Friday, November 4, 2011

Menjejak Bumi Laskar Pelangi

Jika sebelum ini keindahan Pulau Belitung hanya dapat GUA gambarkan di layar perak menerusi filem Laskar Pelangi, kini keindahan tersebut berada di depan mata. Bermula 28 September lalu, selama empat hari GUA berada di Pulau Belitung menghirup udara segar sambil meminum air kelapa muda, menghirup kopi di kota digelar Seribu Kopi, bersampan dari satu pulau ke satu pulau dan melihat anak-anak ikan berkejaran mendapatkan roti dari permukaan laut. Itulah antara aktiviti yang GUA lakukan sepanjang empat hari di bumi Laskar Pelangi. Tempoh 96 jam terasa begitu cepat berlalu.

GUA terbang ke Pulau Belitung dari Jakarta ke Tanjungpandan menggunakan pesawat Srivijaya dengan kos sebanyak Rp400,000 pergi balik. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk tiba di Bandara H.A.S. Hanandjoeddin. Setibanya di Tanjungpandan, pengurusan bagasi mengambil masa yang agak lambat kerana kaedah manual masih digunakan di lapangan terbang itu.
Hari 1
Tanjung Tinggi - lokasi penggambaran filem Laskar Pelangi
Ketibaan GUA disambut pemandu pelancong bernama Ipung dari Belitungisland.com. Mesra sapaannya. Oleh kerana GUA tiba dengan pesawat tengahari, kami terus dibawa ke Tanjung Tinggi. Terletak 30km di luar kota Tanjungpandan, Tanjung Tinggi merupakan pantai berpasir putih di sebuah teluk yang cukup indah diapit dua semenanjung yang terdiri daripada batu-batu granit.

Di sinilah berlangsungnya penggambaran untuk filem Indonesia yang telah mencetuskan fenomena sekitar tahun 2008 iaitu Laskar Pelangi. Selain berlarian di antara batu-batu granit bagi mengimbas apa yang pernah dilakukan oleh pelakon filem tersebut, GUA juga menghabiskan masa merakamkan foto-foto dan menjelajahi batu-batu granit di sepanjang pantai itu.
Tanjung Tinggi - pemandangan pertama yang GUA saksikan setibanya di situ
Sejujurnya tiada aktiviti yang menarik untuk dilakukan di Tanjung Tinggi selain merakamkan foto, bermain pasir, memecah ombak dan melawat tinggalan lokasi penggambaran filem tersebut. Keindahan foto menjelang matahari terbenam turut GUA rakamkan di Tanjung Tinggi.

Lewat senja GUA dibawa ke Hotel Billiton, sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang terletak di kota utama di Pulau Belitung iaitu Tanjungpandan. GUA memilih untuk menginap di hotel tersebut kerana harganya yang amat berpatutan iaitu Rp650,000 semalam.

Malam itu GUA menikmati makan malam yang rata-ratanya makanan laut di Restoran Congbu, sebuah restoran makanan laut yang berdekatan.
Hari 2
Selesai menikmati sarapan pagi, GUA bersiap-siap untuk meneruskan aktiviti yang paling dinanti-nantikan iaitu melawat SD Muhamaddiyah, sekolah yang dipopularkan menerusi filem Laskar Pelangi.
GUA tidak terus ke SD Muhamaddiyah, sebaliknya singgah di desa Manggar, kota kedua terbesar di Belitung. Desa Manggar digelar Seribu Kopi kerana di desa tersebut cukup dikenali dengan ribuan warung kopi. Pelbagai jenis kopi boleh dinikmati di desa tersebut.

