PATI ekstrak pertama minyak wangi sebenarnya berbau busuk. Mungkin ada yang tidak percaya dengan pernyataan itu. Namun, hakikatnya bau pati tersebut memang kurang enak hinggakan ia boleh menyebabkan sesiapapun pening atau muntah jika menghidunya.
Industri penghasilan minyak wangi sehingga kini masih dikuasai negara-negara pengeluar dan pengasas awal bauan pesona dunia. Sejak ratusan tahun lalu, Perancis, Itali, Mesir dan India antara negara yang terkenal dengan minyak wangi.
Dengan perkembangan teknologi, minyak wangi turut mengalami evolusi dan penguasaan penghasilan wangian jenama terkenal dunia kini telah dikuasai seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Jepun dan banyak negara lain di serata Eropah serta Asia.
Namun, ramuan haruman yang menjadi kesukaan dunia itu masih rahsia.
Selepas menjalani beberapa kali saringan dan proses campuran yang tepat, pati ekstrak yang kurang enak baunya itu menjadi lebih wangi dan sedap dihidup. Bahkan, ia mampu membuatkan si pemakai berasa lebih yakin diri dan mampu menjadi terapi kesihatan yang baik.
Pengarah Projek Couple Perfume Enterprise, Fawzee Yahya, 34, menjelaskan, minyak wangi sebenarnya berasal dari Mesir dan bukan dari negara Perancis.
“Di Mesir pada masa itu, minyak wangi digunakan untuk pelbagai keperluan ritual seperti kelahiran anak sehingga kepada majlis kematian.
“Bahan yang digunakan ialah dupa (kemenyan) dan kayu manis dibuat sebagai bahan asas yang diolah dengan cara digiling, diparut dan ditumbuk,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur.
Proses pembuatan minyak wangi kemudiannya berkembang maju melalui proses secara teknologi terkini iaitu wap air yang melalui proses penyulingan.
Hasil penyulingan itu kemudian diolah menjadi pelbagai jenis campuran pati minyak wangi. Ia kemudiannya dicampurkan dengan alkohol pada jumlah yang sesuai.
Pengasas minyak wangi Inspire Parfum, Zuliano Umberto Ligartti menjelaskan, minyak wangi terbahagi kepada dua iaitu minyak wangi daripada bahan semula jadi dan sintetik.
Ketika ditemui di kios perniagaan beliau di pasar raya Alamanda, Putrajaya, beliau mendedahkan, minyak wangi semula jadi kebiasaan diperbuat daripada bahan-bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti bunga, herba atau buah-buahan dan haiwan manakala minyak wangi sintetik pula dibuat daripada bahan-bahan kimia.
Penyediaan minyak wangi pada asasnya melalui tiga cara iaitu penyulingan, diekstrak dan rendaman di dalam air.
Setiap minyak yang dihasilkan mengandungi bahan ramuannya tersendiri dan seterusnya akan diproses melalui penyulingan, penghasilan ekstrak dan rendaman.
Ketajaman bau
Selepas proses asas itu dilakukan, pati awal minyak wangi perlu menjalani beberapa lagi rutin adunan kimia bagi menimbulkan lagi ketajaman baunya sebelum dipasarkan kepada pengguna.
Zuliano atau lebih dikenali dengan nama Zulkifli Tajuddin, 52, memberitahu, sekitar 1,126 jenis minyak wangi yang dikenali di dunia sebenarnya mempunyai tiga piramid atau tahap adunan bau (notes) yang tersendiri sejurus ia disembur.
“Ia disebut bauan pertama atau asas, bauan kedua atau tengah dan bauan ketiga atau terakhir yang merupakan bau sebenar sesuatu minyak wangi. Perkara ini jarang diketahui oleh mereka yang menggemari minyak wangi.
“Kalau kita mahu memilih minyak wangi yang sesuai saya cadangkan anda bersabar dan mengambil masa untuk memilih sesuatu jenis minyak wangi yang ditinjau.
“Jangan percaya pada bau pertama ketika disembur ke tangan. Tunggu sehingga kira-kira setengah jam untuk mendapatkan bau notes ketiga terhasil. Selepas itu baru anda membuat keputusan,” katanya sambil mendemonstrasikan minyak wangi keluaran syarikatnya berjenama Inspire Parfum.
