WALAUPUN semakin diberi perhatian sebagai pelakon besar tanah air, Shaheizy Sam dan Yana Samsudin tidak menuntut agar semua kerja lakonan mereka disanjung setiap detik.
Entah di mana silapnya, pemegang trofi Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem ke-23 berkenaan kini seperti kurang menyengat, mungkin lebih tepat jika mereka dipanggil lemau sebelum ranum. Tahun ini Sam bergantung harap dengan filem Songlap setelah Adnan Sem-pit 2 dan Nongkrong, gagal membawa penonton mengenali karakter Sam secara lebih dalam.
Yana pula terkulai menerusi watak Wawa dalam Adnan Sempit. Kemunculan mereka dalam Aku Ada, Kau Ada? juga satu kesilapan besar.
Cantik luaran dan mewah gaya K-Pop namun mendengar judul Aku Ada, Kau Ada? sahaja, Yana dan Sam layak untuk menumpang malu atas 'kebijaksanaan' filem itu yang sekadar menumpang populariti mereka. Kesanggupan Sam atau Yana terlibat dengan filem-filem 'sampah' dan mengundang bosan di benak ramai ada diperkatakan, namun sebagai pelakon berjiwa besar, mereka tidak mudah patah hati.
Alasan mereka, kerja lakonan telah mereka langsaikan, soal impak atau sisi lain kejayaan sesebuah filem, tenaga kreatif seperti pengarahlah yang harus dinilai lebih berbanding pelakon.
"Sama ada saya atau Yana, kami hanya mempersembahkan yang terbaik mengikut apa yang telah dilakar pihak pembikin. Semasa penggambaran, kami tidak nampak gambaran sebenar atau keputusan sesebuah filem yang dilakukan," beritahu Sam.
Terbaharu, dua ayam tambatan MIG itu muncul lagi dengan buah tangan yang lebih agresif. Arahan Ahmad Idham dan menjalani pembikinan lebih dua tahun lalu, filem 8 Jam kini sudah berada di pawagam tanah air.
Diuar-uarkan sebagai filem aksi terbaik oleh Sam, sejauh mana 8 Jam mampu memberi kelainan berbanding gedik manja yang pernah mereka kongsikan dalam Aku Ada, Kau Ada? serta Bini-Biniku Gengster atau jiwa mat rempit yang disaksikan menerusi Adnan Sem-pit.
SENSASI BINTANG: Ada rungutan daripada peminat mengatakan sudah bosan dengan lakonan Sam ?
SHAHEIZY SAM (SS): Bagi saya, bosan itu subjektif. Industri perfileman di Malaysia memang produktif tapi kita masih kekurangan tenaga pekerja. Saya tak boleh nak sentuh mengenai karya atau cerita filem itu kerana ia bukan bidang saya. Penonton tengok filem kerana sukakan cerita, ada pula yang datang kerana barisan pelakonnya sendiri. Pilihan ada di tangan mereka. Jika ada yang bosan dengan saya, saya langsung tidak ambil hati atau marah. Saya faham situasi ini sebab saya sendiri, kalau saya terima skrip yang tak menarik, saya pun bosan. Inikan pula orang yang melihat saya di layar perak.
YANA SAMSUDIN (YS): Kami pun kadang-kadang ada juga perasaan bosan dengan watak dan karakter yang tidak banyak perbezaan. Tapi, sendiri bersyukur sebab selama serius dengan perfileman, saya selalu dapat karakter yang berbeza.
Mengapa tidak berehat sahaja memandangkan kamu berdua semakin hilang rentak lakonan? Adakah rela ditelan filem sampah?
SS: Saya sendiri pernah bercuti daripada berlakon beberapa bulan tapi waktu itu sibuk juga dengan promosi untuk filem yang akan dan sedang ditayangkan. Okey, katakan sayalah berehat untuk jangka waktu yang lama, katakan saya hanya berlakon sebuah atau dua buah filem setahun dan filem itu filem yang dirasakan benar-benar bagus. Ia bagus untuk lakonan sahaja, tapi untuk tempoh 10 atau 20 tahun lagi, bagaimana pula dengan kestabilan karier saya, kewangan serta kos sara hidup saya dan keluarga. Saya tinggal bersama ibu. Itu yang cuba saya imbangkan sekarang. Kalaulah saya ada lot kedai sederet dan makan duit sewa setiap bulan, pasti saya boleh menjadi terlalu memilih dalam kerja.