GUA meneruskan perjalanan ke Burung Mandi untuk melawat sebuah kuil di atas bukit, Vihara Budhayana Dewi Kwan Im. Perjalanan dari Tanjungpandan ke Burung Mandi mengambil masa satu setengah jam. Tidak jauh sebenarnya tetapi jalan yang berliku dan tidak rata melambatkan masa perjalanan kami.
Pantai Burung Mandi
Pantai Burung Mandi
Di pantai Burung Mandi memang lokasi yang menarik untuk jurufoto seperti GUA.  Sememangnya GUA tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan pantai Burung Mandi. Berlatarbelakangkan langit yang cerah, air laut yang biru dan pasir yang putih, memang pantai itu cukup indah lukisannya.

GUA berhenti untuk makan tengahari di Restoran Lily di Bukit Samak. Masih belum puas merakamkan foto, GUA mendaki Bukit Serdang untuk merakamkan foto pantai dari atas bukit tersebut sebelum menyusuri pantai.
Akhirnya, yang paling GUA nantikan…
Sekolah Laskar Pelangi
SD Muhammadiyah - Sekolah Laskar Pelangi
SD Muhammadiyah - Sekolah Laskar Pelangi
Di sinilah letaknya Kampong Gantong atau lebih dikenali sebagai Kampong Laskar Pelangi. Di sini letaknya replikasi SD Muhammadiyah, sekolah desa yang condong dindingnya bagi menempatkan 10 pelajar miskin anak pesisir pantai yang mahu menikmati apa makna belajar.

Gantong dikelilingi ratusan danau bekas lombong bijih timah. Sewaktu di zaman Belanda hingga kini, Belitung merupakan antara pulau yang cukup kaya dengan sumber asli tersebut.

Gantong sememangnya tidaklah begitu besar. Selain lokasi asal penggambaran filem Laskar Pelangi, GUA melawat lokasi perumahan pejabat PN Timah yang disebut Gedung. Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan tersebut. Terpampang jelas papantanda “DILARANG MASUK BAGI YANG TIDAK BERHAK” di luar gedung tersebut.

Di sini terdapat banyak bangunan tua yang sudah ditinggalkan antaranya pejabat dan pusat bengkel PN Timah dan sebuah sekolah SD PN Timah yang mana bangunannya masih berdiri teguh hingga sekarang.
Bangunan asal SD Muhammadiyah sudah tidak dapat dilihat lagi, yang ada sekarang cumalah bangunan replica yang pernah digunakan untuk penggambaran filem tersebut. Kami juga turut dibawa melawat pasar sederhana di Gantong yang turut dijadikan tempat pertunjukan karnaval  dalam filem tersebut.
Bendungan Pice - empangan yang dibina sewaktu zaman penjajahan Belanda
Sudah penat dan GUA mahu berehat. Tempat terbaik adalah Pice, sebuah bendungan besar peninggalan Belanda di Sungai Linggang yang membelah desa Gantong. Kalau di dalam filem GUA melihat kedaifan desa Gantong tetapi sebenarnya Gantong tidaklah sedaif di dalam filem tersebut.

Bendungan atau pun empangan dibina bertujuan untuk mengatur permukaan air hulu Sungai Linggang bagi membolehkan kapal korek PN Timah beroperasi bagi mengorek timah dari dasar sungai.
Danau Kao Lin - anda harus berada di sana untuk menikmati keindahannya
Menjelang petang, GUA singgah di Danau Kao Lin sebelum kembali semula ke Tanjungpandan. Danau tersebut merupakan bekas lombong. GUA terkesima melihat keindahan danau tersebut. Putih pasirnya dan biru airnya. Sungguh indah.

Malam itu GUA menikmati makan malam di Restoran Mutiara Laut berdekatan hotel penginapan kami.
Artikel seterusnya, GUA akan kongsikan pengalaman melawat 5 pulau-pulau kecil di sekitar Pulau Belitung dan minum kopi di Warung Kopi Ake, warkop tertua yang dibina sekitar tahun 1921.
Akan turut GUA kongsikan ialah kos perbelanjaan GUA selama 4 hari 3 malam ke Pulau Belitung.

@gua.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...