PADA Sukan SEA 2009 di Laos, skuad wusyu negara berjaya memperoleh tiga pingat emas menerusi Loh Jack Chang, Chai Fong Ying dan Diana Bong.
Bagaimanapun, pada temasya di Indonesia yang akan membuka tirainya pada Jumaat ini, mereka hanya meletakkan sasaran untuk membawa pulang dua pingat emas.
Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia, Datuk Seri Kee Yong Wee berkata, sasaran itu adalah praktikal kerana skuad kali ini merupakan gabungan antara pemain senior dan pelapis.
"Ia lebih kepada mencari pengalaman di pentas antarabangsa bagi atlet pelapis dan bagi atlet senior, ia adalah tempat dan masa untuk memperbaiki teknik serta mengutip pingat sekiranya memperoleh peluang," katanya.
Pada penampilan kali ini, seramai 12 atlet akan beraksi dalam dua kategori utama iaitu Taolu danSanshou.
Sebanyak 20 pingat emas ditawarkan dalam 15 acara yang akan memulakan saingan pada 18 November ini.
Sementara itu, bagi Diana yang membuat penampilan kali ketiga di Sukan SEA mengakui lebih tenang untuk menghadap temasya itu nanti.
"Bebanan sebenar adalah ketika berada di Kejohanan Wushu Dunia di Ankara, Turki baru-baru ini. "Untuk Sukan SEA, tugas saya hanya memberi persembahan terbaik dan berusaha mendapatkan pingat dan ia tidak memberi sebarang tekanan kepada saya," ujarnya.
Malah, satu perak dan satu gangsa yang diperolehnya dalam disiplin Nanquan dan Nangun di Ankara tempoh hari secara tidak langsung menyuntik semangat untuk merangkul emas pada temasya yang akan berlangsung di Senayan, Jakarta itu.
Ujar Diana lagi, tanpa kehadiran rakan senegara, Fong Ying, sasaran dua pingat emas yang diletakkan persatuan perlu direalisasikan terutama oleh atlet senior.
Ini kerana, ia menjadi tanggungjawabnya dan rakan pasukan lain akan berusaha untuk mengurangkan kesilapan ketika bertanding.
"Untuk mendapat mata atau kehilangan mata, ia umpama satu garis halus. Jadi, tiada kesilapan mudah patut dilakukan," katanya.
Bagi Loh Jack Chang yang turut menggalas tanggungjawab sebagai atlet senior, kemenangan di Ankara memberinya keyakinan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA 2009 di Laos.
"Saya percaya akan bertemu semula lawan yang sama di Indonesia nanti," kata anak kelahiran Miri yang membuat penampilan kedua pada kejohanan dunia lalu.
Rakan sepasukan, Ng Shin Yii pula berazam untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi Fong Ying lalu, sekali gus menumpaskan peserta Indonesia.
"Indonesia mempunyai peserta terbaik serta handal. Jadi saya akan berusaha sebaik mungkin sekiranya berhadapan dengan mereka nanti," ujarnya.
Dalam pada itu, Tan Pei Pin yang merupakan barisan pelapis mengakui sedikit gementar pada penampilan pertama di Sukan SEA.
"Saya sedang berusaha cuba mempertingkatkan skil terutama aspek kepantasan. Yang lain, saya tidak mahu fikir lagi walaupun saya akan berusaha untuk memberi pingat kepada negara," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA, Datuk Naim Mohamad memberi jaminan bahawa pihak tuan rumah akan adil dalam penghakiman.
"Mereka telah berjanji akan berlaku adil terhadap penghakiman dalam setiap pertandingan, terutamanya yang melibatkan peserta mereka (Indonesia).
"Justeru, kita akan mengambil pendekatan positif, tiada prejudis dan bersangka baik," katanya.
Tambahnya lagi, tumpuan utama atlet sekarang adalah untuk mempertajamkan teknik mereka untuk menghadapi musuh tradisi, Vietnam dan juga peserta tuan rumah, Indonesia.
No comments:
Post a Comment