Tuesday, November 8, 2011

ASK 2011 - sejarah seni umie aida & eja




BERAKHIR sudah debaran karyawan seni tanah air, khususnya untuk penggiat filem dan drama serta pemain atau pelakon yang telah disenarai sebagai antara yang terbaik dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) apabila semua keputusan diumumkan pada malam Jumaat lalu.
Secara jujur, majlis yang berlangsung selama dua jam setengah dengan pelbagai variasi hiburan yang kebanyakannya diberi ruang kepada artis generasi muda itu kelihatan tidak mempunyai sebarang momentum.
Majlis juga mendatar biar pihak penganjur meletakkan aktres Rozita Che Wan yang pertama kali menjadi hos bersama Ally Iskandar. Tiada yang terlebih menarik, kecuali 'persembahan hos' yang tipikal dengan usik-usik serta mengikut skrip yang tersedia.
Namun jauh di sebalik sebuah rancangan secara langsung yang sedang dipertontonkan kepada audiens, ASK 2011 sebenarnya telah mencapai sasaran dengan mengiktiraf golongan karyawan yang layak untuk diangkat sebagai paling terbaik.
ASK 2011 kali ini mempertandingkan sebanyak 23 kategori yang meliputi kategori drama, filem dan penerbitan dalaman serta dua anugerah khas iaitu Anugerah Artis Harapan Pantene dan Anugerah Yasmin Ahmad.
Setiap keputusan tiada pertikaian untuk semua kategori kecuali kategori Filem Terbaik yang tiba-tiba dimenangi oleh Magika milik KRU Studios kerana dalam kategori kecil, Magika tidak memenangi sebarang anugerah. Hal itu bagaimanapun dijawab Presiden Eksekutif Kumpulan KRU, Norman Abdul Halim dengan realistik.
Katanya yang mengaku datang tanpa harapan: "Magika seperti mengulangi kejayaan dalam Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM 23) yang lalu apabila sekali lagi diangkat sebagai filem terbaik dalam anugerah ini. Ini adalah kemenangan pertama kami dalam ASK 2011. Magika mempunyai keistimewaan tersendiri dan saya menghargai kemenangan ini kerana kita tidak tahu kehendak juri."
Satu lagi keputusan yang kurang mendapat sambutan hangat adalah kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem yang dimenangi Remy Ishak melalui lakonannya dalam filem Cun. Banyak yang berpendapat lakonan yang lebih memberangsangkan diberi pesaingnya iaitu Aaron Aziz, Ady Putra dan Shaheizy Sam dilihat lebih menonjol kerana mereka dilihat keluar dari kepompong lakonan biasa.


DATIN PADUKA UMIE AIDA dan Eja berkongsi kemenangan sebagai pelakon wanita terbaik filem dan drama.


Sementara bagi lebih 20 keputusan lain yang dipertandingkan, semua berada dalam radar yang dijangka, terutama kemenangan besar drama sulung arahan pelakon senior Sabri Yunus, 50, Sanggul Beracun. Ia boleh disifatkan sebagai malam milik Sabri, seorang calon sutradara underdog yang akhirnya menerima pengiktirafan luar biasa secara peribadi bagi dirinya dalam anugerah tersebut.
Sanggul Beracun membawa pulang empat anugerah utama termasuk Videografi Terbaik, Lakon TV Terbaik, Pengarah Terbaik Drama dan Drama Terbaik. Sabri yang ditemui semasa sidang akhbar ternyata gugup dengan kemenangan besar yang diperoleh.
Akui Sabri yang sinonim dengan produk berbentuk sitkom, dia hanya menyandarkan harapan kepada pelakon wanita drama tersebut, Erra Fazira untuk menang Pelakon Drama Terbaik. Namun, sebaliknya yang berlaku apabila dia yang menang dan bukan Erra yang tewas di tangan rakan baiknya, Umie Aida.
"Saya tidak mempunyai harapan yang besar terhadap Sanggul Beracun. Apabila menang besar, saya terfikir saya patut mengarah sejak lama dulu. Mungkin sebelum ini tiada yang membuka ruang dan saya sendiri tidak mencari peluang untuk menumpahkan karya saya.
"Saya akui ini adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti ini. Syukur kerana karya ini diberi pengiktirafan walaupun saya secara peribadi kecewa kerana Erra tidak menang kerana dia terlalu bagus di dalam karya ini," katanya yang tidak menolak untuk aktif mengarah selepas ini jika peluang terbuka luas buatnya.
Sementara Sabri meraih kemenangan besar untuk kategori drama, pengarah Osman Ali pula mencipta wilayah kemenangannya tersendiri apabila filem arahannya, Cun, turut membawa pulang tiga anugerah besar. Osman sendiri diangkat sebagai Pengarah Terbaik Filem. Dua orang pelakonnya iaitu Remy Ishak membawa pulang predikat Pelakon Lelaki Filem Terbaik dan Nadia Nisa dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.
Menurut Osman, dia juga tidak memasang angan yang besar untuk filem yang disifatkannya sebagai filem kecil jika dibandingkan dengan saingannya seperti Merong Mahawangsa atau Magika. Namun dia tetap bersyukur dengan kemenangan yang berpihak kepadanya dan berangggapan dua pelakonnya memang layak menang kerana kredibiliti mereka.
Kemenangan Datin Paduka Umie Aida sebagai Pelakon Wanita Drama Terbaik menerusi lakonan mantapnya dalam drama Airmata Nursalina memang sudah diduga. Kemenangan kali ketiga dengan status yang sama dalam anugerah yang sama ini bagaimanapun tidak membuat Umie megah.

