Tuesday, November 5, 2013

Wabak denggi terburuk di Delhi


PEKERJA majlis perbandaran menyembur ubat nyamuk di lorong-lorong 
di New Delhi yang dilanda teruk wabak denggi.


PEKERJA kilang, Mohammad Awwal mengalami demam yang luar biasa iaitu berpeluh-peluh dan sakit badan yang menyeksakan. Turut dikenali dengan nama penyakit patah tulang atau demam denggi, ia merupakan serangan tahunan di India dan wabak yang tersembunyi.
Demam denggi ialah penyakit yang dibawa oleh nyamuk dan tidak mempunyai penawar atau vaksin. Ia merupakan serangan yang cukup ditakuti oleh rakyat New Delhi lebih-lebih lagi apabila tiba musim hujan.
Wad hospital di New Delhi mencatat kematian yang kian meningkat, namun pihak berkuasa awam menegaskan hanya 3,500 jatuh sakit setakat tahun ini dengan lima kematian direkodkan.
"Saya membawanya ke hospital kerajaan dan terkejut melihat keadaan hospital yang sesak dengan pesakit denggi. Tidak ada satu katil pun yang kosong," kata ibu Awwal, Meh Runissa, sambil duduk di rumah pondok satu biliknya di timur Delhi.
Batal pembedahan
Awwal kini dirawat di rumahnya, dibekalkan dengan multi-vitamin, parasetamol dan air. Dia hanya terbaring di atas lantai beralaskan cadar dan dua bantal tanpa tilam.
Wabak denggi tahun ini dikhuatiri antara yang terburuk memecahkan rekod tahun 2010 apabila hospital awam terbesar di bandar itu, Hindu Rao, membuat pengumuman pada awal bulan lalu bahawa ia telah membatalkan semua pembedahan rutin semata-mata untuk memberi ruang kepada pesakit denggi.

KETIADAAN katil kosong di hospital memaksa pesakit-pesakit denggi di New Delhi menjalani rawatan sendiri di rumah.


Kerajaan Delhi pula menyalahkan musim tengkujuh yang berpanjangan sebagai faktor peningkatan jangkitan denggi, tetapi mengakui telah menambah katil di hospital dan sumber-sumber penyembur racun serangga untuk menangani ancaman nyamuk aedes.
"Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Ia bukan krisis," kata Pengarah Tambahan Perkhidmatan Kesihatan Delhi, Charan Singh menolak dakwaan bahawa bandar dengan populasi 17 juta orang itu berhadapan dengan masalah.
"Ia banyak digembar-gembur. Kerajaan sentiasa mengambil tindakan wajar dan kami melaporkan semua kes mengikut piawaian antarabangsa," katanya.
Virus denggi mula dikesan pada tahun 1950 di Filipina dan Thailand melibatkan dua juta orang di seluruh dunia setiap tahun, dengan bilangan kes sehingga 30 kali ganda dalam tempoh lima dekad lalu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Aedes aegypti betina yang berperanan menyebarkan wabak ini menyebabkan seseorang yang digigit nyamuk tersebut akan mengalami demam panas, sakit kepala, gatal-gatal dan sakit sendi yang berlangsung kira-kira seminggu. Terdapat empat jenis denggi dan salah satunya boleh menyebabkan pendarahan dalaman dan membawa maut.
Di India, kes-kes telah meningkat secara mendadak dalam tempoh lima tahun yang lalu. Sehingga tahun 2013 sebanyak 38,000 kes dilaporkan.
Di Institut Sains Perubatan All India (AIIMS), hospital awam yang paling berprestij di India, doktor-doktor terpaksa berhadapan dengan lambakan pesakit sehingga katil-katil dirapatkan seperti jubin Tetris di wad kecemasan dan titisan saline dipaku ke dinding.
Rekod pesakit
Seorang pegawai perubatan yang enggan dikenali berkata, dia melihat 60 pesakit denggi baharu sehari dan kemasukan mereka disyaki tidak direkod.
"Mungkin kerana mereka tidak mahu menimbulkan rasa panik atau kerana mereka tidak mahu dipersalahkan, tetapi apabila ia disembunyikan, orang ramai tidak sedar betapa buruknya keadaan ini," kata seorang doktor.

PESAKIT demam denggi berusia 19 tahun, Mohammad Awwal terbaring di rumahnya.


Bekas Ketua Kesihatan di Perbadanan Perbandaran Delhi ( MCD) berkata, hanya hasil yang positif daripada salah satu daripada dua ujian standard denggi dikenali sebagai ujian ELISA didaftarkan.
"Terdapat laporan kasar tentang kes ini setiap tahun. Saya percaya angka sebenar adalah tiga kali lebih tinggi daripada yang diunjurkan oleh MCD," ujar VK Monga.
Sandeep Budhiraja, Pengarah ubat-ubatan Dalaman di hospital swasta Max Healthcare di Delhi menyalahkan pihak berkuasa perbandaran kerana gagal membuat persediaan.
Walaupun denggi menyakitkan dan melemahkan anggota badan pesakit, kematian biasanya jarang berlaku tetapi pesakit yang lemah mudah terdedah kepada jangkitan virus maut yang lain.
Tahun lalu, syarikat kesihatan gergasi Perancis, Sanofi Pasteur mengumumkan akan memulakan ujian untuk vaksin denggi di India sebelum dibekalkan untuk keperluan antarabangsa menjelang tahun 2015.
Sebuah institut bioperubatan penyelidikan terkemuka di Brazil, Bu Tantan sedang mengusahakan vaksin denggi baharu yang dijangka siap menjelang tahun 2018.
Satu-satunya langkah pertahanan buat masa ini ialah pencegahan seperti membuang air bertakung, semburan racun serangga, menggunakan penghalau nyamuk dan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang.
Ramai pesakit di India mengambil jus daun betik dengan harapan ia akan meningkatkan tahap platelet darah, yang dimusnahkan oleh virus denggi. - AFP
Santainya disini! Klik!



Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2jkRyx45Q
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...