KUALA LUMPUR – Ratu rock tanah air, Ella mengakui sudah mempunyai kekasih hati yang baru selepas hubungan cintanya dengan beberapa jejaka putus di tengah jalan sewaktu ditemui pada sidang akhbar pengumuman konsert Whitesnake di sini semalam.
Menurut penyanyi rock berasal dari Klang, Selangor itu, buah hatinya itu kali ini bukan terdiri daripada kalangan artis, selebriti mahupun ahli sukan, sebaliknya dia hanyalah orang biasa yang terbabit dalam bidang perniagaan yang dikenalinya beberapa tahun lalu.
“Kalau awak (wartawan) semua mahu tengok orang itu (kekasih saya) datanglah pada konsert Whitesnake di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 Oktober ini. Kalau bernasib mungkin dia akan datang pada konsert itu nanti. Itupun kalau dia ada di sini (dalam negara),” ujarnya.
Ella atau Norazila Aminuddin mendedahkan serba sedikit tentang teman lelaki istimewanya itu pada sidang akhbar itu yang mengumumkannya sebagai artis undangan pada konsert kumpulan rock legenda itu yang mengenakan tiket berharga RM98, RM158, RM258 dan RM358.
Sebagai rekod penyanyi berusia pertengahan 40-an itu sebelum ini pernah digosipkan menjalin hubungan cinta antaranya dengan pelakon kacak, Hans Isaac dan bekas pemain badminton kebangsaan, Rashid Sidek tetapi ia hanya tinggal gosip semata-mata.
Jelas Ella, pada Konsert Whitesnake World Tour 2011 Live In Kuala Lumpur itu, dia berasa bertuah dan berbesar hati kerana kumpulan Whitesnake yang ditubuhkan di England memilihnya sebagai artis pembuka tirai pada konsert yang julung kalinya diadakan di negara ini.
“Pada konsert itu nanti, saya akan menyanyikan lima atau enam lagu. Antara lagu yang akan saya nyanyikan nanti bertajuk Rajuk. Semua lagu adalah lagu Melayu yang dipetik daripada lagu-lagu popular saya,” katanya yang meminati lagu Whitesnake berjudul Is This Love. – mynewshub.my
No comments:
Post a Comment