Sunday, November 17, 2013

Nilai anak di mata penculik

FREDDIE JOSEPH ditemui semula di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas 19 jam dilarikan penculik.


TANGGAL 8 November lalu mungkin menjadi detik yang tidak dapat dilupakan oleh Sarah Joseph, 38, selepas hasrat untuk meluangkan masa bersama anaknya di kawasan pekarangan rumah bertukar tragedi yang tidak disangka-sangka.
Anak lelakinya, Freddie Joseph yang berusia setahun enam bulan dilarikan seorang penjenayah ketika Sarah sedang memberi makan kepada anaknya itu di kediamannya di Jalan Temasek, Bangsar, Kuala Lumpur.
Insiden berkenaan mendapat liputan meluas di media cetak dan elektronik.
Episod tersebut membuatkan kita terbayang kembali kejadian pada April tahun lalu apabila seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, dilarikan sewaktu kanak-kanak itu dalam perjalanan ke sekolahnya iaitu Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Setelah seminggu dilarikan, Nayati akhirnya dibebaskan di kawasan Hentian Rawat & Rehat Rawang, Lebuh Raya Utara-Selatan selepas ahli keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM300,000.
Tidak jauh bezanya dengan kes yang menimpa Nurin Jazlin, Nurul Huda Abdul Ghani dan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang sebelum ini yang hilang selepas diculik individu tertentu.
Apa yang menyedihkan ialah misteri kehilangan anak-anak kecil ini berakhir dengan penemuan jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.
Bagaimanapun, guru warga British itu dianggap bernasib baik apabila anak lelakinya itu ditemui semula oleh orang awam di kawasan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas 19 jam dia diculik.
Tidak keterlaluan jika ingin dikatakan kes kanak-kanak hilang berlaku saban tahun di negara ini.
Malah, menurut Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (PaMa), statistik menunjukkan dari 1985 hingga Oktober 2011, sebanyak 17,088 kes kanak-kanak hilang dilaporkan.
Daripada angka itu, hanya 6,944 orang dijumpai semula.
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001 mendefinisikan kanak-kanak sebagai seorang yang berumur di bawah 18 tahun.
KANAK-KANAK yang diculik kebiasaannya dijadikan mangsa tebusan. - Gambar hiasan
Tempat awam

Malah, golongan ini dikatakan merangkumi 35 peratus populasi iaitu seramai 10.3 juta daripada 29.3 juta rakyat Malaysia.
Ini bermakna sekiranya individu yang diculik atau hilang itu merupakan pelajar sekolah menengah, mereka masih dianggap sebagai kanak-kanak.
Pengerusi PaMa, Mohd. Fairuz Mohamed Isa berkata, kes kanak-kanak hilang dapat diklasifikasikan kepada tiga kategori.
“Pertama, hilang akibat lari daripada jagaan, diculik dan sesat di tempat awam.
“Namun, bagi kes culik, kebiasaannya ia melibatkan kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke bawah dan berkait dengan pemerdagangan manusia atau dijadikan sebagai mangsa tebusan,” katanya.
Ujarnya, kejadian jenayah seperti ini bukan hanya menjadi igauan di negara ini, malah di luar negara.
Ia terbukti menerusi kajian National Incidence Studies of Missing, Abducted, Runway, and Thrownway Chidren (NISMART) pada tahun 2002 yang menunjukkan sebanyak 58,200 kes kanak-kanak dilaporkan hilang disebabkan penculikan pada tahun 1999 di Amerika Syarikat.
“Namun, realitinya, satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2006 di AS mendapati ibu bapa merasakan kehilangan anak-anak di tempat awam lima kali lebih membimbangkan daripada pengganas dan tiga kali daripada penculikan,” ujarnya.
Apa jua terjadi, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada ruang buat penjenayah untuk bertindak sedemikian.
“Sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup di rumah sebenarnya dapat membantu jika berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Biarpun ia memerlukan sedikit kos, tetapi bagi jangka panjang, ia dapat mengurangkan risiko kejadian jenyah secara terang-terangan ini,” ujar Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya.
Malah, katanya, pihak polis juga harus lebih peka dengan membuat pemantauan di kawasan perumahan yang berkemungkinan menjadi sasaran penjenayah seperti di kawasan perumahan elit.
Namun, ujar beliau, masyarakat juga tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ke atas pihak berkuasa semata-mata.
“Masyarakat sendiri juga perlu memupuk kesedaran pencegahan jenayah menerusi penubuhan persatuan rukun tetangga di satu-satu tempat bagi menghidupkan suasana berjiran,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2kpyOcOXp 
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...