perang Dingin.


TIDUR di atas tilam yang usang, memasak makanan sendiri dan kawasan sekitar yang dikawal oleh pengawal keselamatan pasti merupakan igauan ngeri buat sesiapa sahaja.
Namun, bagi sesetengah pelancong di Jerman, mereka sanggup membayar sebanyak AS$150 (RM471) untuk merasai pengalaman tinggal selama 16 jam di sebuah kubu Perang Dingin yang kini dijadikan muzium.
Bagi kumpulan itu, ia merupakan peluang terbaik untuk mereka menyelami kehidupan sebagai seorang askar ketika perang di Jerman Timur pada tahun 1970-an.
Terletak di kawasan hutan sejauh 321 kilometer dari ibu kota Jerman, Berlin, pelancong dibawa untuk menginap di Muzium Bunker yang telah dibuka kepada umum pada awal Oktober lalu.
Dengan pintu depan yang berselindung di sebalik sebuah pondok dan sebuah kereta kebal tentera diletakkan di bahagian luar, kubu yang berusia lebih 40 tahun itu sebelum ini dikendalikan oleh polis rahsia Stasi yang digeruni.
Tujuan utama pembinaannya ialah untuk membolehkan pasukan elit ketenteraan negara itu untuk mempunyai sebuah pusat kawalan sekiranya berlaku peperangan.
Uniknya, pengalaman pengunjung menjadi lebih realistik apabila mereka perlu berpakaian seperti seorang pejuang pada era silam itu dengan seragam lengkap dan menjalankan rutin yang dilakukan askar terdahulu.

PARA pengunjug berpeluang merasai pengalaman menjadi tentera, termasuk berpakaian uniform lengkap Tentera Rakyat Jerman Timur.


Syarikat Waldhotel Rennsteighoehe, yang mengendalikan pakej pengalaman realiti itu berkata, ia menyediakan pengalaman sebenar kepada para pengunjung.
"Permintaan kekal tinggi. 'Percutian ini' harus dilihat sebagai satu pendedahan ringan dan tidak dianggap terlalu serius. Namun demikian, pengunjung yang datang mahu menikmati sebahagian daripada lipatan sejarah negara ini dan itu yang kami sediakan kepada mereka," kata Manuel Ebert yang bekerja di muzium itu.
Pengalaman
Seorang tetamu yang bermalam di hotel tersebut bersama dua orang anaknya, Hans-George Tiede, 66, memberitahu, dia pernah hidup di bawah pemerintahan Tentera Rakyat Jerman Timur pada tahun 1972.
"Melalui pengalaman ini, saya dapat mengetahui mengenai pembinaan kubu di bahagian timur negara ini," ujarnya kepada Reuters.
Tiba di pekarangan muzium berkenaan, setiap tetamu akan diberi pakaian seragam Tentera Rakyat Jerman Timur seperti jaket, tali pinggang, topi dan topeng gas. Paling penting ialah kalung besi pengenalan diri yang perlu dipakai setiap masa.
Selepas itu, seorang 'pegawai' yang memakai seragam memberi arahan yang tegas kepada pengunjung untuk berbaris dan berkawat masuk ke muzium.
Dalam muzium itu, kelihatan deretan raifal semi automatik jenis Kalashnikov atau AK-47 buatan Rusia, bom tangan, pemancur dekontaminasi dan tong bekalan oksigen menghiasi bahagian dinding. Bagi mengekalkan ketulenan keadaan persekitaran silam lokasi itu, setiap barangan disusun dalam keadaan asal.
Ketika kubu itu digunakan semasa Perang Dingin, ia direka untuk menempatkan seramai 400 askar dalam tempoh dua minggu. Antara yang pernah mendapat perlindungan di situ ialah Erich Honecker yang mengetuai Republik Demokratik Jerman pada tahun 1971 hingga 1989.
Dia merupakan antara individu yang bertanggungjawab membina Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur.

BILIK pertukaran talian telefon merupakan tempat Tentera Rakyat Jerman Timur berkomunikasi dengan pihak Rusia.


Selain tidur dalam keadaan sederhana, tetamu juga berpeluang menyediakan sendiri menu yang dimakan oleh tentera sewaktu perang yang berakhir pada tahun 1989 itu.
Antara bahan memasak yang disediakan adalah kentang, sosej pedas tempatan dan makanan dalam tin.
Pelancong dibenarkan untuk berbual-bual dengan tetamu lain sambil menikmati hidangan itu hanya pada waktu malam.
Selain itu, makanan dalam tin yang dimakan oleh tentera sewaktu perang tersebut juga menghiasi dinding bahagian dapur kubu itu. Tin-tin tersebut tidak pernah dibuka sejak 40 tahun lalu.
Tetamu yang bermalam di Muzium Bunker itu kebanyakannya menerima hadiah berupa baucar penginapan daripada rakan-rakan atau keluarga mereka. Kebanyakan mereka berpendapat bahawa ia merupakan salah satu cara terbaik untuk merasai sejarah perang yang pernah melanda negara itu.
Sebagai langkah keselamatan, hanya tetamu yang berusia 18 hingga 75 tahun dibenarkan bermalam di sana.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz2jTTnRzYz
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...