Saturday, April 7, 2012

Misbun dijulang Tokoh ASUS



MOHID (enam dari kanan) dan Misbun (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama para pemenang ASUS 2011
di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur malam tadi.


BEKAS pemain dan jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek ditabalkan selaku Tokoh Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) peringkat kebangsaan 2011 semalam.
Kejayaan itu membolehkan Misbun meraih wang tunai berjumlah RM5,000 berserta trofi.
Misbun diadili menerusi panel penilai ASUS yang dipengerusikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (Uitm) Shah Alam, Prof. Madya Zulkifli Kadir.
Mengulas kejayaannya itu, Misbun berkata, beliau amat bersyukur dan gembira apabila ada pihak menghargai segala keringat yang ditaburnya untuk negara selama ini.
“Sebenarnya saya masih terkejut ketika menerima anugerah ini.
“Saya tidak menjangka memenangi anugerah Tokoh ASUS. Bagi saya, lebih ramai tokoh lain berhak untuk meraih gelaran tersebut.
“Bagaimanapun, saya sangat gembira dan bangga kerana ia merupakan satu penghormatan bagi saya apabila sesuatu kejayaan itu diiktiraf,” kata Misbun ketika ditemui pemberita pada majlis ASUS 2011 di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur semalam.
Bagi kategori Persatuan, Persatuan Kecergasan Wilayah Persekutuan Labuan dinobatkan sebagai juara mengatasi Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (naib juara) dan Persatuan Bola Jaring Negeri Kedah ( tempat ketiga).
Timbalan Presiden Persatuan Kecergasan Wilayah Persekutuan Labuan, Alyssa Ang Peng Yuan berkata, kejayaan itu memberikan harapan kepada persatuan itu untuk mempergiatkan lagi program bersama masyarakat.
Ia merupakan anugerah kedua yang dicapai persatuan itu dalam tempoh tiga tahun.
“Sebelum ini, kami pernah menjadi johan pada 2009, jadi untuk kali ini, kami agak terkejut kerana kejayaan ini memang tidak disangka.
“Saya rasa antara program yang memberikan merit kepada kami ialah Program Jelajah Kampung 1Labuan yang mendapat geran daripada Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia.
“Program itu berlangsung selama 27 minggu dan mendapat penyertaan lebih daripada 150 peserta dari Labuan dan Sabah,” jelas Alyssa yang turut tercalon dalam senarai pendek kategori Pemimpin Wanita ASUS 2011.
Selaku pemenang, Persatuan Kecergasan Wilayah Persekutuan Labuan mendapat dana bantuan aktiviti bernilai RM15,000.
ASUS 2011 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 kepada para pemenang bagi kategori Tokoh ASUS, Pemimpin Lelaki, Pemimpin Wanita, Pemimpin OKU, Keluarga Aktif, Kelab Sukan Komuniti Cemerlang dan Penggerak Sukarelawan.
Ganjaran berjumlah RM32,000 berupa bantuan aktiviti pula diberikan kepada tiga pemenang kategori Persatuan.
Hadiah dan trofi kepada para pemenang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...