Monday, September 24, 2012

Britney Spears kembali beraksi



LAGU Baby One More Time, Sometimes dan Opps! I Did It Again menjulang nama Britney Jean Spears, 31, atau lebih dikenali Britney Spears. Kemunculannya di persada seni antarabangsa pada tahun 1999 mendapat perhatian ramai sehingga menyebabkan kehadiran anak kelahiran McComb, Mississippi, Amerika Syarikat (AS) itu mencipta fenomena yang luar biasa.
Populariti Britney pantas melonjak sehingga diangkat sebagai ikon muzik setaraf penyanyi tersohor seperti Madonna, Micheal Jackson dan Whitney Houston. Dia bukan saja berbakat dalam bidang nyanyian dan tarian malah memiliki aura dan stail tersendiri.
Justeru, tidak hairanlah nama Britney masih menjadi sebutan dan kemunculannya dalam pelbagai acara dan konsert sentiasa dinanti-nantikan.
Pada awal kemunculannya, penyanyi berambut perang keemasan berbintang Sagitarius itu lebih gemar tampil ringkas dan konservatif dalam penampilan. Gaya ala remaja sekolah dengan rambut bertocang dua dalam klip video lagu Baby One More Time menonjolkan sisi naif Britney sebagai remaja berumur 17 tahun.
Senyuman manis yang menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun rapi menjadi signatur anak kepada pasangan Lynne Irene dan James Parnell Spears itu.
Pesona
Namun, sisi naif Britney berubah apabila muncul dalam album kedua dengan gaya seksi. Ia merupakan detik permulaan Britney sebagai selebriti yang tampil berani dan tersendiri ketika melepasi lensa kamera.
Beliau lebih selesa bergaya seksi pada setiap persembahan atau ketika melangkah di karpet merah yang menjadi idaman setiap wanita untuk memiliki tubuh seperti penyanyi yang pernah muncul dengan filem, Crossroad (2002) ini.
Sejak tahun 1998 hingga kini, Britney tampil berbeza dengan cita rasa fesyen yang pelbagai malah sering bertukar warna rambut setiap kali kemunculannya di khalayak ramai.
DRES mini Azzedine Alaia menjadi pilihan Britney ketika menjadi juri tetap program realiti, The X-Factor di Missouri, Amerika Syarikat.


Selepas album kedua yang mencatat jualan sebanyak 20 juta keping di seluruh dunia, Britney muncul dengan imej skirt mini sekali gus memperaga sebahagian tubuhnya yang seksi. Imej ini lantas menjadi ikutan sehingga Britney menjadi budaya pop alaf baharu.
Masih ingat busana yang disarung Britney ketika Anugerah Video Muzik MTV (VMA) pada tahun 1999? Kardigan renda berlabuci dengan kolar berbulu itu sepatutnya dipakai bersama gaun tetapi beliau tampak yakin menggayakan baju itu.
Detik fesyen paling buruk Britney ialah ketika beliau menghadiri Anugerah Muzik Billboard 2000. Baju labuh rona jingga, sarung kaki, korset, topi dan but baldu mendapat kritikan hebat daripada pengkritik fesyen. Ibarat aduan dua imej berbeza dengan konsep baju yang tidak dominan.
Cinta asmara dua merpati sejoli antara Britney dan penyanyi, Justin Timberlake meninggalkan momen manis kepada peminat apabila kedua-duanya muncul sedondon dalam busana inspirasi ala koboi berasaskan fabrik jean ketika menghadiri Anugerah Muzik Amerika (AMA) tahun 2001. Kelibat pasangan selebriti berkenaan kelihatan manis dan secocok.
Sementara itu, persembahan Britney di pentas Video Music Awards (VMA) 2001 ketika menyanyikan lagu I'm Slave 4 U turut menjadi bualan hangat gara-gara berpakaian menjolok mata sambil menari bersama ular albino.
Dengan hanya memakai coli hijau dan seluar pendek rona firus, Britney tampak begitu yakin beraksi di atas pentas sehingga penampilannya itu diabadikan di muzium patung lilin, Madame Tussauds, di London.
Kegemilangan Britney tidak berpanjangan apabila dia menghadapi pelbagai masalah peribadi sehingga dimasukkan ke Pusat Rawatan UCLA, di California akibat kecelaruan mental pada tahun 2008.
Semuanya gara-gara perkahwinannya dengan model dan penari, Kevin Federline, yang membawanya ke sebuah pengalaman hidup yang huru-hara.
Sepanjang tempoh perkahwinan yang mengurniakan mereka dua orang anak iaitu Sean Preston, 6, dan Jayden, 5, itu, satu demi satu detik hitam menyelubungi perjalanan seni Britney. Selama beberapa tahun, media mensensasikan mengenai karier Britney yang telah sampai ke penghujungnya.
TAMPIL ayu dan bersahaja pada awal kemunculan sekitar tahun 1998.


Faktor X Britney
Mujur atas usaha penerbit dan pengkritik terkenal, Simon Cowell membawa kembali kemasyuran Britney di persada muzik antarabangsa apabila beliau muncul sebagai juri tetap program nyanyian realiti TV, The X Factor. Cowell sanggup membelanjakan $15 juta (RM46.2juta) bagi mendapatkan khidmat Britney untuk berada di sisinya sepanjang musim kedua program itu.
Transformasi positif Britney bermula apabila kelibatnya dalam program itu memperlihatkan kematangan dari segi pemakaian dan penampilan yang anggun. Pemilihan pakaian, solekan dan gaya rambut lebih terurus dan sempurna.
Ketika menghadiri sesi uji bakat pertama di Austin, Texas dia menyarung dres neon merah jambu daripada Brian Lichtenberg dipadankan bersama sepatu Yves Saint Laurent (YSL).
Britney tampil ceria di Bandar Kansas, Missouri apabila memilih dres mini kembang rona putih Azzedine Alaia bersama sandal Miu Miu untuk sesi kedua. Cita rasa fesyen penyanyi ini semakin tinggi dengan memakai baju manik keemasan lengan panjang rekaan Lorena Sarbu diadun cantik bersama sepatu metalik Giuseppe Zanotti di San Francisco, California.
Sewaktu uji bakat di Greensboro, Carolina Utara, tunangan kepada Jason Trawick, 39, ini bergaya dengan dres sendat rona hitam daripada jenama kegemarannya, Hervé Léger disesuaikan bersama kasut bertali Valentino.
Dia kembali menyarungkan baju daripada jenama yang sama ketika menghadiri sesi pemilihan di Providence, Rhode Island. Dres mini rona merah menyala itu digabungkan dengan sepatu YSL.
Pilihan terbaik Britney dan kumpulan tatarias yang diketuai oleh jurugaya, June Ambrose sepanjang program tersebut setakat ini ialah pada majlis pelancaran The X-Factor di Hollywood, California. Beliau memakai busana anggun bercorak Ornate rona biru terang daripada Stella McCartney.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...