Wednesday, June 6, 2012

Tarikan luar biasa wanita berkelubung



TARIKAN membeli-belah di Mekah cukup kuat kerana harga barangan yang berpatutan.


BERADA selama 11 hari 10 malam di Mekah, sekumpulan 40 jemaah umrah dari Malaysia berpeluang menyelami pelbagai warna kehidupan dan ragam manusia di sana.
Masjidil Haram yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia, telah mengalami proses pembesaran dari semasa ke semasa sekali gus menyebabkan kedudukannya menjadi begitu hampir dengan hotel bertaraf lima bintang, kedai-kedai menjual cenderamata, pusat beli-belah dan restoran.
Benar, tarikannya cukup luar biasa. Meskipun pada awalnya jemaah tidak berniat langsung untuk membeli-belah di Tanah Suci Mekah, keadaan persekitarannya pasti membuatkan mereka tertarik untuk mencari buah tangan bagi dibawa pulang.
Di kaki-kaki lima di luar pekarangan masjid, jemaah 'dipancing' oleh wanita berkelubung hitam yang menjual bermacam-macam barangan.
Mereka sekadar meletakkan barangan di atas hamparan kain, namun berjaya menarik perhatian jemaah yang berpusu-pusu keluar dari masjid setiap kali selesai menunaikan solat lima waktu.
Bertutur bahasa Melayu
"Khamsah riyal, khamsah riyal (5 riyal), mari, mari, murah, murah." Begitulah teriakan peniaga yang cuba mencuri tumpuan pelanggan.
Jika anda tidak fasih berbahasa Arab, itu bukan alasan untuk tidak membeli. Ini kerana para peniaga yang terdiri daripada wanita berkulit hitam itu mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.
Meskipun tiada proses tawar-menawar kerana harganya yang murah, anda masih boleh bertanya kepada mereka seperti: 'Ini berapa?' Mereka dengan lantas menjawab '10 riyal' (bergantung kepada harga asal barangan yang dijual). Bahkan mereka boleh menjelaskan, 'Satu 10 riyal, dua 15 riyal'.
Lebih lucu, mereka bukan sahaja berjaya memukau pelanggan wanita, bahkan jemaah lelaki juga tidak terkecuali berebut-rebut membeli.
PERMINTAAN terhadap roti nan di restoran berhampiran Masjidil Haram ini juga bak pisang goreng panas.


Antara barang-barang yang dijual ialah jubah lelaki dan wanita, pakaian kanak-kanak, tudung, tasbih, kopiah, inai dan barang hiasan rumah.
Aktiviti jual-beli di tepi jalan itu bermula seawal selepas solat Subuh iaitu sekitar pukul 6.30 pagi dan berakhir sejam kemudian.
Perniagaan itu menyebabkan jalan raya menjadi sesak apabila orang ramai berkerumun di kedai tepi jalan itu. Kedai-kedai itu dibuka lima kali sehari iaitu setiap selepas waktu solat.
"Pada mulanya saya tidak berminat untuk membeli, tetapi apabila melihat barang-barang yang dijual agak berkualiti dan murah, saya tidak melepaskan peluang mendapatkannya.
"Kadangkala saya terpaksa berebut dengan orang lain," kata Suraya Ahmad, 30. Tambah beliau, kebanyakan produk itu diimport dari Turki, China, India atau Pakistan.
Walaupun aktiviti jual-beli tidak pernah bernoktah di tanah yang penuh berkat itu, para peniaga sangat menghormati waktu solat.
Andai anda masih membelek-belek barang di kedai tatkala azan dilaungkan, sebaik-baiknya tinggalkan segera urusan tersebut. Jika tidak anda bukan sahaja tidak dilayan oleh si peniaga, bahkan mungkin diherdik mereka.
"Ba'da solah, ba'da solah (lepas solat, lepas solat)," kata peniaga terbabit mengingatkan pelanggan supaya menangguhkan urusan jual-beli dan segera menyempurnakan panggilan solat.
Beg beranak
Tanpa ada rasa bimbang kedai dimasuki pencuri, para peniaga hanya merentang kain atau tali di hadapan kedai sebelum pergi ke masjid. Jika tidak pun mereka memalapkan lampu di dalam kedai tanpa menutup pintu.
Ketika waktu solat semua aktiviti dan urusan dunia terhenti seketika. Jemaah juga dinasihatkan membawa sehelai sejadah bagi membolehkan mereka bersembahyang sebaik sahaja kedengaran suara imam Masjidil Haram mengangkat takbir untuk memulakan solat.
Ini kerana sudah menjadi budaya masyarakat Arab mereka akan bersolat di mana sahaja hatta di atas jalan raya.

JEMAAH lelaki juga tidak melepaskan peluang membeli barang yang diingini.


"Bumi Mekah ini memang berkat, aktiviti ekonominya sentiasa subur. Memang benar niat kita mahu beribadat ke sini, tapi tidak salah untuk membeli kerana sebahagian besar jemaah berbelanja untuk membeli buah tangan buat keluarga dan rakan-rakan di tanah air.
"Para jemaah yang datang ke Mekah rata-rata membawa satu beg, tapi apabila pulang beg mereka akan 'beranak' (bertambah)," seloroh mutawif umrah, Ady Erwan Siregar.
Para jemaah yang menjejakkan kaki ke Mekah juga selalunya tidak akan melepaskan peluang menikmati aiskrim, jus buah dan nasi mandi. Dijual pada harga antara 2 riyal (RM1.70) hingga 4 riyal (RM3.30), kudapan seperti aiskrim dan jus buah boleh didapati di kios-kios yang menjual kebab.
Kepada jemaah yang ingin mencuba keenakan makanan Arab, menu signaturnya iaitu nasi mandi dijual di kebanyakan kedai makan. Sepinggan nasi mandi kambing berharga 20 riyal (RM16.70), manakala 12 riyal (RM10) untuk nasi mandi ayam.
Setiap hidangan boleh dinikmati oleh sekurang-kurangnya empat orang jemaah wanita Malaysia.
"Tidak perlu beli banyak, kita boleh kongsi makan ramai-ramai supaya tidak membazir," kata seorang jemaah wanita yang hanya mahu kenali sebagai Sofea.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...