PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Ruffedge iaitu Zain Hamid yang kini aktif bergelar pelakon menolak dakwaan kononnya dia beralih bidang kerana kerjaya nyanyian semakin merudum selepas kumpulan itu berpecah.
Sebaliknya, Zain atau nama sebenar Mohd Kamaruzaman Zain Abdul Hamid, 34, berkata, peralihan itu adalah proses biasa yang terjadi pada mana-mana artis dalam dunia hiburan kerana kedua-dua cabang berkenaan adalah saling berkaitan.
“Memang saya memberikan tumpuan kepada lakonan pada waktu ini tetapi saya tidak tinggalkan terus nyanyian. Saya masih terlibat dalam bidang nyanyian tetapi bertumpu pada kerja-kerja belakang tabir seperti penerbitan dan rakaman muzik.
“Lakonan dan nyanyian saling berkaitan sebenarnya. Walaupun kedua-duanya berlainan tetapi ciri-cirinya tidak banyak berbeza. Masing-masing ada cabarannya dan saya mengambil serius kedua-dua cabang ini,” katanya.
Zain berkata, sebagai anak seni, tindakan menukar bidang adalah perkara biasa bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menimba pengalaman baru.
“Saya mula cenderung berlakon sejak berlakon dalam drama Kejar arahan Bade Hj Azmi pada 2009. Sebelum itu, saya pernah berlakon dalam filem Castello (2004) juga di bawah Bade tetapi bukan secara serius.
“Saya masih baru dalam lakonan dan banyak yang perlu saya pelajari ibaratnya pelajar yang sedang belajar di universiti,” kata bapa kepada Rania Zain, tiga tahun setengah ini.
Ditanya mengenai hubungan dengan anggota Ruffedge yang lain, Zain berkata, mereka kekal bersahabat seperti adik-beradik walaupun sudah membawa haluan masing-masing.
“Kami masih berhubung dan kekal bersahabat seperti biasa. Hubungan kami seperti adik-beradik dan tidak akan terputus hanya kerana mereka sudah membawa haluan kepada muzik kerohanian.
“Apa juga keputusan mereka adalah hak mereka dan saya hormatinya. Namun, untuk saya meneruskan kerjaya nyanyian sebagai penyanyi solo, rasanya saya belum bersedia,” katanya.
Terbaru, Zain bakal muncul dalam drama bersiri sebanyak 13 episod berjudul Dendam Sarakit arahan Fairuz Loy.
Dia yang pertama kali berpasangan dengan aktres Fouziah Gous berkata, mereka tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian bagi menjayakan watak suami dan isteri dalam drama seram itu.
“Pertama kali berpasangan, saya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan keserasian dengan Fouziah.
“Keserasian itu kami peroleh sepanjang 32 hari penggambaran berlangsung menerusi perbualan sama ada di dalam atau luar set,” katanya.
Ia akan ditayangkan bermula 27 September ini pada setiap Khamis, pukul 10 malam dalam slot Seram di TV3.
@mstar.com.my
No comments:
Post a Comment