JALAN raya dua lorong dari Al-Haram Tower menuju Masjidil Haram di kota Mekah penuh sesak dengan manusia dan kenderaan.
Bagaimanapun, pemandu-pemandu di sini jarang merungut dengan suasana manusia berpakaian ihram yang memutih di atas jalan raya yang mengganggu laluan mereka.
Meskipun di luar musim haji, tanah suci ini sentiasa menerima kehadiran ratusan ribu jemaah umrah. Bunyi hon dan suara pemandu yang hilang sabar hanya kedengaran jika ada orang yang meletakkan kereta sesuka hati di bahu jalan.
Kebanyakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi itu sibuk mengambil atau menurunkan penumpang di sepanjang laluan sejauh 500 meter di daerah Ajyad itu, yang menempatkan kira-kira 10 buah hotel bertaraf tiga, empat dan lima bintang.
Sementara jemaah umrah terus berjalan masuk dan hilang ke dalam Masjidil Haram, sebahagian besar kenderaan membuat pusingan U di depan salah satu pekarangan Masjidil Haram. Kedudukannya juga tidak jauh daripada Pintu 1 atau Pintu Raja Malik Abdul Aziz iaitu salah satu pintu utama masjid yang dibina mengelilingi Kaabah itu. Masjidil Haram mempunyai empat pintu utama dan 129 pintu kecil, yang kesemuanya memiliki nama dan nombor masing-masing.
Rukun umrah
Di tengah-tengah lautan lelaki dan wanita berpakaian ihram itu ialah 40 jemaah dari Malaysia yang menunaikan umrah baru-baru ini. Kumpulan yang mengikuti pakej umrah anjuran syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. itu baru tiba dari Kuala Lumpur setelah transit di Bangkok, Thailand dan Kaherah, Mesir. Selepas mendarat di Jeddah, Arab Saudi, mereka terus menaiki bas ke Mekah.
“Para jemaah, kita hanya ada masa satu jam setengah sebelum masuk waktu Maghrib. Kita perlu selesaikan segera rukun umrah ini supaya kita tidak terlalu lama berihram, takut-takut terlanggar pantang.
“Beg-beg besar ini kita uruskan kemudian,” kata mutawif umrah, Ady Erwan Serigar, 24. Ady Erwan merupakan pelajar tahun tiga jurusan Dirosatul Islamiah, Madrasah Saulatiya, Mekah. Pelajar yang berasal dari Medan, Indonesia itu sudah dua tahun menjadi mutawif umrah syarikat tersebut.
Pada masa itu, jam menunjukkan hampir pukul 5.30 petang. Kesemua jemaah sudah berpakaian ihram sejak di Kaherah lagi iaitu kira-kira lapan jam sebelum itu.
Dari hotel tempat menginap, mereka berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram dengan setiap langkah diiringi talbiah yang memuji keagungan Maha Pencipta. Walaupun keletihan terpancar pada wajah masing-masing, mereka seperti tidak sabar pula untuk melihat Kaabah yang merupakan Rumah Allah.
Magis Kaabah
“Sukar saya gambarkan perasaan pertama kali melihat Kaabah. Saya memang terasa cukup sayu dan syukur kerana dengan izin Allah saya sampai ke sini. Rasa seperti tidak percaya pun ada,” luah seorang suri rumah, Intan Syakira Raja Hazenan, 30, yang menunaikan umrah bersama suami dan keluarganya.
Sepanjang berada di Mekah, ibu kepada dua orang anak itu sebolehnya tidak mahu melepaskan peluang menatap Kaabah saban hari.
“Kaabah seolah-olah memiliki magis. Entah kenapa saya tidak pernah rasa bosan dan mahu menatap Rumah Allah itu sepuas-puasnya. Jika selama ini saya hanya melihatnya di kaca televisyen atau foto, tetapi apabila berada di hadapannya terasa diri terlalu kerdil,” katanya dalam satu pertemuan.
Menurut buku Mekah Al Mukarramah Sejarah & Monumen yang disusun oleh Mahmud Muhammad Hamo, Kaabah buat pertama kalinya dibangunkan oleh para malaikat. Ada juga pendapat yang mengatakan ia dibangunkan oleh Nabi Adam A.S. sebelum dibina semula oleh Nabi Ibrahim A.S. Kaabah merupakan kiblat umat Islam.
Dataran Kaabah tidak pernah sunyi daripada kehadiran jemaah. Ketika sebahagian jemaah bertawaf, sebahagian yang lain melakukan solat dan berdoa di hadapan Kaabah dengan bersungguh-sungguh hingga ramai yang menitiskan air mata.
“Tidak pernah sesaat pun saya melepaskan pandangan daripada Masjidil Haram. Dataran Kaabah pula tidak pernah sunyi daripada manusia yang merendahkan diri di hadapan Allah,” ujar seorang jemaah yang mesra dipanggil Ross sahaja.
Beliau mengakui adakalanya kesabarannya diuji. “Pernah berlaku semasa imam sudah mengangkat takbir solat, tiba-tiba muncul dua jemaah berbadan besar seperti wanita Turki mencelah masuk ke dalam saf sampai menimbulkan perbalahan antara muslimat,” kata Ross lagi.
Ketika langit malam semakin hitam pekat, persekitaran Masjdil Haram bertukar menjadi terang-benderang. Sinar lampunya menyimbah hampir ke seluruh kawasan berhampiran.
Azan dua kali
Manusia terus bertali arus ke Masjidil Haram silih berganti walaupun jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Jika kota besar dunia lain hidup dengan aktiviti hiburan sepanjang malam, keadaan di tanah haram ini begitu berbeza.
Di sini, para jemaah mengisi setiap detik dengan melakukan ibadat seperti tawaf sunat, rukun umrah dan solat sunat lain. Mereka begitu bersungguh-sungguh beribadat kerana pahala menunai solat di Masjidil Haram ialah 100,000 kali ganda berbanding solat di masjid-masjid lain.
Apatah lagi tiada waktu haram untuk bersolat di sini. Di lokasi lain, waktu yang tidak dibenarkan bersolat ialah selepas sembahyang Subuh hingga Zuhur dan selepas Asar hingga Maghrib.
Menjelang waktu subuh, penduduk di sekitar Masjidil Haram akan dikejutkan dengan dua kali laungan azan. Azan pertama iaitu sekitar pukul 4.30 pagi bertujuan mengejutkan orang ramai supaya melakukan qiamullail, manakala laungan kedua barulah azan Subuh.
Di Masjidil Haram, tetamu Allah sering berlumba-lumba melakukan ibadat. Mereka sentiasa mahu duduk di saf paling hadapan sama ada di dataran, di dalam dewan solat utama mahupun balkoni masjid di tingkat atas.
Mereka betul-betul ingin bersolat di depan dan melihat Kaabah. Hampir semua jemaah akan mengambil tempat masing-masing kira-kira sejam sebelum sembahyang didirikan. Sesetengah jemaah tidak berganjak langsung selama berjam-jam daripada tempat solat mereka kerana bimbang ia akan diambil oleh orang lain.
“Kita datang jauh-jauh takkan hendak solat di pekarangan masjid sahaja, bukan? Lebih baik datang awal dan kita dapat solat di dalam masjid,” begitu pesan Ady.
Salah satu perkara menakjubkan di kota Mekah ialah ketenangan yang diperoleh daripada alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Orang ramai boleh mendengarnya di mana-mana sahaja termasuklah di kompleks beli-belah dan kedai-kedai di sepanjang jalan ke hotel penginapan.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment