MALANG yang menimpa skuad negara pada dua perlawanan awal Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor 2011 tidak mematahkan semangat pemain untuk mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir.
Malaysia yang dibimbing Mohd. Dharma Abdullah hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan selepas tewas 1-2 kepada Australia pada Sabtu lalu sebelum terikat 1-1 dengan New Zealand kelmarin.
Begitupun, skuad Projek 2013 negara itu tetap optimis untuk mengumpul mata maksimum pada baki tiga perlawanan menentang pasukan Korea Selatan, Pakistan dan India di Stadium Hoki Taman Daya.
Menurut Dharma, pertemuan menentang Korea Selatan hari ini bakal menjadi penentu kedudukan sebenar Malaysia dalam kejohanan jemputan enam negara itu.
“Sudah dua hari berturut-turut kami berdepan nasib malang kerana gagal mencipta kejayaan meskipun mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Mungkin pemain agak tertekan kerana beraksi di depan penyokong sendiri kerana gagal memanfaatkan peluang yang ada terutama melalui pukulan sudut penalti.
“Namun, kami tidak mempunyai pilihan selain harus menewaskan Korea Selatan pada perlawanan seterusnya meskipun kami sedar ia bukanlah tugas yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan kelmarin.
Pada aksi kelmarin, Malaysia ketinggalan seawal minit kesembilan menerusi jaringan Kane Russel sebelum bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Amir Farid Ahmad Fuzi di minit ke-62.
Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Seung Soong Tae tetap merendah diri menjelang aksi menentang Malaysia meskipun selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut.
Menurutnya, pemain Malaysia mempunyai kemahiran yang tinggi hasil persediaan rapi sejak dua tahun lalu berbanding Korea Selatan yang hanya sempat menjalani latihan pusat tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia.
“Bagaimanapun, kami akan tetap cuba memberikan aksi terbaik untuk menewaskan Malaysia kerana kekuatan kami terletak pada semangat juang yang tinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment