DENGAN tema This Is It-Black & White, pameran seni di Galeri Core Design, Subang Jaya tentu sekali akan membangkit memori buat legenda muzik tersohor, Micheal Jackson.
Sungguhpun, beliau bukanlah subjek utama dalam pameran itu, tetapi tema serta penekanan terhadap warna, tentu sekali sudah cukup untuk membawa semua seniman terlibat mengenang ikon pop itu.
“Sebenarnya tujuan pameran ini adalah untuk mengetengah seni kontemporari. Seni melangkaui lukisan semata-mata kerana di Core Design, kami percaya, pengumpul seni mula berganjak daripada seni aliran utama kepada yang lebih kompleks dan rumit,” jelas Perunding Seni di Core Design, Scarlette Lee.
Sambil berjalan ke arah sebuah arca kinetik yang diperbuat daripada papan kayu, Scarlette mengakui, seni sofistikated mula menjadi pilihan pengumpul seni dan penghias kediaman mahupun lokasi komersial. “Apa yang menarik pada pameran ini adalah ia mengumpul artis yang agak ramai dengan hasil seni kontemporari yang muda-muda belaka, menepati cita rasa zaman sekarang,” kongsinya.
Satu-satunya artis wanita yang dilihat di Galeri Core Design, Anniketyni Madia, 25, anak watan Sarawak itu memilih untuk mempamerkan seni arca kayu. Penglibatannya dalam bidang itu sudah bermula sejak tiga tahun lalu.
“Saya memilih arca, satu bidang seni yang amnya tidak diminati wanita kerana saya sukakan imej 3D,” kata Anniketyni yang kini sedang melanjutkan pelajaran Ijazah Lanjutan dalam bidang Seni Halus, pengkhususan dalam Matematik di Universiti Sains Malaysia (USM).
“Saya suka mempersembahkan sesuatu yang berbeza dan bersifat maskulin kerana ia menggambarkan diri saya,” akuinya yang sukakan cabaran dan kelainan. Arca wanita muda itu antara yang menarik perhatian sejurus anda memasuki galeri itu kerana bentuknya yang geometrik membabitkan banyak ukuran dan penelitian.
Tarian dan lagu Michael Jackson
Satu lagi kelainan yang ditunjukkan dalam pameran This Is It-Black & White adalah melalui artis Annas Azzim Azwar, 25, yang mengaplikasikan kerjanya sebagai animator dalam kaca berlapis lut sinar.
Seiring dengan tema tersebut, Annas menterjemah tarian moon walk menggunakan seorang model secara berperingkat dalam sepuluh gerakan. Setiap gerakan itu disusun menggunakan kaedah lapisan demi lapisan.
“Cara ini akan membuatkan gerakan kelihatan hidup,” katanya yang memilih model yang berbadan berisi. “Ia adalah supaya bentuk badannya lebih ketara dan boleh mempersembahkan gerak tari secara lebih jelas dan cantik. Dan ia berhasil.
Bagaimana pula anda menunjukkan ekspresi wajah tatkala mendengar lagu-lagu legenda muzik, Micheal Jackson? Itu idea yang menjadi subjek utama paparan seni gambar foto oleh Meor Zukhairi Rosli, 26, yang menggunakan tajuk Big Fan 1958.
Memaparkan wajah seorang wanita berambut kerinting dalam empat jenis gambar dengan ekspresi wajah yang berlainan, Meor mahu mengetengahkan perasaan seorang peminat tegar lagu-lagu Micheal Jackson.
“Saya mahu menunjukkan kepelbagaian ekspresi pendengar MJ. Marah, suka, tenang, menghayati dan sebagainya. Saya memilih konsep ini selepas menyelidik tema dan mendapati MJ adalah medium yang tepat,” katanya yang amat mengagumi ikon dunia muzik itu.
Pencarian model bagi gambar foto itu kata Meor, melibatkan seorang wanita muda berambut kerinting tanpa sebarang mekap. “Saya mahu ekspresi nampak sejati,” kata bekas pelajar kursus Animasi Komputer yang pertama kali melibatkan diri dalam pameran seni selepas empat tahun menimba pengalaman dalam dunia fotografi komersial.
Idea orang muda
Rata-rata peserta artis seni dalam pameran seni This Is It-Black & White di Core Design itu membariskan artis-artis muda dalam lingkungan usia pertengahan 20-an. “Saya percaya, melalui penglibatan artis-artis muda seperti ini, idea-idea yang disampaikan melalui karya seni ini juga muda, segar, baru dan unik,” ujar Scarlette merujuk kepada artis-artis muda yang baru berjinak dalam dunia seni ini.
Misalnya, artis Mohd. Azli Wahid, 26, bekas pelajar Seni Halus dari UiTM suka melihat seni sebagai alat permainan kerana katanya, setiap alat permainan mempunyai karakter. Sambil menunjukkan kasut yang berlainan, Azli menggunakan batu yang diukir seperti kasut sebagai hasil karya seninya.
“Ia seperti mengingatkan manusia kepada asal-usul kita. Inilah dia! (This Is It). Daripada zaman batu, mungkinkah manusia menggunakan batu sebagai kasut? Kaitan manusia dengan kasut dalam satu sindiran sinis,” itu kata Azli merujuk kepada kasut batu yang diukir secara minimum untuk mengekalkan keaslian batu yang ditemui di Puncak Perdana dan Ijok itu.
Sementara itu, Liu Cheng Hua, 26, mempunyai identiti tersendiri dalam menyampaikan karyanya. “Identiti saya ialah lampu berwarna LED yang digunakan. Tetapi apa yang cuba dipaparkan dalam karya ini adalah satu catatan sejarah mengenai tokoh kapitan terkemuka tahun 1876 di Larut Matang atau Taiping iaitu Kapitan Chung Keng Kwee.
“Saya menggunakan warna tema, hitam dan putih untuk membangkit unsur klasik. Saya menjalani pelbagai penyelidikan termasuk berjumpa dengan pewaris generasi keenam Keng Kwee dan cuba mendapatkan gambar-gambar berkenaan lelaki itu,” katanya. Gambar-gambar yang dipaparkan menggunakan media cetak itu dihiasi dengan dawai-dawai halus dan papan-papan berpetak kecil sebagai merangsang lagi unsur kebudayaan kehidupan masyarakat Cina dahulu.
Artis terakhir yang ditemui di galeri yang sama ialah seorang lelaki berbadan kecil tetapi mempamerkan hasil kerja seni yang tidak kurang rumitnya. Digantung di aras atas bangunan galeri, The Face yang dipamerkan oleh Azharudin Mappon, 26, ialah sejenis potret yang dibuat menggunakan kayu-kayu kecil yang dipotong bersegi. Mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri, Azharudin memberitahu, potret yang dipaparkan adalah wajah adik beliau, Siti Nurfatin Zulaikham, seorang wanita yang paling rapat dalam hidupnya.
Kreativiti Azharudin menggunakan kayu-kayu yang dipotong seperti silinder bersegi empat dalam pelbagai saiz, pelbagai tona warna asli kayu itu disusun kemas untuk memberikan bayangan yang sempurna untuk mempamer wajah seorang wanita.
“Walaupun ia tidak berwarna hitam atau putih, bagi saya, tona itu adalah interpretasi kegelapan dan keterangan yang dapat dilihat melalui karya ini,” kata Azharudin.
No comments:
Post a Comment