Saturday, January 26, 2013

Kota indah pilihan penulis



MELBOURNE menggabungkan seni bina moden dan lama dalam landskap kota yang tersusun.


MELBOURNE merupakan pusat tumpuan pelancong yang meminati bidang kesusasteraan. Bandar yang popular dengan pengangkutan trem awam dan budaya seni itu turut diiktiraf sebagai Bandar Kesusasteraan oleh Persidangan Agung Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Selain menjadi tempat tinggal sebahagian daripada para penulis terbaik Australia, ia juga merupakan pengeluar terbesar bagi sektor penerbitan di negara tersebut. Rekod itu secara tidak langsung menjadikannya pusat budaya pembaca dan penulisan serta kalendar tahunan bagi acara berkaitan sastera.
Antara acara tersebut termasuk Festival Penulis-Penulis Melbourne yang diadakan saban tahun antara bulan Ogos hingga September. Pada tahun 2012, ia berlangsung meriah dengan kehadiran pelakon, pengarah dan penulis British, Simon Callow, serta penulis dan wartawan kelahiran Melbourne yang prolifik, Germaine Greer.
Turut menyampaikan ucapan ialah kakitangan kanan bahagian pengarang majalah, The New Yorker. Sebanyak 350 acara diadakan sempena penganjuran festival tersebut termasuk acara menyelami sejarah sastera Melbourne.
BANYAK bangunan lama yang dipulihara untuk dijadikan perpustakaan.


Festival Puisi yang dianjurkan pada Disember dan Festival Penulis-Penulis pada Mei atau Jun merupakan antara acara terbesar yang menjadi tumpuan pelancong.
Bandar buku
Keghairahan orang ramai terhadap sastera tidak berhenti di situ sahaja. Kampung bersejarah Clune juga telah dianugerahkan status Bandar Buku Antarabangsa oleh Organisasi Bandar Buku Antarabangsa pada April 2012.
Clune adalah bandar kecil pertama mendapat anugerah berkenaan di Hemisfera Selatan dan ke-15 di dunia. Pada Mei setiap tahun, Clune bertukar wajah menjadi sibuk dengan kehadiran para penjual buku dari seluruh Australia. Para penjual buku itu membuka kedai masing-masing di dalam bangunan bersejarah di bandar berkenaan.
Bagaimanapun, pada bila-bila masa, peminat-peminat buku boleh mengunjungi Perpustakaan Negeri Victoria. Bangunan kurun ke-19 itu menyimpan koleksi lebih dua juta naskhah buku, ratusan ribu gambar, surat khabar, peta, manuskrip dan bahan-bahan multimedia. Ia jelas menggambarkan budaya masyarakat Victoria sejak lebih 150 tahun lalu.
Bilik bacaan The La Trobe dengan siling berbentuk kubah merupakan lokasi yang wajib dikunjungi pelancong apabila berkunjung ke perpustakaan berkenaan.

BILIK bacaan The La Trobe bertempat di bawah seni bina kubah yang hebat.


Selain itu, perpustakaan tersebut menempatkan Wheeler Centre, pusat pertama seumpamanya ditubuhkan di Australia yang menempatkan buku-buku, hasil penulisan dan idea.
Dibuka pada 2010, pusat berkenaan menjadi medan penulis dan organisasi sastera bertemu seperti Writers Victoria, Express Media, Australian Poetry Centre dan penganjur bagi beberapa acara sastera.
Peningkatan penjualan buku secara dalam talian dan penutupan beberapa rangkaian gedung buku telah membantu kebangkitan semula kedai buku persendirian. Antaranya, termasuk Embiggen, Hill of Content, The Paperback Store, Metropolis, Kay Craddock Antiquarian Booksellers, Avenue Bookstore dan Coventry Bookstore.
Terdapat juga kedai-kedai buku khusus seperti Books for Cooks, Travellers Bookstore dan Artisan Books serta The Haunted Bookshop.
Melbourne turut terkenal dengan kafe dan bar yang sesuai untuk melepaskan penat dan mengisi perut. Mr. Tulk di Perpustakaan Negeri, Moat Bar and Cafe di ruangan bawah Wheeler Centre atau Journal Cafe di Perpustakaan Bandar Melbourne menawarkan suasana yang selesa untuk menjamu selera kepada para pembaca buku.
Bagi mendapatkan maklumat sastera hingga ke peringkat akar umbi, para pelawat perlu mendapatkan khidmat jurupandu. Mel Tours menawarkan dua jam lawatan sastera merangkumi laluan pejalan kaki di Melbourne dan arked perniagaan mulai 2 petang pada Selasa dan Khamis dengan bayaran AUS$39 (RM124).
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_03.htm#ixzz2J4KTH2C5 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...