Saturday, November 2, 2013

Uzbekistan kota cinta, budaya dan sejarah



GELORA angin lintang di kawasan pergunungan Dushanbe, Tajikistan sebelum memasuki ruang udara Uzbekistan sedikit mencemaskan penumpang penerbangan Boeing 767-300ER Uzbekistan Airways.
Kembali ke laluan asal mengatasi awan-gemawan gelap, pesawat yang memuatkan lebih 250 penumpang itu akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent, Uzbekistan, genap lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur.
Pertama kali penulis menjejakkan kaki ke bumi Uzbekistan perasaan teruja tidak dapat digambarkan. Benar kata pepatah, jauh berjalan luas pandangan.
Rumput bumi Uzbekistan terbias warna keemasan, dedaun yang bersilang-silang luruh ke tanah mewujudkan satu suasana nan indah. Ia menandakan musim sejuk hampir tiba di negara itu.
Ya, Uzbekistan merupakan sebuah negara empat musim yang musimnya berubah setiap empat bulan sekali.
“Lebih indah apabila penduduk negara ini masih dapat menyaksikan matahari terbit dan terbenam setiap hari sepanjang tahun walaupun pada musim sejuk,” kata penuntut Universiti Nasional Bahasa Antarabangsa Uzbekistan, Mirjalol Mirsabitov, 22.
Atas faktor itu, Uzbekistan digelar Bandar Matahari (City Of Sun) memandangkan penduduknya juga bergantung pada hasil bumi daripada sumber cahaya matahari seperti gandum, jagung, beras dan paling utama, kapas.

ARCA ilmuan Islam menjadi lambang Dataran Registon pernah menjadi tempat pembelajaran terkemuka suatu ketika dahulu.


Agama Islam
Majoriti daripada 2 juta penduduk di ibu kota Uzbekistan, Tashkent beragama Islam dan selebihnya penganut agama Kristian Ortodoks Rusia.
Maka, tidak hairanlah masyarakat Islam di sini masih menganggap institusi madrasah sebagai pusat pendidikan dan penyebaran agama Islam yang penting.
“Di Kompleks Hizrati Imam, terdiri tujuh buah madrasah dan masjid yang masih digunakan oleh penduduk tempatan. Begitu juga, Madrasah Kulkadosh yang popular sebagai pusat pembelajaran tulisan khat khususnya bagi golongan remaja dan kanak-kanak,” tambah Mirjalol.
Menurutnya, Kompleks Hazrati Imam, yang sebelum ini pernah distrukturkan semula pada tahun 2007 selepas mengalami kerosakan ekoran gempa bumi kecil, terdiri daripada Masjid Hizrati Imam, Masjid Namozgoh, Masjid Tilla Shayx, Madrasah Baroqxon dan Madrasah Moyi Muborak.
Selain itu, kompleks tersebut turut memuatkan Musulmonlari Idorasi iaitu tempat pembelajaran khusus untuk golongan wanita dan sebuah muzium yang menempatkan naskhah asal al-Quran rasm Uthmani yang digelar Muzium Qaffol Shoshiy.
Tidak jauh dari lokasi itu, terdapat sebuah bazar yang menempatkan semua hasil pertanian dan tempatan yang dikenali sebagai Chorsu Plaza.

PAKAIAN tradisi masyarakat Uzbek yang diperbuat daripada kain baldu dan disulam.


Di pasar itu, pelbagai jenis barangan boleh ditemui seperti pakaian, pelbagai jenis makanan dan rempah-ratus yang digunakan secara meluas dalam sajian masyarakat tempatan.
Selain Chorsu Plaza, Oloy Bozori juga merupakan salah sebuah pasar yang terkenal di wilayah Tashkent. Pasar itu tidak terlalu padat dengan penjual malah seni binanya masih baharu berbanding Chorsu Plaza yang telah bertapak sejak 1051 Masihi.
Khazanah unik
Menurut penjual rempah di Oloy Bozori, Kamiljaan, 48, jintan hitam, lada hitam, serbuk cayenne, barberi, ketumbar, daun bay, bunga cengkih dan bijan merupakan rempah utama yang sering digunakan dalam masakan Uzbekistan.
“Bawang putih dan lobak pula biasa dijadikan penambah rasa memandangkan ia agak pedas. Buah-buahan seperti delima, plum, alcha dan kismis pula memberikan rasa manis dalam sajian,” katanya yang lebih dua dekad berniaga di pasar berkenaan.
Kebolehan pelancong berbahasa Inggeris kurang membantu ketika berurusan di pasar itu berikutan kebanyakan peniaga menggunakan bahasa ibunda mereka selain bahasa Rusia.
Pernah dijajah Kesatuan Soviet dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 1 September 1991, Uzbekistan masih menyimpan khazanah unik dalam perut buminya.
Sistem pengangkutan bawah tanah, Tashkent Metro dianggap antara terindah di dunia. Ia dibina pihak Soviet pada tahun 1973 dan siap tiga tahun kemudian. Setiap stesen mempunyai seni bina yang unik dan masih kekal hingga ke hari ini.

MAKAM Amir Timur yang terkenal dengan kemampuan menakluk barat, selatan dan tengah Asia.


“Hiasan dalaman stesen-stesen ini menggunakan material seperti besi, kaca, plastik, granit, marmar, seramik dan batu pualam yang terukir.
“Malah, sistem Tashkent Metro dibina tiga tingkat dengan tiga jajaran berbeza iaitu Chilanzar (dibuka pada tahun 1977), Uzbekistan (1984) dan Yunusabad (2001) menghubungkan seluruh ibu kota Tashkent dan membawa seramai 450,000 penumpang setiap hari,” kata penduduk tetap Tashkent, Shakhboz Shamsiddinov, 20.
Menurut Shamsiddinov, terdapat sebanyak 29 buah stesen yang menghubungkan ketiga-tiga jajaran sejauh kira-kira 38 kilometer itu dan sebuah jajaran baharu sedang dalam pembinaan.
Difahamkan, terowong yang luas di stesen kereta api bawah tanah itu berfungsi mengawal sistem pengudaraan dan kelembapan udara.
Di samping itu, laluan kereta api bawah tanah tersebut juga dibina bagi menahan gegaran gempa bumi di Tashkent.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz2jTT8RUJf
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...