Friday, November 4, 2011

Blog Makan Angin: Makan Kulit & Usus Lembu



Masih lagi di Pekan Baru, Riau. Kali ini saya menghadapi masalah yang paling mencabar apabila kena mencuba makan kulit dan usus lembu. Tak pernah seumur hidup saya makan kulit lembu lagi.



Mulalah saya terbayang lembu yang berkeliaran di bandar tersebut. Inilah makanan paling eksotik sepanjang program Makan Angin 2 dan demi pengikut-pengikut Makan Angin 2 ini, saya sahut cabaran untuk makan makanan yang pelik ini. Kalau nak tengok dengan lebih dekat, jangan lupa saksikan saya Jumaat ini, jam 8.30 malam pada 14 Oktober di TV9.



Di Sumatera memang terkenal dengan makanan keropok kulit lembu atau nama lain, Jangek. Saya sebenarnya pernah mendengarnya sebelum ini tapi tak tahu bentuknya. Malah, belum terlintas lagi di kepala untuk makan keropok tersebut sehinggalah hari ini.

Sebelum mencari barangan untuk menyediakan keropok kulit lembu ini, saya dan krew produksi sempat meninjau ke tempat Tenunan Siak. Mereka memang hebat! Bayangkan satu kain tenunan mereka boleh siap dalam masa 4 hari sahaja.



Harga-harga kain songket ni pulak berasaskan dari jenis benang yang digunakan dan juga tenunan yang dibuat. Semakin sukar pembuatannya, semakin mahal jugalah harganya. Di situ juga saya mencuba minum jamu yang dijual oleh seorang ibu yang kebetulan berada di sekitar kawasan tersbut. Katanya jamu ni memang elok untuk kesihatan kita dan juga kulit.

Ok, kini misi bermula. Saya singgah di Pasar Dupa Kenchana untuk membeli bahan-bahan masakan seperti telur, kentang, bawang dan juga tauhu. Selesai membeli kami terus ke hotel untuk rehat kerana jam 2 pagi kami akan ke rumah pemotongan haiwan untuk membeli kulit lembu! Menarik tak?



Apabila tiba di rumah pemotongan, sayalah paling teruja. Tapi dalam keterujaan itu timbul juga perasaan ngeri apabila tiba di sana yang seakan dewan, saya lihat darah lembu memenuhi kesemua lantai dewan. Namun, walaupun darah berselerakan, pemotongan lembu-lembu di sana dijalankan secara sistematik. Satu bahagian disediakan untuk penyembelihan dan beberapa bahagian lagi diasingkan untuk melapah bahagian tertentu. 



Bagi kita ianya agak mengerikan tapi bagi mereka ianya adalah biasa. Masing-masing menggunakan cara sendiri tapi masih lagi mengikuti hukum-hakam agama. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk melapah! Saya mencari mereka yang melapah kulit dan menyelenggarakan usus perut. Selesai membeli kulit dan usus lembu, kami terus pulang ke hotel. Barangan yang dibelikan tadi kami tumpang di rumah sahabat Pak Agus yang mempunyai peti sejuk besar. 

Keesokan harinya selepas sarapan pagi, kami terus ke rumah Pak Indra untuk membuat keropok kulit lembu dan usus isi lembu. Buat keropok kulit lembu ni bukan senang kerana ianya memerlukan kesabaran yang tinggi. Mula-mula kena cuci, lepas tu rebus dan buang bulu yang kasar. 



Kemudian cuci lagi, buang bulu yang halus pulak. Kemudian rebus lagi dan bila dah empuk, keringkan untuk 30 minit. Apabila dah kering, potong kecil dan jemur di atas para untuk 5 jam. Pak Indra kata perlu potong kecil kerana apabila digoreng, ianya akan mengembang seperti keropok biasa yang lain. Memang rumit!



Bagi resepi yang kedua iaitu usus isi, Mula-mula, kena cuci usus lembu itu sehingga bersih dan rebus kentang sehingga lembut. Selepas itu, hiris bawang, daun sup, lenyekkan kentang yang direbus dan campurkan bahan-bahan itu dengan telur. Kemudian, bahan yang disatukan tadi dimasukkan ke dalam usus yang sudah dibersihkan. Seterusnya usus tersebut di rebus sehingga empuk.



Dah lembut dan empuk, apa lagi, makan time laaaaa... Eeemmm, rasa keropok kulit lembu atau Jangek ini sama rasanya seperti keropok yang lain tapi ianya lagi lembut dan rangup! Memang best sangat. Bagi usus isi pulak, isinya memang sedap tapi agak liat sikit so bagi orang-orang yang takde gigi tak bolehlah makan.



Jom tengok saya makan dan “muntah” kerana mencuba makanan yang paling eksotik bagi saya ini...



@gua.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...