Monday, September 24, 2012

Kamera segera jadi pilihan





MINAT terhadap kamera segera bermula apabila Siti Nurfionaliza Adil, 21, melihat aksi pelakon-pelakon menggunakan kamera itu dalam filem klasik Hollywood.
Perasaan teruja gadis yang senang dengan panggilan Fiona itu terzahir apabila melihat gambar yang keluar dari kamera tersebut. Hal itu membuatkan dia menyimpan angan-angan untuk memilikinya suatu hari nanti.
"Saya cuba mencari kamera vintaj tersebut, tapi harganya terlalu mahal. Lebih-lebih lagi jika ia keluaran tahun 70-an," ujarnya.
Namun, hajat Fiona itu akhirnya termakbul apabila gajet itu menjadi hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-19 daripada ayahanda tercinta.
"Terasa cukup bertuah kerana ayah dapat menghidu impian yang telah tersimpan sekian lama," kata anak kepada personaliti televisyen, Aidil Abdul Ghafar itu.
Kini, kamera jenis Fujifilm Instax Mini 7s miliknya akan dibawa ke mana-mana sahaja bagi merakamkan momen-momen indah, bersesuaian dengan kerjaya Fiona sebagai pembantu produksi di salah sebuah syarikat penyiaran tanah air.
Berkongsi minat yang sama dengan Fiona ialah gadis kelahiran Klang, Selangor, Farah Hani Ahmad Fuad, 22.
Farah yang kini memiliki kamera Fujifilm Instax 200 berkata, cinta pada hobi baharunya ini bermula apabila melihat rakan sebaya menggunakan kamera tersebut.
"Tanpa berlengah, saya terus mencari kamera ini di laman web berharga RM200," ujarnya yang sedang menuntut dalam jurusan Pengiklanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Menurutnya, kamera digital yang dibeli ketika belajar hanya digunakan pada acara besar seperti majlis perkahwinan manakala kamera segera pula khas untuk hari-hari istimewa bersama teman-teman.
"Sebelum ini, saya perlu memuat turun gambar ke komputer dan kadangkala ia memakan masa yang panjang.
"Tetapi dengan kamera segera, saya boleh melihat terus gambar yang diambil dan ia lebih asli tanpa sebarang suntingan," jelasnya.
Pentingkan kualiti
Lain pula cerita jejaka berasal dari Ulu Tiram, Johor, Faisal Aziz, 24, yang menggunakan kamera segera jenis Polaroid sejak tiga tahun lalu.
Faisal berkata, walaupun kamera segera tiada fungsi-fungsi tambahan seperti kamera digital, dia tetap menitikberatkan kualiti setiap gambar yang diambil berlandaskan teknik-teknik yang betul.
KAMERA Polaroid mempunyai bilangan peminat yang bgesar dalam kalangan generasi muda Malaysia.


"Apabila menggunakan kamera segera, pengguna harus cekap dari sudut pencahayaan dan komposisi gambar yang tepat sebelum mengambil gambar.
"Memang ia sedikit rumit, tetapi pengguna akan berasa puas apabila melihat hasilnya," ujar pelajar jurusan undang-undang, UiTM Shah Alam itu.
Sebelum menjadi pengguna setia kamera Polaroid, Faisal terlebih dahulu menggunakan kamera jenis lomo, Diana, yang dibeli sekitar tahun 2005.
"Disebabkan terlalu lama menggunakan kamera Diana, saya inginkan sesuatu yang baharu dan lebih menyeronokkan. Dalam proses pencarian itu, saya diperkenalkan dengan kamera Polaroid oleh rakan saya," katanya.
Kamera pertama yang dibeli Faisal ialah Polaroid 103 pada harga RM400.
Setakat ini, Faisal sudah memiliki lima kamera segera yang turut berkongsi hobi dengan kedua-dua ibu bapanya.
Mungkin ada yang beranggapan kamera segera hanya sesuai digunakan oleh golongan tertentu kerana kos yang sedikit tinggi berbanding kamera digital mahupun kamera filem.
Namun, bagi ketiga-tiga anak muda ini, mereka lebih mementingkan kepuasan ketika mengambil gambar kerana hasil yang lebih cantik.
"Isu membazir tidak timbul jika anda betul-betul meminati dan memahami seni di sebalik sekeping gambar yang diambil," ujar Faisal.
Tambah Fiona: "Pengguna kamera segera harus bijak ketika menggunakan kamera ini. Sebagai contoh saya mengehadkan satu atau dua kotak filem dalam masa sebulan bagi mengelakkan pembaziran."
Sebelum ini, kamera digital jenis kompak dan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) menjadi suatu kemestian untuk dimiliki oleh sesiapa sahaja.
Aksesori tambahan
Ia ibarat aksesori tambahan bagi anak-anak muda, terutamanya kamera DSLR, yang digunakan ketika bersiar-siar bersama keluarga dan teman.
Kamera moden itu mudah mendapat perhatian kerana ia boleh mengambil gambar dalam kuantiti yang banyak tanpa perlu memikirkan kos mencuci filem seperti kamera konvensional.
Selain itu, pengguna boleh memilih untuk memadam gambar yang tidak dikehendaki jika terdapat kesilapan ketika proses penangkapan imej.
Kamera digital juga mempunyai kelebihan untuk menangkap objek pada jarak yang jauh dan terlalu dekat melalui fungsi zoom.
Walau harga kamera digital lebih mahal, antara RM500 sehingga RM3,000 bergantung kepada jenama kamera, ia masih mampu dimiliki kerana mengambil prinsip alah membeli, menang memakai.


JIKA kena pada tekniknya, gambar Polaroid lebih tinggi nilai seni dan kualitinya.



Menurut Ketua Program Jabatan Fotografi & Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka, UiTM Shah Alam, Nik Ridzuan Nik Yusoff, dunia fotografi di Malaysia semakin berkembang apabila semakin ramai mula berminat untuk mendalami bidang ini.
Ulas beliau, golongan berkenaan terbahagi kepada dua iaitu mereka yang betul-betul berminat dan mereka yang menganggap ia sekadar untuk suka-suka.
"Ia tidak lagi terhad pada satu golongan kerana ramai yang mampu memiliki kamera tersebut. Kini, ia menjadi salah satu cara pengguna untuk mengekspresi diri mereka.
"Tambahan pula, ada yang menggunakan kepakaran dalam bidang fotografi sebagai sumber rezeki dengan menjalankan bisnes seperti penggambaran majlis perkahwinan atau majlis korporat," jelasnya.
Sementara itu, pengguna kamera segera pula, menurut Nik Ridzuan, lebih kepada penggunaan pada masa tertentu kerana mereka yang meminati kamera tersebut lebih suka bereksperimen ketika menggunakannya.
"Selain itu, ramai yang menyukai gambar kamera ini kerana ia bersifat seni dan unik berbanding gambar kamera digital.
"Tetapi yang paling penting, pengguna harus tahu perkara asas penggunaan kamera, tidak kira sama ada ia digital atau Polaroid," jelasnya.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...