WALAUPUN berdepan dengan masalah keguguran rambut pada umur pertengahan remaja, Kamarul Arriffin, 32, tidak pernah memandang serius perkara itu. Sebaliknya, dia menganggap hal itu adalah sebahagian daripada proses menghadapi zaman remaja.
Namun, selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah sekitar tujuh tahun, masalah yang dialaminya semakin serius. Kamarul sudah hilang keyakinan untuk keluar bersama rakan-rakan dan berasa rendah diri khususnya di tempat kerja.
“Kerjaya saya banyak berhubung dengan orang ramai dan apabila berdepan dengan mereka, saya rasa kurang selesa. Semuanya gara-gara imej saya ini,” rungut pegawai kerajaan tersebut.
Bagi mengatasi masalah yang dihadapinya, Kamarul mengunjungi sebuah pusat penjagaan rambut di Kuala Lumpur. Selepas enam tahun menjalani rawatan, dia tidak bimbang lagi tentang masalah keguguran rambut yang hampir ‘melicinkan’ kepalanya. Malah, dia lebih berkeyakinan tinggi.
“Saya mencuba pelbagai cara, moden dan tradisional, tetapi semuanya tidak mendatangkan hasil sehinggalah saya berkunjung ke gerai yang menjalankan promosi penjagaan rambut di salah sebuah pusat rawatan rambut di Berjaya Times Square (BTS) enam tahun lalu. Bermula dari detik itu, saya mendapatkan rawatan sekerap yang boleh hinggalah saya mendapat hasilnya hingga ke tahap ini. Kini saya hanya perlu datang dua kali sebulan dan rambut saya semakin lebat, sihat dan tidak gugur seperti dulu,” kata Kamarul.
Sungguhpun berjaya mengembalikan imej baharunya, Kamarul akui banyak wang yang terpaksa dibelanjanya.
“Saya habis kira-kira RM20,000 pada tahun pertama rawatan yang meliputi proses rundingan, rawatan dan produk. Selepas tiga hingga empat tahun kos rawatan meningkat sehingga RM45,000 hingga RM50,000, tetapi saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.
Perkembangan yang baik
Walaupun jumlah yang dibelanja agak besar dan mahal, Kamarul berkata, kepercayaan terhadap pusat penjagaan rambut dan keperluan untuk menjaga serta membetulkan dirinya, dia tidak kisah. Malah, setiap kali selepas rawatan, dia memperoleh perkembangan yang baik.
Apakah punca Kamarul berdepan dengan masalah keguguran rambut? “Ia mungkin kerana faktor genetik dari sebelah bapa. Gaya hidup termasuk diet, merokok dan sebagainya juga menyumbang masalah ini.”
Tambah anak daripada dua beradik itu, abangnya juga turut menghadapi masalah yang sama, namun tidak menjalani sebarang rawatan.
Berbeza dengan Kamarul, lelaki yang hanya mahu dikenali Alvin Raj, 31, pula enggan menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk menyelesaikan masalah rambut yang dihadapinya.
“Pada peringkat awal, saya akui agak risau dengan masalah kebotakan lebih-lebih lagi apabila teman wanita saya selalu menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
“Saya pernah pergi ke sebuah pusat rawatan rambut dan membelanjakan kira-kira RM17,000. Namun, hasilnya agak mengecewakan meskipun terpaksa berbelanja banyak dan saya berpendapat ia tidak berbaloi,” katanya.
Luah Alvin, tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah keguguran rambut kecuali terikat seumur hidup membelanjakan wang yang banyak di pusat-pusat rawatan. “Saya tidak sanggup lagi,” katanya dalam nada kecewa.
Alvin menghadapi masalah keguguran sejak remaja apabila dia mencecah umur 18 tahun. Masalah keguguran rambutnya menjadi lebih serius selepas umurnya 25 tahun. Masalah keguguran yang dialaminya ialah dia mengalami masalah kebotakan paten M iaitu botak di dua sudut kanan dan kiri bahagian depan kepala.
