Thursday, July 26, 2012

Obsesi si pengumpul wang




RUANG legar Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Kuala Lumpur pada pagi hujung bulan Mac lalu dipenuhi dengan orang yang berumur akhir 20-an hingga 70-an. Mereka begitu khusyuk membelek objek bersaiz kecil dengan diameter lebih kurang dua sentimeter.
Selepas puas membelek, ada antara hadirin beralih pula ke gerai lain untuk melihat wang kertas atau syiling lama yang ditawarkan penjual sementara menunggu sesi lelongan diadakan di ruang bersebelahan.
Kaedah menilai wang syiling bukan setakat melihat pada mata kasar tetapi ada beberapa individu menggunakan kanta pembesar untuk melihat keaslian.
Seperti yang diungkapkan oleh ahli numismatik merangkap ahli Persatuan Numismatik Malaysia, Lawrence De Souza, 50-an, terdapat penjual yang mahu mendapat untung cepat dengan membasuh wang lama.
Kemudian, mereka mendakwa wang tersebut tidak berada dalam peredaran sekali gus menjual pada harga yang begitu tinggi.
Bagi pengumpul wang, duit-duit yang tidak pernah berada dalam pasaran, tidak digunakan dan memiliki ciri-ciri unik mempunyai harga tinggi berbanding not yang pernah digunakan.
Setiap tahun, Persatuan Numismatik Malaysia menganjurkan acara lelongan dan jualan wang kertas lama untuk memberi peluang kepada orang ramai terutama ahlinya mendapat koleksi unik.
Pagi itu, salah seorang ahlinya yang baru berusia 27 tahun, Mohd. Shahrul Zharif Shamsudin sanggup menempuh perjalanan sejauh 309 kilometer dari Singapura semata-mata mahu menghadiri acara lelongan itu.
Rakyat Malaysia yang bekerja sebagai jurutera perisian di republik itu sampai di Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi dan terus ke JMM.
"Acara-acara lelongan seperti ini memberi peluang kepada pengumpul seperti saya kerana ahli numismatik yang memiliki banyak koleksi akan melelongkan koleksi peribadi mereka," kata Shahrul Zharif sebelum acara lelongan bermula.

AZMAN menunjukkan ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada wang kertas baharu.


Beliau telah membelanjakan wang sebanyak RM600 bagi sekeping wang syiling 1 sen yang dikeluarkan pada tahun 1970 pada pagi tersebut.
Pada acara lelongan pula, sebaik bidaan lot nombor tujuh iaitu sekeping wang syiling 1 sen keluaran 1976 dibuka, pantas Shahrul Zharif mengangkat papan tanda bagi memberi isyarat dia membuat bidaan.
Syiling tembaga
Syiling 1 sen itu diperbuat daripada tembaga sepenuhnya dan tidak pernah berada dalam pengedaran. Nilai buka untuk bidaan bermula pada harga RM2,500. Apabila terdapat individu lain turut membida, dia sekali lagi mengangkat papan tanda untuk memberi harga lebih tinggi.
Shahrul Zharif percaya harga syiling itu mampu mencapai harga RM3,600 dan meletakkan sasaran maksimum untuk membeli syiling tersebut pada nilai yang sama.
"Syiling 1 sen yang diperbuat daripada tembaga sangat sedikit dan cara mudah untuk mengenalinya ialah dengan meletakkan magnet padanya. Pasti tidak melekat," katanya yang datang ke Kuala Lumpur seorang diri.
Syiling yang jarang ditemui itu wujud kerana berlaku kesilapan ketika proses pembuatannya. Pada tahun 1973, wang syiling 1 sen yang diperbuat daripada tembaga dihentikan pengeluarannya.
Penukaran bahan disebabkan pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati, kos pembuatan bahannya lebih mahal berbanding nilai yang ditunjukkan pada permukaan, menurut ahli numismatik, Dickson Niew, 50-an.
"Tembaga mudah mengalami pengoksidaan. Warnanya bertukar menjadi pudar serta gelap. Jika terpegang, cap jari mudah kelihatan dalam tempoh tiga bulan," terang Dickson sambil menambah bilangan syiling 1 sen tahun 1976 terlalu sedikit lebih kurang 100 keping.

GOLONGAN muda kini turut mula berminat dengan hobi pengumpul wang ini.


Kini, sasaran Shahrul Zharif adalah untuk mengumpul semua syiling 1 sen bermotif bangunan Parlimen pada bahagian belakang untuk setiap tahun.
Pada mulanya, dia hanya berminat mengumpul mata wang lama dolar tetapi penemuan sejumlah wang 1 sen di rumah keluarga menyebabkan Shahrul Zharif tertarik untuk mengumpul sekali gus menjadi ahli Persatuan Numismatik Malaysia.
"Saya kumpul untuk kepuasan diri dan rasa seronok melihat koleksi yang ada," ungkap Shahrul Zharif ketika menjelaskan manfaat obsesinya mengumpul wang syiling 1 sen. Beliau juga tidak bercadang menjual koleksi lengkapnya itu nanti.
Bagi keluaran siri terbaharu, Dickson menasihatkan supaya membuat pelaburan dengan membeli satu set, simpan dan lupakan.
"Jika umur panjang, ia akan memberi keuntungan kepada pemilik atau pewaris," ujarnya.
Sudah menjadi kebiasaan, setiap 15 hingga 20 tahun sekali, denominasi mata wang rekaan baharu akan diperkenalkan. Ia merupakan amalan biasa malah dilakukan oleh kebanyakan bank pusat di seluruh dunia.
Kata Pengarah Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang BNM, Azman Mat Ali, mata wang siri baharu perlu dikeluarkan untuk mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan sedia ada selain memperkenalkan aspek yang baharu.
SHAHRUL menunjukkan wang syiling 1 sen yang dibeli pada hari lelongan itu.


Wang kertas baharu berada dalam edaran pada 16 Julai lalu merupakan siri keempat. Siri pertama dikeluarkan pada 2 September 1968 manakala ejaan bahasa Melayu baharu diperkenalkan pada 16 Ogos 1972.
Siri kedua dikeluarkan pada 1 September 1982 dan siri ketiga berada dalam peredaran secara berperingkat-peringkat bermula dengan wang kertas RM2 pada 5 Februari 1996, RM10 (19 Januari 1998), RM50 (20 Julai 1998), RM100 (26 Oktober 1998), RM5 (27 September 1999) dan RM1 (8 November 2000).
Ciri keselamatan
"Terdapat tiga tahap ciri keselamatan dalam wang kertas baharu ini. Ia lebih moden, praktikal dan terkini sejajar dengan perkembangan teknologi.
"Ini bertujuan memudahkan pengguna dan meningkatkan perlindungan kemungkinan berlaku pemalsuan," terang Azman ketika ditemui di ibu pejabat BNM, Kuala Lumpur.
Tahap pertama untuk kegunaan orang ramai, tahap kedua untuk kegunaan pekerja-pekerja di kaunter melibatkan wang seperti pengurup dan di bank-bank.
Tahap ketiga dan tercanggih pula, ciri-ciri keselamatan hanya boleh dikesan oleh mesin seperti mesin teler automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM).
Ciri keselamatan yang digunakan orang awam boleh dilihat dengan mata kasar malah ketulenannya juga mampu dikesan melalui cara menyentuh wang kertas.
Wang kertas menggunakan teknik percetakan intaglio yang merupakan cetakan dengan dakwat dalam kuantiti yang banyak. Ia menghasilkan efek timbul apabila disentuh.
Selain itu, pengguna boleh mengesan dengan mudah wang tulen atau tidak dengan melihat benang keselamatan yang berubah-ubah warna apabila digerakkan.
Jika dihalakan bawah cahaya pula, ciri-ciri keselamatan seperti imej potret tera air (watermark) Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pertama dapat dilihat manakala wang kertas yang diperbuat daripada substrat (bahan asas) polimer memiliki tingkap pandang telus.
Ciri-ciri baharu yang ditambah pula ialah potret dengan tera air piksel (pixel watermark) dan benang kanta mikro dengan petak kilat berwarna.
PENELITIAN terhadap wang lama amat penting supaya tidak tertipu oleh mereka yang mahu cepat untung.


"Mereka yang bekerja di kaunter wang pula selalunya mempunyai instrumen pengesan dalam bentuk alat-alat ringkas seperti kanta pembesar atau lampu ultra ungu," terang Azman yang telah berkhidmat dengan BNM lebih dua dekad.
Melalui penggunaan kanta pembesar, pekerja kaunter bank dapat melihat perkataan Bank Negara Malaysia berulangkali dicetak pada bahagian belakang yang menjadi latar belakang rekaan. Ciri ini dikenali sebagai cetakan huruf mikro.
Selain itu, pada tengkolok potret YDPA terdapat satu set perkataan yang tercetak nama penuh YDPA. Kedua-dua set tulisan itu amat sukar dilihat dengan mata kasar. Jelas Azman, hanya bintik-bintik kecil yang kelihatan jika wang tersebut palsu.
Bagi tahap keselamatan ketiga, ciri-cirinya hanya boleh dibaca oleh mesin. Nombor siri kepingan wang kertas yang berwarna hitam memiliki sifat magnetik. Sebagai contoh, mesin CDM boleh mengesahkan kesahihan wang kertas selain beberapa ciri yang dapat dikesan dengan infra merah.
Denominasi RM20 diperkenal kali ini manakala syiling siri ketiga memiliki saiz dan kemasan tepi yang berbeza-beza bergantung pada nilai permukaan duit.
"Ciri keselamatan dan saiz wang syiling yang berbeza memudahkan orang ramai menggunakannya," kata Azman yang menyifatkan siri terbaharu sukar mengelirukan pengguna.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...