Thursday, November 24, 2011

Neelofa Semakin laku

Semakin laku
Nama Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa memang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanah air. Biarpun baru 10 bulan bertapak dalam bidang seni, namun pencapaian gadis ini boleh dianggap membanggakan.
Sehingga kini, Neelofa atau mesra disapa Lofa sudah membintangi empat filem antaranya Azura 2011, Hantu Kapcai, Saya Amat Mencintaimu (SAM) dan Lemak Kampung Santan. Selain filem, Lofa juga terlibat beberapa drama seperti Jiwa dan Lara, Kitab Cinta dan Tahajud Cinta.
Tidak terbatas dalam bidang lakonan, rezeki Neelofa dalam bidang pengacaraan turut sama ligatnya. Dalam pada sibuk dengan program Paparazzi di KRU TV, Neelofa bakal mengacarakan program Nona bersama Fara Fauzana bermula tahun hadapan.
"Alhamdulillah, Lofa begitu terharu dengan rezeki yang Lofa terima sekarang. Mengenai tawaran mengacara program Nona, sejujurnya ia impian Lofa dalam lapangan seni ini.
"Semasa Lofa ditemu bual dalam sebuah majalah September lalu, Lofa ada mengatakan, jika Lofa berpeluang mengacara program Nona, ia pencapaian paling besar dalam karier Lofa. Tidak sangka, Oktober lalu Lofa pergi menjalani uji bakat dan tidak lama lagi, Lofa akan mengacara program berkenaan bersama Fara Fauzana.
“Program Nona ada enam segmen di mana Lofa dan Fara diberi satu atau dua segmen setiap seorang. Lofa akan memulakan rakaman Nona pada bulan ini di Lombok dan Bali, Indonesia. Setakat ini, rakaman di luar negara akan diberi kepada Lofa sebab Fara sibuk dengan tugasannya di sini. Difahamkan, kami juga tidak akan bersama dalam satu segmen," katanya yang ditemui selepas pelancaran filem Azura, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Neelofa tidak memandang enteng tanggungjawab yang diberikan, sebaliknya menganggap ia satu tugasan berat untuk dilaksanakan.
"Pengacaraan bidang paling Lofa minati. Ketika berada dalam pertandingan Dewi Remaja lagi, Lofa sudah bercita-cita menjadi pengacara. Cuma tawaran berlakon datang dulu.
"Tetapi bila diberi kesempatan seperti ini, tentunya Lofa mahu buat sehabis baik. Apatah lagi, Lofa dan Fara mahu membantu menaikkan semula rating Nona.
"Lofa rasa penonton tidak boleh membandingkan Lofa dan Fara seperti pengacara sebelumnya. Cara kami berbeza dan kandungan pada tahun depan juga berbeza. Jadi kita lihat saja hasilnya bagaimana," katanya.
Tumpu pada filem
Neelofa berkata, jadual pengacaraan tidak mengganggu jadual lakonannya. Justeru bagi memberi masa terbaik, Lofa terpaksa menolak beberapa tawaran drama dan hanya memberi tumpuan kepada filem dan pengacaraan sahaja.
"Bukan Lofa menolak untuk berlakon drama, tetapi mahu memberi komitmen kepada filem dan pengacara. Lagipun tempoh penggambaran drama lebih lama dari filem. Jadi Lofa takut terkejar-kejar dan menyusahkan pihak lain nanti.
“Tapi jika ada tawaran drama yang baik dan mempunyai skrip yang kuat Lofa akan mempertimbangkannya,” katanya.
Bagaimanapun, Neelofa mengakui kini dalam proses perbincangan menjayakan sebuah drama bersama pengarah terkenal, Eirma Fatima.
“Saya ada berbincang dengan Eirma Fatimah untuk bekerjasama berlakon dalam sebuah drama dan kini masih lagi dalam peringkat awal,” katanya.
