|
JIKA badai jadi penentu kepada termometer ketahanan mental dan akal seseorang, jarum termometer penunjuk badai buat Nora Danish antara yang sentiasa turun naik pergerakannya.
Si kecil molek ini antara yang terkena badai malah kisahnya sentiasa menjadi tontonan ramai. Daripada bergelar anak dara hinggalah bertukar kepada janda, dia seakan tidak kalis pertanyaan. Namun badai pasti berlalu.
Wanita berusia 30 tahun itu kini menjadi pemanis bibir khalayak dengan pujian terhadap peningkatan lakonannya. Satu demi satu naskhah yang direalisasikan mendapat pujian yang bukan sedikit.
Tonton lakonan sendiri
Buat Nora, dia sentiasa menjalani pembaikan diri dengan menonton setiap produk yang dilaksanakan. Di samping itu dia mencari variasi agar tidak menadahkan para penonton dengan pembawaan karakter yang sama.
"Mungkin ada pelakon yang tidak menonton lakonannya sendiri tetapi saya berbeza. Saya akan menonton kembali dan melihat untuk belajar memperbaiki teknik lakonan sendiri. Saya perlu tengok untuk jadi lebih baik," petahnya yang mengambil cuti berlakon sejak bulan puasa hingga minggu ini.
Begitu juga untuk sebuah pencapaian diri yang mapan, aktres yang awalnya digilap melalui drama Puteri ini mahu sentiasa mencari watak yang lebih mencabar. Memang itulah keinginan dirinya dan pelakon untuk meratah sebuah karakter baharu dan dilontarkan kepada peminat agar terlihat perbezaan.
"Alhamdulillah selepas drama Tentang Dhia, saya diberikan watak yang berbeza dan berat. Asalnya memang dari dahulu saya mahukan sebegini tetapi sering diberikan watak komedi," katanya.
Jujurnya, Nora berasa tertekan dengan karakter yang berat malah terbawa-bawa ke rumah dan sekelilingnya. Namun itu yang dicarinya atas nama pelakon dan penawar untuk tekanan itu, dia bercuti bersama famili dengan membawa karakter dirinya sendiri.
"Usai membawakan watak wanita didera dan menangis, minggu ini saya akan masuk set filem Legenda Budak Hostel. Sebuah filem arahan Bob dan lakonan bersama pelakon-pelakon komedi seperti Along dah Angah," katanya yang tidak mahu penonton bosan jika dia terusan membawa karakter yang tiada ragam bahasa.
Harap ada stylist
Larut bercerita dalam nafas seorang aktres, Nora menambah sebuah harapan agar ada perubahan dalam industri lakonan. Bukan besar namun perubahan yang kecil itu mampu membuahkan sebuah impak yang ketara.
"Saya mengharapkan agar ada stylist dalam sebuah produksi. Ini untuk membentuk sebuah karakter itu lebih semula jadi. Di sini semuanya kena sediakan sendiri. Memang ada tetapi wardrobe yang sama sekali lain dengan stylist. Kalau saya jadi watak Senah, saya mahu stail Senah dan bukan Senah dalam stail Nora," buah harapnya berbunyi selain mengharapkan skrip sentiasa datang awal ke tangannya.
Di sebalik harapan yang satu itu, debaran dan harap juga hinggap pada filem Aku Terima Nikahnya yang bakal dipertontonkan mulai 11 Oktober ini di pawagam.
Rentetan kemesraan dan ketulenan watak dalam Tentang Dhia, filem terbitan MIG ini akan mempamerkan sekali lagi kemesraan Nora dan aktor Adi Putra sebagai suami isteri. Berdebar, ujar Nora kerana dia tahu para peminat meletak harapan tinggi untuk filem tersebut.
"Saya tahu para peminat meletakkan harapan yang menggunung terhadap Lisa dan Johan dalam Aku Terima Nikahnya. Sebuah filem yang santai namun sarat dengan mesej perhubungan antara suami dan isteri. Harapan saya agar kelak janganlah para penonton terbawa-bawa hingga ke luar filem," jawabnya yang mengaku malu-malu membawa sikap romantis dalam diri Lisa.
"Penonton harus faham bahawa kadangkala kamera juga pandai temberang. Ada visual menampakkan kami banyak bersentuhan. Ini adalah sebuah filem tentang hubungan suami isteri. Sebenarnya tidaklah begitu intim," ketawanya yang berterima kasih kepada Adi kerana banyak membantunya.
Filem ini juga ulas Nora ialah sebuah karya yang mendapat banyak sentuhan wanita. Suntikan wanita itu bukan sahaja pada pengarahnya, Eyra Rahman tetapi juga pada pembantu pengarah dan kru.
"Cerita ini sesuai untuk tontonan mereka yang bercinta juga pasangan suami isteri. Pasti akan membuai-buai perasaan," ulasnya.
Pernah terkena tempias gosip dengan sang aktor gara-gara lakonan bersama, kali ini untuk sebuah respons terhadap kolaborasi layar lebar, Nora mengaku bersedia.
Sedia dikritik
"Daripada segi fizikal dan mental, saya bersedia. Saya faham penerimaan penonton berbeza-beza dan cara mereka lihat filem itu kelak nanti berbeza. Seperti yang saya katakan, mereka perlu lihat Johan dan Lisa, bukan saya dan Adi," bunga sedia Nora berbunyi terhadap impak yang mengalir melalui filem romantis ini kelak.
Petah katanya semakin matang dan sikap itu tampak jelas dalam pembawaan dirinya. Melalui hari-hari dengan status ibu tunggal, sikap berdikari Nora semakin hari semakin terserlah.
Fasa hidupnya adakala santai dan tidak kurang dikasari gelombang dalam jalur bergelar anak seni. Tabah dan mengaku bebas, Nora melakukan ini atas nama kehidupan.
"Umur makin meningkat, saya ada anak dan berstatus janda. Di sebalik itu sebenarnya saya berasa lebih kuat dan berdikari. Malah ada peminat meminta nasihat daripada saya. Saya tidak boleh lemah. Kritikan juga saya lihat sebagai sebuah nasihat agar saya terus berdiri," ujarnya dalam nada tegas.
Tidak melihat jauh, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini melihat ibunya sebagai mentor dan idola.
"Saya melihat ibu saya sebagai mentor. Jiwa dan semangatnya kuat. Ibu besarkan kami di Malaysia sewaktu ayah di Amerika Syarikat. Dia orang Myanmar yang belajar hidup berdikari di tanah Malaysia. Buka restoran dan jaga kami adik-beradik sendirian. Bayangkan kekuatan itu," cerita seorang anak tentang semangat ibunya, Salimah Talib.
Memegang erat kata-kata hikmah ibunya sebagai panduan hidup, itu antara yang dijadikan darah daging semangat kuatnya.
"Ibu pesan agar sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, perlu sentiasa ingat Yang Maha Esa. Ibu ingatkan saya untuk sentiasa berdoa dan berzikir. Jadikan ia makanan jiwa. Hati kena baik dan juga perlu sentiasa berfikiran positif," patah-patah semangat itu dikongsi.
Untuk Nora kini, dia fokus dengan kerjaya dan hidup berdikari. Rayqal yang merupakan pengarang jiwa juga adalah semangat hidupnya.
"Anak adalah segalanya untuk saya. Semangat dan keceriaannya kunci untuk hidup saya," akhir ceritanya yang Rayqal yang gemar bergaya seperti ibunya.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment