Sunday, February 17, 2013

Misi cari serpihan tahi bintang dicari

SEORANG pegawai polis Rusia semalam mengawal lubang yang dipercayai tempat sebutir tahi bintang jatuh di Tasik Chebarkul, Chelyabinsk kelmarin.



MOSCOW - Sekumpulan orang menyelam ke dasar sebuah tasik yang berais semalam untuk mencari serpihan sebutir tahi bintang yang jatuh ke bumi selepas meletup di udara sehingga mengakibatkan 1,200 penduduk cedera dan ribuan rumah musnah.
Seorang jurucakap Kementerian Kecemasan Rusia berkata, enam penyelam memeriksa dasar Tasik Chebarkul di wilayah Chelyabinsk, 1,500 kilometer dari sini untuk mencari serpihan tahi bintang yang jatuh kelmarin.
Terdapat sebuah lubang besar di tasik berais itu yang dipercayai menjadi tempat tahi bintang tersebut jatuh.
Tasik itu terletak 80 kilometer dari bandar Chelyabinsk.
Namun, enam penyelam tersebut yang menyelam selama tiga jam gagal menemui sebarang serpihan tahi bintang.
"Mereka mendapati dasar tasik itu dipenuhi dengan 1.5 meter lumpur tebal," kata salah seorang anggota mencari itu kepada media Rusia.
Gambar yang disiarkan agensi berita Reuters semalam menunjukkan satu serpihan kecil dipercayai daripada tahi bintang itu.
Beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan milik Amerika Syarikat menganggarkan jumlah tenaga yang dibebaskan akibat kesan perlanggaran dengan atmosfera itu adalah kira-kira 30 kali ganda daripada bom atom yang digugurkan di bandar Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Letupan tahi bintang seberat 10 tan itu telah menyebabkan sejumlah tingkap kaca lebih 4,000 buah bangunan pecah di wilayah itu.
Bumbung dan dinding sejumlah bangunan juga runtuh selepas bebola api dan letupan dilihat sebahagian penduduk di wilayah berkenaan.
Gabenor wilayah berkenaan, Mikhail Yurevich menyatakan kerugian akibat letupan itu dianggarkan AS$33 juta (RM102 juta).
Ramai mangsa cedera akibat terkena kaca dan pelbagai serpihan yang pecah akibat letupan tersebut. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2L9fQY3hv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...