Berkongsi mengenai pengalaman pertamanya berlakon dalam filem Azura, Neelofa mengakui kebanyakan cara pembawaannya menerusi filem itu adalah dirinya sendiri.
Katanya, 80 peratus perwatakan yang disampaikan adalah dirinya sendiri.
"Lofa tiada pengalaman berlakon. Jadi Lofa banyak letakkan diri Lofa dalam perwatakan Azura. Justeru boleh Lofa katakan cara marah, bercakap, menangis dalam filem ini adalah cara Lofa.
"Cuma bezanya adalah jalan cerita dan keadaan sekeliling. Malah Lofa berterima kasih kepada abang Aziz M Osman dan Shahz Jaszle kerana banyak membantu Lofa menyampaikan karakter Azura," katanya.
Selain filem Azura yang akan menemui penonton pada Februari 2012, filem lain lakonan Neelofa yang akan menyusul di pawagam adalah Hantu Kapcai, Lemak Kampung Santan dan Saya Amat Mecintaimu (SAM).
Bakal jadi penyanyi
Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini akan muncul dengan filem kelimanya berjudul Taiko. Filem arahan Syariman Yaacob ini merupakan filem sulung terbitan syarikat milik pelakon Zed Zaidi iaitu Dzed Resources Sdn Bhd.
“Sebelum dapat tawaran, Lofa memang berangan nak berlakon dalam filem aksi. Secara kebetulan Lofa ditawarkan untuk filem ini, jadi Lofa terus terima. Ramai juga orang mempertikaikan boleh ke Lofa bawa watak lasak sedangkan Lofa nampak lembut.
“Sebenarnya, ramai orang tak tahu karakter Lofa macam mana. Masa zaman sekolah, Lofa lasak sangat. Semua sukan Lofa masuk termasuk kick-boxing. Luaran saja nampak macam ini, tapi sebenarnya Lofa memang suka lakukan aktiviti lasak," katanya.
Selain Neelofa, filem Taiko turut dibintangi Zed Zaidi, Faizal Hussein, Maria Farida, Namron, Beto Kusyairy, Azhan Rani, Riz Ainuddin dan ramai lagi. Apa yang menariknya, lagu tema filem ini juga khabarnya bakal dinyanyikan Neelofa sendiri.
“Lofa memang tak minat menyanyi. Namun bila mereka minta Lofa menyanyi, Lofa teruja sangat walaupun suara tak sedap. Lofa beritahu mereka Lofa tak boleh menyanyi, tapi Lofa pernah ke kelas vokal pada tahun lalu. Jadi, sedikit sebanyak Lofa dah bersedia untuk menyanyi nanti.
“Menurut pihak produksi, Lofa kena menyanyi sikit saja, jadi Lofa tak risau sangat. Malah, Lofa menyanyi hanya untuk filem saja dan bukan sebagai karier tetap Lofa,” ujar gadis berusia 22 tahun ini.
Hans Isaac vs Shahz Jaszle
Tidak sekadar terkenal dengan bakat lakonannya, gosip percintaan Neelofa bergerak seiring perkembangan karier seninya. Jika sebelum ini nama Neelofa dikaitkan dengan Shahz Jaszle, yang juga pasangannya dalam filem Azura, kini namanya dikaitkan pula hero filem terbarunya, Lemak Kampung Santan, Hans Isaac. Menyentuh mengenai perkara itu, Neelofa mengakui terpaksa akur dengan gosip cinta yang datang silih berganti.
"Sejujurnya, Lofa memang pernah rapat dengan Shahz. Tetapi hubungan kami tidak lebih dari seorang kawan. Bila tamat penggambaran Azura, kami membawa haluan masing-masing dan jarang berhubung.
"Sama juga halnya dengan Hans Isaac. Lofa tidak nampak di manakah sebab orang mengatakan kami bercinta. Jika kami berjumpa pun, untuk membincangkan soal kerja.
"Namun Lofa tidak mahu bercakap lebih-lebih mengenai perkara ini (hubungan cinta dengan Hans Isaac)," katanya.
