Thursday, May 2, 2013

PM guna Jambatan Kedua P. Pinang



NAJIB menunjukkan isyarat 1Malaysia di atas Jambatan Kedua Pulau Pinang.


GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menjadi pemimpin pertama negara menggunakan laluan Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer dari Batu Maung di bahagian pulau ke Batu Kawan di Seberang Perai Selatan.
Najib yang dalam rangka lawatan sehari ke Pulau Pinang berkata, projek jambatan kedua itu merupakan satu lagi komitmen dan visi jangka panjang Barisan Nasional (BN) untuk membangunkan negeri itu berbanding kerajaan DAP yang tidak prihatin kepada keperluan rakyat.
“Orang Pulau Pinang kini sudah sedar bahawa kerajaan negeri indah khabar daripada rupa,” katanya.
Pada kesempatan tersebut, Najib turut meninjau perkembangan terkini projek pembinaan jambatan itu yang kini telah 94 peratus siap.
Beliau tiba di rentang tuju (bahagian tengah) utara jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu kira-kira pukul 3.15 petang dengan diiringi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow; Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Pengerusi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB), Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Perdana Menteri kemudiannya diberi penerangan ringkas berhubung kerja-kerja akhir pembinaan jambatan tersebut sebelum beramah mesra dengan kakitangan JKSB sambil menikmati minum petang.
Najib bersama rombongan kemudian menaiki kenderaan untuk menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Labu, Kepala Batas dekat sini.
Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 kilometer yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dan Batu Kawan, Seberang Perai Selatan dijangka siap sepenuhnya pada September ini.
Projek hasil perancangan kerajaan BN itu dilancarkan oleh Abdullah pada tahun 2008 dan kerja-kerja pembinaan yang dimulakan pada Mac 2009 telah 94 peratus siap. Ia secara fizikalnya boleh dilalui kenderaan.
Pembinaan jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu yang menelan kos RM4.5 bilion adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang biarpun telah dinaik taraf menjadi tiga lorong.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri untuk lawatan ke Pulau Pinang disambut oleh Chang Yeow dan Zainal Abidin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Sebelum ini, Pulau Pinang telah dihubungkan dengan jambatan pertama iaitu Jambatan Pulau Pinang yang pembinaannya dimulakan pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985 dengan kos sebanyak RM850 juta.
Jambatan sepanjang 13.5 kilometer itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Ogos 1985. Ia menghubungkan Pulau Pinang melalui Lebuh Raya Jelutong di Gelugor dengan tanah besar di Seberang Jaya.
Sementara itu, di Bukit Mertajam, Najib memberi jaminan bahawa UMNO tidak akan menuntut jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang jika BN menang dan berjaya membentuk kerajaan.
Najib berkata, BN merupakan sebuah parti gabungan yang mempunyai persefahaman dan matlamat yang jelas.
“Dalam apa juga keadaan, UMNO tidak akan tuntut jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana kita mahu buktikan BN sebuah parti yang ada persefahaman yang jelas. Matlamat kita juga jelas.
“Kita (BN) bukan macam pihak di sebelah sana yang tiada persefahaman sehinggakan berlaku pertembungan antara mereka,” katanya semasa berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di tapak pasar malam Perkampungan Juru dekat sini yang dihadiri lebih 10,000 orang semalam.
Dalam pada itu, lebih 50,000 penduduk Pulau Pinang yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum hadir untuk menyambut kehadiran Perdana Menteri pada majlis Malam 1Malaysia di Padang Tembak di sini malam tadi.
Kehadiran begitu ramai penduduk itu secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Perdana Menteri dan BN kembali mendapat sokongan rakyat di negeri itu.
Pada majlis tersebut, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan BN akan membina sebanyak 9,999 unit rumah kos rendah dan mampu milik untuk memenuhi keperluan perumahan penduduk di Pulau Pinang.
Antara tiga lokasi yang dikenal pasti untuk projek pembinaan rumah tersebut ialah di Air Itam, Air Putih dan Paya Terubong.
Dalam satu majlis lain, Najib turut mengumumkan Kolej Han Chiang akan dinaik taraf menjadi Kolej Universiti manakala Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee akan mendapat cawangan baharu di Bayan Lepas.
Beliau menyatakan demikian pada majlis perjumpaan bersama kakitangan dan pelajar Kolej Han Chiang di Bayan Baru dekat sini.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2S4HmR32m
Hakcipta terpelihara 


Selamat Ke Melaka! Selamat Datang Ke Teratak Kami!

www.seriduyonghomestay.com

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...