Wednesday, October 19, 2011

Hafizh dapat pengalaman baharu



HAFIZH berharap untuk menimba pengalaman berguna dalam saingan MotoGP.

HAFIZH Syahrin Abdullah bakal mencipta satu lagi seja rah dalam kariernya apabila bakal bersaing dengan pelumba-pelumba terhebat dunia pada MotoGP Grand Prix Malaysia yang akan berlangsung di Litar Sepang pada 21 hingga 23 Oktober ini.
Pelumba berusia 17 tahun itu akan bersaing dalam kategori Moto2 atas tiket wildcard.
Pada usia yang begitu muda, ia boleh dianggap sebagai mimpi menjadi kenyataan buat Hafizh kerana hasrat beraksi dalam saingan MotoGP merupakan impian semua pelumba.
Hafizh membuktikan bahawa usia muda bukanlah penghalang kepada sesiapa untuk terus mengejar cita-cita besar mereka.
Dia telah membuktikan bahawa segala kerja keras dan kesungguhan, pasti akan berbayar pada suatu hari nanti dan pada minggu ini, dia bersama-sama Mohd. Zamri Baba akan menggalas cabaran pasu- kan Petronas Malaysia di gelanggang MotoGP.
"Saya sudah mula mengintai peluang untuk beraksi dalam kelas Moto2 atas tiket wildcard sejak tahun lepas lagi, namun pada masa sama, saya tidak mempunyai pengalaman secukupnya berbanding Zamri dan Azlan Shah Kamaruzaman.
"Oleh itu, saya menggandakan usaha dan pengorbanan saya nampak berbaloi tahun ini.
"Ketika ini, mental dan fizi- kal saya sudah cukup bersedia untuk menyahut cabaran baru ini serta bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dunia," kata Hafizh yang telah menempa nama sebagai juara keseluruhan kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2010.
Ini merupakan aksi pertama Hafizh dalam sukan kegemarannya itu di peringkat dunia.
"Saya akan bersaing dengan 39 penunggang terbaik dunia musim ini dan sudah pasti saya tidak menetapkan sebarang sasaran untuk dicapai.
"Saya tidak tahu apa yang boleh saya jangkakan nanti dan yang pasti ini merupakan satu pengalaman baharu buat saya."
Mengulas mengenai persediaannya, Hafizh berkata: "Sejak Ogos lepas saya sudah mula menjalani latihan kecergasan fizikal bersama Rebel Bootcamp di Subang jaya.
"Sesi latihan saya bermula pada pukul 5.45 pagi sampai 6.45 pagi pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.
"Selain itu, pada setiap malam Selasa dan Jumaat saya akan bermain badminton dan pada hari Ahad saya akan berbasikal dan akan berehat pada hari Khamis dan Sabtu.
"Dengan menjalani aktiviti ini, saya berjaya meningkatkan kecergasan ke tahap yang lebih baik dan kini saya sudah cukup bersedia untuk menghadapi cabaran terbesar dalam karier saya."
Bila diajukan soalan tentang harapannya pada perlumbaan minggu ini, Hafizh berkata: "Apa yang paling penting bagi saya adalah untuk melihat peningkatan yang konsisten bermula dari sesi latihan pada hari Jumaat sehingga ke perlumbaan sebenar pada hari Ahad.
"Saya mahu mendapatkan pengetahuan sebanyak mungkin daripada pelumba-pelumba Moto2 yang mana saya percaya apa yang bakal saya peroleh kelak akan membantu mengembangkan lagi karier perlumbaan saya.
"Tidak kira di mana kedudukan saya pada perlumbaan itu kelak, saya yakin saya tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana ia akan menghadiahkan saya satu pengala- man yang begitu berharga."

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...