YS: Macam yang Sam katakan, memang kami ada hak untuk memilih tapi untuk pelakon yang baru mahu stabilkan ekonomi, saya ambil apa sahaja peluang yang ada.
Jadi, anda merupakan angkatan pelakon 'pukul keliling' asal poket penuh?
SS: Ada tawaran yang saya terima kerana duit dan ada juga tawaran yang saya terima kerana naskhahnya. Kalau tawarannya ala-ala, saya cuma buat yang terbaik untuk bahagian saya iaitu lakonan.
YS: Sebenarnya susahlah nak dapatkan satu-satu tawaran yang betul-betul bagus atau sekali baca skrip sahaja rasa terpegun. Saya masih baca setiap skrip yang diberikan setiap kali mahu bersetuju dengan sesebuah produksi filem.
Adakah berbaloi penonton membayar RM10 untuk menyaksikan lakonan anda dalam filem 8 Jam?
SS: Saya boleh katakan, 8 Jam antara skrip terbaik yang pernah saya terima sepanjang saya bergerak sebagai pelakon filem. Baca skrip itu sahaja sudah menggentarkan emosi saya.
YS: Memang orang pernah tengok lakonan saya di sisi Sam sebelum ini, tapi 8 Jam ialah filem pertama yang menggandingkan kami berdua sebagai kekasih. Saya memang jatuh kasihan dengan nasib Alang Budiman, simpati dan cinta yang sangat mendalam. Saya harap emosi itu dapat dirasai penonton.
Selain itu, dari segi produksi dan setelah filem itu ditayangkan, kalian puas hati?
SS: Saya sendiri sangat kecewa apabila dimaklumkan bahawa babak saya ke tali gantung tidak dapat diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF) walhal ia adalah babak penting dan paling sukar untuk saya persembahkan. Saya tak marahkan LPF, mungkin orang bijak pandai dalam organisasi itu ada alasan tersendiri. Babak itu menuntut emosi yang sangat sukar kerana seluruh muka saya ditutup kain hitam. Ia sangat menginsafkan ketika itu. Berada dalam jel itu sendiri memberi satu perasaan yang ngeri.
YS: LPF ada alasan tersendiri dan kami kena akur tapi kenapa babak ngeri dalam filem lain dibenarkan kenapa babak ke tali gantung dalam filem kami dipotong. Setahu saya, ada drama sebelum ini yang tunjuk babak ke tali gantung. Saya cuma berharap penonton akan dapat terima perkara itu.
Dengarnya karakter dan watak dalam 8 Jam sangat menarik dan menguji pautan kimia kalian berdua.
SS: Watak Alang Budiman itu memenatkan, sangat mengerah fizikal, mental dan emosi saya tapi saya puas dengan kerja saya sebagai pelakon sebab dapat memberi apa yang dimahukan sampai tercedera malah kedua-dua kulit lengan saya luka-luka kerana aksi lasak.
YS: Watak saya lebih kepada dalaman. Sebagai Julia yang terlalu mencintai Alang saya banyak berperang emosi tetapi harus dilakonkan secara mendatar. Julia seorang yang keliru dengan perasaan cintanya terhadap Alang. Saya sukakan jalan ceritanya yang diketengahkan filem ini. Kisah anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah kebajikan dan bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan.
Apa yang dimaksudkan dengan 8 Jam?
SS: Lapan jam sebelum ke tali gantung.
YS: Ya, penceritaannya akan banyak adegan imbas kembali.
@kosmo.com.my
Anda cari kanopi cantik utk sebarang majlis keramaian di melaka? Hubungi Ramlan hari ini!
@kosmo.com.my
Anda cari kanopi cantik utk sebarang majlis keramaian di melaka? Hubungi Ramlan hari ini!
No comments:
Post a Comment