Wednesday, August 3, 2011

Rambut mengikut kepercayaan Sikh






BAGI penganut agama Sikh, menyimpan rambut panjang sejak kecil adalah satu amalan yang dituntut. Tuntutan yang melambangkan kesyukuran kepada tuhan itu tidak mengecualikan jantina.
Bahkan setiap helaian bulu atau rambut yang tumbuh tidak boleh diganggu bentuk asalnya kerana ia adalah salah satu ciptaan tuhan.
“Ia perlu dibiarkan dalam keadaan semula jadi tanpa mengubah kejadiannya. Setiap penganut Sikh dituntut mengikuti falsafah ini, jika tidak mereka akan dianggap berdosa besar,” kata Presiden Institut Falsafah, Penyelidikan dan Pendidikan Sikh (InSPIRE), Prof. Madya Autar Singh.
Bagi masyarakat Sikh, mereka berpegang kepada 5K yang menjadi tuntutan agama iaitu rambut (kesh), sikat kayu (kangga), gelang besi (khada), senjata kerambit (kirpan) dan seluar dalam khas (kelshaira).
Tahap kesetiaan penganut Sikh dapat dilihat apabila mereka mempraktikkan 5K yang diwajibkan kepada mereka dan pada hari pembaptisan untuk menjadi seorang Sikh yang taat.
Bagaimanakah penganut Sikh menjaga rambut dan bulu di badan mereka? Autar Singh menjelaskan, setiap penganut Sikh dituntut menjaga kebersihan rambut dan bulu yang tumbuh di badan mereka.
“Kami perlu mencuci rambut dengan kerap dan sapu minyak kelapa pada rambut sebelum disikat dengan sikat khas (kangga) dua kali sehari atau lebih bagi menjaga kesuciannya.
“Sehubungan itu, setiap kaum lelaki dituntut memakai serban dan wanita sekadar memakai selendang di kepala selain digalakkan memakai serban,” katanya ketika ditemui di Pusat Aktiviti Belia Sikh Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Menyimpan rambut


BALJIT menunjukkan seluar dalam khas yang dipakai oleh setiap lelaki Sikh yang alim.




Sikat kayu bukan sahaja untuk berfungsi untuk menyisir rambut malah diletakkan di dalam serban kaum lelaki. Amalan itu sebagai mencontohi tindakan Guru Nanak iaitu seorang penyebar agama itu.
Kaum lelaki Sikh juga dituntut tidak mendedahkan atau membenarkan rambut mereka disentuh oleh orang lain. Rambut, serban dan janggut serta seluruh bahagian kepala mereka dianggap sangat mulia dan sensitif.
Baljit Singh, 27, berkata, menyimpan rambut yang panjang adalah satu tindakan yang bersifat peribadi walaupun ia sangat dituntut oleh ajaran Sikh, namun jika ada penganut Sikh yang ingkar ia bukan satu paksaan.
Bagi memelihara rambut dan mematuhi ajaran yang dituntut, seseorang penganut Sikh perlu mempunyai kefahaman mengenai kepentingan ajaran berkenaan.
“Semasa zaman kanak-kanak, saya pernah berasa sedih kerana diejek oleh rakan-rakan. Namun lama-kelamaan perasaan itu hilang dan saya lebih berkeyakinan dengan imej sekarang.
“Dengan imej ini orang lebih mudah mengenali diri saya selain imej ini dianggap sebagai salah satu fesyen yang menarik. Malah saya juga bebas mengikuti fesyen terkini muda-mudi tanpa mengetepikan tuntutan agama,” kata jurutera di sebuah syarikat swasta itu.
Berbeza dengan kaum wanita Sikh, mereka dibenarkan mendedahkan rambut sahaja dan tuntutan yang lain sama seperti kaum lelaki.
Jika penganut Sikh menganggap rambut sebagai maruah diri yang sangat mulia di sisi agama dan tuhan, lain pula ceritanya dengan pelakon Fouziah Gous, 29.
Pelakon yang memiliki rambut hingga ke paras pinggang itu mengakui rambut yang sihat bukan sahaja mampu membuatkan seseorang itu tampil cantik, bahkan lebih berkeyakinan.
Sumber rezeki


KANGGA merupakan sikat kayu yang disimpan di dalam serban dan mudah dibawa ke mana-mana.