Ukuran gred
Penggunaan alkohol atau nama saintifiknya dikenali sebagai metanol yang digunakan dalam minyak wangi diharuskan oleh agama Islam. Malah perkara ini telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengurus syarikat Al-Habib (M) Sdn. Bhd. yang menjalankan bisnes mengeksport, mengimport, memborong dan meruncit minyak wangi sejak lapan tahun lalu, Shahzad Abdullah, 42, berkata, pati minyak wangi terdapat dalam beberapa gred yang diukur melalui ketahanannya dan bukan melalui haruman.
Pati minyak wangi gred A, B, C, dan D mempunyai haruman yang sama.
“Pati minyak wangi gred A boleh bertahan lebih daripada 12 jam jika terkena pada kulit. Jika digunakan pada pakaian ia mampu bertahan selama dua atau tiga hari.
“Bagi minyak wangi gred B pula baunya boleh bertahan selama lapan jam jika disapu pada kulit dan pakaian ia mampu bertahan selama dua hari,” katanya yang mengusahakan penjualan minyak wangi tanpa alkohol sebaliknya dicampur dengan minyak putih.
Selain itu katanya, minyak wangi gred C boleh bertahan selama dua jam jika dipakai pada kulit dan empat jam pada pakaian.
Minyak wangi gred D pula hanya mampu bertahan selama setengah jam jika disapu pada kulit dan satu jam jika disembur pada pakaian.
Sementara itu, Fawzee yang mengusahakan perniagaan minyak wangi yang diinspirasikan daripada jenama terkenal antarabangsa sejak empat bulan lalu menjelaskan, minyak wangi secara umumnya dikelaskan kepada Eau de Cologne (EdC), Eau de Toilette (EdT), Eau de Parfum (EdP) atau Parfum de Toilette (PdT), Esprit de Parfum (EsdP) dan de Parfum.
“Secara umumnya, EdC mengandungi lapan peratus pati minyak wangi dan selebihnya adalah alkohol. EdT mengandungi 15 peratus pati minyak wangi diikuti dengan EdP atau PdT yang mengandungi 20 peratus pati.
“Untuk ESdP ia mengandungi 30 peratus pati minyak wangi dengan 70 peratus bahan lainnya adalah alkohol manakala bagi de Parfum ia mengandungi 40 peratus pati minyak wangi sahaja dan 60 peratus alkohol,” katanya.
Merubah persepsi
Seorang pelakon dan pelawak popular, Ebby Yus, 42, berkata, minyak wangi telah menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah. Sehingga kini, minyak wangi bagi Ebby Yus menjadi sesuatu yang wajib dipakai pada diri setiap masa.
“Dengan memakai minyak wangi saya percaya ia mampu memperbaiki persepsi negatif terhadap kita. Dalam erti kata lain, walaupun wajah kita kurang cantik atau tidak kacak tetapi apabila memakai minyak wangi yang sesuai ia mampu membuatkan orang yang berada berhampiran kita tertarik.
“Misalnya seseorang lelaki yang tidak kacak dan tiada teman wanita dan memakai minyak wangi kemungkinan boleh menarik wanita mendampinginya,” kata Ebby Yus tersenyum mencerita pengalaman dirinya.
Sementara itu, pakar perunding psikologi dan psikiatri, Unit Perubatan Tingkah laku-Saraf Kedah Medical Centre, di Alor Star, Kedah Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud berkata, wangi-wangian mampu meredakan tekanan.
“Wangi-wangian yang dihasilkan daripada minyak wangi dan bahan beraroma mampu membuatkan seseorang terkesan dari segi psikologi dalam erti kata melegakan tekanan atau stres ringan.
“Namun, jika seseorang itu mengalami tekanan sehingga menyebabkan kemurungan ia tidak akan berkesan lagi dan perlukan rawatan perubatan segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelasnya, bau aroma minyak wangi tidak mampu menyembuhkan penyakit secara terus tapi ia membantu seseorang individu dan mereka di sekelilingnya berasa senang dan tenang seperti kita melihat lautan biru yang luas terbentang.
No comments:
Post a Comment