Namun tatkala ditebak mengenai soalan mereka sengaja mengada-adakan hubungan cinta untuk tujuan mempromosi filem, Lofa pantas menolak.
"Jika Lofa menggunakan cara itu untuk mempromosikan kerja Lofa, Lofa anggap ia sebagai pembunuh karier Lofa.
"Tapi Lofa memang tidak boleh mengelak, kerana setiap kali muncul dengan filem baru, nama Lofa mesti dikaitkan dengan pasangan Lofa. Jadi Lofa memang sudah imun dengan gosip berkenaan.
"Lofa rasa gosip cinta cuma perkara minor dalam karier Lofa. Cuma Lofa lega untuk filem Taiko pasangan Lofa adalah Zed Zaidi. Jadi orang mesti tidak akan gosipkan Lofa kerana dia sudah berkahwin," katanya.
Obses pada kasut
Tidak sekadar berbakat dan berwajah cantik, Neelofa juga sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan semenjak Jun tahun lalu menerusi bisnes menjual kasut melalui Internet.
Neelofa berkata, dia obses terhadap kasut tumit tinggi bukan sejak terbabit sebagai artis, malah dari zaman sekolah lagi.
Minatnya semakin menebal apabila menyertai pertandingan Dewi Remaja kerana kerjaya sebagai model dan pelakon memerlukan dia bergaya dengan kasut tumit tinggi.
Katanya, apabila kerap mengadakan pertunjukan fesyen atau sesi fotografi, dia sering menghadapi masalah kerana tidak ada kasut sesuai dengan pakaian.
“Bila kerap sangat menghadapi masalah mencari kasut yang sesuai dengan pakaian, Lofa mula melayari Internet dan akhirnya bertemu dengan satu laman web ini.
“Lofa tertarik dengan kasut yang ditawarkan kerana setiap kasut yang dijual di inspirasi untuk selebriti Hollywood. Daripada menjadi pembeli, Lofa terus buat rancangan untuk menjual. Sebab setiap kali pakai kasut, ada kawan-kawan tanya beli di mana dan dari situ jugalah timbul idea untuk Lofa berniaga kasut,” jelasnya.
Menurut anak ketiga daripada sembilan beradik ini, pada mulanya dia takut membuat tempahan, tetapi akhirnya dia menyedari perniagaan adalah satu risiko dan dia reda dengan apa yang bakal mendatang.
Kini, Neelofa boleh tersenyum bangga kerana perniagaan yang pada awalnya untuk suka-suka sudah berkembang maju kerana selain rakan-rakan dan teman artis, orang ramai juga sudah mengenali fesyen kasut jualannya.
“Sekarang ini sekali tempahan, Lofa akan ambil lebih 200 pasang kasut. Kebanyakan fesyen kasut yang Lofa pilih berdasarkan kesukaan sendiri dan Lofa yakin ia boleh dijual," katanya
Menurutnya, kasut tumit tinggi dari serendah empat hingga enam inci pelbagai warna itu dijual pada harga RM170 hingga RM300 yang boleh dilayari di http://neelofaheels.blogspot.com.
Pelakon yang mempunyai ketinggian 158 sentimeter itu berkata, dia telah pun mendaftar jenama Neelofa dan Lofa untuk perniagaan kasutnya itu.
"Alhamdulillah, melalui geran permulaan bernilai RM200, 000 melalui program APEC Young Entrepreneurs’ Summit, dapat membantu Lofa untuk membuat penjenamaan semula perniagaan Lofa.
“Anggaran kos bernilai RM500,000 diperlukan untuk memulakan perniagaan kasut ini bermula daripada proses rekaan, pengilangan sehinggalah kepada pemasaran. Namun, geran bernilai RM200,000 secara keseluruhannya akan saya gunakan untuk bajet promosi dan penjenamaan semula. Insya-Allah, geran ini dapat membantu meringankan beban saya untuk memajukan perniagaan,” katanya.
@sinarharian.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...