Fouziah atau nama sebenarnya Norfouziah Mohd. Gous tidak menafikan rambut bukan sahaja aset berharga bahkan ia adalah sumber rezekinya.
“Saya menjaga kesihatan rambut sejak kecil. Amalan penjagaan rambut ini diwarisi daripada ibu,” katanya kali terakhir memotong rambut pendek lapan tahun lalu.
Menurut Fouziah, beliau akan ke salun tiga bulan sekali untuk mencuci dan melakukan rawatan rambut.
Duta produk Alaisyah itu menjelaskan amalan tradisional untuk menjaga rambut tidak lagi diamalkan kerana kesibukan bekerja.
“Sejak kecil ibu selalu menyapu minyak kelapa pada rambut dan melumur rambut dengan bunga raya. Saya akan petik dan tumbuk bunga raya sehingga lumat lalu disapu terus ke rambut dan dibiarkan semalam lalu dicuci sehingga bersih,” kata pelakon yang popular dalam drama Tahajud Cinta itu.
Selain bunga raya dan minyak kelapa, Fouziah juga meletakkan mayonis pada rambut. Amalan tersebut dilakukan ketika beliau bekerja sebagai pramugari di sebuah syarikat penerbangan terkemuka negara.
“Selepas menjadi artis, aktiviti penjagaan rambut saya semakin terhad sehinggakan untuk ke salun rambut pun tiada kesempatan,” katanya yang tidak pernah mewarnakan rambut.
Ekoran kesibukan bekerja, Fouziah akan menyapu minyak bayi pada rambut sebelum tidur setiap hari jika rambutnya kelihatan tidak sihat.
Amalan itu bagi memastikan rambutnya yang mudah kering itu kembali bertenaga dan bersinar.
Sementara itu, pakar pendandan rambut, Noraini Wahid, 38, bersependapat dengan Fouziah Gous bahawa rambut merupakan mahkota wanita yang sangat bernilai. Namun, penjagaan rambut panjang agak remeh.
Menurutnya, seorang wanita yang berambut panjang kelihatan lebih seksi berbanding mereka yang berambut pendek.
Dengan potongan rambut yang sesuai, wanita yang berambut panjang akan tampil dengan gaya wajah yang berbeza.
Pilihan syampu


DARI ATAS: Sikat kayu, gelang besi dan kerambit merupakan antara peralatan yang dimiliki oleh setiap penganut Sikh.




“Wanita yang berambut panjang dengan potongan yang sesuai kelihatan lebih ayu berbanding mereka yang berambut pendek.
“Ada pendapat yang mengatakan wanita berambut pendek itu seksi adalah tidak benar. Pandangan itu hanyalah satu persepsi. Hakikatnya wanita berambut panjang lebih kelihatan seksi,” kata pemilik salun rambut e-GO yang terletak di KL Sentral itu.
Noraini yang lebih mesra dipanggil Nora turut memberi beberapa petua dan kaedah penjagaan rambut panjang yang sesuai dari segi tradisional atau moden.
Ketika bangun tidur anda dilarang menyikat rambut menggunakan sikat sebaliknya digalakkan menyikat menggunakan jari untuk meleraikan rambut yang kusut dan berpintal.
Kepada mereka yang memiliki rambut panjang, gunakan berus rambut berbulu dengan permukaan bulat.
Mulakan memberus dari bahagian atas kepala sehingga ke bawah. Kemudian berus dari bahagian rambut yang dalam ke luar. Selepas memberus, gunakan jari untuk memberi kesan yang lebih semula jadi.
“Pemilihan syampu dan perapi rambut yang sesuai dengan struktur rambut adalah penting. Bagi wanita yang memiliki rambut normal mereka perlu membasuh rambut setiap dua hari sekali berbanding rambut yang bermasalah.
“Sekurang-kurangnya rawatan rambut perlu dilakukan tiga kali sebulan,” kata Nora ketika ditemui di salonnya baru-baru ini.
Menjelaskan mengenai kaedah penjagaan rambut cara tradisional, Nora berkata terdapat beberapa petua yang boleh diamalkan.
Selain bunga raya, kacang hijau, lidah buaya, telur ayam kampung, santan kelapa dan minyak kelapa antara bahan-bahan yang boleh digunakan untuk mendapatkan rambut yang sihat.
ManaKedai.com  - Bila Raya nanti ramai akan mencuba menukar fesyen rambut masing-masing terutama muda mudi. Apa kata anda singgah di Shaegy Unisex Saloon di Melaka Sentral! Layanan ramah mesra pengusaha dan kakitangan salun di sini membuat anda berasa selesa dan dihargai. Pilih lah fesyen terkini idaman anda! 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...