SABRI YUNUS tersenyum besar bersama empat trofi yang dirangkul menerusi drama sulung arahannya, Sanggul Beracun.


"Saya selalu ingat pesan kakak saya, Erma Fatima. Menang atau bangga dengan anugerah itu hanya bersifat sementara iaitu semasa saya di atas pentas sahaja. Sebaik turun dari pentas, saya sebenarnya sedang menggalas tanggungjawab yang lebih besar iaitu harus memberi yang lebih baik pada persembahan akan datang," katanya yang mengaku suka bekerja dengan Erma kerana mereka boleh berkomunikasi dengan baik untuk menjayakan sesuatu projek.
Siti Shahriza atau Eja yang cukup terkenal sebagai dramatis mengukir sejarah peribadi apabila dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem yang diperoleh menerusi lakonan dalam filem seram Janin.
Sedar bahawa filem seram tersebut tidak mendapat publisiti meluas, namun kata Eja yang sudah 15 tahun menjadi pelakon, dia bersyukur kerana kemenangan berpihak kepadanya. Bagi hemat Eja, filem berat seperti Janin terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd itu mempunyai kekuatan tersendiri.
"Saya amat bersyukur dengan pencapaian yang saya peroleh hari ini. Saya mengaku saya seorang yang amat cerewet dan begitu mementingkan kualiti dan saya percaya Janin adalah sebuah filem yang baik dengan skrip yang bagus.
"Jujur, saya tidak peduli soal populariti, tetapi saya amat mementingkan kualiti kerana saya percaya popular akan hilang, tetapi kualiti yang akan terus memanjangkan jangka hayat saya sebagai pelakon dalam industri seni," ujarnya.


GANDINGAN Shaheizy Sam dan Rosyam Nor begitu serasi sehingga ada yang berbisik mereka sepatutnya menjadi hos majlis tersebut.


Selain barisan pemenang yang melahirkan keterujaan mereka, beberapa kategori seperti Drama Rantaian Terbaik yang menjadi milik drama hangat Juvana misalnya memang sudah ditebak.
Hanya sahaja Anugerah Khas Yasmin Ahmad yang diberi kepada Syamsul Yusof bukan satu ekspektasi dari umum. Berterima kasih terhadap pengiktirafan tersebut, kata Syamsul apa yang diperoleh itu akan menjadi pemangkin buatnya untuk menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu.
Secara keseluruhan, keputusan yang diperoleh adalah adil. Malah biar ASK 2011 yang diwujudkan pada tahun 1994 itu asalnya hanya mempunyai kuota untuk program terbitan Media Prima sahaja, kini ia yang telah dibuka kepada semua stesen televisyen di Malaysia.
ASK 2011 barangkali anugerah paling telus untuk tahun ini apabila ia tidak hanya didominasi oleh satu pihak sahaja sekali gus membangkit kembali kepercayaan khalayak terhadap sesebuah anugerah yang lewat kebelakangan ini sudah terlihat cukup lelah dengan 'politik' pemenang yang telah ditentukan akan menjadi milik siapa.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...