Saturday, January 26, 2013

Resort salji di pergunungan Almaty



BEGINILAH pemandangan memukau Chimbulak iaitu resort ski yang terletak di Almaty dan menjadi kunjungan jutaan pelancong setiap tahun.


SEBAIK sahaja juruterbang Air Astana membuat pengumuman pesawat Boeing 757 akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty di Almaty, Kazakhstan perasaan teruja penulis tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Melihat panorama indah, salji tebal meliputi gunung-ganang dan bukit-bukau yang memutih di sebalik tingkap kecil pesawat, sememangnya ia amat menakjubkan kepada penulis selepas melalui perjalanan selama lapan jam.
Lawatan itu adalah jemputan khas Kerajaan Republik Kazakhstan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-21 negara itu yang diraikan setiap 16 Disember.
Semasa lawatan selama dua minggu di negara bekas Kesatuan Soviet itu, yang merangkumi dua bandar raya utama iaitu Astana dan Almaty, ia benar-benar menakjubkan.
Udara yang sejuk sehingga menusuk ke tulang sumsum dapat dirasai sebaik melangkah keluar dari kabin pesawat, walaupun lengkap berbaju tebal, bersarung tangan dan berkasut but.
Bagaimanapun pengembaraan tidak terhenti di Almaty. Penulis sebenarnya dalam persinggahan penerbangan ke Astana kerana tiada penerbangan terus dari Malaysia. Penerbangan dari Almaty ke Astana mengambil masa satu jam 45 minit.
Setibanya penulis di Astana bersama kumpulan wartawan Malaysia yang lain, kehadiran kami disambut Setiausaha Ketiga Kedutaan Malaysia, Jamaaiah Che Ross dengan senyuman.
"Sejuk sangat di sini (Astana) kalau di Malaysia memang tidak dapat rasa cuaca macam ini, lagipun bulan Disember memang sejuk. Selamat datang ke Kazakhstan," katanya.
Ketika dalam perjalanan ke hotel yang jaraknya kira-kira 30 kilometer dari lapangan terbang, pemandangan bangunan yang indah dan unik berhampiran jalan raya menyambut kedatangan kami walaupun dilitupi sedikit kabus.
Astana bandar moden
Kazakhstan mempunyai penduduk seramai 17 juta orang terdiri daripada 140 suku etnik yang menganuti agama Islam, Kristian dan lain-lain.
Kira-kira 64 peratus penduduk terdiri daripada bangsa Rusia manakala selebihnya terdiri daripada Uzbekistan, Kyrgyzstan, Jerman, Ukraine dan Korea. Astana adalah bandar raya moden diilham kerajaan pimpinan negara itu, Presiden Nursultan Nazarbayev. Pembinaan bandar moden yang terancang menjadi satu simbol kebanggaan negara, malah mempamerkan Kazakhstan sebagai pilihan utama masyarakat antarabangsa dan dunia.

STIK daging kuda antara menu yang sempat dicuba oleh penulis.


Menara Baiterek
Hati penulis tertarik kepada seni bina di kebanyakan bangunan yang terdapat di Astana yang unik dan mempunyai kelas tersendiri antaranya ialah Menara Baiterek. Ia secara simboliknya berbentuk pokok poplar yang terdapat telur dan sarang burung samrud.
Menara setinggi 105 meter itu paling sesuai untuk melihat pemandangan dan landskap bandar Astana.
Uniknya menara itu di bahagian paling atas terdapat satu plak emas berbentuk tapak tangan kanan Nursultan.
Penulis turut berkesempatan menunaikan solat di Masjid Nur Astana, yang juga masjid terbesar di Asia Tengah dan mampu memuatkan lebih 5,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid itu, adalah satu daripada 2,000 masjid yang terdapat di negara Kazakhstan. Ia turut dibuka setiap hari kepada mereka yang bukan beragama Islam kecuali pada hari Jumaat. Lebih 70 peratus penduduk Kazakhstan beragama Islam, yang majoritinya mengamalkan Mazhab Hanafi.
Sebut sahaja Almaty, ibu negara Kazakhstan sehingga 1998, sudah pasti terbayang keindahan semula jadi gunung-ganang bersalji dan tasik. Ia adalah bandar raya terbesar di Kazakhstan dan jauh berbeza dari Astana.
Ini kerana, Almaty lebih terkenal dengan destinasi pelancongan seperti Shymbulak atau Chimbulak iaitu sebuah resort ski terletak 25 km dari Almaty di Lembah Medeu, kira-kira 2,230 meter di atas paras laut.
Untuk ke puncak, pengunjung perlu menaiki kereta kabel malah, dapat melihat sendiri stadium sukan luncur ais terkemuka di dunia di sekitar kawasan itu.
Hidangan daging dan susu kuda
Di Kazakhstan, penulis berpeluang menikmati beberapa masakan tempatan. Antaranya ialah Beshparmak, sejenis hidangan popular di negara itu yangn diperbuat daripada daging kambing, biri-biri atau kuda.

SEKITAR 70 peratus penduduk Kazakhstan beragama Islam.


Daging itu akan direbus dalam kasan, sebuah periuk besi yang digunakan secara tradisi di Kazakhstan.
Direbus selama beberapa jam bersama rempah seperti parsli, ketumbar, bawang dan lada hitam, daging itu kemudiannya akan direneh sehinggalah menjadi sup. Ia kebiasaannya dimakan bersama kentang dan mi yang menyerupai kepingan lasagna sangat nipis.
Pengalaman pertama penulis mencuba hidangan haiwan kuda adalah satu pengalaman pelik, tetapi menyeronokkan. Secara peribadi, penulis terbayangkan seolah-olah seekor kuda sedang berlari semasa pertama kali mencuba daging kuda.
Rasanya? Sama seperti daging lembu atau kambing tetapi agak liat, manakala susu kuda pula kurang lemak dan tidak pekat seperti susu lembu.
Green Bazaar
Tidak lengkap rasanya jika tidak membawa pulang buah tangan dari negara orang sebagai tanda kenang-kenangan. Justeru penulis bersama kumpulan wartawan yang lain dibawa membeli-belah di sebuah bazar dikenali sebagai Green Bazaar, di Almaty yang menjual pelbagai jenis produk makanan, kraf tangan dan bunga segar antaranya ros dan tulip.
Sepanjang berada di bazar itu penulis tertarik melihat sehelai baju T yang tertulis perkataan Astana. Timbul masalah apabila peniaga wanita itu tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan situasi tawar-menawar sukar dijalankan.
Walaupun mempunyai masalah komunikasi, tetapi peniaga wanita itu masih tetap tersenyum dan sabar melayan kerenah pelanggannya yang tidak memahami bahasa Kazakhstan.
Akhirnya, penulis membeli baju T berkenaan dengan harga istimewa iaitu dua pasang pada harga 2000 Teng (RM40). - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz2J4Jxlhbs 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...