Alvin yang juga seorang jurutera memberitahu, bapanya tidak menghadapi masalah tersebut. Pada masa yang sama dia juga bukan seorang perokok.
“Tetapi saya diberitahu berhadapan masalah itu kerana faktor hormon dan genetik,” katanya.
Sementara itu, pakar nutrisi di sebuah pusat rawatan rambut di BTS, Fanny Ling menyifatkan masalah keguguran rambut dan kebotakan sebagai satu masalah gaya hidup yang membabitkan imej. Sehubungan itu, masalah tersebut wajar dirawat selain individu terbabit mengamalkan gaya hidup sihat.
Keguguran rambut yang serius melibatkan tiga kondisi iaitu keguguran rambut tanpa pertumbuhan walaupun membabitkan sekitar 30 helaian rambut, keguguran tanpa banyak pertumbuhan rambut baharu dan keguguran yang membabitkan pertumbuhan yang sangat perlahan.
“Ia petanda anda sedang menghadapi masalah keguguran yang perlu dirawat. Dari segi kesihatan, rambut amat penting untuk menjaga kulit kepala daripada kekotoran dan cuaca panas,” katanya.
Fanny juga memberitahu, rata-rata individu yang mendapatkan rawatan kerana mahu menjaga imej, berkeyakinan, mewujudkan persepsi diri yang positif dan berketerampilan pada khalayak.
Penjagaan kulit kepala
Apakah punca masalah keguguran? Fanny menjelaskan, gaya hidup seperti merokok, corak pemakanan, penjagaan kebersihan diri dan rawatan kimia pada rambut seperti mewarna, melurus dan mengerinting antara faktor penyumbang masalah ini.
Selain pelbagai jenis rawatan dan produk yang disarankan untuk masalah keguguran, Fanny juga berkongsi beberapa tip penjagaan kulit kepala.
Antaranya ialah mencuci rambut setiap hari. “Kulit kepala seperti kulit yang lain perlu dibersihkan setiap hari. Pastikan rambut dikeringkan terlebih dahulu khususnya bagi wanita yang memakai tudung,” katanya.
Pemilihan syampu kata Fanny perlu berdasarkan masalah kulit kepala bukannya rambut kerana kulit kepala yang sihat mampu menumbuhkan rambut yang sihat.
“Misalnya masalah kelemumur, ia berlaku kerana rambut dan kulit kepala kering, maka anda perlu mencari syampu untuk rambut kering. Begitulah sebaliknya jika kulit kepala berminyak,” katanya.
Kosmo! juga menemui seorang ibu yang baru setahun setengah melahirkan anak, Nurul Sapinass Hassan, 30. Selepas empat bulan melahirkan anak pertama, Nurul mengakui agak tertekan melihat dirinya yang berhadapan dengan masalah keguguran rambut.
“Saya tidak pernah menghadapi masalah itu. Apabila dimaklumkan, saya tidak percaya tetapi apabila berdepan dengan masalah ini, saya saya rasa tertekan. Apatah lagi sebagai seorang penata gaya, saya perlu memastikan diri mempunyai penampilan yang baik,” kata Eksekutif Penata Gaya Krew Kabin Firefly itu.
Nurul mencuba pelbagai kaedah termasuk menggunakan herba, rempah-ratus dan sebagainya untuk merawat masalah rambut yang dihadapinya.
Kini dengan sesi rawatan yang konsisten, Nurul lebih selesa menggayakan rambutnya tanpa perlu melihat lantai untuk mengira rambut yang gugur. Katanya, perubahan itu turut menggalak suami Nurul untuk turut sama mendapatkan rawatan di pusat rawatan rambut tersebut.
“Saya gunakan syampu, perapi dan tonik yang disarankan,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM8,000 untuk rawatan keguguran selepas kelahiran.
@kosmo.com.my
Jom bergaya dengan kami di Hari Raya ini! (Khusus utk Lelaki Melaka)
No comments:
Post a Comment