Sunday, February 17, 2013

Xenophon mudaratkan Malaysia

XENOPHON dihalang daripada memasuki Malaysia ketika tiba dari Melbourne di LCCT, Sepang pagi semalam.



KUALA LUMPUR – Seorang Senator Australia, Nick Xenophon telah ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dan dihalang daripada memasuki negara ini semalam setelah didapati mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara.
Xenophon yang namanya terkandung dalam senarai hitam Jabatan Imigresen tiba dari Melbourne, Australia pada pukul 6.50 pagi ditahan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/1963.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad yang mengesahkan penahanan itu berkata, akta tersebut melarang orang-orang yang tidak dikehendaki daripada memasuki Malaysia kerana boleh menjejaskan keharmonian, ketenteraman, tatasusila dan norma masyarakat.
“Apabila kita semak sistem, Xenophon merupakan golongan yang tidak diingini dan dilarang masuk ke negara ini kerana mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara.
“Xenophon sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan kepada media antarabangsa kononnya Malaysia sebuah negara tidak bertamadun, tidak demokratik dan tidak mengamalkan hak asasi manusia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Justeru Alias menegaskan, tindakan pihak imigresen menghalang Xenophon daripada memasuki Malaysia adalah wajar kerana beliau boleh menimbulkan suasana tidak baik selain pernah mencemar imej Malaysia.
Katanya, undang-undang seperti itu turut diamalkan negara lain termasuk Amerika Syarikat bagi menyekat individu yang boleh merosakkan ketenteraman daripada memasuki negara mereka.
Menurut beliau, Xenophon yang tiba di LCCT pagi semalam tidak ditahan dimana-mana lokap tetapi ditempatkan di pejabat imigresen sementara menanti penerbangan pulang ke Melbourne pada pukul 10.30 malam tadi.
Tegas Alias, lelaki berusia 55 tahun tersebut menerima layanan baik termasuk diberi makanan dan minuman serta tidak dihalang daripada membuat sebarang panggilan dan turut menerima lawatan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa.
Sementara itu, sekumpulan ahli politik Australia yang menjadi delegasi senator terbabit bagaimanapun membatalkan lawatan ke Malaysia selepas Xenophon tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.
Delegasi tersebut terdiri daripada Xenophon, Ahli Parlimen parti Liberal, Mal Washer; Senator John Williams dan Ahli Parlimen parti Buruh, Steve Georganas dijadual melakukan lawatan tidak rasmi menjelang pilihan raya umum di Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz2L9dYpNuv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...