LONDON - Chelsea mahu melupakan seketika kejayaan menempah slot ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Skuad bimbingan Roberto Di Matteo itu perlu memberi fokus untuk menduduki kelompok empat pasukan terbaik dalam kempen Liga Perdana England.
Bagaimanapun, skuad The Blues perlu menewaskan Wigan Athletic di Stamford Bridge malam ini bagi merealisasikan impian itu.
Chelsea meneruskan kecemerlangan di bawah bimbingan pengurus sementara itu selepas menewaskan Benfica dengan agregat 3-1 pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara bagi mengatur pertemuan dengan juara Eropah, Barcelona pada separuh akhir.
Begitupun, sebelum berdepan skuad The Catalanspada 18 April ini, Chelsea akan bertemu Wigan dan Fulham dalam saingan liga domestik.
Selepas itu, Chelsea akan menentang Tottenham Hotspur pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley.
Perlawanan menentang Tottenham akan menjadi tumpuan tetapi kutipan mata sangat penting sekiranya Chelsea mahu merapatkan jurang lima mata di belakang Spurs yang menduduki tangga keempat liga.
Namun, aksi malam ini dijangka sengit kerana Wigan masih bergelut untuk mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Perdana England musim depan meskipun berjaya menewaskan Stoke City pada penghujung minggu lalu.
Chelsea pula akan bermain tanpa kelibat kapten, John Terry yang terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan pada aksi menentang Benfica kelmarin.
"Saya akan menjalani ujian imbasan dan kita akan mengetahui sama ada saya mampu beraksi semula atau tidak.
"Sangat menakutkan tetapi kini, saya perlu berehat dan biarkan ia kembali pulih. Pada awalnya, saya sangka kesakitan itu hanya perkara biasa. Namun, pada babak kedua (menentang Benfica), kecederaan saya menjadi semakin teruk.
"Situasi itu amat sukar dan saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini," ujarnya. - AFP
No comments:
Post a Comment