RUTH SAHANAYA satu nama yang cukup besar di bumi Indonesia dan juga merupakan salah satu diva tersohor dalam industri muzik negara seberang itu.
Sempat bergabung dengan Krisdayanti dan Titi DJ untuk konsert tiga diva dan juga album Semua Jadi Satu pada tahun 2006, tahun ini genap 25 tahun usia kerjaya penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kaulah Segalanya dan Keliru itu.
Sempena dengan 25 tahun usia kerjaya nyanyiannya, Ruth Sahanaya bakal menghiburkan peminatnya dalam konsert berskala besar buat pertama kalinya di Malaysia pada 17 Disember depan, pada pukul 8.30 malam di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Konsert solo yang diberi nama Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya merupakan salah satu daripada konsert jelajahnya yang bermula di Jakarta pada 25 November tahun lalu dan Indonesia pada 10 Jun lalu.
Bertemu dengan penyanyi yang berusia 45 tahun itu pada majlis sidang akhbar pelancaran konsert tersebut di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ruth tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya untuk bertemu dengan peminat di Malaysia.
“Akhirnya impian saya untuk mengadakan konsert besar di Malaysia tercapai juga selepas 25 tahun menyanyi. Sebenarnya impian ini sudah lama saya simpan memandangkan peminat di Malaysia kerap bertanya kepada saya, bila mahu adakan konsert di Malaysia.
“Secara jujur Malaysia begitu dekat dengan hati saya kerana peminat di sini sentiasa mendukung kerjaya saya. Tidak lengkap rasanya perjalanan seni selama 25 tahun jika tidak mengadakan konsert di sini. Konsert ini tanda penghargaan saya buat peminat Malaysia,” ujarnya yang memberitahu Malaysia sudah seperti rumah keduanya.
Teruja
Bukan sekali dua, Ruth terbang ke Malaysia untuk mengadakan persembahan tetapi kekerapannya sudah tidak terhitung dengan jari. Bagaimanapun, konsert solo skala besar pertamanya tetap mengujakan Ruth.
“Teruja, berdebar, semuanya ada. Memang sebelum ini saya sering terbang ke Malaysia untuk mengadakan persembahan tetapi berskala kecil seperti showcase dan persembahan makan malam. Jadi, konsert besar di Malaysia merupakan pertama kali buat saya pada Disember depan.
“Bagaimana corak persembahannya tidak boleh diberitahu, nanti tidak ada unsur kejutan. Apa pun untuk konsert ini saya akan bawa ahli muzik dan tenaga kerja dari Jakarta,” ujar ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.
Dijangka konsert itu bakal berlangsung selama dua jam setengah dan sebanyak 30 sehingga 40 buah lagu yang dipetik daripada 15 buah album Ruth akan didendangkan pada konsert tersebut.
“Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk konsert ini. Harapan saya agar peminat di Malaysia terhibur dan itu sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” jelasnya yang sempat memberi petua awet mudanya iaitu sentiasa senyum.
Bukan itu sahaja, Ruth turut mengundang Datuk Khatijah Ibrahim untuk menghangatkan lagi konsert yang dibawakan oleh A’caralis Kuala Lumpur Sdn. Bhd., itu.
Dalam pada masa yang sama penyanyi yang mesra dipanggil dengan nama timangan Uthe itu memberitahu menjaga disiplin serta mempunyai sentiasa ingin belajar merupakan rahsia bagaimana dia dapat bertahan selama 25 tahun dalam industri muzik.
“Disiplin dalam soal waktu, menjaga kesihatan dan sentiasa mahu belajar antara faktor yang saya percaya banyak membantu saya dalam mencapai kejayaan hari ini.
“Kita juga harus sentiasa berpijak di bumi yang nyata. Jangan mudah lupa atau sombong, jika ada yang memberi kritikan, kita harus menerimanya dengan baik. Selain itu, saya juga sentiasa berfikiran positif agar sentiasa sihat dan ceria. Memang bukan mudah untuk melakukannya, tetapi kita harus mencuba sedaya-upaya,” ujar Ruth.
Tidak hipokrit
Ruth juga memberitahu, sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi, dia tidak pernah bersikap hipokrit, malah lebih senang menjadi dirinya sendiri walau di mana dia berada.
“Saya menjadi diri sendiri. Tidak pernah hipokrit dan menjadi orang lain. Penampilan saya di atas pentas, sama sahaja dengan penampilan saya di rumah. Jadi, orang senang dengan saya,” luahnya yang turut mengambil vitamin tambahan untuk mengekalkan kesihatan tubuhnya.
Buat peminat yang mahu menyaksikan Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya, tiket-tiket boleh didapati pada harga RM1500 (VVIP), RM788, RM588, RM388, RM128 di laman sesawang, www.ilassotickets.com dan di semua cawangan Rock Corner. Anda juga boleh menghubungi talian hotline 03-7957 6088.
Sebahagian daripada hasil jualan tiket akan didermakan kepada beberapa badan kebajikan seperti Yayasan Sultanah Bahiyah, Yayasan Anak Yatim Sultanah Haminah, Tabung Kolej Sultan Abdul Hamid dan Persatuan Bolasepak Kedah.
No comments:
Post a Comment