Thursday, December 1, 2016

FAO nadi pelancongan Melaka


FAO mengetengahkan senibina sejarah warisan Belanda.


PERASAAN teruja meresap dalam diri lelaki berusia 29 tahun itu saat pertama kali melihat struktur konkrit Freeport A’Famosa Outlet (FAO) di Simpang Ampat, Melaka.
Struktur yang dibina berkonsepkan warisan Belanda itu berjaya memukau pandangan Shahrul Ambri Samsudin yang berkunjung ke lokasi tersebut baru-baru ini.
Tujuan utama dia berkunjung ke lokasi tarikan terbaharu yang terletak kira-kira lima kilometer dari tol Simpang Ampat itu adalah untuk membeli-belah sambil menikmati suasana sekitar.
FAO merupakan outlet yang menawarkan 70 gedung fesyen, sukan, aksesori, beg dan kasut berjenama di dalam bangunan berkeluasan 54,864 meter persegi.
Selain barangan berjenama, FAO turut menawarkan panorama yang cukup mempesonakan seperti sebuah tasik buatan, air pancut, karusel dan kincir angin.
“Ini kali pertama saya datang ke sini selepas mendapat tahu daripada seorang kawan. Tempat ini sangat cantik terutama seni bina bangunan ini.
“Pada saya, tidak rugi datang ke sini. Jika tidak membeli pun, pengunjung masih boleh menikmati dan merakam gambar pemandangan indah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
FAO dibuka berikutan kejayaan dan sambutan yang diberikan para pelanggan di dua outlet lain iaitu di Johor Bahru, Johor dan Mitsui, Sepang, Selangor.
Antara jenama fesyen unggul yang terdapat di FOA adalah Nike, Cotton On, Puma, Carlo Rino, Samsonite, G2000, Forever 21, Esprit, Folli Follie dan Sacoor Brothers.
Menurut lelaki berasal dari Temerloh, Pahang itu, butik-butik berjenama yang terdapat di FAO menawarkan barangan pada harga cukup berpatutan.
“Rata-rata harga barangan yang dijual sangat berpatutan. Malah, pilihan barangan juga banyak seperti pakaian dan permainan kanak-kanak.
“Saya harap, lebih banyak jenama terkemuka akan membuka cawangan di sini pada masa akan datang,” katanya yang berkunjung ke FAO bersama isteri.
Sejak dibuka pada November tahun lalu, FAO menjadi mercu tanda pelancongan yang telah dilawati lebih 600,000 pengunjung.
Menyeronokkan
Seorang pengunjung memilih pakaian di sebuah gedung yang disediakan.

Pengarah Komersial Peruncitan Freeport yang berpangkalan di London, Chris Milliken berkata, matlamat utama FAO adalah untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang berbeza kepada pengunjung.
Katanya, pengunjung boleh menghabiskan masa sehari suntuk untuk membeli-belah sambil beriadah bersama orang tersayang dan keluarga.
“Kami menjanjikan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan untuk semua golongan, tidak kira tua atau muda.
“Kami yakin, pengunjung akan merasai pengalaman yang menyeronokkan ketika melawat FAO kerana kami menawarkan sesuatu yang berlainan,” katanya.
Freeport merupakan antara perintis dalam industri outlet di Eropah dan konsep ini di bawa masuk ke Eropah dari Amerika Syarikat. Outlet pertama dibuka pada 1994.
Sejak itu, sebanyak 12 outlet sama dibuka di seluruh dunia iaitu lima di Britain dan beberapa buah lagi di Portugal, Sweden, Itali, Republik Czech serta Slovakia.
FAO merupakan projek pertama syarikat itu di Asia Tenggara hasil usaha antara Freeport Retail Ltd. yang berpangkalan di Pall Mall, St. James, London, Britain dengan Langkah Reality Sdn. Bhd.
Menurut Milliken, konsep pelancongan sambil membeli-belah kini semakin digemari dan sering kali menjadi pilihan utama para pelancong.
Katanya, FAO menjadi sebahagian daripada mercu tanda pelancongan utama di Melaka dan pihaknya akan sentiasa menjalin kerjasama erat dengan pihak Kementerian Pelancongan.
“Pembangunan outlet banyak membawa konsep menang-menang kepada peruncit dan pelanggan.
“Pelanggan dapat merasai lebih keseronokan ketika membeli-belah, manakala peruncit mampu memasarkan barangan mereka. Dianggarkan lebih satu bilion orang melakukan aktiviti ini setiap tahun,” terangnya.
Bagi menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negara, FAO merangka beberapa program.
Pihaknya juga menggalakkan para peruncit untuk melakukan potongan harga barangan dan promosi pada setiap masa.
Situasi itu diakui sendiri oleh salah seorang pengunjung, Haryati Abdullah, 47, yang berkunjung ke FOA setiap kali adanya potongan harga dan promosi.
Jelas wanita yang menetap di Ayer Keroh, Melaka itu, FOA merupakan destinasi pilihan ahli keluarga untuk membeli-belah kerana jarak yang dekat dengan rumahnya.
“Saya berkunjung ke sini sebulan sekali, terutamanya jika ada potongan harga. Jika tidak pun, harga barangan sudah cukup murah dan berpatutan.
“Tambahan pula, semua jenama besar ada di sini dan saya tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru untuk mendapatkan barangan berjenama,” jelasnya.
Menurut Haryati, dia lebih selesa berkunjung ke FAO pada sebelah malam kerana berpeluang menikmati panorama cahaya lampu di kawasan sekitar.
Tambah usahawan itu lagi, kemudahan-kemudahan yang terdapat di FOA juga sangat membantu seperti kedai makan, parkir, tandas, mesin pengeluaran wang automatik dan ruang pejalan kaki.
“Selalunya, lepas balik kerja saya akan berkunjung ke sini sambil bersantai bersama anak-anak. Kalau lapar, kedai makan ada, jadi ia sangat mudah,” terangnya.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz4RZm4TWSP 
Hakcipta terpelihara 

 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...