TERKENAL sebagai destinasi percutian bertaraf dunia, Pulau Langkawi terus giat mengekal dan memperbaharui aset pelancongannya. Bukan sekadar diwarnai kisah legenda dan godaan aktiviti beli-belah bertaraf bebas cukai, permata Kedah itu terus menggamit hati pengunjung melalui pelbagai tarikan istimewa.
Dilatari kekuatan kisah sumpahan Mahsuri suatu ketika dahulu, Langkawi sangat indah dengan pemandangan pantai membiru, gunung-ganang menghijau dan sawah padi yang terbentang luas.
Mengelilingi keseluruhan pulau itu pastinya agenda wajib. Dari Pekan Kuah ke Pantai Chenang, hinggalah ke Padang Mat Sirat dan seterusnya ke Tanjung Rhu, pelbagai keseronokan sedia menanti. Itu belum lagi menilai satu persatu daripada rangkaian 99 buah pulau kecil yang bertaburan di sekitarnya.
Antara yang menarik adalah Pulau Payar yang terletak 19 batu nautika di selatan Pulau Langkawi dan mengambil masa perjalanan kira-kira 45 minit menaiki feri dari Jeti Kuah. Ternyata ia adalah salah satu pulau yang cantik untuk dilawati untuk aktiviti air.
Turut diwarta sebagai Taman Laut Pulau Payar, ia hanya dibuka kepada 120 orang pengunjung setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 4 petang. Pelbagai spesies ikan boleh ditemui ketika sesi snorkeling di situ, namun tarikan utamanya adalah berenang bersama ikan yu yang jinak!
Dari atas jeti sudah dapat dilihat kelibat ikan yang disangka ganas itu kerana ia sering berenang hampir di permukaan air yang jernih.
Terumbu karang di taman laut itu juga antara yang paling indah boleh didapati di pantai barat Semenanjung Malaysia. Tidak hairanlah ia menjadi salah satu pilihan penyelam skuba untuk meneroka dunia dasar laut di Langkawi. Ternyata taman laut ini mampu memberikan kepuasan, tambahan lagi apabila dapat melihat ikan-ikan karang eksotik pelbagai jenis dan warna yang sangat menawan ketika menyelam.
Ke puncak gunung
Selain Gunung Raya, Gunung Machincang yang dinamakan sempena kisah legenda tempatan juga menjanjikan keunikan pemandangan indah seluruh Langkawi. Di kaki gunung itu terletaknya Oriental Village yang menempatkan stesen kereta kabel untuk ke puncak gunung tersebut. Kenderaan itu membawa pengunjung ke ketinggian 708 meter dari aras laut dan jarak yang menghubungkannya ke puncak Machinchang adalah 2.2 kilometer.
Sepanjang perjalanan menuju ke puncak gunung, mata disajikan dengan pemandangan hutan hujan yang menghijau, Air Terjun Telaga Tujuh, laut membiru dan kumpulan pulau-pulau yang membentuk Pulau Langkawi. Saat mendekati Stesen Tengah pula, pemandangan indah formasi batuan unik yang berumur sekitar 450 juta tahun boleh dilihat.
Sementara itu, di stesen teratas, pengunjung boleh bersiar-siar di pelantar tinjau yang melengkung di puncak Gunung Machincang. Sesiapa sahaja pasti kagum dengan pemandangan yang dramatik dari pelantar berukuran 125 meter panjang itu.
Keju Langkawi
Sesuatu yang memeranjatkan apabila diberitahu bahawa di Langkawi juga ada pusat penghasilan keju mozarella!
Proses penghasilan keju daripada tenusu kerbau itu dilakukan di destinasi agro-pelancongan, Kampung Nyior Chabang yang telah dibangunkan sebagai pusat penternakan kerbau pada tahun 2004.
Lebih dikenali sebagai Buffalo Park Langkawi, di situ terdapat beberapa pengusaha yang menghasilkan produk keju dan kini ia semakin mendapat perhatian.
Proses penghasilan keju itu melalui beberapa tahap sebelum ia sedia untuk dipasarkan. Menyaksikan sendiri langkah dan kaedah keju dihasilkan merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kini, tidak perlu lagi kita ke Itali untuk melihat cara keju dibuat!
Kalau punya waktu terluang, singgahlah ke Kompleks Kraf Langkawi di Teluk Yu yang menjadi pusat sehenti produk-produk kraf tangan keluaran tempatan. Daripada batik, ukiran kayu sehinggalah ke kristal Langkawi yang autentik boleh didapati di situ. Lebih menarik, pengunjung akan ditunjukkan cara membuat hasil kraf berkenaan.
Tanpa bayaran masuk dikenakan, kompleks itu dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Apapun yang anda lakukan, atau di mana sahaja persinggahan di Langkawi, pasti ada sesuatu yang istimewa untuk setiap pengunjung.
No comments:
Post a Comment