Sunday, July 8, 2012

Sulaman cinta sembilan tahun



MAJLIS resepsi pasangan ini bakal dilaksanakan pada 1 Disember di PICC, Putrajaya dan 8 Disember di Muar, Johor.


"HAI, Ella kan? Assalamualaikum." Itu ayat pertama sapaan Azhar kepada Ratu Rock, Ella. Ayat perdana itu dilontarkan sembilan tahun lalu di sebuah lobi hotel di Kota Kinabalu, Sabah.
Bermula dengan sapaan dengan niat berani, Azhar yang ketika itu bertugas di Kota Kinabalu dapat mendekati Ella. Dia kemudian dijemput menonton persembahan penyanyi tersebut dan sebuah insiden yang berlaku seakan takdir mendekatkan diri mereka.
"Waktu persembahan, ada orang baling mercun dan gua bawa Ell ke klinik. Dia luka di tangan," ujar Azhar yang selesa membahasakan dirinya gua dan Ell untuk belahan jiwanya.
Insiden tersebut sebuah rahmat buat mereka berdua. Bertukar nombor telefon dan saling mengenali, rutin biasa bagi hati yang sedang berbunga untuk merapati satu sama lain.
"Ell cinta pandang pertama dan cinta pertama gua. Waktu pertama kali jumpa, gua tahu akan ada sesuatu yang akan berlaku," jujur Azhar yang ditemui memulakan cerita cinta dirinya dan Ella yang berakhir dengan pernikahan semalam di kediaman Ella di Klang.
Luah Azhar, cinta mereka sempat terputus kerana kerja dan kejauhan. Hanya pada tahun 2007, mereka bertemu kembali dan cuba memulakan lagi perhubungan tersebut.
"Putus juga masa tu sebab masing-masing kurang ilmu dan tidak matang. Tapi kami sentiasa berusaha ke arah penyatuan," ujar Azhar, adik angkat kepada vokalis Amy Search ini.
"Tahun lepas, gua telefon dia dan bertanya khabar. Keluar beberapa kali dan kemudian kami sama-sama menonton Konsert Fenomena Search di Pusat Konvensyen Mines. Dua-dua dalam atmosfera yang sama dan ingin meneruskan hubungan yang pernah putus. Kami niat kerana Allah dan cinta ini suci," tanpa segan Azhar bercerita lanjut.
SESI penggambaran praperkahwinan dilakukan di Universal Studio, Singapura.


"Dalam waktu berkawan, kami sama rasa perasaan yang sama dan sedar bahawa kami memang ditakdirkan untuk bersama. Lalu gua keluar bertiga bersama ibu Ell dan memohon restu ibu Ell untuk memperisterikan Ell. Niat kerana Allah," sambung Azhar yang menghantar rombongan merisik pada 17 Jun lalu.
Lalu ditanyakan Azhar apa persama jiwa mereka yang dua kali diberi ujian cinta. Ujar Azhar, "Kami sentiasa dalam nada yang serasi dan selari."
Azhar tatkala ditanya keistimewaan Ella di matanya berkata: "Hatinya lembut. Kasih sayang serta perhatian yang diberikan kepada gua dan kita serasi. Dia juga wanita yang sederhana."
Juruterbang komersial itu mengaku dia terlalu kecil untuk mengikuti Ella daripada awal kariernya namun selepas mengenali Ella, dia mengaku tersangkut dengan lagu Rindu dan Hanya Pada Kamu nyanyian merdu buah hatinya bernama Norzila Aminuddin itu.
"Gua kasi Ell lagu Jerat nyanyian Harvey Malaiholo. Gua akan sokong karier Ell sebagai penyanyi cuma dia harus tahu statusnya sebagai isteri," akhiri perbualan Azhar yang mengaku sangat berdebar-debar untuk mengahwini buah hatinya.
Semalam, pasangan ini selamat dinikahkan. Bermula hanya dengan sebuah sapaan ringkas tapi penuh keberanian Azhar, 30, sembilan tahun selepas itu, sapaan itu rupanya sebuah titik kepada penyatuan cinta yang murni. Segalanya mungkin berlaku atas nama cinta.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...